Saturday, 9 April 2016

Peperangan Syaitan II


(Kisah burung Petala Indera)

Sebermula maka tersebutlah perkataan raja Jin Qomar Jalus membawa lari Syahrum Dewa Perba Raksa itu melayanglah di udara. Hataya berapa lamanya maka sampailah kepada antara laut Sebanan dengan laut Qalzum Bahar itu hampirlah ke desa Khaldum Bahana itu. Maka tatkala itu Syahrum Dewa Perba Raksa pun sedarlah akan dirinya daripada khayal ubat khidmat itu maka di rasai dirinya melayang di udara.

Maka di lihatnya akan dirinya di bawa terbang oleh seorang Jin terlalulah besar panjangnya maka oleh Syahrum Dewa Perba Raksa kedua tangannya di cekikkannya kepada leher raja Jin Qomar Jalus itu dengan sekuat2nya. Maka di rasainya oleh raja Jin Qomar Jalus akan lehernya di cekik oleh Syahrum Dewa Perba Raksa itu terlalulah kesakitannya maka segera di lepaskannya akan Syahrum Dewa Perba Raksa seraya di tariknya tangan Syahrum Dewa Perba Raksa yang memegang lehernya itu. Maka tidak juga di lepaskan oleh Syahrum Dewa Perba Raksa maka terlalulah kesakitannya raja Jin Qomar Jalus itu hataya dengan demikian maka keduanya pun gugurlah ke dalam laut Sebanan itu.

Sebermula di ceterakan oleh orang yang empunya cetera ini di dalam laut Sebanan itu ada seekor naga terlalu besar naga itu dengan buasnya tiadalah boleh binatang yang lain hampir kepada naga itu habis di makannya. Maka pada tatkala itu naga Maha Dera Gangga itu timbul mencari mangsanya kelakian maka Syahrum Dewa Perba Raksa dan raja Jin Qomar Jalus pun gugurlah pada ketika itu maka di lihatnya oleh sang naga Maha Dera Gangga itu segera di sambarnya lalu di telannyalah akan keduanya. Adapun akan raja Jin Qomar Jalus setelah di telan oleh naga Maha Dera Gangga itu maka iapun matilah kerana bertambah sakitnya di cekik lehernya oleh Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Adapun akan Syahrum Dewa Perba Raksa setelah di telan oleh naga Maha Dera Gangga itu maka iapun pengsanlah tiada khabarkan dirinya. Adapun sebab tiada ia mati kerana tubuhnya pun tiada hancur oleh kesaktian ia bertapa seratus tahun di atas bukit Sama Langgiri itulah tiada ia mati terhantarlah di dalam perut sang naga Maha Dera Gangga itu seperti laku mayat terhantar di dalam gua rupanya.

Sebermula adapun pada tatkala Syahrum Dewa Perba Raksa mencekik leher raja Jin Qomar Jalus itu lalu gugur ke laut di telan oleh sang naga Maha Dera Gangga itu maka lalu seorang hulubalang jin di udara di lihatnya kelakuan Syahrum Dewa Perba Raksa dengan raja Jin Qomar Jalus itu dari jauh dan keduanya gugur ke laut di telan oleh naga Maha Dera Gangga itu. Maka Jin itupun hairanlah tetapi tiada ia tahukan raja Jin Qomar Jalus menerbangkan Syahrum Dewa Perba Raksa itu maka hulubalang Jin itu pun kembalilah ke gua Empat Benderang itu lalu ia mengadap rajanya raja Jin Thobar Syah Johan kerana ia hulubalang raja Jin Thobar Syah Johan.

Pada tatkala itu raja Jin Thobar Syah Johan pun ada duduk di balairongnya dengan tiga bersaudara dengan raja Jin Qobad Syahrian dan raja Jin Akas Pahlawan di adap oleh segala menteri dan hulubalangnya sekelian duduk mesyuarat akan pekerjaan saudaranya raja Jin Qomar Jalus ke desa Berangga Puri mengambil Asma Dewa Pekerma Raja itu lambat datang. Maka titah raja Jin Thobar Syah Johan kepada adinda baginda kedua “Hai adinda kedua apakah gerangan sebabnya maka adinda raja Jin Qomar Jalus itu lambat kembali ini kerana ia pergi ini kekanda bilang sudahlah kurang tiga hari lagi genap seperti perjanjiannya empat puluh hari itu”. Setelah di dengarnya oleh raja Jin Qobar Syahrian dan raja Jin Akas Pahlawan akan titah kekanda baginda itu maka sahutnya “Sungguh seperti titah kekanda itu akan adinda kedua ini pun tiada sedap hati sekali selama kekanda raja Jin Qomar Jalus pergi ini”.

Setelah di dengarnya raja Jin Thobar Syah Johan akan kata adinda baginda itu maka lalu titahnya pula “Hai adinda kedua pada fikir kekanda barang apa pun kita nantilah beri sampai genap seperti perjanjiannya empat puluh hari itu. Barang kali tiada ia sampai kemari kita suruh turut lihatlah ke desa Berangga Puri itu” maka kata raja Jin kedua itu “Benarlah seperti titah kekanda itu”. Adapun pada tatkala ketiga berkata2 itu maka hulubalang Jin yang melihat hal raja Jin Qomar Jalus dan Syahrum Dewa Perba Raksa di telan oleh sang naga Maha Dera Gangga itupun ada mengadap. Maka ia pun fikir di dalam hatinya “Adapun yang kulihat di telan oleh sang naga di laut Sebanan itu entah pun ia raja Jin Qomar Jalus datang dari mengambil raja manusia itu siapa tahu kerana keduanya kulihat terlalu perkasa keduanya. Jikalau demikian baiklah kupersembahkan kepada rajaku siapa tahu kalau ia kelak aku di murkainya oleh rajaku”.

Setelah demikian fikirnya maka hulubalang Jin itu pun datanglah ke hadapan raja ketiga itu lalu sujud kepalanya lalu ke tanah seraya ia berdatang sembah katanya “Daulat tuanku syah alam patik memohonkan ampun beribu2 ampun di atas batu kepala patik hendak persembahkan suatu khabar ajaib patik lihat”. Demi di dengar oleh raja Jin ketiga itu akan sembah hulubalang Jin itu maka titah raja Jin Thobar Syah Johan “Segeralah engkau ceterakan apa ada yang engkau lihat”. Maka sembah hulubalang Jin itu “Ya tuanku kelmarin patik pergi bermain2 pada antara laut Sebanan itu maka patik lihat dari jauh seorang2 daripada bangsa kita ini juga lakunya melayang di udara membawa seorang2. Seketika lagi maka patik lihat keduanya gugurlah dari udara ke dalam laut Sebanan itu. Apa2kah sebabnya patik kurang periksa pada ketika itu sang naga yang di dalam laut Sebanan itupun timbul maka patik lihat di sambarnya oleh sang naga itu akan keduanya ghaib tiada kelihatan lagi itulah tuanku yang patik lihat”.

