Cuba kalau saya persembahkan kepada kalian, bahawa suatu masa dahulu, bangsa Melayu kita pernah menjalankan hubungan dengan sebuah peradaban yang jauh dari Nusantara iaitu Mesir Purba. Pasti kalian akan menggeleng kepala lalu ketawa mengatakan mustahil tamadun bangsa kita pernah wujud seawal itu.
Namun, sekarang kami cuba membuktikan sebaliknya. Semoga fikiran kalian yang berfikir mengenai ini akan berubah selepas membaca artikel ini.
Suatu masa dahulu, pernah dicatatkan perlayaran salah seorang daripada firaun teragung zaman Mesir Purba yang pernah dicertiakan kami sebelum ini, telah membuat perlayaran hebat dari Mesir Purba ke sebuah kerajaan misteri di sebuah tempat yang misteri bernama Punt.
Dan Tahukah anda bahawa sesungguhnya ada sarjana yang berpendapat bahawa Sir Thomas Stamford Raffles dengan bukunya The History of Java ini sebenarnya menyimpan rahsia besar peradaban Melayu sejak zaman berzaman.
Beliau menyatakan bahawa sememangnya ada petunjuk yang menyatakan bahawa terdapatnya pertapakan masyarakat Mesir purba di kawasan kepulauan Melayu atau Nusantara. Melalui kajian yang dilaksanakan beliau dengan mengumpul sumber-sumber lisan daripada pelbagai suku kaum rumpun Melayu di Nusantara ini, ada diantaranya yang menyatakan bahawa nenek moyang mereka telah berlayar dari Laut Merah dan mengembara ke Alam Melayu beribu-ribu tahun dahulu.
Tambah beliau lagi ianya mungkin berlaku dikala Alam Melayu atau Nusantara ini masih sebuah daratan besar dan bercamtum. Ini bermakna jika penghijrahan ini benar-benar berlaku berkemungkinan besar ia berlaku pada penghujung zaman Pleistosien kalau tak silap saya lebih kurang 10 ke 8 ribu tahun yang lampau. Adakah ini benar? Pendapat Raffles ini patut dikaji dengan lebih teliti oleh sarjana zaman sekarang.
Selain itu menurut Raffles masyarakat yang berhijrah dari Mesir melalui laut merah tersebut adalah daripada pelbagai jenis suku yang masing-masing ada pegangan atau kepercayaan yang berbeza diantara satu sama lain.
Di Nusantara mungkin mereka berpecah dan membentuk pelbagai suku rumpun Melayu yang mempunyai pelbagai corak kehidupan atau adat yang berbeza. Jika ini benar pada pendapat saya mereka ini juga mempunyai satu bahasa yang sama pada asalnya. Dan bahasa inilah yang dikelaskan sebagai bahasa Austronesia atau Melayu yang masih wujud sekarang.
Bagi pengetahuan anda semua, penulisan saya ini sebahagian besarnya adalah hasil pembacaan daripada kajian Prof Charles Robert Jones. Rekod Mesir purba menyatakan dengan jelas bahawa Tanah Punt terletak dibahagian timur Mesir. Untuk lebih jelas lagi anda boleh membaca sendiri The Egyptian Book Of The Death yakni sebuah buku sihir Mesir purba yang merupakan salah satu barang ritual terpenting dalam upacara pemakaman Firaun.
Dalam buku ini ada menyatakan bahawa Punt bukanlah sebuah negeri sahaja tetapi adalah sekumpulan beberapa buah negeri atau kawasan di sebelah timur. Namun begitu tidak dijelaskan secara tepat dimana letaknya Punt tersebut.
Sebuah lagi karya Mesir purba yang ada menyebut tentang Punt adalah The Shipwrecked Sailor. Dalam karya ini ada dinyatakan bahawa raja Punt adalah pemerintah kawasan Pulau dan bukan sebuah daratan besar seperti Afrika mahupun Amerika.
Ukiran di dinding kuil ratu Hatshepsut ada menunjukkan bahawa Punt terletak dikawasan persimpangan jalan perdagangan beberapa tamadun besar dunia.
Kenyataan ini mengukuhkan lagi teori Nusantara kerana Nusantara sememangnya berada di persimpangan jalan perdangangan beberapa tamadun besar seperti India dan China!
