Sunday, 17 April 2016

SYEIKH YUSUF TAJUL KHALWATI : ULAMA AGUNG SULAWESI PENGHUBUNG DUA BENUA


Seorang ulama' terkenal yang dibesarkan dalam lingkungan kehidupan istana dari Sulawesi Selatan yang mempunyai pengetahuan agama yang mendalam serta mempelajari banyak tariqat terkemuka, sangat dihormati dan disanjungi oleh segenap lapisan masyarakat walaupun di mana sahaja beliau berada, ketinggian ilmu beliau menjadikan ramai orang dari pelbagai bangsa dan keturunan mahu berguru dengan beliau.

Tidak dilupakan juga peranan berkesan daripada beliau dalam meniup semangat menentang penjajah kepada anak bangsanya hinggakan karisma beliau menimbulkan kegerunan kepada kuasa penjajah yang bermaharajalela pada waktu itu dan apabila beliau tiada, nama beliau menjadi sebutan pelbagai jenis bangsa dan juga kisah perjuangan beliau pula menjadi sumber inspirasi perjuangan generasi terkemudian.

Inilah pernyataan yang sesuai merujuk kepada Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al Makassari yang patut kita semua anak Melayu mengambil inspirasi daripada riwayat hidup dan liku-liku perjuangan beliau.

Keberkesanan langkah-langkah yang diambil oleh beliau serta kedudukan mulia beliau di mata masyarakat peribumi pada masa itu menyebabkan beliau akhirnya diasingkan ke negeri orang, jauh daripada tanah air sendiri. Namun segala kekangan itu tidak menghalang beliau untuk terus menjalankan tugas dan kewajipan beliau sebagai seorang ulama' yang tinggi ilmunya. Selepas ketiadaanya sehingga kini, nama beliau menjadi sebutan dan kisah perjuangan beliau menjadi sebutan bukan sahaja di Alam Melayu (terutama sekali di Republik Indonesia) malah juga di India dan Afrika Selatan.

Syeikh Muhammad Yusuf Abul Mahasin al Makassari merupakan keturunan bangsawan diraja Kesultanan Gowa yang pada masa itu merupakan kerajaan Islam yang sangat berpengaruh dan menjadi kuasa besar di wilayah Sulawesi Selatan. Beliau dikatakan lahir sekitar tahun 1626 Masihi iatu ketika Kesultanan Gowa telah menerima Islam sebagai agama rasmi kerajaan tersebut.

Sejak usia muda remaja lagi iatu sekitar usia 15 tahun, beliau diasuh dengan cara hidup Islam dan pergi mengaji Al Quran oleh seorang guru yang bernama Daeng ri Tassamang. Beliau juga belajar ilmu fiqah, ilmu hadis ,ilmu nahu dan saraf serta ilmu tasawwuf daripada pelbagai ulama setempat di samping mempelajari ilmu perang sepertimana kebiasaan anak bangsawan Gowa yang lain.

Dalam usia 18 tahun iatu sekitar tahun 1644 Masihi, beliau pergi meninggalkan Gowa untuk pergi melanjutkan pelajaran ilmu agama beliau di tanah suci Makkah. Dengan restu daripada sultan Gowa sendiri iatu Sultan Malikussaid Tuminanga ri Papang Batuna (1639 - 1653), beliau dikatakan meninggalkan Gowa pada tarikh 22 September 1645 Masihi dan pergi menumpang sebuah kapal pedagang yang berlayar menuju ke Bantam (Banten).

Banten ketika itu juga merupakan sebuah kerajaan Islam yang sangat masyhur sekitar pertengahan abad ke 17 dan menjadi pusat perdagangan yang masyhur serta menguasai perairan Selat Sunda yang terletak di antara pulau Sumatera dan pulau Jawa itu. Di sana Syeikh Yusuf bertemu dan menjalinkan hubungan rapat dengan putera mahkota Kesultanan Banten itu sendiri yang bernama Pangeran Surya. Beliau juga sempat belajar ilmu agama dengan para alim ulama di sana buat seketika dan di sana, beliau sangat dihormati oleh masyarakat setempat kerana ketinggian ilmunya.