Demi di dengarnya oleh raja Jin ketiga itu akan sembah hulubalang itu maka iapun berdebar2 hatinya kalau2 raja Jin Qomar Jalus dengan Asma Dewa Pekerma Raja itu. Maka sembah raja Jin Akas Pahlawan “Ya kekanda tiada sedap sekali hati patik mendengar khabar itu kalau kekanda raja Jin Qomar Jalus membawa anak raja manusia itu. Pada fikir patik baiklah kita menyuruh pergi tanya ke desa Berangga Puri itu” maka sahut raja Jin Thobar Syah Johan “Jikalau demikian pun adinda kita nantilah beri sampai genap perjanjiannya dengan kita jikalau ia sekalipun bagaimanalah kita perbuat lagi. Syahdan apabila sampai genap bilangan empat puluh hari itu tiada ia kembalinyalah pada fikir kekanda adinda raja Jin Qomar Jalus dengan anak raja manusia itu lagi pula tiga hari lagi juga genaplah sampai seperti perjanjiannya dengan kita”. Maka raja2 ketiga itupun diamlah seraya masygul di dalam hatinya menantikan sampai empat puluh hari itu.

Setelah genaplah empat puluh hari nantinya tiada juga raja Jin Qomar Jalus datang maka kata raja Jin Thobar Syah Johan kepada raja Jin kedua itu “Hai adinda pada fikir kekanda nyatalah yang di lihat oleh hulubalang kita itu saudara kita raja Jin Qomar Jalus itu bagaimana bicara kita”. Maka sahut raja Jin Qobad Syahrian “Ya kekanda pada bicara adinda baik juga dahulu kita menyuruh pergi ke desa Berangga Puri menanyai beri tentu supaya mudahlah kita berkira2 kalau2 bukan kekanda itu raja Jin Qomar Jalus itu bukankah sia2 bicara kita”. Maka sahut raja Jin Akas Pahlawan “Ya kekanda pada fikir adinda ialah kekanda itu raja Jin Qomar Jalus pada bicara adinda marilah kita sekelian pergi binasakan dewa Berangga Puri itu kita bunuh segala raja2 yang serta dengan Asma Dewa Pekerma Raja itu. Apakah lagi kita malukan kerana Asma Dewa Pekerma Raja itu sudah tiada di dalam dunia ini dan akan puteri2 isterinya Asma Dewa Pekerma Raja itu kita ambillah akan jadi isteri kita. Akan raja Dewa Indera Laksana itu apa kita endahkan kerana bangsa kita ini keras daripadanya”.

Setelah di dengar oleh raja Jin kedua itu akan kata adinda baginda raja Jin Akas Pahlawan itu maka sahut raja Jin kedua itu “Ya adinda benarlah seperti kata adinda itu. Pada bicara kekanda pun demikian juga barangkali sudah tentu mati saudara kita itu barang di mana kita carilah belanya tetapi bicara itu kesudah sudahan kira2 pada fikir kekanda baik juga dahulu kita menyuruh melihati ke desa Berangga Puri itu supaya nyata dan sementara kita menanti penyuruh kita kembali itu kita menghimpunkan segala raja2 yang jauh2 yang takluk kita”. Setelah di dengarnya oleh raja Jin Akas Pahlawan akan kata kekanda baginda itu maka iapun diamlah.

Maka raja Jin Thobar Syah Johan pun bertitah kepada seorang hulubalang Jin yang pantas melayang bernama Berama Arjalas titahnya “Hai Berama Arjalas pergilah engkau segera2 ke desa Berangga Puri itu lihati olehmu akan hal saudaraku raja Jin Qomar Jalus. Mengapa maka tiada kembali kerana perjanjiannya sudah genap dan akan anak raja manusia itupun tanyai olehmu adakah ia atau tiadakah ia. Apabila tiada saudaraku itu di sana dengar tanyai olehmu khabarnya beri nyata kemudian segera2 engkau kembali memberi aku tahu”. Demi di dengarnya oleh Berama Arjalas akan titah rajanya itu maka iapun sujud menyembah kepada raja Jin ketiga itu lalu bermohon keluar di gua itu. Setelah datanglah keluar gua itu maka iapun melayanglah di udara menuju ke tanah Dewa ke desa Berangga Puri itu siang malam tiadalah ia berhenti lagi.

Sebermula akan raja Jin ketiga setelah peninggalan Berama Arjalas sudah pergi itu maka iapun mesyuarat berbicara akan memanggil segala raja2 Jin yang takluk kepadanya. Maka raja Jin Qobad Syahrian dan raja Jin Akas Pahlawan pun bermohonlah kepada kekanda baginda raja Jin Thobar Syah Johan kembali ke guanya. Maka raja Jin ketiga itupun memberi suratlah kepada segala raja2 Jin yang takluk kepadanya menyuruh datang berhimpun ke gua Empat Benderang itu. Setelah sudah maka raja Jin ketiga itu pun duduklah menantikan Berama Arjalas kembali dari desa Berangga Puri itu dengan masygulnya demikianlah di ceterakan oleh orang yang empunya cetera ini.

Sebermula maka tersebutlah pula perkataan Asma Dewa Pekerma Raja berjalan di dalam rimba belantara yang besar2 itu berapa2 melalui gunung dan padang dan tasik di laluinya oleh baginda menuju ke negeri Nanta Yunan itu. Adapun akan Asma Dewa Pekerma Raja berjalan itu terlalu pantasnya jikalau desa yang jauh pun menjadi dekat perjalanan baginda. Berapa2 baginda masuk menyamar kepada segenap negeri orang bertanyakan desa raja Zanggi itu. Hataya berapa lamanya Asma Dewa Pekerma Raja berjalan itu maka sampailah ke desa Zanggi itu lalu berjalanlah ke negeri Nanta Yunan lalu baginda masuklah menyamar dengan menteri Perdana Dewa itu ke dalam negeri Nanta Yunan itu seraya baginda mengubahkan rupanya dan pakaiannya memakai seperti kaum Zanggi itu lalu berjalanlah di dalam negeri itu bertanyakan ehwal raja Syah Indera Berzanggi Dewa itu dan bertanyakan khabar Syahrum Dewa Perba Raksa itu ratalah di dalam negeri Nanta Yunan itu tiada juga di peroleh baginda khabarnya Syarum Dewa Perba Raksa itu.

Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun bertitah kepada menteri Perdana Dewa “Hai saudaraku Perdana Dewa akan Syahrum Dewa Perba Raksa ini pada fikir hamba tiadalah ia di sini dan tiadalah dengan bencana raja Zanggi ini kerana ratalah sudah kita cari di dalam negeri ini wartanya pun tiada kita peroleh. Marilah kita keluar dari desa ini kita cari pada tempat yang lain pula” maka sembah menteri Perdana Dewa “Baiklah tuanku”. Maka keduanya pun keluarlah dari negeri Nanta Yunan itu lalu ia masuk pada segenap negeri Zanggi yang takluk kepada raja Syah Indera Berzanggi Dewa itu pula mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu bertanyakan khabarnya tiadalah kedengaran lagi.

Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun terlalulah dukacita hatinya lalu katanya “Wah saudaraku Syahrum Dewa Perba Raksa kemanakah gerangan perginya kena bencana dari manakah gerangan ia”. Maka lalu baginda keluarlah dari desa Zanggi itu lalu berjalan pula masuk ke dalam rimba belantara yang besar2 mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Berapa2 gunung dan bukit di naikinya dan berapa pula padang yang luas2 di jalaninya dan berapa2 pula tasik dan sungai di laluinya mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Adapun Asma Dewa Pekerma Raja berjalan itu dua tiga hari sekali maka ia berhenti. Apabila baginda hendak berhenti maka di hunuskannya cincin permata zamrud di jari manisnya itu di lontarkannya ke bumi maka menjadilah sebuah balai gambang maka Asma Dewa Pekerma Raja pun naiklah ke balai gambang itu beradu dengan Perdana Dewa itu.

