Sunday, 24 April 2016

NASHKAH EKONOMI AGUNG DARI EMPAYAR MAURYA

Arthasastera/Iqhtisad/Ekonomi adalah pengurusan kehidupan, terutama yang melibatkan wang atau tukar barang. Oleh yang demikian, semua bangsa sebenarnya melibatkan diri dalam ekonomi. Maksud asal Ekonomi mungkin sudah agak berbeza pada hari ini dengan tanggapan terhadapnya semakin mengecil,

Ekonomi hanya berkisar tentang kemajuan, upah minimum, kos hidup, dan jika di Malaysia, graduan Ekonomi dianggap graduan kelas kedua. Pemikiran ekonomi pula adalah ilmu yang membantu bangsa itu menguruskan diri mereka sehingga dapat bertahan selama ribuan tahun. Bagaimana pemikiran seumpama itu dapat menjana pembangunan/kebahagiaan/kebajikan sesebuah bangsa/negara?

[Smith, Pemikir Ekonomi Tajaan Barat]

Smith menerusi karya beliau yang paling terkenal, The Wealth of Nations dianggap sebagai penyelamat bangsa Inggeris. Sebelum Smith, masyarakat hanya menganggap kekayaan negara adalah menerusi emas dan perak (Walaupun ini adalah prinsip kekayaan yang lebih bermakna berbanding wang fiat pada hari ini).Ada baiknya jika beberapa idea Smith ini dibentangkan terlebih dahulu, contohnya

(a) Smith menolak pemikiran merkantilis

Anggapan bahawa kepentingan eksport mendahului import, atau negara perlu mengeksport sahaja tanpa mengimport ditolak oleh Smith. Tujuan utama merkantilis adalah menjaga akaun imbangan perdagangan, menerusi emas dan guna tenaga domestik. Menurut Smith, apabila perdagangan bebas dijalankan maka kedua pihak akan mendapat faedah. Kemudian pengkhususan dalam pengeluaran akan membuatkan ekonomi bidangan lebih cekap.

(b) Tangan ghaib

Kerajaan seharusnya mengurangkan campur tangan dalam ekonomi, kerana campur tangan tidak memberi faedah. Pasaran dianggap akan membetulkan ketidakseimbangan dalam jangka pendek dengan sendirinya.

Pemikiran ini hanya mampu bertahan, hingga pertengahan 1900 kerana apabila Kemurungan Besar berlaku, ternyata konsep Smith tidak lagi terpakai pada waktu itu. Bayangkan berpuluh penjual epal melonggokkan jualan mereka di sepanjang jalan dan tidak ada siapa yang mampu untuk membelinya! Itu hanyalah cebisan pemikiran Smith, tapi perkara itu tidak akan dibincangkan dengan lanjut dalam makalah ini.

[Arthashastra, 2000 tahun sebelum Smith]

Sesuatu yang agak mendukacitakan sebenarnya di Malaysia, kerana hanya karya Smith yang banyak diangkat dalam mata kuliah Sejarah Pemikiran Ekonomi. Justeru menerusi makalah ini, kami menawarkan pandangan alternatif yang sesuai diberikan perhatian.

Arthashastra (Bermaksud sains/sastera pengurusan/harta) adalah karya agung kerajaan Maurya di India. Dikarang sekitar 321 – 296 Sebelum Masihi.Karya ini merangkumi beberapa pecahan perkara penting iaitu strategi peperangan, ilmu kepolisan, dasar ekonomi, ilmu Sains seperti Fizik, Forensik dan Kimia, panduan peperiksaan memasuki perkhidmatan awam, di samping panduan am tata pengurusan negara. Beberapa pandangan wujud untuk menjelaskan nama pengarang sebenar Arthashastra.