Selepas beberapa ketika di Bantam, beliau pergi berlayar menuju ke Acheh pula dan di sana, beliau berguru kepada Syeikh Nuruddin ar Raniri, seorang ulama terkenal yang menjadi penasihat utama dalam kerajaan Acheh di bawah Sultanah Tajul Alam dan beliau menerima ijazah tariqat Qadiriyyah daripada gurunya itu.

Dari Acheh, beliau berlayar ke Timur Tengah dan bertapak di Yaman di mana di sana beliau belajar dan mendapat ijazah tariqat Naqshabandiyah daripada Syeikh Abi Abdullah Muhammad Baqi al Naqshabandi. Syeikh Yusuf al Makassari juga merantau ke wilayah Syam dan mendapat ijazah tariqat Khalwatiyyah daripada Syeikh Abu al Barakat Ayyub bin Ahmad al Khalwati. Gurunya itu juga berkenan memberikan gelaran Tajul Khalwati (Mahkota Khalwati) kepada beliau kerana ketinggian ilmu Tasawwuf yang dimiliki oleh putera Gowa itu.

Beliau merantau ke banyak tempat di Timur Tengah termasuklah melakukan ibadah haji ke Makkah dan menziarahi Madinah untuk berguru dengan banyak ulama serta menerima banyak ijazah tariqat yang berbeza-beza. Beliau dikatakan telah menerima ijazah daripada lebih 16 tariqat yang berbeza seperti tariqat Qadiriyyah, tariqat Naqshabandiyyah, tariqat Shatariyyah, tariqat Ba Alawiyyah, tariqat Khalwatiyyah dan lain lain lagi. Beliau menghabiskan masanya selama 22 tahun di Timur Tengah sebelum akhirnya beliau berlayar pulang semula ke Kepulauan Melayu dikatakan sekitar tahun 1644 Masihi.

Syeikh Yusuf al Makassari dikatakan pulang sebentar ke kampung halaman beliau di Gowa dan cuba untuk mengadakan reformasi moral mengikut ajaran Islam dengan meminta pemerintah untuk menghapuskan adat dan norma kebiasaan masyarakat yang pada masa itu bercanggah daripada syarak seperti menghormati atribut kerajaan secara berlebih-lebihan, minum tuak supaya tentera menjadi kuat dan perjudian yang berleluasa di pasar-pasar. Setelah merasakan bahawa reformasi moral beliau tidak mendapat sambutan, beliau terus meninggalkan Gowa kembali kerana tidak sanggup melihat tanda-tanda keruntuhan kerajaan Gowa yang tampak semakin ketara. Beliau kemudiannya pergi semula ke Banten.

Namun ada yang mengatakan beliau tidak pernah balik ke Gowa dan terus berlayar menuju ke Banten sejurus selepas pulang dari rihlah ilmu beliau di Timur Tengah. Syeikh Yusuf al Makassari tiba di Banten sekitar tahun 1664 Masihi. Di sana beliau bertemu semula dengan Pangeran Surya yang menjadi rakan karib beliau dahulu namun Pangeran Surya bukan lagi Putera Mahkota kerajaan Banten sebaliknya sudah menaiki takhta sebagai sultan kerajaan Banten dengan memakai gelaran Sultan Abdul Fathi Abdul Fattah tetapi baginda lebih terkenal dalam sejarah dengan gelaran Sultan Ageng Tirtayasa (1651 - 1682 Masihi).

