Dalam artikel yang lepas,kita telah membaca rentetan kisah bagaimana kedaulatan kerajaan Champa yang diganggu akibat asakan agresif dari kerajaan Vietnam di utara,menyebabkan Champa semakin diasak jauh ke selatan hinggalah Champa jatuh secara keseluruhannya di tangan Maharaja Minh Menh pada tahun 1832.
Selepas tahun tersebut,ramai etnik Cham terpaksa meninggalkan tanah tumpah darah mereka,berhijrah ke wilayah lain dan menetap di sana.Namun ada juga berlaku kebangkitan dan penentangan bersenjata yang dilakukan oleh sesetengah orang Cham untuk menentang kekejaman dinasti Nguyen dan mengembalikan semula kedaulatan Champa.
Pada masa itu,majoriti orang Cham sudahpun beragama Islam namun terdapat juga sebahagian di kalangan mereka yang masih kekal beragama Hindu-Buddha dan ada juga sesetengah kelompok di kalangan mereka mencampuradukkan kepercayaan Hindu-Buddha dengan Islam dalam norma kehidupan mereka.
Pada masa itu juga,Champa mula menjalinkan hubungan yang lebih erat dan intim dengan saudara serumpun mereka yang tinggal di kepulauan Melayu dan sudah lama menerima Islam sebagai cara hidup mereka (siapa lagi,orang Melayu laaa..).Persamaan budaya dan bahasa yang ketara ditambah lagi dengan semangat persaudaraan sesama Islam telah menjadikan Champa sebahagian daripada tamadun Melayu-Islam yang sedang berakar umbi di Kepulauan Melayu pada masa itu.
[Kita Bersaudara]
Kita tahu bahawasannya orang Cham ini satu ketika dahulu pernah membina sebuah kerajaan yang hebat bernama Champa,yang terletak di pantai timur Indo China.Kerajaan hebat ini bertahan selama lebih 1700 tahun lamanya dan meninggalkan sejumlah prasasti,catatan bertulis dan tinggalan senibina yang indah seperti candi-candi My Son,Po Sa Nu dan Po Klaung Garai.Champa juga dikenal pasti sebagai antara kerajaan yang paling awal menerima cahaya Islam di Asia Tenggara iatu sekitar abad ke 10.
Sementara itu pula,saudara serumpun mereka di selatan pula,iatu Melayu telah beribu-ribu tahun lamanya membina ketamadunan di sekitar Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu.Banyak kerajaan dan empayar yang ditubuhkan di sekitar Kepulauan Melayu oleh orang Melayu dan antara kerajaan yang paling gah sekali ialah Srivijaya,Melaka dan Brunei.Ini menjadikan raja-raja Melayu pada masa itu adalah kelas pemerintah (ruling class) di Asia Tenggara.Selepas kemasukan orang Melayu ke dalam agama Islam,nilai-nilai dan unsur Islam diterapkan dengan sangat kukuh ke dalam norma kehidupan orang Melayu sehingga Tamadun Melayu akhirnya menjadi sangat sinonim dengan Islam.
Etnik Cham dan Melayu sememangnya serumpun dan mempunyai persamaan bahasa dan budaya yang ketara.Rekod prasasti tertua orang Cham iatu Prasasti Dong Yen Chau pada abad keempat Masihi mempunyai jumlah kosakata Bahasa Melayu purba yang banyak,membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa purba di Indo China.
Dalam ilmu linguistik,etnik Cham adalah termasuk dalam rumpun Malayo-Polinesia,sama seperti orang Melayu.Bahasa Cham mempunyai sedikit persamaan dan mempunyai kaitan rapat dengan bahasa Acheh.Sejarah telah membuktikan kebenaran persamaan ini kerana dalam sejarah,pengasas Kesultanan Acheh adalah seorang anak raja Champa.Dalam Sulalatus Salatin,diceritakan Syah Pau Ling,putera kepada Raja Pau Kubah telah pergi ke Acheh dan mengasaskan keturunan raja-raja di sana.Dipercayai Syah Pau Ling inilah yang merujuk pada Ali Mughayat Syah,yang dikatakan sebagai pengasas dinasti diraja Kesultanan Acheh.
