Saturday, 9 April 2016

Peperangan Syaitan (Kisah burung Petala Indera)

Sebermula maka raja jin Qomar Jalus pun membaca suatu menteranya lalu di hantarnya menuju kepada Asma Dewa Pekerma Raja supaya Asma Dewa Pekerma Raja mengantuk. Setelah sudah di tiupnya menterinya itu kepada Asma Dewa Pekerma Raja itu maka di tiupnya pula kepada segala raja2 dan menteri hulubalang yang di balai kesaktian itu. Setelah sudah maka iapun menantinya akan Asma Dewa Pekerma Raja dan segala raja2 itu mengantuk tiada juga ia mengantuk dan segala yang di balai kesaktian itu pun demikianlah juga. Maka raja jin Qomar Jalus pun hairanlah akan dirinya di dalam hatinya “Kalau2 orang bawa pergi datang inilah gerangannya maka tiada mustajab menteraku ini” di nantinya juga.

Syahdan adapun akan Asma Dewa Pekerma Raja itu tiada ia kena lagi barang kesaktian dan hubatan orang dan ilmu hikmat kerana ia sudah di ajarkan oleh ninda baginda Syah Banu Indera Sakti dan segala yang duduk bersama2 dengan dia itupun tiada kena juga demikianlah di ceterakan oleh orang yang empunya cetera ini. Sebermula akan raja jin Qomar Jalus setelah berapa ketika di nantinya akan Asma Dewa Pekerma Raja akan masuk beradu tiada juga ia masuk beradu maka raja jin Qomar Jalus pun mengeluarkan suatu ubatan yang lain pula. Adapun ubatan itu barang kali di keluarkannya apabila tercium oleh orang baunya sekeliannya khayal mabuk tiada khabarkan dirinya.

Maka ubatan itupun di keluarkannya oleh raja jin Qomar Jalus lalu di taburnya sebelah atas angin maka terciumlah baunya kepada Asma Dewa Pekerma Raja dengan segala yang di balai kesaktian itu bau ubat itu. Maka segala yang di balai kesaktian itu pun masing2 bersungut “Apa juga baunya yang amat pelik segala ini” seorang demi seorang demikian juga katanya setelah itu maka masing2 pun diamlah. Syahdan akan Asma Dewa Pekerma Raja setelah ia mencium bau ubatan hikmat itu maka baginda pun tiadalah sedap hatinya seraya berfikir di dalam hatinya “Apa juga bau yang demikian ini tiada pernah aku mencium bau yang demikian ini tetapi akan bau ni bencana juga rupanya. Siapa tahu kalau ada suatu bencana kepada aku kerana sudah tiga malamlah yang tiada sedap hatiku”.

Setelah sudah baginda berfikir itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun fikir pula “Baiklah aku masuk ke daalam istanaku pura2 tidur supaya bangat berketahuan bencana itu”. Setelah demikian Asma Dewa Pekerma Raja pun bertitah kepada Perdana Dewa “Hai saudaraku Perdana Dewa marilah kita masuk ke istana kerana mata hamba sangat mengantuk hendak tidur”. Setelah di dengar oleh Perdana Dewa titah baginda itu sembahnya “Silakanlah tuanku patik iringkan” maka Asma Dewa Pekerma Raja pun bertitah pula kepada segala raja2 itu “Duduklah tuan2 sekelian bermain kerana hamba hendak tidur seketika” lalu baginda bangkit berjalan ke istana peraduannya di iringkan oleh Perdana Dewa. Adapun istana tempat baginda beradu itu berhubung dengan balai kesaktian itu juga.

Telah sampailah Asma Dewa Pekerma Raja itu ke tempat peraduannya maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berbaring2 di atas tilam peraduannya tetapinya tiada baginda beradu sekadar ia berdiam dirinya juga. Syahdan akan Perdana Dewa pun tidur di luar tirai Asma Dewa Pekerma Raja beradu itu. Adapun akan Perdana Dewa tiada ia tidur kerana ia fikir “Adapun raja Asma Dewa Pekerma Raja ini sudah tiga malam baginda tiada beradu kalau2 datang suatu bencana baginda beradu itu tiada khabarkan dirinya kerana baginda lama berjaga itu” itulah maka Perdana Dewa tiada ia tidur.