Seterusnya, dicatatkan bahawa Jangka masa yang diambil oleh kapal-kapal Hatshepsut sangat lama untuk kembali ke Mesir. Rekod mengatakan bahawa mereka hanya tiba ke Mesir sewaktu tahun ke-9 pemerintahan Hatsheptsut. Bayangkanlah di manakah lokasi tersebut? Kalaulah terletak di Afrika, tidaklah mengambil masa selama itu.
(Gambar 1: http://postimg.org/image/edpgi4bxh/)
Lihat jarak dan kedudukan Somalia dan Eritrea serta Yaman. Ianya sangat dekat dengan Mesir dan tidak memerlukan masa yang terlalu lama untuk berlayar kesana.
Pada zaman pertengahan, kapal-kapal Pak Arab dari Oman dan Yaman sering berlayar sejauh empat ribu batu nautika ke Sumatera dalam tempoh masa 55 hari sahaja. Kapal-kapal Arab ini adalah diperbuat daripada kayu yang dijalin dengan tali.
Dengan tiga buah layar, kapal ini mampu untuk berlayar dan mengharungi ombak besar dilautan luas dan angin yang tidak menentu di lautan Hindi dan laut China selatan.
Perjalanan balik kapal-kapal ini mungkin telah melalui kepulauan Maldives sehingga sampai ke pesisir pantai Somalia dengan mengikut arus laut. Oleh sebab itu adalah tidak mustahil sekiranya kapal Mesir purba memerlukan masa yang lebih lama untuk sampai ke Nusantara terutama jika kita perkirakan teknologi perkapalan pada zaman tersebut yang mungkin terkebelakang sedikit berbanding kapal tiga layar buatan kayu yang dimiliki oleh pak-pak Arab pada zaman pertengahan.
Jadi, masa beberapa tahun itu adalah munasabah sekiranya kita kira waktu mereka berada di Tanah Punt atau singgah dimana-mana tempat lain atau samaada mereka meneruskan perjalanan sehingga ke penghujung Nusantara yakni sehingga ke Maluku atau pesisir pantai utara Australia mungkin. Hal ini kerana terdapatnya jumpaan tulisan Hieroglif Mesir purba terukir di celah-celah batu di Australia.
Seterusnya, antara kisah terkenal yang membuatkan Hatshepsut pergi ke Punt adalah membawa sesuatu yang bernama kemeyan. Geografi Nusantara juga saudara-saudari sekalian, adalah bersesuaian dengan diskripsi tentang tanah Punt.
Hasil bumi Nusantara kebanyakannya dapat kita lihat dalam senarai barangan yang diperdagangkan dengan orang Mesir purba di Punt. Satu daripada barang terpenting yang mendapat permintaan tinggi para pedagang Mesir purba adalah Anti atau kemenyan Punt.
Untuk pengetahuan anda ukiran di dinding Kuil Ratu Hatshepsut ada memperincikan tentang kemenyan dan pokoknya sekali. Setelah dikaji oleh para sarjana, di dapati bahawa pokok kemenyan Punt adalah tidak sama seperti pokok kemenyan dari Afrika mahupun Yaman.
Kemenyan Afrika adalah dari jenis Bosweilia yang memang banyak di kawasan Afrika dan Yaman. Jadi kemenyan tersebut adalah kemenyan biasa yang memang telah digunakan lama oleh masyarakat Mesir purba, mungkin juga ada ditanam di belakang rumah mereka macam kita tanam serai…:) tetapi mengapa dalam gambar ukiran di kuil tersebut para pengunjung Punt beria-ia mahu membeli kemenyan Punt dan lansung membawa anak pokoknya sekali untuk dibawa balik ke Mesir?
(Gambar 2: http://postimg.org/image/qugu903bl/)
Kru kapal Mesir sedang mengangkut barang dagangan dari Punt untuk dibawa pulang ke Mesir.
(Gambar 3: http://postimg.org/image/oowdhoiyf/)
Digambarkan juga bahawa penduduk Punt mempunyai pelbagai ragam warna kulit dan puak. Ada diantaranya yang berkulit gelap, ada yang berkulit kemerah-merahan dan ada yang berkulit perang kekuningan. Diskripsi ini lebih mengukuhkan lagi teori Punt di Nusantara kerana demografi Nusantara memang mempunyai diversiti pingmentasi kulit yang pelbagai.
