Friday, 20 November 2015

KALHU & AKTIVITI MARITIM MESOPOTAMIA KE TIMUR MELEPASI TELUK PARSI

Kota Nimrod yang ditubuhkan oleh Raja Shalmanaser I (1274-1245SM) dari Assyria dikenali pada zaman purba dengan nama Kalhu. Pengkaji Eropah abad ke-19/20 menyebutnya sebagai Calah bersumber daripada catatan biblikal.

Signifikan kota itu terletak pada perkembangan ketamadunan dan jaringan perdagangan dari Sumeria di selatan, dan Sumeria pula kononnya menerima ketamadunan pasca Banjir Besar dari seberang laut dalam legenda Oenna.

Mobilasi kebudayaan Sumer inilah yang menginspirasikan kebudayaan Akkad(2344-2230SM) dan kemudian Assyria termasuk Mesir Purba(3000 SM - Awal Masihi) dan Pheonicia(500 SM - 300 M).

Bagi mereka sepanjang beberapa milenia hubungan perdagangan dan politik dengan dunia seberang laut amat penting kerana misalnya melalui pantai Sumer masuk komoditi utama, lebih mudah daripada jaringan Utara yang biasanya menjadi pesaing atau musuh politi-politi Mesopotamia. Apa yang berada di bawah Sumer adalah sumber kekuatan dan kekayaan tanpa batasan.

Dalam rekod sejarah usaha ini berlaku misalnya pada zaman Raja Naramsin dari Akkad (2254-2218 SM). Beliau yang dikenali sebagai, 'tuhan', suami 'tuhan', dan 'Raja Empat Penjuru Dunia' telah menundukkan wilayah Sumer, termasuk dalam siri peperangan maritim di Teluk Parsi yang dikenali sebagai Laut Bawah dalam kosmologi Mesopotamia. Perebutan rantau tersebut sentiasa berlaku seawal zaman Uruk (3500 - 2900 SM) untuk mendominasi aliran masuk komoditi rempah, kapas, cengkih dan berkemungkinan besar juga logam besi dari tiga tempat di Timur:

a) Magan (Oman)
b) Pulau Dilmun (Bahrain)
c) Meluhha (Indus)

Lokasi nama-nama ini bukanlah tetap dan masih menjadi bahan perdebatan namun jika diperhatikan komoditi cengkih sememangnya tiba hatta buat pertama kali ke India dari Asia Tenggara, dan dari India berkembang ke Pantai Swahili dan Asia Barat.

Logam besi pula digunakan secara meluas di Mesopotamia tetapi sehingga ke hari ini lokasi sumber mentahnya masih menjadi misteri termasuklah material lain yang teori dapatan dari lokasi-lokasi di utara tidak memiliki sebarang bukti arkeologi yang kukuh.

Manakala jika diimbau penemuan arkeologi tembikar-tembikar awal Sumeria sejak 6000 SM dan penyebarannya sehingga ke Laut Bawah memungkinkan ia telah berkembang lebih ke timur selari dengan penemuan pengaruh stempel Sumeria pada ketamadunan Indus. Perlu diingatkan Tamadun Indus dan pewarisnya pada Zaman Vedik memiliki peranan dan hubungan kuat dengan kewujudan ketamadunan Sungai Batu (abad ke-5 SM) di Kedah. Tembikar Sumeria berkemungkinan merupakan model asal buat perkembangan perusahaan tembikar Thaton (Suwarnabhumi) dan Kalasapura di Burma yang diimport ke Kedah Tua era Kota Langkasuka ( diasaskan abad pertama atau kedua masihi) dan menjadi lambang legitimasi dan hubungan kekeluargaan antara dinasti sepertimana sejarah bermulanya amalan penghantaran bunga mas Kedah ke Siam.

Di dalam Hikayat Merong Mahawangsa(HMM) dinyatakan bahawa trend sedemikian berlaku. Bunga mas adalah hadiah dari Raja Merong Mahapudisat kepada Siam sebagai hadiah atas kelahiran anakanda saudara baginda. Guri gergasi dari Raja Kelinggi di hilir Burma pula adalah tanda persahabatan dan ia bukan sekadar petukaran dagang kerana Raja Kelinggi sendiri mengirim guri diraja yang disimpan oleh gemulah ayahandanya dan ia membawa simbolik yang lebih tinggi.

Pembandingan antara teknologi pembuatan batu-bata yang dibakar juga adalah signifikan memandangkan ia pertama kali muncul dalam sejarah Sumeria pada era Uruk daripada jenis material lumpur biasa sebelumnya. Kajian lanjut masih dilakukan pihak USM terhadap batu-bata jeti, struktur ritual dan pentadbiran Sungai Batu dengan tapak-tapak kebudayaan Gandhara di Lembah Indus-Kabul.

Bagi pengkaji-pengkaji indigenis Asia Tenggara segala proses pertukaran budaya itu mungkin berlaku songsang atau setidak-tidaknya mutual menafikan peranan asimetrikal.

Hakikatnya, ekspedisi Naramsin bukanlah yang pertama kali dalam sejarah Mesopotamia ke Timur bahkan telah dilakukan oleh raja-raja Assyria yang lain seperti Asurnasirpal, Rimsin dari Larsa dan Sennakherib. Sennakherib(awal abad ke 19 SM) misalnya dikenali telah membawa pulang pelbagai flora dan fauna dari serata dunia seperti kerbau dan babi hutan dalam projek Taman Tergantung pertama di dunia yang sebenarnya bukan terletak di Babilon.

Anehnya pada milenia dan kurun-kurun mendatang aktiviti membawa masuk kerbau dan paling menonjol padi sawah berterusan sehingga ke zaman Parsi dan Islam yang dikaitkan dengan kemasukan komuniti Zabaj (Melayu-Jawi).

Kesimpulannya, Kalhu di Mesopotamia bukanlah kes pertama yang memberi idea hubungan rantau tersebut dengan pengetahuan tentang alam kita khasnya kerajaan Kedah Tua yang dikenali sebagai Kalah di negeri kita. Bahkan nama ini muncul dalam pelbagai versi seperti Kolahi di Hormuz, Qalhat di Oman, Khata di Bahrain dan banyak lagi menghubungkan dunia silam kita dalam satu garisan kompleks pada satu legasi yang sama.

Teliti balik kajian-kajian mengenai aktiviti maritim Raja Merong Mahawangsa.

Allahua'lam.

- The Visitor of The Sealand

Gambar: Plak Kemenangan Naramsin (2230 SM) ke atas puak Lullibi yang mendiami wilayah Elam di pergunungan Parsi. Mahkota bertanduk dua dipercayai sebagai lambang ketuhanan dan beliau mendaki binaan gunungan untuk mendapatkan tuhan-tuhan di langit.

-Tuan Merbok II-

No comments:

Post a Comment