Terdapat tiga nama utama iaitu Kautilya, Vishnugupta dan Chanakya. Namun nama yang kekal bagi pandangan arus perdana adalah Kautilya. Perbahasan tentang nama – nama ini dapatlah dirujuk menerusi Shamasastry (1967). Terdapat beberapa subbahagian dalam Arthashastra tentang dasar ekonomi yang akan kami sentuh dalam bahagian seterusnya.

[Pembayaran Hutang]

Umumnya, sistem pinjaman dan pembayaran hutang menurut Arthashastra adalah seperti berikut.

(a) Kadar bunga pana dan suku peratus sebulan adalah adil/piawai.

(b) Lima panas peratus sebulan adalah kadar bunga komersial, atau “vyahariki.”

(c) Sepuluh panas peratus sebulan dikenakan jika berada peminjam dan pemberi pinjam berada di dalam hutan.

(d) Dua puluh panas peratus sebulan adalah kadar bunga yang wajar antara pedagang, atau “samudranam.”

Bagi sesiapa yang mengenakan kadar bunga melebihi kadar dinyatakan, mereka akan didenda manakala sesiapa yang bersubahat pula didenda separuh kadar berbanding si pelaku.

Bagaimana pula dengan hutang bagi perniagaan?

(a) Kadar bunga atas bijirin semasa musim tuaian yang baik tidak boleh lebih daripada separuh nilai bijirin tersebut apabila dinilai dalam wang.

(b) Kadar bunga pada saham/pemilikan perniagaan, atau “prakshekpa” adalah setengah daripada keuntungan, dan dibayar secara berkala.

(c) Jika hutang dibenarkan untuk bertambah, sama ada dengan niat atau penghutang tersebut berada di luar kawasan, maka jumlah pembayaran akan menjadi dua kali ganda daripada jumlah asal.

(d) Sesiapa yang mendakwa kepentingan/faedah yang tidak sepatutnya, maka akan didenda empat kali lebih tinggi berbanding jumlah yang didakwa.

(e) Pemberi hutang yang meminta jumlah bayaran hutang dengan tidak munasabah, contohnya empat kali ganda lebih tinggi, maka akan didenda sebanyak itu juga.

Beberapa kes tertentu juga diperuntukkan bagi masalah pembayaran hutang.

(a) Jika yang berhutang menghidap penyakit berbahaya, ditahan dalam rumah gurunya untuk belajar, dan terlalu miskin, maka hutang tersebut tidak perlu dibayar.

(b) Pemberi hutang yang tidak mahu menerima hutangnya semula akan didenda 12 panas. Jika penolakan itu berpunca daripada sebab yang munasabah, maka jumlah pinjaman asal akan disimpan oleh perbendaharaan negara bagi kebaikan masyarakat.

(c) Anak kepada penghutang yang mati perlu membayar hutang serta faedahnya.

(d) Suami akan ditangkap jika isteri tidak membayar hutang, namun isteri tidak akan ditangkap jika sebaliknya. Jika suami tersebut tidak mengaku dan tidak mahu membayarnya, maka saksi akan dipanggil.

Umumnya, tiga saksi diperlukan dan orang berkepentingan dalam sebutan kes termasuk yang pernah dipenjarakan tidak layak menjadi saksi. Budi bicara hakim/raja turut diambil kira jika terdapat saksi yang bercanggah.
“Pana” bermaksud emas, perak, syiling/wang yang secara umumnyadianggap piawai bagi wang komoditi.

Beberapa contoh unit terbitan daripada unit piawai ini adalah

“Dwipanya” = 2 panas
“Utksepana” = 16 panas
“Pajcazatpanika” = 50 panas

Sistem hutang dan pembayaran semula seperti ini menunjukkan bahawa pada masa tersebut sudah wujud satu sistem seperti urus niaga yang terurus. Kerajaan pada masa itu juga tidak mengabaikan golongan miskin kerana mereka akan dilindungi jika tidak mampu untuk melunaskan hutang.

