Thursday, 12 November 2015

MELAYU DARI GOLDEN KHERSONESE

ENCIK ZAHARIN MOHD YASIN – SILA BERHENTI MERAPU TENTANG SEJARAH MELAYU!

Sebenarnya saya juga ketawa baca status awak encik Zaharin Mohd Yassin (facebook: https://www.facebook.com/zahrinmohdyasin ) Secara jujur, saya sangat mengenali peribadi tuan sebagai seorang yang dahulunya merupakan ‘fighter’ dalam arena politik. Tetapi apabila perjuangan politik tuan ditenggelami dek masa dan gelombang pemimpin yang naik meninggalkan tuan, tuan mula mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sangat kelakar.

Saya pernah membidas tuan suatu masa dahulu di page lain ketika saya masih lagi admin HE di page Saya Sayang Tun Dr Mahathir sebelum saya meninggalkan page itu kerana mengambil keputusan untuk mencuci tangan dari bidang politik. Untuk pengetahuan tuan, bidasan saya itu sebenarnya tentang sejarah Melayu juga. Tuan terkutik tidak bersuara bila ditembak ketika itu, meninggalkan persepsi kepada saya mungkin juga tuan sudah pun ‘bertaubat’. 

Namun saya kecewa apabila sekali lagi tuan bersuara sumbang.  Tetapi tuan masih berterusan mengeluarkan kenyataan-kenyataan kurang cerdik membuatkan saya tertanya-tanya, apakah setiap mereka dalam politik akan berbicara seperti saudara dengan tidak habis-habis merapu yang bukan-bukan?

Saya ingin memulakan perdebatan ini dengan mengucapkan tahniah kerana tuan akhirnya menempah nama tuan di “Wall Of Fame” milik kami, sebaris dengan individu penyelewengan sejarah Melayu yang pernah kami bidas mereka di page ini.

Baik, kita nak bermula di mana? Apa kata kalau saya mengajak encik Zaharin untuk menyelami tentang teori paling authentic tentang kedatangan budaya dan agama Hindu-Buddha ke Alam Melayu?

Tetapi sebelum itu, kami di The Patriots menolak sekeras-kerasnya melabelkan mereka bukan Melayu sebagai pendatang dalam masa yang sama, menyatakan bahawa golongan India dan Cina di Malaysia bukannya pribumi seperti mana orang Melayu, asli dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Jom kita bicara tentang 3 teori utama kedatangan Hindu-Buddha? Dari situ, kita akan meneliti teori sebenar, yang saya petik sendiri melalui buku Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, dalam bab khusus tentang Pengindiaan Asia Tenggara. Dalam buku ini ada membicarakan tentang tiga hipotesis kedatangan Hindu-Buddha ke Asia Tenggara dan Alam Melayu ini.

• Hipotesis Visaya

1. Hipotesis ini dikemukakan oleh N.J Krom, seorang sejarawan yang terkenal terutama dalam pengkajiannya tentang Tamadun Khmer, selain daripada George Coades, insan yang bertanggungjawab menjumpai Empayar Melayu Srivijaya. N.J Krom dan George Coades berpendapat bahawa agama Hindu-Buddha di Asia Tenggara ini disebarkan oleh golongan dari Kasta Visaya, di mana golongan ini merupakan para pedagang-pedagang.

2. Coades memetik bahawa ketika abad ke-2 Sebelum Masihi, sumber utama emas India di Siberia telah mengalami kekurangan akibat kekacauan di Asia Tengah Menukarkan sasarannya, maka India terus mengimport emas daripada Rom sebelum Maharaja Vespian sebelum diharamkan oleh baginda kerana menggangu kestabilan Rom.

3. Maka India pula menyasarkan Asia Tenggara tertama di kawasan Alam Melayu merangkumi Tanah Melayu dan Sumatera yang sebenarnya telah digelar sebagai Semenanjung Emas dan juga Kepulauan Emas. Jadi, para pedagang dari kasta Visaya inilah kononnya telah menyebarkan kebudayaan India di Alam Melayu.