Pada suatu hari Perdana Dewa bertanya kepada Asma Dewa Pekerma Raja tatkala baginda bertemu dengan Syahrum Dewa Perba Raksa itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berceteralah kepada Perdana Dewa peri baginda bertemu dengan Syahrum Dewa Perba Raksa itu di gunung Sama Langgiri. Maka kata menteri Perdana Dewa pula “Ya tuanku di sebelah manakah gunung itu” maka sahut baginda “Adapun gunung itu jikalau dari sini pada sebelah maghriblah duduknya gunung itu”. Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun baharulah baginda teringatkan maharaja Perba Sura maka titah baginda kepada menteri Perdana Dewa “Hai saudaraku Perdana Dewa daripada sebab saudaraku bertanya baharulah hamba teringatkan maharaja Perba Sura ayah kepada Syahrum Dewa Perba Raksa itu ia diam di Gua Setia Zholamat. Akan maharaja Perba Sura itu terlalu tahu kepada ilmu nujum dan sangat terus pandangannya. Marilah kita pergi ke sana minta lihat akan hal anaknya dari selama kini hamba lupa akan dia”.

Demi di dengarnya oleh menteri Perdana Dewa akan titah Asma Dewa Pekerma Raja itu maka iapun terlalulah sukacitanya lalu katanya “Jikalau demikian silakanlah tuanku segera kita kesana”. Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berjalanlah dengan menteri Perdana Dewa itu siang malam tiadalah berhenti lagi menuju ke Gua Setia Zholamat. Berapa2 melalui desa negeri dan gunung dan padang rimba belantara maka Asma Dewa Pekerma Raja pun sampailah ke Gua Setia Zholamat itu maka lalu masuklah ke Gua Setia Zholamat itu. Syahdan tatkala itu akan Arkas Kemandu pun baharu juga sampai ke Gua Setia Zholamat itu maka di lihatnya oleh segala kaum raksasa itu akan Asma Dewa Pekerma Raja datang itu. Maka sekelian pun datanglah sujud menyembah kaki Asma Dewa Pekerma Raja seraya bertanyakan khabar Syahrum Dewa Perba Raksa itu tiada lagi bertemu dan baginda datang itu hendak bertanya kepada maharaja Perba Sura itu.

Setelah sudah maka sekelian kaum raksasa itu pun diamlah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berjalanlah ke tempat maharaja Perba Sura tatkala itu maharaja Perba Sura pun ada duduk di balainya. Maka di lihatnya oleh maharaja Perba Sura akan Asma Dewa Pekerma Raja datang itu maka maharaja Perba Sura pun adalah sukacita sedikit hatinya daripada dukacita akan anaknya itu. Maka iapun segera turun memberi hormat akan Asma Dewa Pekerma Raja seraya katanya “Silakanlah tuanku naik ke balai ini” maka Asma Dewa Pekerma Raja dan maharaja Perba Sura pun naiklah menteri Perdana Dewa naik duduk di balai itu.

Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berjabat tangan dengan maharaja Perba Sura maka maharaja Perba Sura pun memeluk mencium Asma Dewa Pekerma Raja seraya katanya sambil bercucuran air matanya “Ya tuanku raja Asma Dewa Pekerma Raja besarnya pula nenek tuanku kemari ini. Rasa di hati nenek seperti nini sudah bertemu dengan anak nenek yang hilang itulah. Hilanglah rasanya percintaan nenek memandang tuanku datang ini”. Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun terlalulah belas hati baginda memandang laku maharaja Perba Sura itu dan mendengar katanya itu.

Kemudian maka kata Asma Dewa Pekerma Raja kepada maharaja Perba Sura “Hai nenekku adapun hamba kemari mendapatkan nenek hamba ini hamba hendak bertanyakan ehwal anakanda itu Syahrum Dewa Perba Raksa itulah. Telah ratalah pada segenap rimba belantara gunung padang dan tasik pulau hamba cari tiada juga bertemu lalu hamba ke negeri raja Zanggi raja Syah Indera Berzanggi Dewa itu kalau2 dengan bencana raja Zanggi itu kerana anakanda itu membunuh anaknya kedua yang bernama Harman Syah Bujangga Dewa dan Kerdana Syah Bujangga Peri. Maka hamba cari di sana pada segenap negeri Zanggi itu jangankan bertemu wartanya pun tiada kedengaran. Itulah sangat hairan hati hamba kemana juga ghaibnya anakanda itu dan dengan bencana siapakah mintalah nenekku lihat di dalam nujum nenek di mana duduknya anakanda itu supaya hamba dapatkan”.

Demi di dengar oleh maharaja Perba Sura akan kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka maharaja Perba Sura pun berkata “Ya tuanku raja Asma Dewa Pekerma Raja adapun akan nenek setelah nenek mendengar khabar daripada Arkas Kemandu kembali itu mengatakan anak nenek Syahrum Dewa Perba Raksa itu ghaib di dalam ketidurannya dan tuanku pun hendak pergi mencari dia maka nenek pun melihatlah di dalam nujum nenek. Amat musykillah pekerjaannya anak nenek itu kerana di ambil oleh raja Jin yang di desa Khaldum Bahana akan raja Jin itu empat bersaudara sakti2 belaka kerajaan di gua Empat Benderang dengan bencana daripada raja Zanggi itu juga ia meminta tolong kepada raja Jin itu mengambil tuanku.

Maka tiada dapat ia mengambil tuanku lalu di ambilnya akan Syahrum Dewa Perba Raksa itu kerana ia membunuh anak raja kedua itu. Syahdan akan sekarang ini raja Jin yang mengambil dia dengan anak nenek itu sudahlah di telan oleh sang naga Maha Dewa Gangga yang di dalam laut Sebanan itu tetapi akan anak nenek itu tiada ia mati adalah di dalam perut sang naga itu akan raja Jin itu sudah ia mati” maka di katakannyalah oleh maharaja Perba Sura peri segala yang di lihat di dalam nujumnya itu kepada Asma Dewa Pekerma Raja.

Setelah di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan kata maharaja Perba Sura itu maka baharulah ia tahukan hal yang demikian itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun bercucuranlah air matanya mendengarkan Syahrum Dewa Perba Raksa itu tiada ia mati itu. Kemudian maka kata Asma Dewa Pekerma Raja pula kepada maharaja Perba Sura “Hai nenekku betapakah perinya akan dapat keluar anakanda itu di dalam perut sang naga Maha Dera Gangga itu kerana tiadalah sampai budi bicara hamba. Jikalau sekiranya di dalam dunia ini jikalau di dalam laut apa sekalipun dapat hamba bicarakan ini di dalam perut binatang lagi pula di dalam air. Betapakah upaya hamba mengambil dia”.