[Deposit/Harta]
Arthashastra menjelaskan bahawa harta yang disimpan pada tempat simpanan (Fungsinya boleh dikatakan seperti tempat cagaran, kerana kami tidak menjumpai bukti untuk mengatakannya adalah seperti bank pada hari ini)tidak boleh dituntut semula jika

(a) Diserang musuh
(b) Apabila kerajaan dimusnahkan
(c) Berlaku kebakaran atau banjir besar
(d) Kapal dagang yang sarat muatan karam di tengah lautan atau diserang lanun

Tempat simpanan/pemegang amanah yang menyimpan harta jika didapati menggunakan harta tersebut untuk kepentingan peribadi maka denda yang akan dikenakan adalah

(a) Membayar pampasan, atau “bhogavetanam”
(b) Denda 12 panas
(c) Denda 24 panas jika penyimpan amanah menggunakan deposit tersebut dan nilainya semakin berkurang
(d)Kematian/bencana yang menimpa tempat simpanan tidak boleh meletakkan bebannya kepada simpanan deposit
(e)Jika deposit tersebut dijadikan cagaran/dijual/hilang, maka ganti nilai sebanyak empat kali ganda akan dikenakan, malah denda lima kali seperti nilai yang tercatat, atau “panchabandho dandah”

Peraturan umum ini turut terpakai pada barang cagaran, dengan beberapa penambahan seperti

(a) Penerima cagar yang tidak memulangkan cagaran sedangkan orang cagar sudah bersedia menebusnya akan didenda 12 panas
Dan harta yang masih dalam pesanan, atau “adesa” dan harta yang sedang dibawa untuk diserahkan kepada orang ketiga, atau “anvadhi” dengan penambahan beberapa keadaan seperti

(a) Penghantar barang/harta yang mati/dirompak barang tersebut semasa dalam perjalanan, tidak perlu bertanggungjawab, begitu juga saudara terdekatnya

[Perdagangan Antarabangsa]

Arthashastra menjelaskan kepentingan import terhadap sesebuah negara di samping eksport. Import dapat membekalkan sesebuah kerajaan dengan barang yang tidak dapat dihasilkan di dalam negara tersebut. Prinsip ini juga dijelaskan oleh David Ricardo, menerusi pemikiran beliau tentang kelebihan bandingan. Kelebihan bandingan menjelaskan bahawa sesebuah negara yang maju tidak semestinya sentiasa berdaya saing berbanding negara membangun. Keadaan ini berbeza dengan prinsip kelebihan mutlak. Contohnya adalah seperti berikut.

Daya pengeluaran satu tahun bagi satu buruh. Andaian awal hanya ada dua negara dan dua barang.

X Y
Gandum 30 20
Keluli 50 10

Negara X mempunyai kelebihan mutlak berbanding negara Y, bagi gandum dan keluli. Ini bermaksud negara membangun seperti Y tidak sesuai berdagang dengan X kerana hanya akan mendapat kerugian. Tetapi kelebihan bandingan dapat menjelaskan bahawa X mempunyai kelebihan bandingan dalam keluli, sementara Y dalam pengeluaran gandum.

Justeru menurut Ricardo, selagi wujud kelebihan bandingan, maka selagi itulah wujud hasil daripada perdagangan, tidak kira sama ada satu negara mempunyai kelebihan mutlak yang tinggi. Pandangan oleh Arthashastra dan Ricardo ini ternyata berbeza dengan pendirian majoriti negara membangun pada hari ini, termasuk Malaysia.

