Thursday, 12 November 2015

LINGUA FRANCA

BAGAIMANA BAHASA MELAYU BOLEH MENJADI LINGUA FRANCA?

Ini satu persoalan yang menarik yang ditanyakan oleh likers page The Patriots kepada saya. Katanya terdapat ratusan malahan ribuan bahasa di Asia Tenggara ini. Sebagai contoh, di Kepulauan Jawa, Bahasa Jawa mempunyai lebih 82 Juta penutur asli. Di Borneo pula terdapat ratusan suku kaum yang berterbaran di sana. Itu belum cakap lagi tentang seluruh suku kaum di seluruh Nusantara ini.

Entah bagaimana... tiba-tiba satu bahasa dari suku kaum Melayu dalam rumpun Nusantara ini boleh bangkit mengaum dan memahat bahasanya sebagai bahasa pemersatuan, bahasa komunikasi antara-antara suku kaum di Nusantara, mengatasi bahasa-bahasa lain yang lebih banyak penuturnya. Apakah jawapan di sebalik magis ini?

Baik, jawapan kepada soalan ini saya bahagikan kepada tiga. Dan saya akan ulas satu persatu dalam tiga bahagian bab ini.  Semoga soalan kepada persoalan ini mampu terjawab dengan jelas.

1. Empayar Yang Luas

Faktor empayar yang luas juga memainkan peranan bagaimana sebuah bahasa boleh tersebar di antara bangsa-bangsa lain. Bahasa Latin pernah suatu masa dahulu menjadi Lingua Franca di Eropah kerana Empayar Rom menanungi seluruh Eropah. Bahasa Inggeris dituturkan dan difahami hampir 2/3 penduduk dunia kerana empayar paling besar pernah ditubuhkan dalam sejarah ialah Empayar British.

Kita ambil contoh di mana Tanah Melayu pernah berada di bawah Empayar Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Ketika pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, kita dapat melihat bagaimana setiap anak Melayu diwajibkan untuk mempelajari Bahasa Jepun, sistem tulisan mereka yang terdiri daripada Kanji, Hiragana dan Katakana dan menyanyikan lagu kebangsaan Jepun.

Maka sematkanlah analogi yang lebih kurang yang saya paparkan di atas. Dalam sejarah, empayar-empayar hebat yang pernah menaungi seluruh Nusantara ini adalah kebanyakannya ditubuhkan oleh orang Melayu.

Empayar Melayu Srivijaya, Empayar Dharmasraya, Sri Dharamaja, Kesultanan Melayu Melaka, Empayar Brunei... semuanya pernah suatu masa dahulu bertakhta dan membina kerajaan yang hebat di Nusantara ini. Prasasti Srivijaya di dalam Bahasa Melayu kuno boleh dicapai sejauh Filipina. Sila rujuk Laguna Cooperlate yang ditemui di Laguna, Filipina dipercayai datang dari Empayar Melayu Srivijaya. Terdapat bahasa Melayu Kuno yang dipahat pada prasasti itu menandakan betapa jauhnya capaian bahasa Melayu melalui sebuah empayar.

2. Pelabuhan Yang Pesat Membangun

Sudah tentu sebuah bahasa akan berkembang dengan pesatnya apabila sebuah pelabuhan menjadi tumpuan para pedagang dari segenap dunia. Apabila terdapat pelbagai jenis bangsa yang singgah di sebuah pelabuhan, pastinya sebuah bahasa akan menjadi Lingua Franca. Kita perhatikan petikan berikut:

“Lima kurun dahulu, Melaka dikunjungi 2,000 kapal sehari iaitu sesibuk pelabuhan Singapura moden kini, yang menjadikannya satu daripada tiga pelabuhan yang tersibuk di dunia … Di situ terdapat orang-orang Gujerat, Tamil,Bengali daripada India berniaga dengan orang Melayu, Cina dan Arab secara harmonis; bandar raya dengan 100,000 penghuni, 84 bahasa dituturkan di pasar. Sultan yang memerintah, telah memastikan keselamatan Selat Melaka daripada lanun, dan barangan dapat disimpan dalam ratusan gudang dengan selamat. Jika ada sebarang pertelingkahan undang-undang yang berwibawa dilaksanakan ke atas orang tempatan dan asing seadilnya.”

               Simon Elegant, Far Eastern Economic Review (IO Jun, 1999:45)

Anda boleh bayangkan ketika 84 bahasa dipertuturkan di Pelabuhan Melaka, namun dalam masa yang sama, Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi antara pertutur 84 bahasa ini. Dan sesiapa yang mahu berdagang di Melaka harus memahami Bahasa Melayu atau mereka pastinya tidak dapat bertutur dengan pedagang-pedagang lain di Semenanjung.

Lalu bayangkan pula dikatakan terdapat 2000 buah kapal yang berdagang di Pelabuhan Melaka ini terpaksa mempelajari Bahasa Melayu, dan ianya datang dari pelbagai bangsa, bukan sahaja yang berada di Nusantara, tetapi dari seluruh pelusuk dunia. Maka kata saya, tidak hairanlah apabila Bahasa Melayu menjadi bahasa pertuturan Lingua Franca.

3. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

Anda tahu kenapa hari ini semua orang berlumba-lumba mempelajari bahasa Inggeris? Kenapa Tun Mahathir begitu keras dalam pegangannya menyuruh anak Melayu belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris? Ini tak lain tak bukan kerana bahasa Inggeris akhirnya menjadi bahasa ilmu pada hari ini. Situasi yang sama sebenarnya pernah berlaku dalam sejarah bangsa Melayu itu sendiri. Maka hayatilah petikan di bawah:

“Bahasa Melayu ialah bahasa antarabangsa dan sesiapa yang tinggal di antara Parsi di sebelah baratnya dan Filipina di sebelah timurnya , tidak mengetahui bahasa Melayu maka orang itu akan dianggap tidak berpelajaran.”
                                   
                                                                                     (Francois Valentjin)

Dari kenyataan di atas, di mana Valentjin mengatakan bahawa sesiapa yang tidak mampu bertutur di dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai tidak berpelajaran, maka kata saya bahawa sesungguhnya Bahasa Melayu telah menjadi sebagai sebuah bahasa ilmu yang di mana sesiapa yang mahu menuntut ilmu pada waktu itu perlulah mempelajari Bahasa Melayu.

------------------

No comments:

Post a Comment