Sultan Ageng Tirtayasa berkenan mengangkat Syeikh Yusuf al Makassari sebagai mufti kerajaan dan penasihat sultan. Dengan bantuan dari ulama Sulawesi agung tersebut, baginda mengukuhkan kedudukan kesultanan Banten sebagai pusat penyebaran agama Islam yang terulung pada masa itu dan berusaha memelihara kemerdekaan kerajaannya daripada campur tangan kuasa luar, terutama sekali daripada Vereenigde Oost-Indische Compagnie(VOC atau Syarikat Hindia Timur Belanda), sebuah syarikat berpiagam milik Belanda yang sedang rakus memonopoli perdagangan di sekitar Kepulauan Melayu ketika itu dan VOC sama sekali tidak senang dengan kemajuan pesat pelabuhan kerajaan Banten yang menyaingi perkembangan pelabuhan pangkalan utama milik mereka di Betawi (Batavia,kini dikenali sebagai Jakarta).

Sementara itu pula, Syeikh Yusuf al Makassari sangat cergas sekali membantu baginda sultan Banten untuk memastikan Banten unggul sebagai pusat penyebaran agama Islam ketika itu. Baginda Sultan Ageng Tirtayasa juga berkenan menikahkan salah seorang puterinya dengan Syeikh Yusuf al Makassari. Ulama' agung dari Sulawesi ini juga mempunyai anak-anak murid yang sangat ramai dari berbagai wilayah termasuklah daripada Makassar sendiri sebanyak 400 orang. Orang Makassar sendiri sangat menghormati beliau sebagai ulama' tersohor di kalangan suku kaum mereka sehingga diberi gelaran "Tuanta Salamaka ri Gowa" (bermaksud Tuan Guru penyelamat kita dari Gowa) dan gelaran ini masih digunakan kepada beliau sehingga ke hari ini.

Dipendekkan cerita, Sultan Ageng Tirtayasa mempunyai dua orang putera bernama Pangeran Gusti dan Pangeran Purbaya, di mana Pangeran Gusti dilantik sebagai putera mahkota kerajaan Banten malah beliau dihantar oleh ayahandanya untuk pergi menunaikan fardhu haji di Makkah serta melawat negeri-negeri Islam di Timur Tengah pada masa itu. Setelah Pangeran Gusti kembali ke Banten pada tahun 1676 Masihi dan kemudiannya beliau digelar sebagai Sultan Haji, beliau melihat kekuasaan adindanya, Pangeran Purbaya semakin luas dan timbul perasaan iri hati serta bimbang jika adindanya itu bakal mengambil alih kedudukan beliau sebagai pewaris takhta kerajaan.

Dari peristiwa ini terserlahlah peranan pihak VOC Belanda sebagai pengadu domba untuk cuba campur tangan dalam hal ehwal dalaman kesultanan Banten dengan tujuan untuk memonopoli perdagangannya. Pihak Belanda berjaya menghasut Sultan Haji untuk menentang kekuasaan Pangeran Purbaya dan ayahandanya, Sultan Ageng Tirtayasa. Belanda berjanji akan memberi bantuan ketenteraan kepada Sultan Haji menentang adindanya dengan syarat supaya monopoli perdagangan lada hitam di Banten diserahkan kepada VOC. Sultan Haji bersetuju untuk bersepakat dengan Belanda untuk menentang kekuasaan adindanya serta ayahanda beliau. Pada tanggal 27 Februari 1682 Masihi, Sultan Haji dibantu oleh tentera VOC telah melancarkan serangan ke atas Sultan Ageng Tirtayasa dan Pangeran Purbaya di mana Syeikh Yusuf al Makassari berpihak kepada Sultan Ageng Tirtayasa sendiri menentang anaknya yang telah berpakat dengan Belanda itu.