Sebermula maka di lihatnya oleh raja jin Qomar Jalus akan Asma Dewa Pekerma Raja sudah masuk ke istananya beradu itu maka terlalulah sukacita hatinya. Adapun peninggalan Asma Dewa  Pekerma Raja masuk beradu itu maka segala raja2 yang di balai kesaktian itupun berasa khayallah rupanya. Maka raja jin Qomar Jalus pun fikir di dalam hatinya “Betapa periku masuk ke peraduan Asma Dewa Pekerma Raja itu kerana segala raja2 ini lagi jaga semuanya. Jikalau demikian baiklah aku menjadikan diriku kucing”. Maka raja jin Qomar Jalus pun menjadikan dirinya seekor kucing hitam terlalu besarnya maka lalu ia berjalanlah ke istana peraduan Asma Dewa Pekerma Raja itu lalu ia masuk ke istana peraduan itu lalu ia duduk di balik tirai itu.

Seketika maka di lihatnya akan Perdana Dewa tidur tiada bergerak lagi itu dan akan Asma Dewa Pekerma Raja pun sudah beradu. Maka raja jin Qomar Jalus pun fikir di dalam hatinya “Betapa perinya aku akan mengambil Asma Dewa Pekerma Raja ini kerana pada ketika ini amat sukar membawa dia kalau2 di lihat orang. Jikalau demikian baiklah kubunuh ia di dalam ketidurannya ini”. Setelah sudah ia fikir itu maka kucing hitam itupun keluarlah dari balik tirai itu lalu ia berjalan menuju genta Asma Dewa Pekerma Raja beradu itu. Adapun akan Asma Dewa Pekerma Raja dan Perdana Dewa tiada ia tidur.

Setelah di dengarnya oleh Perdana Dewa seperti bunyi orang berjalan menuju ke genta peraduan Asma Dewa Pekerma Raja itu maka iapun mengangkatkan kepalanya. Maka di lihatnya seekor kucing hitam terlalu besar maka fikir Perdana Dewa “Dari mana pula datangnya kucing hitam ini memberi hingar baginda beradu itu” kerana di sangkanya kucing sungguh. Maka Perdana Dewa pun segera mengambil suatu kayu lalu ia bangkit bangun mengusir kucing itu hendak di pukulnya dengan kayu itu seraya bersungut katanya “Sicelaka bidaah kucing ini dari mana pula datangnya hendak memberi hingar baginda beradu itu”.

Maka di lihat oleh raja jin Qomar Jalur akan Perdana Dewa datang dengan suatu kayu hendak memukul dia itu maka iapun terkejut lalu ia melompat lari lalu terjun ke tanah maka tiadalah sempat di pukulnya oleh Perdana Dewa. Akan Perdana Dewa setelah di lihatya kucing itu sudah lari terjun ke tanah itu maka ia pun berbaring2 pula. Adapun akan Asma Dewa Pekerma Raja semuanya di dengarnya oleh baginda kelakuan Perdana Dewa dengan kucing hitam itu maka baginda pun berdiam dirinya juga. Syahdan akan raja jin Qomar Jalus setelah ia datang ke tanah maka iapun fikir di dalam hatinya “Nyaris lagi aku di pukulnya oleh Perdana Dewa itu. Kusangkakan ia sudah kena ubatan hikmatku itu akan sekarang tiada ia mengasi rupanya ubat hikmatku ini. Akan Asma Dewa Pekerma Raja itu bagaimanakah entah ia pun tiada tidur siapa tahu jikalau ia jaga sekarang matilah aku di bunuhnya kerana aku lihat pun Asma Dewa Pekerma Raja ini bukan barang2 lagi saktinya dan akan segala raja2 yang di bawahnya itupun banyak yang gagah berani dan sakti2 lakunya”.