Setelah di dengarnya oleh maharaja Perba Sura itu akan kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka sahutnya “Ya tuanku raja Asma Dewa Pekerma Raja adapun akan anak nenek itu tiadalah dapat tuanku sendiri mengambil dia dari dalam perut sang naga itu melainkan daripada bangsa binatang juga maka dapat mengambil dia. Tiada dapat daripada bangsa Jin Pari Dewa Mambang Indera Cendera Dewa Raksasa dan Zanggi dan manusia mengambil dia tetapi dengan upaya tuankulah lain daripada tuanku tiada dapat bicarakan dia.

Sebermula jikalau tuanku hendak mengambil Syahrum Dewa Perba Raksa itu ada seekor anak raja kera baharu jadi juga pada zaman ini duduk di bukit Jabal Qus di dalam rimba Rihal Al Ajab hampir dengan bukit Qaf. Raja kera itu terlalu sakti dan gagah perkasanya ialah yang dapat mengambil anak nenek itu Syahrum Dewa Perba Raksa keluar dari dalam perut sang naga Maha Dera Gangga itu. Akan raja kera itupun asalnya daripada manusia juga demikianlah tuanku yang nenek lihat di dalam nujum nenek ini. Syahdan kerana inilah maka sangat nenek minta doakan tuanku datang kemari”.

Setelah di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan kata maharaja Sura itu maka adalah sukacita sedikit di hati baginda. Kemudian lalu katanya “Hai nenekku di sebelah manakah bukit Jabal Qus itu” maka sahut maharaja Perba Sura “Ya tuanku akan bukit tempat negeri raja kera itu pada sebelah Masyrik itulah terlalu jauh dari sini dan amat jauh daripada desa yang lain”. Maka di isyaratkan oleh maharaja Perba Sura seperti yang di lihat di dalam nujumnya itu kepada Asma Dewa Pekerma Raja. Setelah sudah maka kata Asma Dewa Pekerma Raja “Hai nenekku hamba hendak bermohonlah kepda nenekku hamba” maka sahut maharaja Perba Sura “Silakanlah tuanku”.

Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berjabat tangan dengan maharaja Perba Sura maka maharaja Perba pun meminta doakan Asma Dewa Pekerma Raja pergi itu. Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun turunlah dari balai itu lalu berjalanlah di iringkan oleh menteri Perdana Dewa lalu berjalanlah masuk ke dalam rimba belantara itu menuju ke Masyrik seperti isyarat maharaja Perba Sura itulah demikianlah di ceterakan oleh orang yang empunya cetera ini.

Sebermula tersebutlah perkataan maharaja Belia Sakti duduk bertapa di bukit Jabal Qus serta dengan anaknya Sang Mahabat itu. Maka datanglah usia umur Sang Mahabat itu tiga tahun maka terlalu gagah perkasa dan saktinya tiada berlawan lagi pada masa itu. Pada suatu hari maharaja Belia Sakti kedua beranak itu turun daripada pertapaannya duduklah ia berkata dengan anaknya maka maharaja Belia Sakti pun teringatlah akan hal dirinya menjadi demikian itu maka maharaja Belia Sakti pun menangislah bercucuran air matanya. Maka di lihatnya oleh Sang Mahabat akan bapanya menangis itu maka katanya “Ya ayahanda maka mengapa tuanku menangis ini apakah sebabnya”.

Setelah di dengar oleh maharaja Belia Sakti akan kata anaknya itu maka sahutnya “Hai anakku Mahabat suatu pun tiada apa mula kerananya sahaja air mataku hendak keluar”. Adapun sebab maharaja Belia Sakti menyembunyikan rahsia dirinya itu kepada anaknya Sang Mahabat itu kerana di lihatnya akan Sang Mahabat itu terlalu sakti dan gagah beraninya kalau2 di tahunya akan ada raja2 di dalam alam dunia ini lain daripada bangsanya kalau2 di serangnya dan di perbinasakannya menjadi sia2lah ia bertapa minta doa kepada tuhan seru alam hendak kembali menjadi manusia itu demikianlah fikirnya.

Syahdan setelah di dengarnya oleh Sang Mahabat akan kata bapanya maharaja Belia Sakti itu maka kata Sang Mahabat pula “Ya tuanku pada fikir hambamu tiada sekali demikian seperti sabda ayahanda itu. Syahdan jikalau tiada kilat atau guruh petir tiada sekali akan turun hujan sahaja juga ayahanda sembunyikan kepada hamba”. Setelah di dengarnya oleh maharaja Belia Sakti akan kata anaknya itu maka tiadalah terbicara lagi di dalam hatinya lalu ia berdiamlah dirinya. Setelah di lihatnya oleh Sang Mahabat akan kelakuan bapanya berdiam dirinya itu makin sebagai di tanya oleh Sang Mahabat lalu katanya “Ya tuanku mengapakah ayahanda menyembunyikan rahsia kepada hamba. Tiadalah kasih rupanya dan tiada harap rupanya ayahanda akan hamba. Jikalau tiada demikian melainkan baiklah hamba pergi barang kemana membuangkan diri hamba kerana tiada kasih dan di harap oleh ibubapa”.

Demi di dengarnya oleh maharaja Belia Sakti akan kata anaknya hendak pergi membuang dirinya itu maka iapun fikir di dalam hatinya “Adapun jikalau tiada kukatakan segala rahsiaku ini kepada anakku Sang Mahabat itu entah kalau ia pergi sungguh membuangkan dirinya siapa tahu. Jikalau demikian baiklah kukatakan kepadanya jikalau ia pergi kemana2 pun supaya boleh aku bersama2 dengan dia”. Setelah demikian fikirnya maka lalu katanya “Hai anakku Mahabat adapun sebab ayahanda menangis ini oleh terkenang aku akan untungku menjadi demikian ini. Adapun akan ayahanda ini bukan daripada bangsa binatang benar2 ini kerana aku ini daripada bangsa manusia daripada bangsa Anrang. Akulah seorang raja besar juga di dalam alam ini dan segala raja2 Anrang semuanya di dalam hukumku. Syahdan namaku baginda Anrang Mengindera Gemala Sakti. Adapun sebab aku menjadi demikian dan datang ke rimba ini sebab kerana aku tewas berperang dengan anak raja manusia daripada bangsa keinderaan”.

Setelah di dengarnya oleh Sang Mahabat akan kata bapanya itu maka iapun baharulah tahu akan bapanya itu bukan binatang benar daripada bangsa yang mulia. Maka iapun terlalulah sukacita hatinya lalu ia berkata pula “Ya ayahanda ceterakanlah kepada hamba segala ehwal ayahanda dari mulanya hingga sampai kesudahannya supaya hamba ketahui”. Setelah di dengarnya oleh maharaja Belia Sakti akan kata anaknya itu maka di ceterakannyalah segala peri hal ehwalnya daripada permulaannya hingga datang kesudahannya. Maka Mahabat pun hairanlah mendengar cetera bapanya itu kemudian maka lalu kata Mahabat “Ya ayahanda jikalau demikian biarlah hamba pergi membalas perbuatannya Asma Dewa Pekerma Raja kepada ayahanda itu dan Asma Dewa Pekerma Raja itupun hamba tangkap bawa kemari kepada ayahanda. Syahdan segala raja2 di dalam alam ini pun hamba taklukkan”.