Sementara Syah Pau Ling pergi ke Acheh,kekandanya pula pergi berlindung di Melaka yang terletak di Semenanjung.Syah Indera Berma,keluarganya serta pengikutnya diberi kebenaran oleh Sultan Mansur Shah,pemerintah Kesultanan Melaka pada masa itu,untuk menetap di Melaka.
Menurut Sulalatus Salatin lagi,keturunan Syah Indera Berma dan keluarganya telah memeluk Islam dan mereka inilah yang menjadi asal usul keturunan orang Cham di Melaka.Pakar sejarah sepakat bersetuju bahawa peristiwa ini berlaku selepas kejatuhan kota Vijaya ke tangan Vietnam pada tahun 1471,di mana perkataan “orang Kuci” yang membumihanguskan ibu kota Champa seperti yang diceritakan dalam Sulalatus Salatin itu merujuk kepada orang Vietnam.
Sulalatus Salatin membuktikan bahawa Melaka adalah antara destinasi diaspora orang Cham selepas kejatuhan kota Vijaya pada tahun 1471.Pilihan menjadikan Melaka sebagai tempat berlindung orang Cham adalah atas dasar serumpun dan persamaan bahasa dan budaya.Semangat keserumpunan Melayu-Cham ini menjadi bertambah erat selepas majoriti orang Cham memeluk Islam beberapa abad selepas itu dan semangat ini dikukuhkan lagi atas dasar saudara sesama Islam.Peristiwa tersebut berjaya membuktikan bahawa sememangnya orang Melayu dan Cham adalah bersaudara dan berasal dari rumpun yang sama.
[Campur Tangan Melayu dan Cham dalam Politik Istana Kampuchea]
Asakan agresif Vietnam juga menyebabkan ramai orang Cham berhijrah ke Kampuchea sekitar abad ke 16 hingga 18.Kedatangan pelarian dari Champa itu disambut dengan baik sekali oleh kerajaan Kampuchea,yang juga antara kawan baik kepada Champa.Apabila berlakunya perang saudara antara tentera dinasti Nguyen dan pemberontak Tay Son bersaudara di Pandurangga pada tahun 1771,raja Po Crei Brei beserta ribuan pengikutnya berundur ke Kampuchea dan menetap di wilayah Rong Damrei.
Di Kampuchea,orang Cham bertemu dengan saudara serumpun mereka,orang Melayu di mana ramai di kalangan orang Cham yang berkahwin dengan mereka dan ada yang memeluk Islam di sana.Komuniti orang Melayu dan Cham yang sama sama beragama Islam,mempunyai persamaan budaya dan bahasa menjadikan mereka sebuah komuniti besar dan membezakan mereka dengan penduduk majoriti di Kampuchea pada masa itu,orang Khmer yang beragama Theravada Buddha.Dalam riwayat Khmer pada era tersebut,komuniti Melayu-Cham ini digelar sebagai “Cam Jva” (Cam=Cham,Jva=Melayu).
Komuniti “Cam Jva” ini bukan sekadar menjadi komuniti Islam yang utama di Kampuchea,malahan juga beberapa kali terlibat dalam hal ehwal politik dalam istana Kampuchea di Oudong itu sendiri.
Dikatakan juga komuniti Melayu-Cham di Kampuchea bukan sahaja menjadi kelompok yang berpengaruh di istana,malah berjaya juga mengIslamkan seorang raja Kampuchea yang bernama Ramadhipati I (1642~1658).Raja Ramadhipati I memeluk Islam di Khleang Sbek selepas mengahwini seorang gadis Cham.
Menurut riwayat diraja Khmer,pada majlis perkahwinan Raja Ramadhipati I tersebut,seorang ketua Melayu-Cham telah menghadiahkan sebilah keris antik kepada raja tersebut,di mana keris tersebut akhirnya disimpan oleh raja tersebut di sebuah tempat yang digelar sebagai Pancasksetr di istana diraja Kampuchea.
Pemerintahan Ramadhipati I di Kampuchea berakhir pada tahun 1658 setelah beliau dibunuh oleh sepupu beliau sendiri.Ini menyebabkan berlakunya penentangan secara besar-besaran dari komuniti Melayu-Cham namun mereka dikalahkan seterusnya diusir ke Siam.
Pengganti raja tersebut,Pramaraja VIII (1659~1672) bukan sahaja mengusir komuniti tersebut malahan juga sebilangan bangsawan,pendeta,keturunan diraja dan rakyat Khmer yang menentang beliau.Antara yang diusir itu termasuklah isteri kepada Ramadhipati itu sendiri yang digelar dalam riwayat diraja Khmer sebagai “Anak Mnan Kapah Pau”.
