Sunday, 15 November 2015

EVOLUSI MENTAL

Petikan dari ucapan YB Menteri Kewangan II Malaysia

Di dalam konteks ini, ucapan saya akan menyentuh:-

Penciptaan kekayaan Bumiputra;
Peluang Bumiputra di dalam ekonomi berpendapatan tinggi;
Pembentukan pemikiran Melayu moden;
Kerangka evolusi mental.

PENCIPTAAN KEKAYAAN BUMIPUTRA

Jika kita ingin pemilikan kekayaan Bumiputra mencecah 30.0%, adalah perlu kadar peningkatan kekayaan Bumiputra berkembang lebih laju dari kadar pertumbuhan pendapatan kasar negara (GNI).

Peningkatan pemilikan Bumiputra semestinya akan tercapai hasil dari penciptaan kekayaan baru (wealth creation), di raih dari industri-industri berpertumbuhan tinggi (high-growth industries) yang terdiri dari sektor-sektor berteknologi tinggi dan perkhidmatan pengetahuan dan perniagaan professional (knowledge and professional business services sector).

PELUANG BUMIPUTRA DI DALAM EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI

Sesungguhnya, peluang untuk menyertai secara langsung ekonomi nilai tinggi ini, ekonomi bersaingan global ini, adalah terbuka kepada yang memiliki kemahiran dan pengetahuan yang bersesuaian dengan kehendak ekonomi tersebut.

Namun, kegiatan perniagaan dan peluang pekerjaan sokongan yang mengalir dari ekonomi pendapatan tinggi adalah pelbagai dan banyak lagi terbuka kepada semua.

Secara keseluruhannya, peluang kaum Bumiputra melibatkan diri, secara langsung mahupun tidak, di dalam kegiatan ekonomi bernilai tinggi adalah luas.
Natijahnya, jika bangsa kita terlalu bergantung kepada sektor kegiatan ekonomi bernilai rendah, di mana penciptaan kekayaannya kecil, maka peningkatan peratusan pemilikan kekayaan bangsa Melayu tidak mungkin tercapai – the economic pie will always continue to grow.

Sepertimana saudara-saudari sedia maklum, untuk berjaya di dalam mana-mana bidang pun, termasuklah bidang pengurusan, profesional dan perniagaan, minat dan pengetahuan di dalam bidang yang di ceburi adalah satu kriteria paling utama di dalam menentukan kejayaan.

Keghairahan dan minat di dalam bidang yang di ceburi seharusnya merangkumi hampir semua aspek pemikiran dan tingkah-laku kita – umpama ikan di dalam air.

PEMBENTUKAN PEMIKIRAN MELAYU MODEN

Seiring dengan pembangunan ekonomi negara, pembangunan pemikiran orang Melayu juga telah beralih dari satu tahap ke satu tahap. Ini dapat di ukur dengan penglibatan bangsa kita di dalam pelbagai bidang, baik di alam sarjana, perniagaan mahupun NGO.

Kemampuan bangsa Melayu mengecapi kecemerlangan di dalam bidang-bidang ini adalah hasil dari pembentukan pemikiran Melayu yang sedikit-sebanyak menpengaruhi dasar Kerajaan di dalam usaha kita bersama memartabatkan kedudukan bangsa kita sebagai bangsa terulung di bumi bertuah ini.

Pasca Kemerdekaan, hulu kepimpinan pemikiran – thought leadership – bangsa Melayu di terajui oleh para cendikiawan, ahli-ahli sarjana akademik dan juga pemimpin-pemimpin politik.

Bagi saya, takrif nilai seseorang pemimpin agung bukanlah di ukur timbang dengan terdirinya megah bangunan dan tugu, tetapi sejauh manakah impak pemikiran seseorang pemimpin kepada masyarakat.

Di zaman pra-Kemerdekaan, kedudukan ekonomi bangsa Melayu adalah mundur. Pemikiran bangsa Melayu di belenggu oleh etos kolonial dan feudal.

Pasca merdeka, dengan pengenalan Revolusi Mental, Dilema Melayu dan Dasar Ekonomi Baru dan lain-lain, pemikiran bangsa Melayu berganjak dari satu tangga ke tangga lain, membuktikan bangsa Melayu memiliki minda yang anjal, berubah-sesuai dengan peredaran masa.