Namun teori Visaya ini ditentang oleh kebanyakan sejarawan kerana beberapa sebab:

1. Bagaimana golongan Visaya mampu mengajarkan tentang agama Hindu-Buddha ke atas penduduk Melayu dan pribumi Asia Tenggara seperti Khmer dan Mon kerana yang berpengetahuan tentang ajaran Hindu dan berkemahiran menulis Sanskit hanyalah golongan atasan seperti Brahmin.

2. Kalau kononnya golongan Visaya yang membawa Brahmin ke sini, maka sudah ada satu ‘plot hole’ dalam teori Visaya itu kerana tidak sesekali atau pernah dalam sejarah, golongan Brahmin akan bergaul dengan golongan Visaya.

Lalu selepas Hipotesis Visaya dipatahkan oleh beberapa sejarawan, maka teori baru pulak yang dibangunkan oleh para sejarawan dalam membincangkan tentang bagaimana agama Hindu-Buddha ke Alam Melayu. Maka lahirlah Teori Kastria.

• Hipotesis Kastria

1. C.C Berg, Moens dan juga beberapa sejarawan dari organisasi Greater Indian Society yang mencadangkan teori ini. Kononnya agama Hindu-Buddha adalah disebarkan oleh putera-putera raja dari Selatan India yang bukan dari susur-galur anak sulong.

2. Selepas tersisih dari takhta di India, maka putera-putera raja ini pun mengembara ke serata tempat lalu sampailah ke Alam Melayu lalu mereka bertembung dengan pembesar-pembesar tempatan sebelum mengalahkan mereka dan menubuhkan kerajaan di sini.

3. Hipotesis yang mungkin kedengaran agak sama dengan rapuan tuan ini, sebenarnya ditentang habis-habisan oleh dunia sejarawan dan antara yang lantang menentang teori kononnya raja-raja India menyebarkan agama Hindu-Buddha ke atas rakyat tempatan dan membina kerajaan di sini adalah tidak berasas sama sekali.

4. F.D.K Bosch misalnya mempersoalkan, kalau benar teori itu berlaku, mengapakah tiada langsung prasasti atau batu bersurat yang mencatatkan tentang kisah penaklukan dari India Selatan?

5. Hujah lain pula kenapa pula kebanyakan pengaruh bahasa dari India dalam bahasa Melayu ialah tulen dari Sanskrit, bukannya daripada bahasa rumpun Dravidia?

6. Kenapa juga orang Melayu hari ini tiada langsung kesan kacukan Dravidia-Melayu yang wujud dalam kelompok yang besar?

7. Kenapa Tamadun Sungai Batu boleh wujud 200 tahun lebih awal daripada kewujudan kerajaan paling awal India Selatan? Untuk rekod, ketika zaman pemerintahan Asoka, kerajaan-kerajaan di Selatan India masih dalam kebudayaan Megalithic, manakala di Alam Melayu ketika itu, sudah memasuki zaman besi dan gangsa yang sangat maju sekali! Bahkan ditemui tapak-tapak ritual yang jauh lebih awal dari era kemasukan Hindu-Buddha serta bebas dari sebarang pengaruh agama luar.

Jadi, bagaimana Selatan India mahu menakluk dan mendirikan kerajaan di wilayah yang lebih maju ketamadunannya?

8. Kasta yang wujud dalam agama Hindu hampir tidak wujud di Tanah Melayu ini, dan kalau benar bahawa raja-raja dari Selatan India pernah membuka kerajaan di sini, kenapa di Alam Melayu peranan Brahmin hanyalah sebagai penasihat, bukannya di atas raja-raja. Jadi, bagaimana boleh berlaku penasihat Brahmin di Alam Melayu boleh berada di bawah kasta seorang raja berkasta Kastria ini?

9. D.G.E Hall membangkitkan bahawa candi-candi di Alam Melayu dan Asia Tenggara sangatlah berbeza dengan sebarang binaan di India sama ada di kawasan selatan dan utaranya. D.G.E Hall membangkitkan contoh seperti Borubudur, Angkor Wat dan beberapa candi di Jawa Tengah yang telah dikaji seni-binanya yang merupakan lokal genius tempatan.