Demi di dengarnya oleh maharaja Belia Sakti akan kata anaknya itu maka iapun fikir di dalam hatinya “Adapun akan anakku ini lagi muda dan belum pernah ia merasai perang. Sungguhlah ia sakti dan gagah perkasany tetapi akal kurang kepadanya. Syahdan di dalam dunia ini berlebih dan berkurang dan berlawanan jikalau demikian baiklah kulihat di dalam nujumku akan petuanya anakku ini” maka maharaja Belia Sakti pun lihat nujumnya seketika. Setelah sudah maka di lihat oleh Mahabat akan bapanya berdiam diri itu maka katanya pula “Ya ayahanda mengapa maka hamba berkata demikian tuanku berdiam diri ini”.

Maka sahut maharaja Belia Sakti “Hai anakku Mahabat adapun aku melihat di dalam tilikku akan engkau hendak pergi berperang dengan Asma Dewa Pekerma Raja itu dan menangkap dia bawa kemari itu dan hendak pergi mengalahkan segala raja2 isi alam ini. Maka kulihatkan segala raja2 di dalam alam ini dapatlah engkau melawan dia. Adapun akan anak raja manusia Asma Dewa Pekerma Raja itu tiadalah dapat engkau melawan dia. Jangankan kiranya menangkap dia jikalau engkau melawan dia seperti aku dahulu itulah”. Setelah di dengarnya oleh Mahabat akan kata bapanya itu maka sahutnya pula dengan dukacitanya “Ya ayahanda apakah sebabnya maka Asma Dewa Pekerma Raja itu tiada dapat hamba melawan dia daripada saktinyakah atau daripada gagah perkasa beraninyakah dan betapa daya upaya kita akan dia”.

Maka kata maharaja Belia Sakti pula “Hai anakku adapun akan Asma Dewa Pekerma Raja itu jadi tiada dapat engkau melawan dia dan segala raja2 isi alam ini melawan dia sebab kerana pustakanya terlalu keras dan bukan daripada sebab kesaktiannya dan gagah perkasa beraninya. Adapun akan anakku jikalau hendak mahsyur nama engkau di dalam dunia ini melainkan pergilah engkau khidmat kepadanya menjadi hulubalangnya dan jikalau anakku pergi menaklukkan segala raja2 yang lain hendakkan mahsyur namanya nescaya akhirnya berlawannyalah engkau dengan dia kerana ialah akan menjadi raja segala alam ini. Kulihat sebagai pula baiklah anakku pergi khidmat kepadanya kerana akan saudaramu puteri Mengindera Ratna Gemala itupun sudah di ambilnya akan isteri dan akan saudaramu Anrang Gemala Dewa Syah Peri itu pun di peliharakannya”.

Setelah di dengarnya oleh Mahabat akan kata maharaja Belia Sakti itu maka baharulah sukacita sedikit hatinya terlalu inginlah di hatinya hendak bertemu dengan Asma Dewa Pekerma Raja itu. Maka lalu katanya “Ya ayahanda jikalau demikian hamba hendak bermohonlah kepada ayahanda hendak pergi mendapatkan Asma Dewa Pekerma Raja itu. Jikalau sudah bertemu segera juga hamba kembali mendapatkan ayahanda. Syahdan minta ayahanda lihatkan sekarang di manakah duduknya Asma Dewa Pekerma Raja itu supaya mudah hamba dapatkan”. Setelah di dengar oleh maharaja Belia Sakti akan kata anaknya itu maka ia pun menilik pula maka di lihatnya akan Asma Dewa Pekerma Raja itu adalah berjalan pada suatu padang hampir dengan rimba Rihal Al Ajab itulah dua orang dengan Perdana Dewa.

Setelah sudah lalu katanya kepada Mahabat “Hai anakku adapun akan engkau baiklah pada ketika inilah engkau pergi mendapatkan dia Asma Dewa Pekerma Raja itu. Akan sekarang kulihat adalah ia di padang di tengah rimba itu juga berjalan dua orang dengan menterinya yang bernama Perdana Dewa itu apakah di carinya aku tiada tahu”. Setelah di dengar oleh Mahabat akan kata bapanya itu maka iapun bermohonlah seraya sujud kepada kaki bapanya. Maka di peluk di cium maharaja Belia Sakti akan anaknya seraya katanya “Hai anakku apabila ada suatu pekerjaanmu yang amat besar segeralah engkau kembali memberi tahu aku”. Setelah sudah maka Mahabat pun berjalanlah mencari batu yang teguh akan tempatnya bertanggah melompat itu kerana pada fikirnya jikalau berjalan kalau lambat.

Syahdan akan segala raja kera beruk lotong gonggong gegah siamang itu seorang pun tiada tahukan Mahabat pergi itu di sangkanya duduk bertapa juga. Syahdan akan Mahabat pun bertemulah dengan suatu batu yang besar di atas bukit Jabat Qus itu maka iapun naiklah ke atas batu itu bertangkar lalu melompatlah ke padang tengah rimba itu kepada tempat Asma Dewa Pekerma Raja berjalan itu. Adapun dari bukit Jabal Qus itu ke tepi rimba Rihal Al Ajab itu di ceterakan akan orang yang empunya cetera tujuh bulan perjalanan jauhnya maka dengan sekali lompat Mahabat juga ia pun jatuhlah ke tepi padang itu.

Sebermula adapun pada tatkala itu akan Asma Dewa Pekerma Raja berjalan dengan menteri Perdana Dewa sampailah ke tepi rimba Rihal Al Ajab itu kerana baginda berjalan itu terlalulah pantasnya dan betulnya menuju ke bukit Jabal Qus itu sebab sudah di isyaratkan oleh maharaja Perba Sura. Syahdan setelah sampailah Asma Dewa Pekerma Raja ke tepi rimba itu maka titah baginda kepada menteri Perdana Dewa “Hai saudaraku Perdana Dewa pada fikir hamba inilah gerangan yang bernama rimba Rihal Al Ajab yang di katakan oleh maharaja Perba Sura itu kerana rimba ini terlalulah besarnya dan kayu kayannya pun terlalu sangat tinggi belaka. Syahdan di dalam rimba inilah bukit Jabat Qus tempat raja kera itu”.

Maka sembah menteri Perdana Dewa “Sungguhlah seperti titah tuanku itu kerana seumur patik mengiringkan duli tuanku berjalan ini tiada pernah bertemu dengan rimba yang demikian ini pohon kayunya terlalu tinggi seperti bukit”. Maka kata Asma Dewa Pekerma Raja pula “Marilah kita masuk ke dalam rimba ini” lalu baginda berjalan hendak masuk ke dalam rimba Rihal Al Ajab itu. Maka tatkala itu di lihat oleh Mahabat akan Asma Dewa Pekerma Raja berjalan dengan menteri Perdana Dewa itu di lihatnya orang muda dua orang yang seorang itu terlalu amat elok rupanya cahaya mukanya gilang gemilang dengan sikapnya pun terlalu pantasnya memakai pakaian yang indah2.

Maka di dalam hati Mahabat “Inilah gerangan yang di katakan oleh bapaku anak raja manusia yang bernama Asma Dewa Pekerma Raja itu dan seorang itu menteri itu kerana kepada rimba ini tiada datang kemari daripada Jin Peri Dewa Mambang Indera Cendera Dewa Raksasa pun tiada pernah kemari”. Maka lalu di dapatkannya seraya fikir di dalam hatinya “Baiklah aku cuba dahulu akan anak raja manusia ini jikalau ia sungguh seperti kata bapaku itu tiadalah di endahkannya”. Setelah demikian maka Mahabat pun mencita kesaktiannya dengan seketika juga maka iapun menjadilah seorang gergasi terlalu besarnya seperti akan terlindunglah rimba Rihal Al Ajab itu olehnya dan tingginya seperti sampai ke langit.