Ada puak asli seperti Negrito yang hidup dalam hutan tebal berkulit gelap dan berhidung pesek seperti puak Afrika, ada puak yang berkulit kemerah-merahan mungkin orang Melayu yang berjemur di tengah sawah atau disebabkan aktiviti kelautan.
Ada juga yang berkulit kekuningan yang mungkin menunjukkan suku-suku Melayu yang tinggal di kawasan tanah tinggi dan bukit-bukau seperti orang Minang, Kerinci dan Rejang yang kulitnya agak cerah termasuk juga orang Iban dan Dusun.
Tambahan lagi ada diantara mereka yang berjanggut, ada yang tidak, malahan cara berpakaian mereka juga sedikit berbeza diantara satu sama lain. Tetapi adalah agak sukar untuk saya gambarkan demografi sebegitu di Afrika terutama di Somalia dan Eritrea kerana hampir kesemua penduduknya berkulit hirang (Bahasa banjar...hehe) . Ini termasuklah yang tinggal di kawasan tanah tinggi seperti di Etheopia.
(Gambar 4: http://postimg.org/image/4167831in/)
Diatas adalah ukiran dinding yang menggambarkan rupa paras penduduk Punt.
Sesetengah unsur kebudayaan yang dipaparkan mengenai Punt dalam ukiran-ukiran Mesir purba juga adalah bertentangan dengan unsur kebudayaan Afrika tetapi lebih mirip kepada unsur kebudayaan Melayu. Nehesi yang merupakan ketua armada laut Hatshepsut mengatakan bahawa Raja Punt memakai potoh pada pergelangan lengannya. Telah dikenalpasti bahawa gelang dan rantai yang dipakai oleh Perehu raja Punt juga turut dipakai oleh beberapa puak di Afrika timur.
Namun demikian menurut kajian yang telah dijalankan, puak-puak Afrika yang memakai gelang dan potoh seperti Perehu tersebut sebenarnya telah mendapat pengaruh daripada satu budaya dan tamadun lain.
Anda tahu dari mana mereka mendapat pengaruh pemakaian gelang ini? Mereka sebenarnya telah mendapatnya daripada kita, iaitu suku rumpun Melayu.
Mungkin anda tertanya bagaimana pulak kita boleh mepengaruhi puak-puak Afrika tersebut? Jawapannya ada di Pulau Madagaskar! Bagi anda yang tidak tahu, sebenarnya kajian tentang kolonialisasi bangsa Melayu terhadap kepulauan Madagaskar sebenarnya telah diterima ramai sarjana Barat dan tempatan.
Sejak beribu-ribu tahun dahulu didapati berlakunya peghijrahan suku kaum Melayu dari Nusantara ke pulau Madagaskar dan pantai Timur Afrika. Jika teori ini telah diterima, mengapa susah sangat untuk kita terima bahawa orang Melayu telah sampai ke Mesir atau orang Mesir telah sampai ke Nusantara?
Jarak diantara Mesir dengan pantai Timur Afrika atau Madagaskar bukan pun jauh sangat jika dibandingkan dengan jarak perjalanan dari Nusantara ke Madagaskar. Cuba anda fikirkan.
Perhatikan rantai yang dipakai Permaisuri Hati dan juga lilitan kepala para pengikut mereka di belakang. Dalam lakaran yang sama juga ada dipaparkan Asem atau gegelang emas Punt yang menjadi barang dagangan utama tanah Punt dengan Mesir.
(Gambar 5: http://postimg.org/image/m35klpngv/)
Perhatikan perhiasan suku kaum Dusun ini. sebahagian besar daripada perhiatan mereka adalah diperbuat daripada kepingan-kepingan logam berbentuk bulat seperti yang dipakai Hati.
(Gambar 6: http://postimg.org/image/7x9l1yk79/)
Lihat pula rantai yang dipakai wanita suku kaum Rejang ini.
(Gambar 7: http://postimg.org/image/uczn2ytal/)
Senibina rumah penduduk Punt juga memberikan petunjuk bahawa Afrika bukanlah tanah misteri tersebut. Rumah Punt berbentuk agak pelik bagi masyarakat Afrika dan Mesir. Namun demikian ia bukanlah bentuk yang asing di Nusantara. Rumah Punt berbentuk circular atau bulatan.