Setelah demikian fikirnya maka ia pun ketakutanlah di dalam hatinya lalu ia berjalanlah dari bawah istana peraduan Asma Dewa Pekerma Raja itu lalu ke balai kesaktian itu. Maka di lihat olehnya akan segala raja2 yang di balai kesaktian itu mabuk2 bahasa lakunya banyaklah yang tiada bermain. Adapun akan Syahrum Dewa Perba Raksa di rasai dirinya mabuk lakunya maka iapun fikir di dalam hatinya “Apakah sebabnya aku demikian ini oleh kerana bekas lama berjaga2 itukah gerangannya kerana aku berjaga ini sudah sembilan malam sudah. Jikalau demikian baiklah aku kembali ke khemahku tidur seketika kerana waktu itupun sudahlah hampir dinihari lagi pula hatiku ini tiada sedap sekali perasaanku. Kalau2 ada satu akan bahaya segala raja2 dan menteri hulubalang aku di luar kota itu”.

Maka ia turunlah dari balai kesaktian itu berjalan keluar kota  kesaktian itu maka di lihatnya oleh raja jin Qomar Jalus akan Syahrum Dewa Perba Raksa turun di balai kesaktian itu berjalan hendak kembali ke khemahnya. Maka raja jin Qomar Jalus pun fikir di dalam hatinya “Adapun akan yang membunuh Herman Syah Bujanggi Dewa dan Kerdan Syah Bujanggi Peri itu raja di Gua Setia Zholamat inilah. Adapun akan Asma Dewa Pekerma Raja ini tiadalah dapat aku mengambil dia atau membunuh dia pada ketika ini. Jikalau demikian baiklah aku ambil raja di Gua Setia Zholamat ini daripada aku kembali sahaja kerana datang ke desa ini pun lamalah sudah tujuh belas hari lamanya. Syahdan jikalau boleh aku ambil raja di Gua Setia Zholamat ini pun besarlah juga namaku kepada raja Zangkaya itu dan sangatlah kesukaan juga di hatinya kerana raja di Gua Setia Zholamat inilah yang membunuh anaknya kedua itu”.

Setelah sudah ia fikir itu maka iapun segera berlari2 mengikut Syahrum Dewa Perba Raksa berjalan itu. Adapun akan Syahrum Dewa Perba Raksa setelah ia sampailah ke luar kota kesaktian itu lalu ke khemahnya maka di lihatnya akan segala kaum bala tenteranya setengah tidur setengah lagi jaga duduk makan minum. Maka Syahrum Dewa Perba Raksa pun masuklah ke dalam khemahnya lalu ke genta peraduannya maka ia berkata kepada segala menteri hulubalang yang lagi jaga itu “Berjagalah kamu kerana aku hendak tidur seketika” lalu ia rebah tidur. Setelah ia rebah tidur itu maka ubatan hikmat raja jin Qomar Jalus itupun berasa khayallah maka Syahrum Dewa Perba Raksa pun tidurlah tiada lagi khabarkan dirinya.

Adapun akan raja jin Qomar Jalus tatkala itu ia masuklah ke dalam khemah Syahrum Dewa Perba Raksa itu maka di lihatnya oleh segala yang berjaga itu akan kucing hitam itu maka tiadalah di pedulikan di sangkanya kucing sungguh. Setelah sampai raja jin Qomar Jalus ke balik genta ketiduran Syahrum Dewa Perba Raksa itu maka iapun membalikkan rupanya yang sedia itu lalu ia membaca suatu menteranya. Maka di tiupkannya kepada segala yang jaga itu maka menteri hulubalang raksasanya yang jaga itupun mengantuk tiadalah tertahani lagi lalu ia rebah tidur sekeliannya tiadalah khabarkan dirinya lagi. Maka di lihatnya oleh raja jin Qomar Jalus akan segala kaum raksasa itu bergulingan tiada khabarkan dirinya lagi maka raja jin Qomar Jalus pun keluarlah dari balik genta itu lalu ia mendapatkan Syahrum Dewa Perba Raksa tidur itu.

