Friday, 20 November 2015

JOM BELAJAR TENTANG FUNAN: EMPAYAR MELAYU TERAWAL

Funan, nama yang dinyatakan dalam Rekod Dinasti Liang (Liang-shu) adalah sebuah negara melayu yang gemilang, yang akhirnya menjadi sebuah empayar dengan wilayah takluk yang besar.

Nama Funan atau Fou-nan adalah slang cina kepada nama negara tersebut, yang mana kebanyakan sarjana sejarah berpendapat Nama Sebenar Kerajaan tersebut ialah "Bnam" atau Phnom dalam bahasa melayu dan khmer kuno yang membawa maksud gunung. Nama Phnom ini masih digunakan di Kemboja dengan ibukota Phnom Pehn.

Sebelum wujudnya Funan, terdapat beberapa kota melayu yang telah wujud, dengan gelaran raja-rajanya Ku atau Kun atau Hun. Antara yang disebut dalam Kronik Liang tersebut, sama ada wujud terlebih dahulu mahupun wujud seiring dengan Funan termasuklah Negara Ki (atau Kiao), Tun-sun, Pi-kien, Lin-yi dan sebagainya.

Negara Ratu Soma atau Mayang Mengurai

Daripada sebuah negara kecil yang diperintah oleh Ratu Soma atau Liu-ye (Liu = Niu : Nyiur atau kelapa dalam bahasa melayu kuno memungkinkan namanya ialah Mayang Mengurai), Seorang Ratu yang dilagendakan sebagai Anak Raja Naga. Sewaktu pemerintahan baginda, negara kecil itu menjadi makmur dan berkembang pesat sebagai sebuah negara yang berdaya saing.

Walaubagaimanapun, masyarakat Funan di masa itu tidak berpakaian. Hipotesis admin, mereka hanya memakai daun-daun atau kulit pokok sebagai cawat. Muzium hidup pakaian secara Funan ini masih boleh dilihat dalam masyarakat Kaum Penan yang tinggal secara tradisional di pedalaman Sarawak.

Mungkin jumlahnya kecil kerana ramai kaum Penan yang telah mengenakan pakaian (berbaju-T) mengikut arus kemodenan negara. Masyarakat Funan bukanlah bertelanjang sepenuhnya, cuma tidak memakai baju. Hal ini kerana dalam catatan K'ang T'ai dan Zhung Yi, dikatakan pakaian Funan sama dengan Lin-yi (Champa).

Terdapat banyak pendapat lokasi asal Kerajaan Ratu Liu-ye ini. Ada yang menyatakan asalnya di Kuala Sungai Mekong, iaitu di Selatan Kemboja moden, bertepatan dengan Pusat arkeologi Angkor Borei. Ada juga yang berpendapat bahawa Ibukota asal kerajaan tersebut di Lembangan Sungai Chao Phraya, tidak kurang juga ada yang berpendapat ia terletak di Leher Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Petchaburi.

Tapak asal ibukota kerajaan Liu-ye tidak dapat dipastikan, namun kota Vyadhapura yang dikunjungi oleh dua pengembara China itu dikatakan terletak lebih 3000 li ke arah barat daya Lin-yi (Champa). 1 li: 418m atau 0.418m di zaman tersebut (dinasti Wu).

Oleh itu, jarak ibukota Funan ialah lebih 1254 km. Jika dilihat daripada peta moden, didapati jarak antara Indrapura (Quang Nam Province, Vietnam) ke Angkor Borei (Vyadhapura mengikut pendapat Vickery, 1996), jaraknya ialah 1,003 km sahaja. Walaubagaimanapun, jalanraya di zaman lampau mungkin lebih panjang kerana menyusuri sungai dan kurang jambatan seperti jalanraya moden. Ibukota Funan di zaman itu berkemungkinan besar Angkor Borei.

Hal ini bertepatan dengan penemuan tapak arkeologi Bandar Pelabuhan Oc Eo dan jarak antara Pelabuhan dengan Vyadhapura ialah 500 li (209km). Terdapat sebuah terusan purba yang menghubungkan pelabuhan Oc Eo dengan Angkor Borei memendekkan perjalanan dari Oc Eo ke Angkor Borei.