10. Kalau benar bahawa terdapat putera India membuka kerajaan di Alam Melayu, maka dari manakah kedatangan mereka? Ada ratusan kerajaan di bumi India sepanjang ketamadunan agung dapat dikesan di Alam Melayu.

Jadi, hipotesis Kastria adalah hipotesis yang paling tidak berasas sekali dalam kita memperkatakan tentang kedatangan agama Hindu-Buddha.

• Hipotesis Brahmin

1. Hipotesis ini menceritakan kepada kita bagaimana ketika di zaman Dinasti Maurya menguasai India dahulu, agama Hindu telah pudar manakala Agama Buddha dijulang terutama ketika era pemerintahan Maharaja Asoka.

2. Penguasaan agama Buddha di India berlaku dari permulaan abad pertama sehingga abad ke-3 Masihi. Namun ketika abad ke-4 Masihi, perubahan drastik sekali lagi berlaku di India apabila agama Hindu kembali mengambil alih takhta Buddha.

3. Raja-raja Melayu yang mengetahui akan peristiwa yang berlaku di India ini telah menjemput kembali para Brahmin dari India untuk melakukan upacara untuk mengangkat martabat mereka semula.

4. Hujah yang menyokong kedatangan para Brahmin ini ialah ketika itu, para Brahmin itu sedang mengumpulkan pengikut mereka semula disamping ada para Brahmin yang telah terkeluar dari tingkat kasta mereka akibat melanggar beberapa peraturan sedang berusaha untuk memanjat kembali tangga kasta mereka semula dengan melakukan ritual pengiktirafan raja-raja Melayu di Alam Melayu ini.

5. Dan kemudian agama Hindu-Buddha yang diambil dari India sana telah diambil oleh raja-raja Melayu lalu disematkan dengan kepercayaan tempatan, bukannya diambil secara sepenuhnya. Ini dipanggil sebagai lokal genius tempatan.

6. Sebagai contoh, kita boleh lihat Bali. Agama Hindu di sana ialah agama Hindu yang telah lama mengalami proses evolusi yang diterapkan dengan kepercayaan tempatan dan sangatlah berbeza berbanding dengan di India.

Daripada setiap hipotesis yang saya senaraikan di atas, kita dapat melihat bahawa terdapat tiga buah hipotesis yang membincangkan kedatangan agama Hindu-Buddha di Alam Melayu. Hipotesis pertama membicarakan dibawa oleh golongan pedagang namun telah dipatahkan dipertikaikan oleh banyak sejarawan.

Hipotesis kedua pula mengatakan bahawa raja-raja dari India menakluk dan menewaskan pembesar-pembesar Melayu lalu menubuhkan kerajaan mereka di Alam Melayu sebelum ditentang hebat oleh para sejarawan.

Maka lahirnya hipotesis ketiga yang paling kukuh bahawa raja-raja Melayu sendiri menjemput golongan kasta Brahmin dari India mengajarkan mereka tentang agama Hindu-Buddha kepada mereka sendiri.

Apa-apa pun dari ketiga-tiga hipotesis di atas, tiada seorang pun mengatakan bahawa orang India ialah pribumi di Alam Melayu, sebaliknya semuanya mengatakan mereka datang dari luar wilayah demografi Melayu. Baik hipotesis Visaya, Kastria dan juga Brahmin.

Bahkan dalam hipotesis Kastria pun menyatakan kepada kita bahawa kononnya putera-putera India ini telah menewaskan pembesar-pembesar Melayu di Asia Tenggara menunjukkan kepada kita bahawa sesungguhnya, orang Melayu telah lama berada di tanah ini bahkan putera-putera India konon menakluk penduduk di Asia Tenggara membuktikan tanah ini berpenghuni ketika mereka datang ke sini.

Tentang entiti pembina Srivijaya, Gangga Negara, Langkasuka, Majapahit dan kerajaan-kerajaan purba pra-Islam ini, kita harus melihat dua faktor dalam meletakkan siapakah bangsa pembinanya.