Pun begitu,pada tahun 1672,berlakunya rampasan kuasa di mana Raja Pramaraja VII tersebut dibunuh oleh menantunya,Sri Jayajetth dan melantik dirinya sebagai raja Kampuchea dengan gelaran Padumaraja II.Beliau cuba menghapuskan sebarang cubaan untuk menentangnya termasuk bekas permaisuri Pramaraja VII,iatu Ubhayoraj Ramadhipati yang berjaya melarikan diri.
Bekas permaisuri tersebut seterusnya memohon bantuan dari orang Melayu-Cham,di mana mereka berjaya menyusup masuk ke dalam istana pada waktu malam dan membunuh Raja Padumaraja II,yang hanya menduduki takhta diraja Kampuchea selama lima bulan sahaja.
[Warisan Champa Di Negeri Serambi Mekah]
Agak-agak negeri mana dekat Semenanjung ini yang digelar sebagai Serambi Makkah? :P
Negeri Kelantan Darul Naim adalah antara negeri yang mempunyai hubungan paling rapat dengan Champa,berbanding negeri-negeri Melayu yang lain di Semenanjung selepas kejatuhan Melaka.Kedudukan Kelantan yang menjadi pusat pengajian ilmu agama Islam sehinggakan digelar sebagai Serambi Makkah juga menjadikan negeri tersebut akhirnya menjadi tumpuan orang Champa untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama Islam.
Hubungan ini dapat dilihat apabila seorang raja Champa,Po Rome tinggal di Kelantan selama beberapa tahun pada abad ke 17.Kedatangan Po Rome ke Kelantan bertujuan untuk mendalami ilmu agama Islam dan adat kebudayaan Melayu,dengan tujuan untuk mengeratkan lagi hubungan muhibbah antara Champa dengan Dunia Melayu pada masa itu.
Kebudayaan Champa juga sedikit sebanyak bertapak dengan kukuh di Kelantan.Beberapa tempat di sekitar negeri tersebut seperti Pengkalan Chepa dan Kampung Chepa,menunjukkan kehadiran orang Cham (Champa) di kawasan tersebut.Terdapat juga tanjak Chepa,kain Chepa,keris Chepa,padi Chepa dan sanggul Chepa di negeri tersebut.
Malahan juga keturunan diraja Kelantan pada hari ini juga dikatakan berasal dari Champa.Dalam Hikayat Kelantan,moyang kepada Long Yunus,iatu pengasas dinasti diraja Kesultanan Kelantan pada hari ini berasal dari Kembayat Negara (Champa).
[Kebangkitan Champa Melawan Vietnam]
Menjelang kejatuhan Champa oleh dinasti Nguyen pada tahun 1832,sumber dari penjelajah Perancis mendapati bahawa ramai pembesar,jurutulis dan alim ulama Melayu berkhidmat di istana Champa pada masa itu.Bukan itu sahaja,malahan ada juga orang Melayu yang terlibat dalam membantu kebangkitan rakyat Champa untuk menentang kekejaman Vietnam pada masa itu.
Kebangkitan rakyat Champa menentang Vietnam pada tahun 1796 dipelopori oleh seorang tokoh Melayu bernama Tuan Phaow.Tuan Phaow dikatakan berasal dari Kelantan dan mendakwa kononnya Tuhan menghantarnya untuk menolong orang Cham dalam perjuangan menentang kuasa Vietnam.
Beliau mendapat sokongan padu daripada orang Cham dari wilayah Binh Thuan dan juga dari Kampuchea,untuk menentang kekuasaan Maharaja Gia Long.Namun,perjuangan tersebut berjaya dikalahkan oleh tentera Vietnam dan Tuan Phaow akhirnya berundur semula ke Kelantan.
Selepas Maharaja Minh Menh akhirnya berjaya menghapuskan Champa pada tahun 1832,berlaku kebangkitan besar-besaran yang dibuat oleh rakyat Champa atas tindakan maharaja Vietnam tersebut.Kebangkitan pertama yang dibuat oleh orang Cham selepas kejatuhan Champa itu diketuai oleh seorang ulama dari Kampuchea bernama Katip (Khatib) Sumat.