Sememangnya ada puak-puak di Afrika yang mempunyai rumah sebegini, namun yang membezakan rumah Punt dengan rumah Afrika adalah ianya mempunyai kaki atau tiang-tiang tinggi dibawahnya seperti kebiasaan rumah-rumah Melayu.
Lantainya pula diperbuat daripada papan dan tinggi tiangnya dikatakan lebih kurang 6 kaki. Atap rumah dijangkakan diperbuat daripada daun-daun yang seakan-akan buluh. Rumah ini juga ada tangga yang menuju ke pintu rumah yang kecil.
Anda boleh menjumpai rumah-rumah sebegini dengan banyak di Nusantara walaupun mungkin segi empat.Tetapi ciri-ciri lain seperti bertangga dan tingginya enam kaki adalah indikasi yang besar menunjukkan bahawa ia sejenis rumah Melayu awal.
Memang kebanyakan rumah Melayu, 6 kaki adalah ukuran standart yang membolehkan orang melakukan aktiviti dibawahnya. Malahan jika anda pergi ke Maluku dan Papua atau ke pulau-pulau terpencil di Indonesia anda sebenarnya masih dapat melihat rumah berbentuk bulatan sebegini. Menurut sarjana barat, bentuk rumah sebegini adalah prototaip rumah tertua di Nusantara.
(Gambar 8: http://postimg.org/image/rf5z6az03/)
Adakah secara kebetulan Rumah suku Bidayuh adalah satu-satunya rumah suku kaum di Borneo yang berbentuk bulat? Lihat beberapa persamaan diantara rumah suku Bidayuh ini dengan rumah Punt.
(Gambar 9: http://postimg.org/image/gnsja9619/)
Selebih rumah seperti kaum papua masih mengekalkan seni bina proto nusantara ni adalah orang Papua.
Satu ukiran purba di makam seorang pegawai kepada Firaun Thutmose III yang bernama Min ada memaparkan lawatan pelayar dari Punt yang datang ke Mesir menggunakan sejenis kenaikan air atau bot yang aneh.
Ada dikalangan sarjana yang membuat spekulasi bahawa ianya adalah sejenis rakit namun dakwaan itu kabur. Berkemungkinan ianya diakibatkan daripada kesilapan pelukis atau pengukir dinding tersebut.
Mungkin pelukis itu tidak pernah melihat sendiri bagaimana rupa bentuk sebenar kapal tersebut dan hanya memberikan gambaran kasar. Mungkin juga lukisan itu berbentuk satu dimensi. Apa yang dilihat mungkin berbeza dari reality sebenar.
Dari kajian yang dilakukan oleh Charkes Jones, beliau mendapati ciri-ciri kapal tersebut adalah sama dengan rupa bentuk perahu orang Melayu Nusantara.
Bentuk layarnya juga adalah sama seperti layar perahu Melayu awal yang pernah digunakan oleh nenek moyang kita untuk mengembara keseluruh kepulauan Melayu dan Pasifik.
(Gambar 10: http://postimg.org/image/60jdrgyd3/)
Last but not least, bukti yang menunjukkan bahawa sememangnya ada kesinambungan hubungan diantara Melayu Nusantara dengan Masyarakat Mesir purba adalah dengan jumpaan tulisan-tulisan purba yang lansung tidak diketahui dari mana asal usulnya di beberapa tempat di Nusantara.
Jika anda membaca buku History of Java tulisan Stamford Raffles maka anda akan menemui salinan daripada transkrip batu-batu bersurat serta manuskrip purba yang dijumpai oleh beliau.
Apa yang menariknya adalah sebahagian besar daripada tulisan-tulisan ini adalah tidak boleh dibaca sehingga sekarang. Ada sarjana yang berpendapat bahawa tulisan-tulisan tersebut adalah tulisan Sanskrit atau Pali.
Namun setelah disuakan kepada pakar tulisan Sanskrit dan Pali mereka juga mengatakan bahawa ia bukan tulisan tersebut.