1. Populasi tempat kerajaan ini berdiri hari ini.

2. Bahasa yang dipahat oleh kerajaan empayar ini.

Baik, kita lihat tempat di mana kerajaan-kerajaan Melayu Purba ini berdiri. Sebagai contoh di kawasan Baruas dan Lembah Bujang. Setahu saya, hari ini disekitar Merbok dan juga Baruas, mereka semua menyatakan diri mereka sebagai Melayu. Kaum India yang ada tidak dapat menjejak keturunan mereka sehingga lebih daripada 3 keturunan yang berada di Tanah Melayu. Bagaimana… tuan boleh nyatakan bahawa kerajaan ini dibina oleh orang India?

Oh ya saya suka bercakap tentang bahasa yang dipahat oleh Empayar Melayu Srivijaya dan Majapahit untuk membuktikan bahawa kerajaan ini bukan dibina oleh orang India.

Prasasti Srivijaya Dalam Bahasa Melayu Kuno

• Prasasti Kedukan Bukit (683 Masihi)
• Prasasti Telaga Batu (683 Masihi)
• Prasasti Talang Tuwo (684 Masihi)
• Prasasti Kota Batu (686 Masihi)

Prasasti Sailendra Dalam Bahasa Melayu Kuno

• Prasasti Soejomorto (Abad ke-7 Masihi)
• Prasasti Manjusirgha (792 Masihi)

Prasasti Singhasari (leluhur Majapahit) Dalam Bahasa Melayu Kuno:

• Prasasti Padang Roco (1286 Masihi)

Inskripsi Majapahit Dalam Bahasa Jawa. Kerajaan Majapahit ini terkenal dengan penghasilan dua buah manuskrip lama yang menceritakan tentang sejarah kerajaannya dan semuanya dalam bahasa Kawi, iaitu leluhur kepada Bahasa Jawa Moden hari ini.

I. Paraton (Buku Raja-Raja) – menceritakan salasilah dan sejarah raja-raja Jawa yang memerintah Majapahit

II. Nagarakretagama – Sebuah catatan yang menggabungkan puisi yang menceritakan tentang Empayar Majapahit ketika kemuncak keluasan kuasanya.

Sekarang sila nyatakan kepada saya, kalau benar Srivijaya dan Majapahit itu sebagai sebuah kerajaan orang India, kenapa prasasti dan manuskrip mereka dalam bahasa Melayu dan Jawa? Sila nyatakan kepada saya.

Seterusnya, kita pergi kepada dakwaaan saudara bahawa Srivijaya dan Majapahit kalah dengan Acheh dan Melaka lalu lari balik ke India. Setakat ini, Srivijaya adalah berbeza zaman dengan Melaka dan Acheh. Jadi, bagaimana Srivijaya boleh berperang dengan mereka?

Dalam masa yang sama pulak, kejatuhan Srivijaya dalam sejarah melalui Dinasti Mauli, dinasti terakhirnya adalah kerana serangan Majapahit itu sendiri. Jadi, bagaimana anda boleh dakwa sedemikian bahawa Melaka dan Acheh yang tidak lagi wujud pada era Srivijaya boleh menang perang ke atas Srivijaya? Kalau benar, berikan saya nama pertempuran, perang dan tarikhnya. Berikan nama jeneral perangnya, berikan nama strategi dan taktikal Melaka dan Acheh menghalau Srivijaya dan Majapahit. 

Oh ya tentang etimologi perkataan Melayu itu, saya pernah menulis panjang lebar dahulu dan saya berharap agar encik boleh membacanya, dan tidak terikat pada satu hipotesis kononnya Melayu itu berasal dari bahasa Hindu (Hindu ada banyak bahasa, India juga ada banyak bahasa, jadi bahasa apakah yang diperkatakan oleh tuan?).

Sila bukak link yang kami sertakan:

1.) http://www.thepatriots.my/menjejak-kewujudan-nama-melayu-dalam-sejarah/

Dan saya petik antara hujah kami di dalamnya yang membincangkan tentang kewujudan nama Melayu dalam sejarah itu sendiri. Kami senaraikan hipotesis dan teori kami sendiri tentang asal-usul Nama Melayu.