Maka ia pun datanglah kepada Asma Dewa Pekerma Raja berjalan dengan suaranya seperti halilintar membelah matanya merah seperti api bernyala datang menuju kepada Asma Dewa Pekerma Raja. Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun terkejut serta dengan menteri Perdana Dewa mendengar suara gergasi itu maka baginda pun menujulah. Maka di lihatnya seorang gergasi terlalu amat besar dengan tingginya seperti sampai ke langit datang dari hadapannya dengan suaranya seperti halilintar membelah matanya seperti api bernyala2. Maka menteri Perdana Dewa pun terlalu hebat dengan takutnya melihat gergasi itu lalu katanya kepada Asma Dewa Pekerma Raja “Ingat2 tuanku gergasikah atau hantukah datang hendak menangkap kita ini”.

Syahdan adapun akan Asma Dewa Pekerma Raja tiada ia dahsyat dan takut akan gergasi itu sekadar hebat juga melihat dia. Maka sahut Asma Dewa Pekerma Raja “Hai saudaraku jangan tuan hamba takut tuhan seru alam ada memeliharakan kita” seraya baginda mengeluarkan anak panahnya di kenakan kepada busarnya menantikan gergasi itu datang hampir kepadanya.Sebermula maka di lihatnya oleh gergasi itu akan Asma Dewa Pekerma Raja itu suatu pun tiada di endahkannya akan dia itu jangankan ia lari tampil pula ia dengan panahnya terlalu sakti pinggangnya hendak memanah dia itu.

Maka gergasi itupun ghaiblah lalu ia menjadikan dirinya seorang puteri terlalu amat elok rupanya cahaya mukanya gilang gemilang tiada dapat di tentang nyata. Maka iapun datanglah dari belakang Asma Dewa Pekerma Raja seraya berseru2 dengan suaranya terlalu merdu katanya “Ayuhai raja Asma Dewa Pekerma Raja nantilah hamba seketika hendak berkata2 dengan kekanda. Hambalah puteri anak raja Jin daripada sangat berahikan kekanda maka datang kemari ini”. Sebermula akan Asma Dewa Pekerma Raja di lihatnya akan gergasi itu ghaiblah tiada kelihatan lagi maka iapun berjalan pula maka di dengarnya bunyi orang berseru2 akan dia di belakangnya itu.

Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun menoleh sedikit di lihatnya seorang perempuan maka baginda pun tahulah akan bencana juga. Maka pura2 tiada di lihatnya ia berjalan juga maka oleh puteri itu makin di serunya maka kata menteri Perdana Dewa “Ya tuanku perempuan anak raja rupanya menyeru duli tuanku minta nanti itu”. Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berpaling seraya memegang panahnya lalu katanya “Hai perempuan celaka bedebah nantilah olehmu rasai bekas tanganku. Jangan di sini banyak lakumu” hendak di panahnya akan perempuan itu.

Setelah di lihat oleh Mahabat akan Asma Dewa Pekerma Raja hendak memanah dia itu maka iapun ghaiblah seraya mencita kesaktian dengan seketika juga kelam kabut gelap gelita suatu pun tiada kelihatan lagi. Langit pun tiada kelihatan lagi oleh sangat kelam zholamat itu maka di lihat oleh Asma Dewa Pekerma Raja dengan seketika kelam zholamat gelap gulita itu tiada dapat apa kelihatan lagi. Maka baginda pun hairanlah seraya fikir di dalam hatinya “Apa juga yang memberi bencana demikian ini” lalu baginda mencitakan kesaktian maka dengan seketika itu juga maka yang kelam zholamat itupun teranglah seperti sedia pula. Adapun akan Mahabat sudah ia mengembalikan rupanya sedia datanglah ia berjalan mendapatkan Asma Dewa Pekerma Raja.

Syahdan akan Asma Dewa Pekerma Raja di lihatnya yang kelam zholamat itu telah hilanglah di lihatnya pula seekor kera terlalu indah2 warna bulunya seperti zamrud dan suatu mahkota di kepalanya dan sembilan belas tebu2 ekornya dari intan yang bercahaya2. Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun hairanlah di dalam hatinya “Binatang inilah rupanya yang mencuba aku tadi. Entah inikah gerangan raja kera itu mengapa pula maka duduk di sini kerana raja kera itu duduk bertapa di atas bukit Jabal Qus” maka pura2 tiada di lihatnya akan Mahabat itu.

Syahdan akan Mahabat di lihatnya akan Asma Dewa Pekerma Raja berjalan itu tiada ia menoleh kekiri dan kekanan maka Mahabat pun datanglah lalu ia berkata dengan bahasa manusia katanya “Hai orang muda siapa nama tuan hamba ini dan dari manakah datang kemari ini dan hendak kemanakah tuan hamba pergi”. Demi di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja dan menteri Perdana Dewa akan kera itu berkata2 dengan bahasa manusia dengan fasih lidahnya maka iapun hairanlah. Maka baginda pun berhentilah daripada jalan itu lalu sahut baginda “Hai handaiku hambalah yang bernama Asma Dewa Pekerma Raja anak Syah Mengindera Pekerma Dewa raja di negeri Ramaian Dura Alam dan Syah Mengindera Pekerma Dewa itu anak baginda Syah Benua Indera Sakti yang bertapa di gunung Mercu Gemala itu. Adapun akan hamba kemari ini amat lanjutlah riwayatnya melainkan handaiku katakan nama handaiku dahulu kepada hamba supaya hamba ceterakan ehwal hamba”.

Demi di dengarnya oleh Mahabat akan kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka Mahabat pun datanglah sujud kepada kaki Asma Dewa Pekerma Raja seraya katanya “Ya tuanku raja Asma Dewa Pekerma Raja sungguhlah tuanku anak raja besar dengan saktinya maka sampai ke tempat ini kerana tiada pernah manusia sampai kemari. Adapun tuanku hendak tahukan nama patik2lah yang bernama Sang Mahabat anak maharaja Belia Sakti raja segala binatang yang dalam rimba ini”. Demi di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan kata Mahabat itu maka baginda pun terlalulah sukacitanya seraya baginda memberi hormat akan Mahabat lalu kata baginda pula “Hai handaiku Sang Mahabat berbahagialah hamba bertemu dengan handaiku. Adapun akan hamba kemari ini pun mencari tuan hambalah” lalu di ceterakannyalah oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan peri baginda mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu dan peri di suruh maharaja Perba Sura ia datang ke bukit Jabal Qus mendapatkan Mahabat itu daripada permulaannya hingga sampai kesudahannya.