Kerajaan pula secara berterusan berusaha sedaya-upaya untuk memberi akses kepada kaum Bumiputra mendapatkan dana modal, kemahiran dan pengetahuan, bertujuan untuk menaikkan taraf mutu kehidupan kaum Bumiputra – senarainya terlalu panjang untuk saya senaraikan satu persatu. Sungguhpun begitu, kadar pemilikan 30% masih belum tercapai.

KERANGKA EVOLUSI MENTAL

Di dalam tahun-tahun kehadapan, ekonomi akan berubah sekali lagi. Untuk mengharungi cabaran-cabaran baru ini, apakah kerangka perlu di tempa demi masa depan kita, menghadapi cabaran peralihan ekonomi dan impak-impak sampingannya?

Adalah jelas kita memerlukan suatu evolusi mental, suatu anjakan dalam pemikiran umat Melayu sejagat. Izinkan saya menghuraikan kerangka ini satu persatu.

Pertama

Kita tahu 70.0% dari penduduk negara ini sekarang bermastautin di kawasan bandar – kebanyakannya masih generasi bandar pertama. Landskap seharian bangsa Melayu, secara amnya, sekarang bersekitar di alam Bandar.

Sedang orang Melayu menyesuaikan pemikiran mereka ke alam bandar ini, terbuka pula pagar pintu internet dan kunci teknologi telekomunikasi tinggi. Alam seharian bangsa Melayu sekarang terdedah luas secara global, tiada batasan, tanpa sempadan.

Impak siber adalah luas dan mendalam. Contohnya, di negara China, Ali Baba,com berjaya merubah corak tabiat membeli para konsumer sehinggakan terdapat pengurangan pengunjung ke pusat membeli-belah di pusat-pusat bandar.

Kedua

Untuk melahirkan suatu generasi yang berinovatif, seseorang itu perlu pemikiran tersendiri – independent dan objektif – tidak terkongkong kepada amalan status quo.
Kita perlu membina suatu generasi berijtihad – mampu membuat penelitian dan penafsiran tersendiri. Untuk berijtihad, perlulah seseorang itu di lengkapi sebaik-baiknya ilmu. Kekuatan jati diri perlu bersemadi di dalam jiwa individu tersebut, baik dari segi agama mahupun ilmu duniawi.

Ketiga

Dengan hanya di lengkapi dengan minda yang luas dan pemikiran berinovatif, kita tidak mungkin akan mencapai matlamat kita sebagai suatu bangsa kompetitif jika tidak memiliki semangat daya-saing yang tinggi.

Untuk berdaya-saing kita haruslah menerima-pakai pelbagai tanda-aras (benchmarks), dari segi peribadi, mahupun di peringkat industri dan korporat, dengan pemakaian amalan terbaik dan piawaian global.

Kita memiliki kemampuan untuk mengukur pencapaian kita dengan tanda-aras yang tinggi. Walaupun kadang-kalanya maksud kita tidak tercapai, perjalanan ke arah tersebut sudah cukup memberi kita pengalaman dan pengajaran yang berharga.

Saudara-saudari yang saya hormati

Bangsa Melayu kita ini bukanlah suatu bangsa yang tergopoh-gapah. Kita tilik dan kita kaji setiap langkah yang perlu di ambil. Di mana jua pun, mana bangsa pun, usaha menpengaruhi arus pemikiran sesuatu masyarakat bukanlah mudah.

Kerangka evolusi mental serampang tiga-cabang ini mampu membawa kita menangani panah petir cabaran ekonomi berpendapatan tinggi.

Sesungguhnya, kita adalah suatu umat bangsa bertamaddun tinggi, terkenal dengan pembangunan ilmiah dan amali berzaman lagi. Insyaallah, matlamat kita untuk memartabatkan ekonomi umat Islam di Negara ini akan tercapai.

PENUTUP

Saya mengucapkan tahniah kepada Universiti Islam Antarabangsa dan Yayasan Kajian dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia bekerjasama mengadakan Seminar Waqf ini.

Saya percaya hasil kajian “International Centre for Waqf Research” ini akan melonjakkan peranan waqf di kedudukan hakikinya sebagai suatu instrumen yang penting di dalam pembangunan ekonomi Islam.
Adalah harapan dan doa saya, agar Allah SWT memberkati usaha kita bersama, demi kegemilangan agama dan kesejahteraan bangsa. Saya mengakhiri ucapan saya pada hari ini dengan lafaz

Wabillahi-taufik Walhidayah
Wassallamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh.

Putrajaya
21 Disember 2013

[Economy & Business]

No comments:

Post a Comment