• Malayo dalam Bahasa Tagalog yang bermaksud jauh ialah daripada kata dasar “layo” atau “layoh”, iaitu kognat kepada perkataan Jauh dalam bahasa melayu. Malaya pula dalam Bahasa Tagalog yang bermaksud bebas ialah daripada perkataan “laya”, kognat kepada kata dasar “layar” dalam Bahasa Melayu. Berdasarkan beberapa pembuktian daripada kami yang terdapat sejarawan.

• Antara rekod terawal tentang nama Melayu dalam sejarah ialah melalui peta yang dilukiskan oleh Ptolemy seawal 150 Masihi, iaitu kira-kira 150 tahun selepas kelahiran Nabi Isa dan kira-kira 400 tahun sebelum kelahiran junjungan besar Rasulullah.

• Dalam peta itu, terdapat bahagian dalam semenanjung yang digelar sebagai Μαλεου Κώλον atau Meleu-Kolon. Peta ini dijumpai dalam Geōgraphikḕ Hyphḗgēsis dan perlu diketahui bahawa peta ini ditulis atas lakaran-lakaran peta purba yang sudah wujud jauh sebelum Ptolemy.

• Etimologi perkataan Kolon itu sendiri sebenarnya bermaksud sebahagian. Maka bolehlah kita simpulkan bahawa maksud Meleu-Kolon dalam peta yang dilakar oleh Ptolemy itu mungkin membawa maksud sebahagian daripada Melayu yang juga boleh dibaca sebagai “Wilayah Melayu” , “Kawasan Melayu.”, dan juga “Bahagian Melayu.”

Jadi, berbanding dengan rapuan anda bahawa Melayu dalam bahasa Hindu? bermaksud Tanah Tinggi, hipotesis yang kami naikkan di atas lebih relevan di samping pembuktikan wujudnya nama Melayu dalam sejarah yang anda boleh baca sendiri di link yang kami sertakan.

Akhir kata daripada kami, janganlah menulis perihal sesuatu yang anda tidak mempunyai ilmu tentangnya. Nanti akan lihat kebodohannya! Cukup-cukuplah merapu tentang sejarah Melayu. Ambilah nasihat daripada anak muda ini yang sayangkan sejarah bangsanya.

P.S: Saya berharap sangat-sangat yang geng Indonesia tidak akan kejar anda dengan buluh runcing sebab dakwa Majapahit dari India. :P

Oh ya, Hindu tidak semestinya India tau. Orang Bali di Indonesia itu apakah orang India hanya kerana beragama Hindu?

-HE-

Situasi pengadaptasian budaya India dan agama Hindu dan Buddha ke atas masyarakat Melayu pra-Islam bukanlah pengadaptasian yang bersifat 100 peratus atau atas dasar penaklukan kerajaan India ke atas orang Melayu sebaliknya ianya bermaksud bahawa orang Melayu sendiri menjemput mereka dari India untuk mengajarkan orang Melayu tentang agama Hindu dan Buddha yang berasal dari sana, lalu mengubahsuai budaya dan kepercayaan agama itu berdasarkan kepercayaan tempatan yang sedia ada, bahkan mencipta budaya dan mazhab baru dalam agama yang dianutinya dengan kombinasi adat dan budaya India dengan adat yang dimiliki oleh masyarakat tempatan. Perkara seperti ini dipanggil sebagai lokal genius.

Situasi ini boleh diibaratkan seperti mana bangsa Korea dan Jepun hari ini mengadaptasikan budaya dan kepercayaan agama yang wujud di China lalu diubahsuai oleh lokal genius tempatan. Hari ini, kita dapat melihat falsafah pemakaian Kimono sebagai contoh, yang datang dari pemakaian China zaman Dinasti Han, tetap memiliki falsafah yang lebih mendalam daripada pakaian China zaman Dinasti Han.

-HE-

No comments:

Post a Comment