Malahan aksaranya berlainan sekali dengan aksara-aksara keindiaan yang banyak mempengaruhi tulisan-tulisan Melayu klasik seperti Kawi dan Jawa Kuno. Apakah jenis tulisan itu? Mengapa ia begitu misteri sekali sehinggakan pakar-pakar bahasa di London tidak dapat menafsirkannya?
(Gambar 11: http://postimg.org/image/u3y0u29y9/)
Diatas adalah tulisan misteri yang dipaparkan dalam buku Raffles. Terdapat banyak ciri Phoenecian dalam karakternya.
Setalah dikaji oleh pakar-pakar bahasa dan termasuk Charles Jones sendiri, maka telah dapat dikenalpasti bahawa tulisan-tulisan tersebut sebenarnya adalah dalam kategori tulisan Phoenecia dan ibrani kuno.
Apa yang menggemparkan para sarjana ini adalah tulisan rencong yang digunakan oleh suku Rejang, Kerinci dan Melayu Jambi juga mempunyai persamaan yang sangat banyak sekali dengan tulisan Phoenecia dan Ibrani kuno.
Kajian yang dibuat mengenai tulisan-tulisan suku-suku Melayu Sumatera yang lain juga seperti suku Batak turut mendapati ianya berada dalam kelompok yang sama iaitu Pheonecian. Bagaimana tulisan orang Pheonecian yang bertapak di kawasan Syria, Palestin, dan Lebanon boleh berada beribu batu jauhnya di Nusantara? Menurut Charles Jones, 15 daripada aksara misteri yang dipaparkan dalam buku raffles tersebut adalah berada dalam variasi aksara Phonecian.
Dalam buku yang sama juga Raffles ada memaparkan tulisan purba misteri yang berbentuk Demotic. Charles Jones telah membandingkan tulisan misteri berbentuk Demotic tersebut dengan tulisan Demotic Mesir purba dari kurun ke 3 hingga ke 7 sebelum Masihi.
Hasilnya adalah amat mengejutkan! Sembilan belas daripada aksara tulisan misteri tersebut adalah sepadan dengan sistem aksara Demotic Mesir Purba! Semua ini jelas menunjukkan bahawa sememangnya suatu ketika dahulu para pedagang dan pelaut dari Mesir purba dan negeri-negeri berdekatan dengannya terutama Pheonecian pernah sampai ke Nusantara dan berinteraksi dengan orang Melayu purba.
Malahan bukan itu sahaja, pelaut dan pedagang dari tanah Punt atau Nusantara juga pernah sampai ke Mesir dengan kapalnya sendiri. Ini belum lagi jika saya kemukakan kajian-kajian daripada pakar-pakar bahasa seperti Jaspen yang berjaya menemui banyak perkataan-perkataan Mesir purba dalam kosakata bahasa Melayu Rejang dan Melayu Standart, contohnya Mata Hari atau Maat Heru, Baal atau Bala, prah atau perahu dan banyak lagi.
Tulisan misteri yang dijumpai di Indonesia yang mempunyai banyak persamaan dengan tulisan Demotic Mesir Purba.
(Gambar 12: http://postimg.org/image/d2lwrercn/)
Tulisan misteri yang dijumpai di Indonesia yang mempunyai banyak persamaan dengan tulisan Demotic Mesir Purba.
(Gambar 13: http://postimg.org/image/e3em8kqu9/)
Di atas adalah contoh tulisan Demotic daripada sebuah manuskrip Mesir purba. Cuba anda padankan mana-mana aksara yang berbentuk hampir serupa dengan tulisan misteri sebelumnya.
Terdapat ukiran di dinding Kuil Hatshesut yang menjelaskan bahawa Raja Punt yang disingahi Hatsheptsut memiliki sebilah 'pisau pendek' yang diselitkan pada kain sarungnya. Ketahuilah bahawa budaya Mesir purba tidak pula menyelitkan senjata pada kain atau seluar. Budaya kaum manakah ini? Cuba kalian katakan?
(Gambar 14: http://postimg.org/image/ekpk5q8fx/)
Berdasarkan bukti-bukti di atas, kami membiarkan para pembaca berfikir dan membuat keputusan sendiri. Kalau benar Tamadun Mesir Purba itu memang menjalankan hubungan dengan bangsa Melayu suatu masa seawal 1600 SM, maka seberapa tuakah usia bangsa ini?
(ASJ dan HE)
No comments:
Post a Comment