Thursday, 12 November 2015

PARANG DAN GOLOK MELAYU

PARANG DAN GOLOK MELAYU.

Salam pembaca semua, sudah lama saya tidak menulis tentang senjata Melayu tradisional. Jadi hari ini saya akan menulis sedikit sebanyak tentang senjata Melayu yang pasti ada dalam setiap rumah orang kita iaitu parang dan golok. Parang dan golok adalah sejenis senjata Melayu yang serba guna atau versatil dalam masyarakat Melayu. Ia bukan sahaja digunakan untuk kegiatan harian seperti menebang, menebas dan memotong rumput dan pokok-pokok bagi membuat penempatan baru dan membuka kawasan pertanian tetapi juga turut digunakan oleh orang Melayu untuk ke medan perang dan membunuh pada zaman dahulu.

Terdapat beberapa ciri yang dapat membezakan di antara golok dan parang. Apa yang dinamakan sebagai parang adalah senjata yang bilahnya berbentuk lurus ataupun sedikit melengkung ke atas dan saiz bilahnya semakin besar dan semakin berat dibahagikan hadapan matanya. Manakala golok pula sebahagian besarnya berbentuk lurus dan kadang kala juga sedikit melengkung tetapi yang membezakannya dengan parang ialah berat bilahnya bukan di bahagian hadapan mata tetapi di tengahnya dan matanya juga berbentuk runcing atau tirus ke hadapan dan tidak bundar seperti parang.

Dalam Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, Dr Linehan menyatakan bahawa, Pahang adalah penghasil golok yang terbaik di kalangan negeri-negeri Melayu pada zaman dahulu. Beliau pernah melihat seorang pandai besi menempa golok di Temerloh pada tahun 1938 dengan menggunakan tembaga sebagai bahan asasnya. Malahan dalam Sejarah Melayu ada tercatat bahawa Sultan Melaka yakni Sultan Mahmud Shah ada menghantar hadiah berupa golok buatan Pahang kepada Sultan Pasai. Parang dan golok juga mempunyai pelbagai variasi.

Di Kelantan ada sejenis golok yang dipanggil sebagai golok jambu atau kelewang. Di Kedah dan Perlis pula ada sejenis parang yang dinamakan sebagai gedubang. Selain itu parang yang paling terkenal di bahagian utara semenanjung adalah parang cadung dan parang Jengkok. Bentuk parang Jengkok adalah sangat unik kerana parang ini mempunyai bilah yang semakin membesar ke hadapan dan hujung matanya sangat tajam. Selain itu ia juga melengkung ke atas dan mempunyai sedikit hiasan di bahagian atas bilahnya yang berbentuk seperti jambul. Di sebabkan lengkungan yang ke atas inilah ianya dinamakan sebagai parang Jengkok.

Parang jenis ini juga menjadi kegemaran kepada perompak untuk digunakan dalam kegiatan merompak. Manakala parang cadung pula bentuknya berbeza dengan parang Jengkok tetapi lengkungan bilahnya adalah sedikit ke atas seperti parang lading malahan sebenarnya ia boleh dikategorikan sebagai parang lading. Parang jenis ini juga dikatakan berasal daripada Patani dan dibawa oleh pelarian Patani yang masuk ke negeri-negeri Melayu utara apabila Patani kalah dalam peperangan dengan Siam.

Jika di Pulau Jawa, senjata golok adalah senjata yang paling populer digunakan terutama di bahagian Jawa Barat dan Betawi. Boleh dikatakan hampir setiap aliran persilatan di Jawa pasti akan ada silibus menggunakan senjata golok dalam pertahanan diri. Malah jika anda peminat filem-filem pendekar dari Indonesia anda pasti akan biasa mendengar nama Si pitung pahlawan Betawi yang terkenal dengan permainan goloknya.

Selain itu sejenis lagi parang yang menjadi senjata rasmi dalam ilmu persilatan ialah parang lading. Di negeri utara Semenanjung Tanah Melayu, parang lading memang terkenal sebagai senjata serbaguna. Ia adalah senjata utama dalam perguruan Silat Cekak Hanafi yang berasal dari Kedah. Senjata ini dipercayai telah digunakan oleh para pahlawan dan rakyat Kedah dalam menghadapi ancaman tentera Siam selain digunakan untuk aktiviti harian. Di Kelantan juga terdapat senjata yang hampir serupa dengan lading tetapi dipanggil sebagai kelewang.

Skeat, seorang Orientalis British menyatakan bahawa terdapat adat dikalangan sekelompok orang Melayu pada zaman dahulu yang meletakkan parang puting di bawah pakaian bayi yang baru lahir sebagai azimat atau penolak bala. Apa yang dimaksudkan sebagai parang puting adalah parang yang tidak mempunyai hulu atau sengaja tidak dipasang hulunya. Malahan terdapat hikayat dalam masyarakat Melayu yang dinamakan sempena senjata ini ialatu Hikayat Parang Puting yang berkisar tentang kisah mitos dewa-dewi dan kesaktian berunsur Hindu-Buddha.

Satu lagi senjata unik Melayu dalam kategori parang ialah Sikin. Senjata Melayu yang merupai sebilah parang biasa ini dipercayai berasal dari Pahang dan digunakan oleh kaum wanita untuk membelah, memotong dan meraut daun mengkuang. Apa yang menariknya tentang Sikin ini ialah matanya digunakan untuk memotong dan belakangnya pula digunakan untuk menarik dan mengumpulkan daun-daun yang sudah bercerai. Hal Ini boleh dilakukan oleh sebab bentuk belakang sikin ini berkelok-kelok.

Terdapat juga maklumat daripada cerita-cerita lisan orang-orang tua di Pahang yang meyatakan bahawa jumlah kelok di belakang sikin itu juga mempunyai maksud tertentu. Kononnya setiap satu kelok yang terdapat di belakang sebilah sikin menandakan satu nyawa telah maut di tangan si pemilik sikin tersebut. Maka lagi banyak kelok yang ada di belakang sikin itu maka makin banyak nyawa yang pernah diragut. Dan senjata sikin ini katanya hanya digunakan oleh golongan pendekar wanita sahaja di Pahang.

Bagi masyarakat Banjar dari Kalimantan Selatan serta diasporanya yang terdapat di Semenanjung dan Sumatera, mereka lebih gemar menggunakan sejenis parang yang dipanggil sebagai parang panjang atau lading panjang. Bagi urang Banjar, tidak lengkap rasanya rumah tangga mereka sekiranya tidak ada sebilah parang panjang disimpan di rumah samaada sebagai senjata untuk mempertahankan diri atau digunakan untuk berkebun dan menebas. Nenek saya sendiri sebagai seorang yang berketurunan Banjar gemar mengumpul dan menggunakan parang panjang.

Setakat ini sepanjang yang saya pernah lihat dirumahnya terdapat lebih daripada tiga bilah parang panjang dan beberapa bilah lagi parang biasa pelbagai saiz. Semasa saya masih kecil saya agak hairan mengapa walaupun nenek tidak mempunyai ladang atau kebun besar, namun dia menyimpan begitu banyak parang terutama parang panjang. Menurut nenek saya hal tersebut memang telah menjadi adat kebiasaan bagi urang Banjar untuk menyimpan parang panjang di rumah sebagai langkah keselamatan.

Hal ini juga mungkin ada kaitan dengan sikap urang Banjar sendiri yang menurut sesetengah pengkaji sosial suka ‘menebuk hutan’ (membuka kawasan penempatan baru) dan sangat protective akan linkungan keluarga dan harta bendanya daripada ancaman orang asing dan haiwan liar. Mereka juga sering disebut sebagai mudah timpas atau panas baran. Perkara ini dibuktikan dengan beberapa peristiwa berdarah yang pernah berlaku di Tanah Melayu yang melibatkan suku Banjar seperti Perang Sugai Manik dan Perang Banjar di Batu Pahat. Hal ini juga menunjukkan keberanian suku ini dalam menghadapi ancaman yang dapat mengganggu-gugat komuniti mereka.

Perkara ini juga mengingatkan saya akan adat kebiasaan orang-orang Islam Bosnia di zaman pemerintahan Khalifah Turki Uthmaniah. Dimana di Bosnia pada zaman itu sudah menjadi adat dan peraturan dikalangan setiap orang Islam untuk menyimpan pedang dan senjata lain di rumah mereka sebagai langkah keselamatan.
Sekian, wallah hu a’lam.

~ASJ~

Sumber:

• A.H. Hill, The Keris And Others Malay Weapons, Malaysian Branch Of Royal Asitic Society, 1998.

• Anm, No.Ruj 284/1338, Surat Daripada Muhammad Ibrahim Kepada Kerajaan Negeri Terengganu, 2/5/1938.

• Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.

• Sumber sejarah lisan.

No comments:

Post a Comment