[Ekonomi Percukaian]

Urusan perbelanjaan dan percukaian menurut Arthashastra adalah berdasarkan tiga prinsip utama
a) Kuasa mengutip cukai adalah terhad
b) Cukai perlu tidak membebankan atau layanan keistimewaan kepada orang tertentu
c) Peningkatan cukai perlu secara berjadual

Menerusi tiga prinsip ini, jelas bahawa kerajaan yang stabil dan kuat perlu mempunyai satu sistem cukai yang mantap. Cukai tidak salah untuk dikutip tetapi ia perlu adil kepada rakyat. Seterusnya siapa yang perlu dikenakan cukai? Arthashastra menjelaskan bahawa cukai akan dikenakan kepada

a) Cukai pendapatan
b) Cukai harta dan tanah
c) Cukai urus niaga, termasuk eksport dan import
d) Cukai kepala bagi lelaki dewasa

Bagaimana cukai tersebut perlu dibayar? Ada lima kaedah utama yang digariskan.

a) Emas dan perak
b) Ternakan, contohnya lembu
c) Barangan pertanian
d) Kayu balak, hasil perlombongan
e) Perkhidmatan peribadi, contohnya masyarakat membina sistem jalan raya tanpa
mendapat upah, ganti kepada cukai yang seharusnya dibayar

Perkara terakhir yang perlu dijelaskan adalah, apa maksud jika cukai yang dikenakan adil kepada rakyat? Ada enam penentuan asas.

a) Mudah untuk dibayar
b) Mudah dikira
c) Tidak keterlaluan pada pandangan pentadbir
d) Beban yang setara, maksudnya keseluruhan masyarakat mendapat beban yang sama
e) Kesan cukai adalah neutral terhadap ekonomi
f) Cukai tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi

3.5 Sistem Upah

Upah yang diberi kepada buruh adalah berdasarkan tiga perkara utama.
a) Masa yang digunakan
b) Jumlah barang yang dihasilkan
c) Kemahiran yang diperlukan

Jika terdapat ahli perniagaan yang ingin mengupah pekerja, contohnya dalam industri pertanian, penternakan, jual beli, atur cara pembahagian upah adalah

a) Petani layak mendapat 1/10 daripada hasil pertanian
b) Penggembala layak mendapat 1/10 daripada nilai pasaran ternakan
c) Pekerja jualan layak mendapat 1/10 daripada hasil jualan
Peranan kesatuan sekerja juga dijelaskan, atau istilahnya “Sanghabhrta”. Kesatuan ini bertindak sebagai pelindung kepada tenaga kerja separuh berkemahiran dan kurang kemahiran. Jika di Malaysia, ia menyerupai peranan CUEPACS (Penjawat awam) dan MTUC (Penjawat swasta). Pengurusan tertinggi “Sanghabhrta” akan menilai perjanjian antara pekerja dan majikan tentang kadar upah dan syarat pekerjaan supaya tidak terjadi penindasan.

[Kesimpulan]

Beberapa konsep yang telah kami jelaskan dalam Arthashastra masih sesuai untuk digunakan pada hari ini dengan beberapa pengubahsuaian supaya serasi dengan Ekonomi acuan Melayu dan Islam. Hal ini bukanlah bermaksud mengagungkan tamadun India, tetapi sekurang – kurangnya dapat memberi kesedaran supaya Arthashastra juga wajar ditelaah dalam mata kuliah bidang Ekonomi.

Rujukan:

1. Harunrashid, T. 2014. Penilaian semula prinsip perdagangan antarabangsa, ekonomi percukaian dan sistem upah berasaskan Arthashastra. Pertemuan Ke-4 Kump. Ekonomi & Kewangan ASASI. 21 Jun 2014 : PTSL, UKM.

2. Shaharir, M.Z. 2008. Ekonomi Pembangunan lawan Ekonomi Kebahagiaan. Jurnal Kajian Ketamadunan. 5(1) : 1 – 45.

3. Shamasastry, R. 1967. Kautilya’s Arthashastra . 8th ed., Mysore, India : Mysore Printingand Publishing House.

4. Smith, A. 1776. The Wealth of Nations. Dicetak semula pada 1970. Baltimore : Penguin Books.

-John Harunrashid Nash-

Gambar: Empayar Maruya di India

No comments:

Post a Comment