Serangan ke atas Sultan Ageng Tirtayasa berterusan sehinggalah Belanda berjaya menawan daerah Tirtayasa, tempat bersemayam baginda pada akhir tahun 1682 Masihi namun baginda serta pengikut baginda termasuklah Syeikh Yusuf sendiri telah berundur ke daerah pedalaman. Setelah beberapa lama akhirnya melalui satu tipu muslihat, Sultan Ageng Tirtayasa menyerah diri pada 14 Mac 1683 dan dibawa ke istana Surosowan. Namun baginda tidaklah dikembalikan semula kepada takhtanya sebaliknya baginda dibawa ke Betawi (Batavia) lalu dipenjarakan di sana sehingga baginda mangkat pada tahun 1695. Belanda akhirnya mengiktiraf Sultan Haji Abu Nasar Abdul Kahhar (1682 - 1687 Masihi) sebagai pemerintah Banten yang sah. Maka bermulalah pemonopolian VOC ke atas perdagangan di Banten dan bermula dari saat itulah, Kesultanan Banten semakin melemah sehinggalah kesultanan tersebut akhirnya dibubarkan pada tahun 1813 Masihi.

Syeikh Yusuf juga turut ditangkap oleh tentera Belanda pada tahun  tahun yang sama Sultan Ageng menyerah diri. Beliau juga turut dipenjarakan di Betawi dan pentadbiran VOC pada masa itu memutuskan bahawa beliau dan ahli keluarganya serta beberapa orang pengikut setia beliau dibuang negeri ke Sri Lanka kerana gerun akan pengaruh kuat dari beliau yang boleh mencetuskan kebangkitan di kalangan rakyat Banten menentang penguasaan Belanda. Syeikh Yusuf dan para pengiringnya yang terdiri daripada ahli keluarga dan beberapa pengikutnya diperkirakan tiba di Sri Lanka pada bulan September 1684. Walaupun beliau dibuang negeri, namun itu tidaklah menjadi halangan kepada beliau sama sekali untuk terus mencurahkan ilmu dan hikmah serta meniupkan semangat menentang penjajah di kalangan sanubari anak-anak muridnya.

Di pulau Sri Lanka, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu agama sehingga beliau di sana mempunyai ratusan murid terutamanya daripada India dan Alam Melayu sendiri yang kagum dengan ketinggian kefahaman beliau dalam ilmu syariat dan ilmu hakikat. Atas cadangan seorang ulama India di sana yang bernama Syeikh Ibrahim bin Mi'an, Syeikh Yusuf al Makassari telah mengarang dan menulis banyak kitab yang kebanyakannya membincangkan mengenai ilmu tasawwuf. Antara kitab karangan beliau yang terkenal ialah kitab Matalib al Salikin, Al Nafhat al Sailaniyyah, Al Barakat al Sailaniyyah, Al Fawaih al Yusuffiyah dan Zubdatul Asrar.

Ramai anak murid dan para pengikutnya dari Alam Melayu yang dalam perjalanan pergi atau pulang dari Makkah dan singgah sebentar di Sri Lanka untuk menziarahi guru mereka itu. Dari sini, Syeikh Yusuf al Makassari mengambil peluang untuk mengirimkan surat dan pesanan supaya meneruskan perjuangan menentang kemaraan penjajah Belanda sehingga mencetuskan kebimbangan Belanda sekali lagi terhadap Syeikh Yusuf al Makassari yang semakin aktif meniup semangat berjuang menentang penjajah Belanda di kalangan anak-anak muridnya yang bertebaran di Nusantara ketika itu, terutamanya di sekitar Banten (Jawa) dan Sulawesi Selatan, walaupun beliau terasing jauh di Sri Lanka itu.

Penjajah Belanda sekali lagi memindahkan Syeikh Yusuf al Makassari dan keluarga serta beberapa orang pengikutnya ke tempat lebih jauh lagi, iatu di Afrika Selatan. Beliau dan keluarganya diarahkan untuk bergerak ke Afrika Selatan dengan menaiki kapal "De Voetboeg" milik syarikat VOC Belanda pada 27 Jun 1693.