Maka di lihatnya akan Syahrum Dewa Perba Raksa tidur seperti orang matilah rupanya maka raja jin Qomar Jalus pun terlalulah sukacitanya. Maka lalu di angkatnya akan Syahrum Dewa Perba Raksa di pikulnya lalu di bawanya keluar dari khemahnya itu lalu berjalanlah ke laur  dari dalam bala tenteranya Syahrum Dewa Perba Raksa itu terlalu gopoh2 lakunya berjalan itu. Maka segala kain dan pakaian Syahrum Dewa Perba Raksa itupun berjatuhanlah sepanjang jalan itu tatkala itu seorang pun tiada jaga segala kaum raksasa itu. Setelah jauhlah daripada segala kaum raksasa itu maka raja jin Qomar Jalus pun mengeluarkan kesaktiannya seraya ia membesarkan dirinya lalu ia naiklah melayang dari udara menuju ke desa Khaldum Bahana itu mambawa Syahrum Dewa Perba Raksa itu.

Sebermula setelah diniharilah maka raja dewa Indera Laksana pun menyuruhkan menterinya datang akan mengantarkan makanan kepada segala kaum raksasa yang berjaga2 itu. Maka di lihatnya oleh orang yang mengantarkan makanan itu akan segala kaum raksasa itu habis tidur semuanya sunyi senyap seorang pun tiada yang jaga. Maka fikirnya “Apakah mulanya segala kaum raksasa ini demikian ini apalah sebabnya mabuk makan minum inikah gerangannya” maka lalu di geraknya maka kaum raksasa yang tidur itupun jagalah. Di lihatnya akan segala teman temannya yang berjaga itupun habis tidur semuanya maka lalu di geraknya maka pengulu raksasa itu pun pergilah hendak mendapatkan Arkas Kemandu mengantarkan makan makanan itu.

Maka di lihatnya akan pada tempat Arkas Kemandu itupun semuanya senyap maka iapun masuklah ke tempat ketiduran Arkas Kemandu itu. Maka di lihatnya akan mangkubumi Arkas Kemandu itu tidur tiada khabarkan dirinya sekeliannya berkaparan maka penghulu raksasa itupun hairanlah kerana akan Arkas Kemandu itu sedia kala malam tiada ia tidurnya ia berjaga dengan segala menteri hulubalang raksasa itu berkawal berkeliling kota kesaktian itu. Maka fikir penghulu raksasa itu “Apakah sebabnya demikian ini tidur seorang pun tiada jaga segala kaum raksasa itu. Kalau2 ada juga sesuatunya baiklah aku bangunkan mangkubumi itu jikalau tiada kubangunkan esok hari kalau2 ia gusar kepada aku”.

Setelah demikian fikirnya maka lalu di geraknya akan Arkas Kemandu maka Arkas Kemandu pun sedarlah lalu ia bangun duduk katanya “Mengapa maka engkau membangunkan aku”. Maka sembah penghulu raksasa itu “Ya mangkubumi sebab pun hamba membangunkan mangkubumi ini kerana malam ini lain sekali ketiduran kita sekelian ini. Tatkala menteri raja Deradis Berangga Puri itu datang mengantarkan makan makanan tadi seorang pun tiada jaga segala kaum kita di Gua Setia Zholamat ini. Maka lalu hamba kemari kerana tiada sedap sekali hati hamba tiada pernah selaku ini tidur kita sekeliannya”.

