Thursday, 12 November 2015

PERANG UHUD

ANALISIS TAKTIKAL PERTEMPURAN UHUD

Rakan saya pernah mencadangkan kepada saya suatu masa dahulu.

“Helmi… aku lihat sekarang kita kalau membincangkan topik-topik pasal  peperangan umat Islam yang lepas, kita terlalu mengangkat faktor seperti bantuan  Tuhan dan para malaikat. Ya aku tiada masalah dengan semua itu. Aku sangat yakin yang tuhan memang membantu mereka. Tetapi para ustaz kita bercerita dalam faktor spiritual sahaja, bukan tentang perancangan sebelum jihad, bukan tentang kebijaksanaan Rasulullah merencanakan strategi, bukan tentang umat Islam dahulu berjihad berdasarkan akal, bukannya sentiment.

Apa yang para ustaz ini lakukan secara tidak langsung seolah menunjukkan kepada kita seperti dalam Islam ini, agama yang hanya melibatkan ikhtiar sahaja  tanpa usaha. 

Sebab itu sekarang ada puak membuta tulis menyuruh kita berjihad secara membabi buta tanpa perancangan taktikal. Sebab itu ada segelintir si bebal yang menyuruh kita menghantar jet ke Syiria atau Palestine sedangkan kita tidak berkemampuan melakukan itu.

Kau buatlah satu artikel analisis tentang bagaimana dulu Rasulullah turun ke medan perang bukan semata-mata menjerit takbir sahaja, lalu kemenangan datang menjelma. Rasulullah turun ke medan dengan perancangan. Rasulullah turun dengan taktikal perang. Rasulullah tak membiarkan nafsu dan sentimen menguasai akal. Tolong pastikan yang keyboard warrior ni diam!”

Terdiam saya mendengarkan hujahnya. Tetapi bila difikirkan. Ada benar juga apa yang disampaikannya. Lama juga saya berfikir pertempuran manakah yang disertai oleh Rasulullah untuk saya ceritakan taktikal perangnya.

Dalam bercakap tentang pertempuran itu saya ambil keputusan untuk terus mengulas tentang taktikal yang diguna pakai oleh Rasullulah S.A.W. Seperti mana yang sudah diajarkan pada kita, dalam pertempuran ini, tentera Islam mempunyai lebih kurang 700 orang tetapi hanya sekadar 4 orang tentera berkuda. Sebaliknya tentera Quraisy pula membawa lebih kurang 3000 orang askar, bersama dengan 200 buah tentera berkuda.

Seperti mana yang kita tahu, untuk pertempuran ini, ianya berlaku adalah atas niat balas dendam yang mahu dilunaskan oleh Abu Sufyan ke atas tentera Islam yang berjaya membunuh banyak tokoh penting Quraisy di dalam Pertempuran Badar.

Lalu seperti mana yang diberitahu di atas, Abu Sufyan pun membawa lebih kurang 3000 askar Quraisy, bersama dengan beberapa orang jeneral perang seperti Khalid Al-Walid yang memimpin unit berkuda tentera Quraisy.

Dalam pertempuran ini, apa yang cuba dilakukan oleh Abu Sufyan dalam pertempuran adalah menempatkan taktik ‘double enveleopment’ di mana, Abu Sufyan cuba menguatkan bahagian sayap kanan dan kiri daripada bahagian tengah askar Quraisy. Apa yang cuba dilakukan oleh Abu Sufyan ialah memastikan bahawa tentera Islam akan terus masuk ke bahagian tengah barisan askar Quraisy sambil bahagian sayap kiri dan kanan Mekah masib bertahan.

Konon-kononnya nanti bahagian tengah tentera Quraisy akan berundur ke belakang lalu terus memasuki ruang kosong yang ditinggalkan di tengah, tetapi di kiri dan kanan tentera berkuda masih kukub bertahan. Ini secara tak langsung membuatkan tentera Islam akan terkepung di kiri dan kanan mereka. Lalu tentera berkuda yang memang jauh lebih kukuh daripada tentera pejalan kaki umat Islam akan terus membantai tentera umat Islam di kiri dan kanan.

Dan Rasulullah S.A.W selaku seorang taktikal genius perang yang sangat menakjubkan telah menyediakan pelan tersendiri untuk menentang taktik “double envelopment” yang di bawa oleh Abu Sufyan. Selaku pasukan yang bertahan, maka kelebihan memilih geografi medan tempur dimanfaatkan sehabis baik oleh Rasulullah.

Lalu baginda memilih kawasan di lembah Bukit Uhud. Kelebihan kawasan lembah Uhud ini ialah terdapat dua buah bukit yang mengapit kawasan kiri dan kanan tentera Islam. Dan baginda sendiri telah meletakkan pasukan askar pemanah di salah satu puncak bukit itu untuk neutralkan habis kelebihan askar berkuda yang dimiliki oleh tentera Quraisy.

Taktikal baginda ini membuatkan taktikal “double enveleopment” yang cuba digunakan oleh pasukan tentera Quraisy berhasil dengan kegagalan. Sebab itu baginda menyatakan kepada pasukan pemanah itu untuk kekal di posisi mereka meski apa sahaja berlaku, sama ada tentera Islam sedang menempah kegagalan dan kemenangan.

Dan malangnya, mereka turun dari puncak bukit dan… Khalid Al-Walid yang melihat bahawa senjata utama taktikal perang Rasulullah kini sudah tiada di tempatnya, terus memimpin unit berkuda yang sebelum ini dineutralkan oleh pasukan pemanah itu.

Akibatnya… kekalahan terus menyapa pasukan tentera Islam! Tetapi apa yang saya nak sampaikan dalam analisis taktikal perang kali ini, betapa Rasullulah begitu bijak menyimpan pelan untuk menafikan terus taktikal perang terkenal yang bernama “double envelopment” itu. Tidak hairanlah kalau baginda adalah tokoh paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Baginda seorang politikus, jeneral perang, ayah, tokoh spiritual, cendekiawan dan suami yang hebat!

-HE-

No comments:

Post a Comment