Katip Sumat belayar dari Kelantan dan tiba di Binh Thuan pada tahun 1833 dengan tentera yang terdiri daripada orang Melayu dan orang Cham.
Tentera Melayu yang membantu Katip Sumat tersebut merupakan tentera bantuan yang dihantar oleh Sultan Kelantan yang pertama itu sendiri iatu Sultan Muhammad I (1800~1837).
Menurut seorang ahli sejarahwan Champa,Po Dharma,bantuan tentera yang dikirimkan oleh Sultan Muhammad I itu disebabkan atas dasar bahawa baginda dan raja Champa ketika itu berasal dari satu keturunan yang sama,dikuatkan lagi dengan semangat persaudaraan sesama Islam.
Katip Sumat menggunakan konsep jihad untuk menyeru rakyat Champa menentang pemerintahan dinasti Nguyen Vietnam yang menindas mereka.Perang di antara orang Champa yang diketuai oleh Katip Sumat dengan tentera Vietnam berakhir pada tahun 1835 dengan kemenangan Vietnam berjaya menghapuskan penentangan rakyat Champa dan Katip Sumat keseluruhannya.
[Saudara Selamanya Bersaudara]
Selepas kebangkitan Katip Sumat berjaya dipadamkan oleh Vietnam pada tahun 1835,hubungan orang Cham dengan dunia luar,terutama sekali dengan Dunia Melayu juga semakin berkurangan.
Wilayah Champa secara mutlaknya sudah menjadi milik Vietnam.Pemerintahan dinasti Nguyen mula mengamalkan dasar Pax Vietnamica atau mengVietnamkan rakyat Champa seluruhnya,sepertimana tindakan kerajaan Thailand yang mengThaikan penduduk Melayu-Islam di Patani menerusi dasar Phibul Songram yang masih berjalan sehingga ke hari ini.
Namun orang Cham ini bernasib baik kerana wilayah Binh Thuan dan lima daerah di selatan Vietnam yang asalnya milik Champa akhirnya diserahkan kepada Perancis oleh kerajaan Vietnam yang kalah dalam Perang Perancis-Vietnam (Franco-Vietnamese War) dari tahun 1858 hingga 1861.
Mungkin ada yang menganggap peristiwa penyerahan wilayah tersebut kepada Perancis ibarat “terlepas dari mulut buaya,masuk mulut harimau” bagi orang Cham namun sekurang-kurangnya peristiwa ini juga telah berjaya mengagalkan percubaan kerajaan Vietnam yang selama ini cuba menghapuskan terus identiti dan jati diri orang Cham dan Champa.
Dasar penjajah Perancis yang tidak masuk campur dalam kebudayaan penduduk tempatan telah membuka peluang kepada orang Cham untuk kembali mencari identiti dan jatidiri mereka semula,termasuklah membina kembali hubungan mereka dengan saudara Melayu mereka.
Ulama dan pendakwah dari Semenanjung sekali lagi datang menjalankan tugas mereka menyebarkan Islam di bumi Champa dari akhir abad ke 19 hinggalah ke awal abad ke 20.Ada juga di kalangan mereka berkahwin dengan gadis tempatan dan kekal menetap di sana,untuk meneruskan tugas mereka menyebarkan Islam di kalangan penduduk Cham di sana.
Ketika Perang Vietnam dan kekejaman rejim komunis Pol Pot di Kampuchea memuncak pada era tahun 1970an,dikatakan separuh dari populasi orang Cham menjadi mangsa.Kerajaan Malaysia pada masa itu memutuskan untuk mengambil pelarian 7,000 orang Cham Islam untuk berlindung di Malaysia.
Walaupun jika menurut sebab rasminya adalah atas dasar kemanusiaan,namun jika diikutkan kebenarannya,sebab pihak berkuasa Malaysia berbuat sedemikian adalah kerana hubungan erat Melayu-Cham yang sudah terjalin sejak sekian lamanya di mana mereka saling berkongsi budaya,bahasa dan pegangan agama yang sama.
Sehinggalah ke hari ini,hubungan saudara antara orang Cham dan orang Melayu masih lagi berkekalan.Banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dari Malaysia menghantar bantuan dan sumbangan kepada komuniti Cham Islam di sekitar Kampuchea terutamanya.