Setelah di dengarnya oleh Mahabat akan cetera Asma Dewa Pekerma Raja itu iapun hairanlah kemudian kata Asma Dewa Pekerma Raja pula “Hai handaiku mengapa maka tuan hamba duduk di sini sorang2 ini”. Maka oleh Mahabat di ceterakannyalah kepada Asma Dewa Pekerma Raja akan peri hal ehwal di suruh oleh bapanya maharaja Belia Sakti ia mendapatkan baginda itu daripada permulaannya hingga sampai kesudahannya. Maka baginda pun hairanlah mendengar cetera Mahabat itu maka kata Mahabat pula “Ya tuanku besarnya untung patik bertemu dengan tuanku ini”. Syahdan adapun akan pekerjaan raja raksasa gua Setia Zholamat di telan oleh sang naga Maha Dera Gangga itu jikalau tiada ia mati janganlah tuanku dukacita hati patiklah pergi mengambil dia keluar dari dalam perut naga itu. Duduklah tuanku di sini biarlah patik pergi seorang patik juga mengambil dia sekarang ini dan akan raja Jin ketiga itu pun patik tangkap bawa kemari dan negerinya pun patik perbinasakan”.

Setelah di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan kata Mahabat itu maka sahutnya “Hai handaiku Mahabat baiklah tetapi hamba hendak pergi serta dengan handaiku melihat temasa kebesaran tuhan seru alam”. Setelah di dengarnya oleh Mahabat kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka katanya “Jikalau demikian silakanlah tuanku syahdan baiklah tuanku naik ke atas belakang patik supaya patik lompatkan agar bangat sampai kita ke laut Sebanan itu kerana terlalu jauh juga dari sini empat puluh hari burung terbang pun tiadakan sampai kesana”.

Setelah Asma Dewa Pekerma Raja mendengar kata Mahabat itu maka terlalulah sukacita hati baginda lalu baginda bertitah kepada menteri Perdana Dewa “Hai saudaraku yang setiawan baiklah dahulu saudaraku masuk duduk di dalam cembul mataya hikmat ini kerana sukar sekali saudaraku akan mengikut Mahabat ini”. Maka sembah menteri Perdana Dewa “Baiklah tuanku dan mana titah duli tuanku tiadalah patik melalui dia tetapi barangkali suatu pekerjaan tuanku yang besar segeralah tuanku mengeluarkan patik”. Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun mengeluarkan cembul mataya itu dari dalam ikat pinggangnya maka menteri Perdana Dewa pun di masukkan oleh baginda ke dalam cembul mataya itu ghaiblah maka Mahabat pun takjubkan kesaktian Asma Dewa Pekerma Raja itu.

Kemudian maka kata Mahabat “Silakanlah tuanku naik ke atas belakang patik” maka Asma Dewa Pekerma Raja pun naiklah ke atas belakang Mahabat itu maka Mahabat pun membesarkan dirinya sedikit. Setelah sudah maka iapun berjalanlah mencari bukit akan tempatnya bertempu melompat itu setelah bertemulah dengan bukit itu maka Mahabat pun naiklah ke atas batu itu lalu ia melompatlah menuju ke laut Sebanan itu. Maka dengan sekali lompat itu juga Mahabat pun jatuhlah ke tepi laut Sebanan itu. Adapun akan Asma Dewa Pekerma Raja pada tatkala Mahabat melompat itu lenyaplah rasanya tubuh baginda suatu pun tiada dapat kelihatan.

Setelah jatuhlah ke pantai itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun turunlah dari belakang Mahabat itu maka di lihatnya laut itu terlalu luasnya dan ombaknya terlalu besarnya dan tepi pantai itu terlalulah permainya. Maka kata Asma Dewa Pekerma Raja “Hai handaiku inikah laut Sebanan itu” maka sahut Mahabat “Ialah tuanku”. Maka titah Asma Dewa Pekerma Raja “Hamba pun lupa akan dia kerana hamba pun sudah sampai ke laut ini mencari Syahrum Dewa Perba inilah dan di hujung laut sebelah maghrib ini negeri raja Zanggi itu dan akan negeri raja Jin itu di sebelah masyrik ini rupanya akan naga Maha Dera Gangga itu di dalam laut inilah rupanya”.

Kelakian maka kata Mahabat “Ya tuanku duduklah tuanku di sini patik hendak turunlah ke dalam laut ini mencari sang naga Maha Dera Gangga itu kerana tiada ia timbul pada ketika ini”. Maka sahut Asma Dewa Pekerma Raja “Pergilah hai handaiku tetapi ingat2 handaiku” maka Mahabat pun bermohonlah kepada Asma Dewa Pekerma Raja lalu ia berjalanlah menyelam ke dalam laut itu. Adapun Asma Dewa Pekerma Raja baginda berdirilah di tepi ombak itu melihatkan kelakuan Mahabat itu dan hendak melihat temasa Mahabat dengan sang naga Maha Dera Gangga itu.

Sebermula akan Mahabat setelah ia turunlah menyelam ke dalam laut lalu ia ke tengah laut itu mencari sang naga Maha Dera Gangga itu. Adapun pada tatkala itu sang naga Maha Dera Gangga itu diam di tempatnya di tengah laut yang maha dalam itu tiada ia menimbul. Akan Mahabat mencari sang naga itu terlalu pantas rupanya menyelam itu kesana kemari. Adapun segala ikan yang besar2 di lihatnya akan Mahabat itu maka di sangkanya akan mangsa di usirnya akan Mahabat hendak di tangkapnya. Maka oleh Mahabat di panjangkan ekornya akan tubuhnya tiada dapat di tangkap oleh segala ikan dan bahaya itu.

Maka sekeliannya datang menangkap ekornya juga maka oleh Mahabat hujung ekornya itu di bentakkannya seraya ia melompat. Maka ikan besar2 yang di telan ekor Mahabat itupun habislah bertimbunan keluar perutnya terjabat oleh di kaitnya oleh ekor Mahabat. Adapun barang ikan kecil di tangkap di kibarkannya oleh Mahabat sekeliannya habislah mati bertimbulanlah bangkainya. Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun hairanlah melihat segala ikan yang besar2 seperti pulau dan bukit itu habis mati bertimbulan bangkainya. Sebermula akan Mahabat sungguh sampai ke tengah laut kepada tempat sang naga Maha Dera Gangga itu maka iapun membesarkan dirinya maka di lihatnya akan sang naga Maha Dera Gangga itu ada diam kepada lubuknya itu.

Syahdan terlalu besarnya mulutnya ternganga seperti sebuah gua maka Mahabat pun datanglah melompat ke hadapan sang naga Maha Dera Gangga itu. Maka terlihatlah oleh sang naga Maha Dera Gangga itu akan Mahabat itu maka di dalam hatinya “Ini aku bertemu dengan suatu mangsaku yang baik kerana tiada pernah aku lihat makanan demikian ini dengan gemuknya”. Maka oleh sang naga Maha Dewa Gangga di usirnya akan Mahabat hendak di tangkapnya maka Mahabat pun fikir di dalam hatinya “Betapa upayaku akan berdapat Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Adapun jikalau kubunuh akan sang naga Maha Dera Gangga ini kalau2 memberi kecelaan Syahrum Dewa Perba Raksa itu kerana ia di dalam perutnya apakah kelak sahutku kepada raja Asma Dewa Pekerma Raja itu. Jikalau demikian baiklah biarlah di telannya aku oleh sang naga ini aku dapatkan Syahrum Dewa Perba Raksa itu di dalam perut sang naga ini”.