Kapal tersebut akhirnya selamat berlabuh di Tanjung Pengharapan (Cape Town) dan rombongan Syeikh Yusuf al Makassari tersebut menjejakkan kaki mereka di bumi Tanjung Pengharapan,Afrika Selatan pada tarikh 2 April 1694. Tanjung Pengharapan sekian lama telah menjadi salah satu daripada tempat pembuangan tahanan politik yang menentang  kepentingan VOC di Timur Jauh dan bukan sedikit tokoh dari Nusantara yang diasingkan ke tempat tersebut oleh penjajah Belanda atas "kesalahan" cuba menghalang kerja-kerja penjajahan VOC pada masa itu.

Kedatangan Syeikh Yusuf al Makassari yan ketika itu berusia sekitar 68 tahun disambut oleh gabenor pertama koloni Belanda di Tanjung Pengharapan iatu Simon van der Stel (1691 - 1699 Masihi) dan ulama' besar tersebut serta keluarganya diberi tempat tinggal di perkebunan Zandvliet terletak di tepi Sungai Eerste jauh dari bandar Cape Town itu sendiri pada tanggal 14 Jun 1694 Masihi. Pada mulanya, pemerintah Belanda di Cape Town cuba menjauhkan hamba-hamba dan buruh-buruh kasar mereka daripada mendekati Syeikh Yusuf al Makassari yang cukup kuat pengaruhnya namun takdir Allah menentukan segalanya.

Zandvliet menjadi tempat berkumpul dan berlindung bagi para hamba dan buruh di sana, termasuklah hamba-hamba berkulit hitam dan juga orang Arab dan India yang datang berdagang di sana. Banyak orang dari Kepulauan Melayu yang dihukum buang negeri di Afrika Selatan selepas itu akhirnya pergi berguru dengan Syeikh Yusuf al Makssari. Ramai hamba berkulit hitam akhirnya memeluk Islam di bawah perlindungan Syeikh Yusuf sendiri dan ini menyebabkan komuniti umat Islam pertama wujud dalam sejarah Tanjung Pengharapan,Afrika Selatan dan terus berkembang dengan Syeikh Yusuf sendiri sebagai "imam" dan ketua komuniti Islam pertama di tanah tersebut.

Inilah hikmah pengasingan Syeikh Yusuf al Makassari ke wilayah Tanjung Pengharapan nun jauh di Afrika Selatan sana, untuk menjadi asbab kepada penyebaran dakwah Islam di bumi Afrika Selatan dan pembinaan sebuah komuniti Islam di sana yang kukuh bertahan sehingga kini. Ada beberapa orang tokoh dari Kepulauan Melayu (selain daripada Syeikh Yusuf sendiri) yang diasingkan oleh VOC ke Afrika Selatan akhirnya beranak pinak dan mula bercampur gaul dengan orang India,Arab,Madagaskar dan orang kulit hitam di sana sehingga melahirkan sebuah komuniti Melayu campuran yang sangat masyhur di Afrika Selatan yang dikenali sebagai "Melayu Cape" (Cape Malay) sehingga ke hari ini.

Syeikh Yusuf Tajul Khalwati Hadiyatullah al Makassari akhirnya mangkat di Zandvliet pada tarikh 23 Mei 1699 Masihi (22 Zulkaedah 1109 Hijri) ketika berusia 73 tahun setelah hidup terasing di bumi Afrika Selatan selama lima tahun .Para pengikut dan anak murid beliau mengebumikan jenazah ulama' besar dari Sulawesi Selatan ini di atas sebuah bukit bernama Faure berdekatan dengan sungai Eerste dan kawasan Zandvliet. Jenazah beliau bersemadi di bumi Afrika Selatan selama beberapa tahun sebelum akhirnya atas permintaan baginda Sultan Gowa sendiri,Sultan Abdul Jalil (1677 - 1709) kepada pihak VOC Belanda untuk memindahkan jenazah Syeikh Yusuf balik semula ke tanah airnya di Sulawesi Selatan. Jenazah Syeikh Yusuf al Makassari selamat tiba kembali di tanah airnya sendiri kemudian dimakamkan semula jenazah beliau di Lakiung,Gowa pada tanggal 6 April 1705 Masihi.