Ada juga sekolah-sekolah dan pusat pengajian agama Islam telah dibuka dan ditaja oleh orang Melayu dari Malaysia untuk memberi peluang kepada anak-anak muda Cham ini mempelajari ilmu agama Islam.Tidak kurang juga ramai anak-anak muda Cham yang datang melanjutkan pembelajaran ilmu agama Islam ke pondok-pondok di Malaysia,terutama sekali di Kelantan.
Ada juga orang Cham ini yang datang berhijrah ke Malaysia dan akhirnya menetap dan melahirkan zuriat keturunan di tanah bertuah ini.Di kampung halaman penulis sendiri,orang Cham ini banyak yang berjaya membuka perniagaan kain dan tudung di sini,sehingga sebuah kawasan perniagaan yang akhirnya terkenal di Malaysia dikenali sebagai Pasar Kemboja.Setiap hari Sabtu,kawasan sekitar Pasar Kemboja tersebut penuh dengan kenderaan-kenderaan yang datang sejauh Kuala Lumpur untuk membeli tudung dengan harga yang murah dan berpatutan di sini.
Orang Cham di Malaysia kebanyakannya digelar oleh penduduk tempatan sebagai “orang Kemboja” (kerana kebanyakan mereka asal dari Kemboja/Kampuchea) ataupun “orang Melayu Champa”.
[Kesimpulan]
Sejarah telah membuktikan bahawa hubungan antara Melayu dan Cham ini ialah satu hubungan yang panjang dan penuh berliku-liku.Hubungan ini bukan sekadar hubungan persahabatan dan persaudaraan sesama agama,malahan ianya adalah hubungan persamaan budaya dan bahasa menjadikan mereka serumpun.
Kajian ilmu linguistik telah membuktikan bahawa sememangnya bangsa Melayu dan Cham adalah saudara serumpun dan sama-sama diletakkan dalam kategori rumpun yang sama iatu MALAYO-POLINESIA.Hubungan keserumpunan ini diperkukuhkan lagi dengan memiliki pegangan agama yang sama iatu Islam,di mana konsep persaudaraan sejagat dalam Islam menyatakan seorang Islam itu perlu membantu saudara Islam nya yang dalam kesusahan.
Hubungan orang Melayu-Cham ini juga diserikan lagi dengan interaksi kebudayaan yang berlaku secara dua hala di antara mereka.Dalam sejarahnya,kita dapat melihat kesanggupan orang Melayu menolong atau memberi bantuan kepada saudara Cham mereka ketika mereka dalam kesusahan.
Menariknya,hubungan persaudaraan sejak zaman berzaman ini masih lagi bertahan sehingga ke hari ini,walaupun dipisahkan dengan sempadan politik moden dan kewarganegaraan.
Jadi,jikalau ada di antara kalian yang akan berkunjung ke Kampuchea untuk mengagihkan bantuan kepada saudara Cham kita di sana,ingatlah bahawa anda bukan sahaja membantu saudara seagama.....
....malahan anda sebenarnya bertemu kembali dengan adik-beradik kita yang terpisah kini melalui sempadan politik.
Ingat dalam minda kalian bahawa moyang mereka ini dahulu pernah membina satu tamadun yang cukup gah dan agung di Indo China,namun semua itu telah lama hilang dirampas oleh orang asing.
Sempadan politik dan perbezaan taraf hidup mungkin menjadikan kita bangsa Melayu dan mereka orang Cham itu berbeza,namun hubungan darah serumpun dan persamaan agama menjadikan kita saudara yang jauh tapi sebenarnya dekat.
Bangsa yang agung ialah bangsa yang belajar dari sejarah. :)
Sekian,wallahualam :)
Bibliografi :
Danny Wong Tze Ken,2004,Vietnam-Champa Relations and the Malay-Islam Regional Network in the 17th–19th Centuries
Po Dharma,1989,Peranan Kelantan dalam Pergerakan Islam di Campa 1833–1834 dalam jurnal Warisan Kelantan
Mohammad Zain Musa.2009.“KERAJAAN CAMPA–Hubungannya Dengan Vietnam”
*Mak Phoen,The Cham Community in Cambodia from the Fifteenth to the Nineteenth Century
*Abdul Rahman al-Ahmadi,Champa in Malay Literature
*Henri Chambert-Loir,On the Historical and Literary Relations Between Champa and the Malay World
-RAD-
No comments:
Post a Comment