Pusat Pentadbiran Funan

Pusat Pentadbiran Funan di awal pemerintahan Ratu Soma tidak dapat dipastikan dengan tepat. Terdapat beberapa tapak yang dicadangkan sebagai ibukota Funan dari awal pemerintahan Liu-ye. Antara yang popular ialah Ba Phnom, Angkor Srei, Angkor Borei, Preah Pathom dan Oc Eo (Daerah An Giang, Selatan Vietnam moden). Pada pendapat admin, kota yang paling mungkin ialah di Oc Eo kerana semasa kedatangan Hun-tian, tentera Ratu Soma dengan ratunya belayar ke tengah lautan untuk bertempur dengan tentera Hun-tian. Namun, Hun-tian dengan mudahnya menewaskan angkatan tentera Liu-ye dan akhirnya berjaya mengahwini Liu-ye.

Pemerintahan diserahkan kepada Hun-tian, yang memindahkan pemerintahan jauh ke pedalaman Sungai Mekong. Keadaan ini berkemungkinan kerana Hun-tian mahu memastikan negara Funan selamat dari ancaman negara-negara selatan. Hun-tian yang berasal dari Kiao, mungkin dari Wilayah Kelantan (Kha-la-tan) atau Langkasuka (Pattani). Kiao, Jiao atau Xiao ada persamaan nama dengan Lang-Xia-shu atau Langkasuka. Dari perkahwinan mereka, lahirlah Hun-pan-kuang, raja Funan ketiga, yang mewarisi tujuh negarakota dalam Funan (melalui penaklukan dan diplomasi denga adik-beradik yang lain). Dengan Vyadhapura sebagai ibukota yang kekal sehingga ditakluki oleh Chenla dari utara.

*Untuk bacaan lanjut berkenaan dengan Raja-raja Funan, boleh layari http://nizamgtz.blogspot.my/2015/11/funan-empayar-melayu-yang-gemilang.html

Budaya Funan

di awal Funan, iaitu di zaman Liu-ye, masyarakat Funan tidak berpakaian, atau hanya memakai cawat dari kulit pokok bagi melindungi kemaluan sahaja. Lelaki mahupun perempuan tidak mengenakan pakaian.

Kemudian, kedatangan Huntian merubah pola pemakaian Funan, dengan wanita disuruh menutup tubuh menggunakan kain yang ditebuk lubang di tengah-tengah untuk dimasukkan ke dalam kepala, sementara lelaki masih tidak berpakaian.

Cara pemakaian ini kekal sehingga 200 tahun. Budaya Funan juga suka bertatu di badan dan ia masih diamalkan di seluruh kepulauan melayu dan Austronesia, kecuali yang telah memeluk islam seperti melayu.

Selepas kedatangan K’ang T’ai dan Zhu Ying, mereka memperkenalkan kain Hengfu yang dijadikan kain sarung kepada lelaki dan perempuan. Budaya menjahit bermula dari zaman ini dengan jahitan kain hengfu (sarung) dan dinamakan sarung oleh masyarakat tempatan. Kain hengfu atau gangman digunapakai sehingga zaman Liang dan Jin, namun mengalami beberapa transformasi berpakaian.

Orang yang kaya akan mengenakan sarung dari kain kapas yang mahal dan diimport dari China. Orang yang miskin akan mengenakan sarung dari kain belacu yang murah dan dibuat di Funan. Kain sarung ini mungkin diwarisi kepada kita dalam bentuk kain batik dan kain pelikat. Jika kita melihat baju kurung melayu, kita akan dapati ia ibarat kain yang ditebuk di kepala dan dijahit disisi kain tersebut. Mungkin baju kurung adalah transformasi dari baju yang diperkenalkan oleh Hun tian tadi.

Funan dan pelabuhan Oc Eo menjadi pelabuhan entreport, dengan pertukaran pelbagai jenis barangan dari timur ke barat. Produk asli Funan pula termasuklah emas, perak, timah, batu jade, gading, burung kakak tua dan gaharu. Negara Funan menjadi kaya dengan perdagangan, pelabuhan yang pesat (terdapat 90 bangunan yang telah diekskavasi di Kota Pelabuhan Oc Eo) serta ufti dari negara-negara bawahan.