Demi di dengarnya oleh Arkas kata penghulu raksasa itu maka di lihatnya sungguhlah sekeliannya habis tidur berkaparan segala raja2 yang di suruhkan oleh Syahrum Dewa Perba Raksa berjaga2 itupun sekelian habis tidur. Maka oleh Arkas Kemandu di bangunkan segala raja2 itu seraya katanya “Mengapa maka tuan hamba sekelian habis tidur. Bukankah di suruh oleh duli seri maharaja berjaga tadi” maka segala raja2 itu pun bangunlah. Maka Arkas Kemandu pun tiada sedap rasa hatinya lalu ia berjalan pergi kepada tempat peraduan Syahrum Dewa Perba Raksa tidur itu maka di lihatnya akan pelita pun ada terpasang akan Syahrum Dewa Perba Raksa pun tiadalah pada tempat ketidurannya. Maka ia pun berdebar rasa hatinya di dalam hatinya kalau Syahrum Dewa Perba Raksa hendak menjawab ia sekelian itulah maka iapun sangat takut di murkai oleh rajanya itu.

Maka Arkas Kemandu pun kembalilah memberi tahu kepada sekelian raja2 raksasa sekelian itu maka kata segala raja2 raksasa sekelian itu “Jikalau demikian kemana juga perginya duli seri maharaja itu”. Maka sahut Arkas Kemandu “Biarlah hamba pergi cari lihatnya di mana2 ia duduk” maka lalu berjalanlah mengintaikan Syahrum Dewa Perba Raksa itu di carinya ratalah tiada juga bertemunya. Maka fikir di dalam hatinya kalau2 ia masuk ke dalam kota kesaktian itu pula maka ia masuk ke dalam kota kesaktian itu di carinya pada segenap tempat orang berjaga2 bermain itu kalau2 Syahrum Dewa Perba Raksa pergi melihat orang bermain2 itu pun tiada juga. Maka lalu ia ke balai kesaktian itu maka di lihatnya akan segala raja2 di balai kesaktian itu lagi jaga semuanya ada hanya Syahrum Dewa Perba Raksa juga yang tiadanya maka iapun hairanlah akan dirinya.

Maka pada masa tatkala itu raja Peri Mengerna Indera turun dari balai kesaktian itu maka di lihatnya akan mangkubumi Gua Setia Zholamat itu ada terdiri di halaman balai itu. Maka kata raja Peri Mengerna Indera “Hendak kemana tuan hamba pergi” maka di lihat oleh Arkas Kemandu akan raja Peri Mengerna Indera menegur dia itu. Maka sahutnya “Ya tuanku patik kemari ini melihat raja patik Gua Setia Zholamat adakah di sini” maka sahut raja Peri Mengerna Indera “Akan kekanda Syahrum Dewa Perba Raksa baharu tengah malam tadi ia keluar dari sini”.

Maka sahut Arkas Kemandu “Itulah tuanku kekanda itu keluar dari dalam kota ini juga lalu ia beradu. Maka tatkala paduka raja Dedail Berangga Puri menyuruh mengantarkan makanan nasi akan segala kaum Gua Setia Zholamat itu tidur seorang pun tiada yang jaganya. Maka lalu di geraknya akan segala patik sekeliannya maka patik pun tiada sedarnya kerana tiada pernah tidur demikian itu lalu patik masuk melihat kekanda itu ke dalam khemahnya. Maka patik lihat tiadalah kekanda itu di dalam tempat ketidurannya maka lalulah patik cari pada segenap tempat tiadalah bertemu lalu patik kemari ini”. Setelah di dengarnya oleh raja Peri Mengerna Indera akan kata mangkubumi Gua Setia Zholamat itu maka ia pun hairanlah akan dirinya.