Sehingga kini, jasa dan pengorbanan Syeikh Yusuf al Makassari masih lagi menjadi sebutan dan kenangan di kedua-dua buah negara yang terletak di dua benua yang berbeza iatu Indonesia dan Afrika Selatan. Walaupun jenazah beliau sudah dipindahkan ke tanah kampung halamannya di Sulawesi Selatan namun kubur beliau di Afrika Selatan masih lagi dikunjungi dan dipelihara dengan baik oleh masyarakat Islam setempat di sana sehingga ke hari ini. Kompleks makam beliau di bukit Faure berdekatan sungai Eerste dianggap sebagai "keramat" dan masih diziarahi oleh masyarakat Islam setempat, begitu juga dengan makam beliau di Lakiung,Gowa yang juga masih dikunjungi dan diziarahi oleh penduduk setempat dan juga oleh orang Islam lain dari segenap pelusuk Nusantara, yang kagum dengan perjuangan beliau.

Kerajaan Republik Indonesia di bawah pentadbiran Presiden Soeharto (1967 - 1998) ketika itu telah mengangkat beliau sebagai salah seorang daripada "Pahlawan Nasional Indonesia" pada tanggal 9 November 1996. Tidak cukup dengan penghargaan di Indonesia, Syeikh Yusuf al Makassari juga turut diberi penghargaan yang secukupnya di Afrika Selatan atas jasa beliau menentang belenggu penjajahan oleh kuasa Barat waktu itu. Nelson Mandela, mantan presiden negara tersebut mengaku terinspirasi daripada perjuangan Syeikh Yusuf al Makassari dalam menegakkan hak keadilan kepada warga kulit hitam di negaranya malah kerajaan Afrika Selatan juga telah mengurniakan anugerah nasional "Order of the Companions of O. R. Tambo" kepada Syeikh Yusuf al Makassari pada tanggal 27 September 2005. Nama beliau masih lagi terkenal dan kisah perjuangan beliau menjadi inspirasi buat rakyat negara Table Mountains itu. Sebelum saya mengakhiri penceritaan mengenai Syeikh Yusuf al Makassari dalam artikel ini, izinkan saya mengambil kembali kenyataan Ian D. Colvin dalam bukunya yang bertajuk "South Africa" ;

"From the indications given by Valentyn, as well as the reverential memory which has outlasted two hundred years among his humble kinsmen, the Malays of Cape Town, we may imagine that Sheik Joseph was no ordinary man. He was not only of noble birth, but of unusual piety, a great warrior, a great prince, and also a priest deep in the knowledge of holy things. Let us hope that in his exile his faith consoled him for the outrages of fortune. He could not but have longed for the palms and spices of his native land, which he was doomed never again to see; but it is a kind of compensation that his tomb should still be visited by his own people, and that the incense of the East should shed its fragrance round his memory."

Al Fatihah,semoga Allah melimpahi rahmatNya ke atas roh almarhum Syeikh Yusuf Tajul Khalwati Hadiyatullah al Makassari.

-RAD-

Rujukan :

Abu Hamid, Syekh Yusuf Makassar : Seorang ulama, sufi dan pejuang, Yayasan Obor Indonesia Jakarta, 2005

Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan tamadun bangsa Melayu, Utusan Publications and Distributions Sdn Bhd. Kuala Lumpur, 2008

Raja Mohd. Affandi, Tokoh Tokoh Melayu Yang Agung dalam Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, 1974

Ian D. Colvin, South Africa, The Caxton Publishing Company, 1910

Mansoor Jaffer, Guide to the Kramats of the Western Cape, Cape Mazaar (Kramat) Society Cape Town, 2010

No comments:

Post a Comment