Funan adalah lambang kepada Perbandaran Proto yang wujud dan dikesan di saat ini, sebelum penemuan Tamadun Sungai Batu. Terdapat tembok-tembok Batu di istana dan kediaman pembesar, bangunan-bangunan batu dari blok pentadbiran, kediaman dan rumah ibadat, serta tembok-tembok kayu (palisade) atau tanah mampatan di sekitar kampung-kampung dan rumah-rumah yang diperbuat daripada kayu.

Terdapat terusan purba yang menghubungkan Oc Eo dengan Angkor Borei, yang memendekkan perjalanan dari lebih kurang 200 km dalam Sungai Mekong kepada lebh kurang 90 km sahaja. Sistem bekalan air pula ialah pembinaan kolam-kolam air yang berpusat dan digunakan oleh lebih kurang 10 keluarga bagi satu kolam air.

*Gambar-gambar arkeologi boleh dilihat di dalam laman blog di atas.

Dari segi agama dan kepercayaan, di awalnya Funan menganut ajaran animisme, kemudian mereka menganut ajaran Hindu (Sivaism), sebelum diubah kepada Buddha di zaman Rudravarman. Namun, Bhavavarman menukar kembali ajaran Hindu sebagai agama rasmi Funan.

Sistem hukuman di Funan sangat teruk. Tiada penjara di Funan, orang yang melakukan kesalahan sama ada melecur teruk di tangan (mencuri) kerana disuruh memegang kapak yang panas atau emas yang diletakkan dalam telur yang mendidih (dalam air mendidih) atau mati dimakan buaya atau harimau. Oleh itu, msayarakat Funan tidak berani membuat jenayah.

Kejatuhan Funan

Setiap tamadun pasti ada jatuh bangunnya. Funan pula merupakan wilayah yang besar dan sering berlaku revolusi sosial, namun ia tidak melenyapkan terus empayar yang besar itu. Wilayah-wilayah bawahan seperti Tun-sun, Lin Yang, Pegu, Dvaravati dan Chenla masih menghantar ufti dan tunduk kepada penguasaan Funan.

Namun, serangan Bhavavarman dan Citrasena di tahun 544-545M yang berkemungkinan berlarutan hingga 5 tahun menyebabkan Funan mengalami kemerosotan. Apatah lagi, selepas Bhavavarman menaiki takhta pada 550M dan menukar Funan kepada Khmer, banyak wilayah-wilayah Funan memerdekakan wilayahnya sebelum ditakluk kembali oleh Suryavarman.

“Kalau Roboh Kota Vyadhapura,
Tembok di Pan Pan kami dirikan”

Begitulah agaknya ungkapan Rudravarman yang berjaya melarikan diri ke Panpan dan bersama-sama dengan penguasa asal Panpan membuka empayar baru berbentuk maritim iaitu Empayar Tanah Merah (Chihtu).

-Nizam GTZ- (http://nizamgtz.blogspot.my/)

Rujukan:

1) 2012, Takashi Suzuki, History of Srivijaya, Under The Tributary Trade System of China, JPCA

2) 2003, Michael Vickery, Funan Reviewed : Deconstructing the Ancients, Bulletin de l'Ecole française d'Extrême-Orient.

3) 2006, Miriam T. Stark, From Funan to Angkor, Collapse and Regeneration in Ancient Cambodia, The University of Arizona Press

4) 1966, Megumu Honda, The Han-Chey Inscription of Bhavavarman, Journal of Indian and Buddhist Studies, The Japanese Association of Indian and Buddhist Studies.

5) 2014, John Guy, Lost Kingdoms: Hindu-Buddhist Sculpture of Early Southeast Asia, Metropolitan Museum of Art.

6) 2004, Charles F. W. Higham, Encyclopedia of Ancient Asian Civilizations, Facts On File, Inc.

No comments:

Post a Comment