Syahdan maka di dengarnya oleh segala raja2 yang di balai kesaktian itu akan bunyi Arkas Kemandu mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu maka sekeliannya pun riuhlah bertanya maka oleh Arkas Kemandu sekeliannya di ceterakannya kepada segala raja2 itu. Seketika hari pun sianglah maka hulubalang raksasa itupun datanglah membawa pakaian Syahrum Dewa Perba Raksa yang jatuh di jalan itu dengan tangisnya mendapatkan Arkas Kemandu. Setelah bertemu maka kata Arkas Kemandu “Dari manakah engkau bertemu dengan segala pakaian raja kita ini” maka sahutnya “Hamba ambil pada jalan di luar kota inilah”. Setelah di dengar oleh Arkas Kemandu dan segala raja2 itu maka Arkas Kemandu pun menangislah tersendu2 dan mengisak susing bunyinya.

Syahdan maka tatkala pada masa itu akan Perdana Dewa lagi jaga kerana ia tiada tidur pada malam itu maka di dengarnya bunyi riuh di balai kesaktian itu. Maka iapun bangun keluar maka di lihatnya segala raja2 sekelian itu duduk berkata2 dengan Arkas Kemandu seraya dengan tangisnya. Maka di tanya oleh Perdana Dewa maka oleh segala raja2 itu di ceterakannyalah ehwal Syarum Dewa Perba Raksa itu maka Perdana Dewa pun hairanlah akan dirinya. Maka kata segala raja2 itu “Hai saudaraku Perdana Dewa baiklah tuan hamba persembahkan kepada duli yang di pertuan raja Asma Dewa Pekerma Raja” maka Perdana Dewa pun masuklah ke dalam tempat peraduan Asma Dewa Pekerma Raja itu.

Maka di lihatnya akan Asma Dewa Pekerma Raja itu ada jaga duduk santap sirih maka titah Asma Dewa Pekerma Raja “Hai saudaraku Perdana Dewa apalah bunyi gempar di balai itu”. Maka sembah Perdana Dewa “Ya tuanku mangkubumi Arkas Kemandu itu datang mencari raja Gua Setia Zholamat kerana ghaib di dalam tempat ketidurannya. Dinihari tadi ia keluar dari sini lalu ia tidur dari sekarang sudah rata di carinya tiada bertemu dan segala pakaian yang di pakainya itu juga setengah bertemu di tengah jalan di luar kota inilah”. Demi di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan sembah Perdana Dewa itu maka baginda pun terkejut dengan dukacitanya di dalam hatinya “Wah sudahlah Syahrum Dewa Perba Raksa kenalah bencana rupanya ia”. Maka lalu Asma Dewa Pekerma Raja berangkat keluar ke balai kesaktian itu semayam di atas peterana yang keemasan di adap oleh segala raja2 itu.

Syahdan maka baginda pun memanggil Arkas Kemandu itu maka iapun datang lalu sujud kepada baginda serta dengan tangisnya. Maka di tanya oleh baginda kepada Arkas Kemandu peri hal ehwal Syahrum Dewa Perba Raksa itu maka sekeliannya di persembahkan oleh Arkas Kemandu kepada Asma Dewa Pekerma Raja. Setelah di dengarnya oleh baginda akan sembah Arkas Kemandu itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun bercucuran air matanya oleh ia terlalu kasih akan Syahrum Dewa Perba Raksa itu dan segala raja2 yang banyak itupun banyaklah menangis akan Syahrum Dewa Perba Raksa. Kemudian maka titah Asma Dewa Pekerma Raja “Adapun jikalau demikian akan saudaraku Syahrum Dewa Perba Raksa itu kenalah bencana semalam ini wah kemana gerangan perginya saudaraku itu”.

Syahdan maka Perdana Dewa pun di persembahkan kepada Asma Dewa Pekerma Raja akan peri kucing hitam terlalu besar naik ke istana itu dan segala raja2 itupun semuanya berkata2 akan peri ia sekelian khayal mengantuk itu maka sekeliannya baharulah tahunya akan hal ia kena ubatan hikmat itu. Syahdan maka Asma Dewa Pekerma Raja pun bertitahkan kepada segala raja2 itu setengah pergi mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu dan segala menteri hulubalang Gua Setia Zholamat itupun di titahkan oleh Asma Dewa Pekerma Raja suruh pergi cari Syahrum Dewa Perba Raksa bersama2 dengan raja2 itu.

Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun fikir di dalam hatinya “Dari mana juga datangnya bencana ini kalau2 dari negeri Zangkaya itulah gerangannya kerana Syahrum Dewa Perba Raksa itu suatu pun tiada dosanya yang lain lagi daripada membunuh Herman Syah Bujanggi Dewa dan Kerdan Syah Bujanggi Peri itu. Jikalau demikian baiklah aku segera sudahkan pekerjaanku ini supaya kuturut pergi ke negeri Zangkaya itu dan segala raja2 yang banyak itupun demikian juga tempanya kepada raja Zangkaya itulah”. Kemudian maka kata segala raja2 itu “Baiknya samping tiada kena bencana ini kepada raja Asma Dewa Pekerma Raja raja Gua Setia Zholamat ganti dia kena baginda ini”.

Sebermula terdengarlah kepada raja Dewa Indera Laksana akan Syahrum Dewa Perba Raksa ghaib di dalam tempat ketidurannya itu maka raja Dewa Indera Laksana pun berangkatlah ke balai kesaktian itu mendapatkan Asma Dewa Pekerma Raja. Maka setelah sampai maka di lihatnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan raja Dewa Indera Laksana datang itu maka iapun segera turun dengan segala raja2 itu memberi hormat akan raja Dewa Indera Laksana seraya berkata “Silakanlah tuanku naik”. Maka raja Dewa Indera Laksana pun mengajak Asma Dewa Pekerma Raja naik lalu duduk di singgahsananya di adap oleh segala raja dan menteri hulubalang pahlawan sekelian itu.

Maka di lihatnya adalah raja Dewa Indera Laksana akan Asma Dewa Pekerma Raja rupanya sangat masygul akan Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Maka raja Dewa Indera Laksana pun bertanyalah akan hal ehwal Syahrum Dewa Perba Raksa itu maka oleh segala raja2 itu di ceterakannyalah sekelian peri hal ehwal Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Maka raja Dewa Indera Laksana pun hairanlah akan dirinya lalu  bertitah baginda “Kalau bencana datang dari negeri Zangkaya itu akan gerangan kerana raja Gua Setia Zholamat itu membunuh anak raja kedua itu”. Setelah di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja dan segala raja2 sekelian akan kata raja Dewa Indera Laksana itu maka sahutnya “Sungguhlah seperti titah tuanku itu”.

Kemudian maka Dewa Indera Laksana itupun menitahkan menteri hulubalangnya pergi mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Kemudian maka Asma Dewa Pekerma Raja berkata kepada raja Dewa Indera Laksana “Ya tuanku adapun akan patik ini jikalau ada ampun tuanku pekerjaan patik ini pohonkanlah kepada duli tuanku pada sekali ini janganlah di perbesarkan tuanku hendaklah tuanku sudahkan dengan segeranya kerana patik hendak pergi mencari saudara patik Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Jikalau duli tuanku hendak bekerja seperti istiadatnya melainkan kemudianlah pula pada ketika ini mohonlah patik”.

Setelah di dengarnya oleh raja Dewa Indera Laksana akan kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka baginda pun tiadalah terkata2 lagi. Seketika lalu bertitah baginda “Ayuhai anakanda akan ayahanda ini tiadalah menyalahi barang kata anakanda tetapi pada niat ayahanda hendak mengerjakan anakanda sekali ini hendak memuaskan hati ayahanda dan akan paduka ninda yang di taman Anta Angin itu itupun pada hari inilah ayahanda hendak suruh pergi sambut kemari baginda itu”. Setelah di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja kata raja Dewa Indera Laksana itu maka sahutnya “Ya tuanku janganlah tuanku menyuruh menyambut baginda itu lagi kalau2 berlambatan kerana pada kehendak hati patik hendak segerakannya melainkan kemudianlah tuanku menyambut baginda itu”.