Setelah sudah ia fikir maka Mahabat pun berdiam dirinyalah maka sang naga Maha Dera Gangga itupun datanglah seraya mengangakan mulutnya hendak menangkap Mahabat itu. Setelah hampirlah maka Mahabat pun melompatlah masuk ke dalam mulutnya sang naga Maha Dera Gangga itu seraya mengecilkan dirinya maka oleh sang naga itu lalu di telannya akan Mahabat itu. Adapun Mahabat setelah datanglah ke dalam perut sang naga itu maka di lihatnya kelam zholamat maka iapun mencita kesaktiannya maka teranglah rupanya di dalam perut sang naga itu dengan luasnya. Maka di lihatnya akan Syahrum Dewa Perba Raksa adalah terhantar seperti mayat di dalam perut sang naga Maha Dera Gangga itu.

Maka oleh Mahabat akan Syahrum Dewa Perba Raksa itu di ambilnya lalu di kepitnya di bawah ketiaknya maka Mahabat pun membesarkan dirinya lalu di tendangnya akan perut sang naga Maha Dera Gangga itu lalu pecah maka iapun keluarlah dari dalam perut sang naga Maha Dera Gangga itu. Adapun akan sang naga Maha Dera Gangga setelah di rasainya dirinya demikian itu maka terlalulah kesakitannya maka iapun menggulingkan dirinya di tengah laut itu. Seketika timbul seketika tenggelam gempitalah rupanya laut Sebanan itu ombaknya pun seperti akan sampai ke udara rupanya. Adapun akan Asma Dewa Pekerma Raja setelah ia melompat sang naga Maha Dera Gangga itu timbul maka baginda pun melihat dia maka seketika lagi naga itupun matilah bangkainya seperti sebuah pulau yang maha besar rupanya.

Sebermula akan Mahabat membawa Syahrum Dewa Perba Raksa itu sampailah ke darat kepada Asma Dewa Pekerma Raja. Setelah di lihatnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan Mahabat datang membawa Syahrum Dewa Perba Raksa itu maka terlalulah sukacita hati baginda maka Asma Dewa Pekerma Raja pun mengunuskan cincin permata zamrud pada jari manisnya itu lalu di lontarkannya ke bumi maka menjadilah sebuah balai gambang. Maka Syahrum Dewa Perba Raksa pun di suruh baginda letakkan di atas balai itu maka oleh Mahabat di letakkannya Syahrum Dewa Perba Raksa di atas balai itu lalu ia datang sujud menyembah Asma Dewa Pekerma Raja maka di sambut dengan hormatnya seraya berapa2 puji pujian baginda akan dia.

Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun mengambil suatu bekas di bubuhnya air maka baginda pun naiklah ke balai gambang itu seraya mengeluarkan Indera Gemala kesaktian itu di bubuhkannya ke dalam air maka Indera Gemala pun berpusing2lah menyambar2 rupa air itu. Setelah sudah maka di ambilnya baginda lalu di taruhnya ke dalam ikat pinggangnya maka air itupun di siramkannyalah kepada tubuh Syahrum Dewa Perba Raksa. Setelah Syahrum Dewa Perba Raksa tersiram oleh air Indera Gemala itu maka iapun bergeraklah di siram pula oleh baginda maka Syahrum Dewa Perba Raksa pun bersin lalu ia bangunlah seraya menoleh kekiri dan kekanan.

Maka di lihat akan dirinya duduk di atas suatu balai gambang akan Asma Dewa Pekerma Raja pun ada di hadapannya. Maka Syahrum Dewa Perba Raksa pun hairanlah akan dirinya lalu ia menyembah kepada baginda seraya katanya “Ya tuanku mengapa maka kita duduk di sini. Sedapnya patik tidur tiada khabarkan diri lagi” maka Asma Dewa Pekerma Raja pun tersenyum mendengar kata Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Maka lalu sahutnya “Hai saudaraku Syahrum Dewa Perba Raksa tiada saudaraku tidur bukankah saudaraku kena bencana Jin di bawa kemari ke tempat ini. Syahdan inilah laut Sebanan” maka di ceterakannyalah oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan segala peri hal ehwalnya daripada mulanya di ambil oleh raja Jin itu hingga sampai kesudahannya.

Maka Syahrum Dewa Perba Raksa pun baharulah teringatkan dirinya di ambil oleh Jin itu lalu di cekiknya leher Jin itu lalu gugur ke dalam laut itu di telan oleh sang naga Maha Dera Gangga itu. Maka oleh Asma Dewa Pekerma Raja di ceterakannyalah peri Mahabat pergi mengambil dia itu kemudian lalu di tunjukkan Mahabat kepada Syahrum Dewa Perba Raksa. Maka di lihat oleh Syahrum Dewa Perba Raksa akan rupa Mahabat itu sikapnya terlalu perkasa lakunya dan terlalu indah2 rupanya maka iapun hairanlah. Kemudian maka titah Asma Dewa Pekerma Raja “Marilah saudaraku kita mendapatkan dia kerana hamba hendak segera berjalan” lalu baginda turunlah dari balai gambang itu maka cincin permata zamrud itupun di ambilnya oleh baginda di masukkan kepada jarinya maka balai gambang itupun ghaiblah.

Syahdan maka Syahrum Dewa Perba Raksa pun memberi hormat akan Mahabat itu seraya katanya “Besarnya kasih raja di rimba akan hamba”. Maka sahut Mahabat “Janganlah tuan hamba berkata demikian kerana hamba sudah menjadi hamba kepada raja Asma Dewa Pekerma Raja itu melainkan barang pekerjaan baginda itu sekuasa2 hambalah mengerjakan dia”. Kemudian maka sembah Mahabat pula kepada Asma Dewa Pekerma Raja “Ya tuanku marilah kita pergi ke negeri raja Jin itu kita binasakan kerana sangatlah angkaranya berbuatkan duli tuanku” maka sahut Asma Dewa Pekerma Raja “Baiklah hai handaiku”.

Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berkata kepada Syahrum Dewa Perba Raksa “Marilah saudaraku kita pergi membalas perbuatan Jin itu” seraya baginda mencita nama maharaja Perba Sura. Maka Syahrum Dewa Perba Raksa pun menjadilah Petala Indera maka Asma Dewa Pekerma Raja pun naiklah ke atas Petala Indera itu seraya berkata kepada Mahabat “Segeralah handaiku kita pergi ke negeri raja Jin itu”. Setelah di dengarnya oleh Mahabat akan kata Asma Dewa Pekerma Raja itu dan akan Syahrum Dewa Perba Raksa itu menjadi kenderaan baginda maka Mahabat pun hairanlah akan kesaktian arif bijaksana baginda itu lalu katanya “Silakanlah tuanku dahulu patik melompat mengikut dari belakang”.

Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun melayangkan Petala Indera itu ke udara lalu menuju ke gua Khaldum Bahana itu seperti kilat pantasnya. Syahdan akan Mahabat itu berjalan mencari tempat akan melompat itu setelah bertemulah dengan sebuah bukit maka iapun naiklah melompat dari Sebanan menuju ke desa Khaldum Bahana itu. Maka dengan sekali lompat Mahabat itu juga maka iapun jatuhlah ke padang di luar Gua Benderang Empat itu akan Asma Dewa Pekerma Raja belum lagi sampai.

Sumber: Kitab Peperangan Syaitan
Manuskrip Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment