Thursday, 12 November 2015

GAJAH MADA MENYATUKAN SELURUH NUSANTARA

Empayar Majapahit tidak akan menjadi sebuah Empayar yang terluas di Nusantara selepas Empayar Melayu Srivijaya kalau tidak kerana seorang tokoh terkenal bernama Gajah Mada.

Beliau ialah Rakryan Mahapatih (setaraf dengan Perdana Menteri) untuk  kerajaan Majapahit yang ketika itu masih berkuasa di sekitar Pulau Jawa sahaja. Banyak yang membincangkan asal-usul Gajah Mada. Antaranya ada yang mengatakan dia keturunan MELAYU SUMATERA, bukannya jawa seperti mana keturunan Raja Jayanegara sendiri, mempunyai darah Melayu Sumatera dalam diri. Antara sejarawan Indonesia yang berbicara sedemikian ialah dari Universitas Jambi (Unja), Fachrudin Saudagar.

Antara bukti yang cuba dibawa oleh beliau ialah Tambo Adat yang disimpan masyarakat Hiang Tinggi yang oleh penkaji juga diyakini sebagai salah satu dusun tertua di Kerinci, disebutkan Gajah Mada adalah keturunan dari Indarjati, nenek moyang masyarakat setempat,Tambo adat umumnya berisi salasilah dan gambaran sejarah peradaban masyarakat di masa lampau di sebuah kawasan.

Majapahit diasaskan oleh Raden Wijaya pada tahun 1293 Masihi selepas berjaya mengalahkan bala askar Monggol. Kemudian, pada tahun 1309, Jayanegara mengambil alih takhta daripada ayahnya Raden Wijaya.

Namun, kenaikan Jayanegara kemudiannya mencetuskan beberapa buah pemberontakan yang dimulakan oleh pembesar Rangga Lawe, kemudian bercambah ke pembesar-pembesar lain seperti Sora, Juru Demung, Gajah Biru, Nambi, Semi dan Kuti. Ketika pemberontakan Semi dan Kuti, ketokohan Gajah Mada sebagai seorang pemimpin dan jeneral perang yang hebat teruji.

Angkatan tentera pemberontak yang diketuai oleh Semi dan Kuti telah menyerang angkatan tentera Jayanegara dan berjaya menawan kota Majapahit. Jayanegara terpaksa melarikan diri ke Kampung Badander. Ketika itu, Gajah Mada mahu melihat sokongan pembesar-pembesar lain dan rakyat Majapahit sama ada mereka condong ke arah pemberontak atau Jayanegara.  Beliau menyebarkan cerita bahawa Jayanagera sudah mati. Khabar angin itu membuatkan para pembesar dan ramai rakyat Majapahit menangis.

Dan hasilnya, Gajah Mada mendapati bahawa kesetian pembesar dan rakyat masih lagi pada raja Jayanegara lalu Gajah Mada berpakat dengan pembesar yang lain dan berjaya merampas kembali kota pemerintahan Majapahit. Namun, setelah lama Jayanegara berkuasa, kepimpinan Jayanagera tidak disenangi oleh Gajah Mada. Selain kekejaman Jayanegara, raja itu juga dikatakan terlalu melindungi dan mengonkong dengan sangat melampau dua orang adik tiri perempuannya.

Dikatakan Jayanagara melindung lampau dua adik tiri perempuannya, puteri permaisuri termuda Kertarajasa, Dyah Dewi Gayatri. Jayanegara tidak mahu mengahwini dua adik tirinya kerana bimbangkan takhtanya selain dia berlaku tidak senonoh pada dua orang adik tirinya. Semua pembesar yang berkehendakkan dua adik tirinya telah dihalau dari istana oleh Jayanegara. 

Ini melanggar adat ketika itu. Kemuncaknya, Gajah Mada mengatur sebuah helah untuk membunuh Jayanegara. Seorang pembesar bernama Tanca yang memang membenci Jayanegara dihasut oleh Gajah Mada.

Kebetulan, ketika itu, Jayanegara sedang sakit dan memerlukan pembedahan. Dan Tanca yang memang berilmu dalam pembedahan ini telah dikirimkan untuk merawat dan melakukan pembedahan ke atas Jayanegara. Namun, ketika pembedahan Jayanegara telah dibunuh oleh Tanca. Namun Gajah Mada tidka dipersalahkan dalam hal ini keran adia hanya dilihat mahu menyelamatkan raja dari sakit. Maka, dia akan terlihat sebagai wira melindungui raja dan meraih sokongan rakyat.

Gajah Mada adalah salah seorang penakluk hebat dalam sejarah alam Melayu, setanding dengan Maharaja Dharaindra dari Srivijaya, Maharaja Chandrabanhu daripada Sri Dharmaraja dan juga Sultan Iskandar Muda dari Acheh. Gajah Mada terkenal akan sumpahnya (atau menifesto politiknya) pada tahun 1336 Masihi. Masih terukir dalam sejarah sumpahnya untuk menyatukan kembali Nusantara yang telah terpecah selepas runtuhnya Empayar Melayu Srivijaya. Di hadapan pemerintah Majapahit,Tribhuwana Wijayatunggadewi dan para bangsawan Majapahit di istana ketika itu, maka Gajah Mada telah bersumpah:

“Jika aku berjaya menundukkan Nusantara, barulah aku akan berhenti berpuasa (tidak memakan makanan pedas dan buah).  Jika Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang, Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Temasik telah tunduk, barulah aku akan berhenti berpuasa.”

Sumpah ini dikenali sebagai Sumpah Palapa. Namun, ketika Gajah Mada melafazkan sumpah ini, dia telah diketawakan oleh para pembesar. Katanya Gajah Mada hanya mampu bermimpi sahaja. Dia harus berpijak di bumi yang nyata. Pembesar yang menghinanya itu terus sahaja dibunuh oleh beliau, dan pembesar yang lain pula dipaksa oleh Gajah Mada untuk mematuhinya. Kalau tidak, mereka akan menerima nasib yang sama. Selepas ketegasan Gajah Mada ini dipamerkan, barulah para pembesar yang lain memberi kerjasama untuk menjayakan mimpi Gajah Mada.

Maka, selepas itu, lahirnya seorang Bismarck di alam Nusantara apabila dasar Darah Dan Besi yang pernah diangkat oleh Bismark dalam pemerintahannya telah digunakan oleh Gajah Mada ratusan tahun lebih awal untuk menyatukan seluruh Nusantara seperti mana Bismark menyatukan seluruh Jerman. Gajah Mada bernasib baik kerana Permasiuhri Tribhuwana Wijayatunggadewi banyak terhutang budi dengan Gajah Mada sehingga diberi lampu hijau untuk meneruskan dasar perluasan kuasa.

Gajah Mada memulakan kempen menakluk Nusantara apabila menyerang Bali dan Lombok. Kemudian, armada kapal dihantar untuk menghapuskan sisa baki Empayar Melayu Srivijaya, iaitu Kerajaan Malayu di Palembang. Kemudian, dia berjaya menakluk Minangkabau di Smatera barat dan raja Adityavarman diletakkan sebagai raja boneka Majapahit di situ. Selepas itu, Gajah Mada pun menawan Kesultanan Islam Pasai, Bintan, Temasik, dan Kalimantan.

Selepas Tribuwanatunggadewi turun takhta, dan Hayam Wuruk iaitu anak  Tribuwanatunggadewi menaiki takhta, Gajah Mada meneruskan kempen penaklukan di bawah raja baru. Empayar Majapahit kemudian semakin melebar sehingga berjaya menawan Logajah, Gurun, Seram, Hutankadali, Sasak, Buton, Banggai, Kunir, Galiyan, Salayar, Sumba, Muar (Saparua), Solor, Bima, Wandan (Banda), Ambon, Timor, dan Dompo.  Pada kemuncaknya, Empayar Majapahir menaungi seluruh Nusantara termasuk Selatan Filipina, Sulawesi, Borneo, dan Tanah Melayu. Ini menjadikan di bawah Gajah Mada, Majapahit menjadi Empayar terluas dalam sejarah Nusantara selepas Empayar Melayu Srivijaya.

Namun, selepas pemergian Gajah Mada pada tahun 1364, kelihatannya seperti Majapahit telah merudum. Empayar Majapahit tidak segah seperti zamannya. Maka, bermulalah setiap wilayah-wilayah yang berada di bawah jajahan Majapahit mula keluar dan mengisytiharkan kemerdekaan. Tidak lama kemudian, naiknya sebuah lagi kerajaan Melayu, iaitu Kesultanan Melayu Melaka menguasasi Nusantara selepas merudumnya Majapahit.

Kata sejarawan Indonesia yang terkenal, Prof. Slamet Muljono:

“Hakikatnya sejarah Majapahit yang gemilang itu sebenarnya adalah sejarah hidup Patih Amangkubumi Gajah Mada.”

Sesungguhnya, Gajah Mada adalah PENAKLUK yang patut dikenang dalam sejarah Melayu. Legasi Gajah Mada amat terserlah di Indonesia. Pada peringkat awal republik, para pemimpin kemerdekaan seperti Soekarno seringkali memetik sumpah Gajah Mada sebagai inspirasi dan "bukti" bahawa negara boleh bersatu di sebalik sempadan yang luas dan kepelbagaian budaya.

Oleh yang demikian, Gajah Mada merupakan sumber inspirasi yang hebat ketika Revolusi Kebangsaan Indonesia untuk mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Belanda.

-HE-

No comments:

Post a Comment