Setelah di dengarnya oleh raja Dewa Indera Laksana kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka sahutnya “Ya anakku apatah daya ayahanda lagi tiada sampaikan tuhan seru alam sekelian yang seperti hasrat ayahanda itu jikalau demikian baiklah esok harilah kita sudahkan pekerjaan ini” maka Asma Dewa Pekerma Raja pun terlalulah sukacita hati mendengarkan kata raja Dewa Indera Laksana itu. Setelah sudah maka raja Dewa Indera Laksana pun kembalilah ke istananya. Syahdan akan orang berjaga2 itupun tiadalah raya lagi melihat segala raja2 itu dukacita itu.

Syahdan setelah keesokkan harinya daripada pagi2 maka raja Dewa Indera Laksana dan permaisuri Berangga Puri pun menghiasi anakanda baginda tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi itu dengan pakaian yang indah2 seraya permaisuri Berangga Puri menangislah oleh tiada sampai seperti yang di maksudkannya itu. Setelah sudah di hiasinya maka di dudukkannya di atas peterana yang keemasannya di dalam pemajangan itu di adap oleh segala anak dara2 yang baik rupanya sekeliannya daripada anak raja2 dan anak menteri hulubalang dan petuannya penuh sesak masing2 dengan jawatannya. Maka adalah rupanya tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi di adap oleh segala anak dara itu seperti bulan penuh purnama pada ketika terang cuacalah maka di pagari oleh segala bintang pada ketika kemarau. Demikianlah rupanya gilang gemilang cahaya mukanya kilau kilauan cahaya pakaiannya gilang gemilang cahaya mukanya seperti manikam tidak terharga laksana bidadari di dalam syurga sekelian hairan menentang dalam jaga.

Sebermula akan Asma Dewa Pekerma Raja pun di hiasi oleh segala raja2 itu tetapi tiadalah baginda memakai selengkapnya pakaiannya kerana baginda sangat masygulkan Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Setelah sudah memakainya di naikkan oranglah ke atas perarakan berjentera dengan anak raja2 dan menteri hulubalang yang muda2 sekeliannya dengan perhiasannya dan masing2 dengan jawatannya maka terkembanglah payung manikam di karang berumbai2kan mutiara berjala2kan intan. Setelah sudah maka perarakan itupun berkisarlah maka segala pawai pun berjalanlah menuju ke mahligai tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi dan segala raja2 itupun berjalanlah mengiringkan Asma Dewa Pekerma Raja itu masing2 beraturkan dirinya ada yang di hadapan ada yang di belakang ada yang dari kiri ada yang dari kenan.

Hataya maka sampailah ke mahligai tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi maka Mengerna Dewa Raja Bangsawan dan Anrang Gemala Dewa Asah Peri pun memimpin tangan Asma Dewa Pekerma Raja turun dari atas perarakan itu maka naik ke serambi mahligai itu di nikahkan oleh Qodhi Mesta Alam. Setelah sudah maka raja Dewa Indera Laksana dan raja Peri Mengerna Indera pun datanglah menyambut tangan Asma Dewa Pekerma Raja di pimpin masuk ke dalam mahligai tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi itu lalu di dudukkannya dari kanan tuan puteri. Setelah berbandinganlah kedua rupanya anak raja itu maka suramlah cahaya dian pelita itu oleh cahaya muka Asma Dewa Pekerma Raja dengan tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi itu seperti bulan dengan matahari rupanya.

Maka segala yang memandang dia pun hairanlah tercengang2 terkelip2 kelopak matanya olehnya sangat elok rupanya parasnya elok tidak terperi seperti anak2an bidadari layaklah jadi laki isteri patutlah di sembah isi negeri. Maka nasi persantapan dan nikmat makanan pun di angkat oranglah ke hadapan Asma Dewa Pekerma Raja sekeliannya yang mengangkat itu menyampaikan wali kekuningan pada bahunya. Maka datanglah bini raja2 yang tua2 menyuapi Asma Dewa Pekerma Raja dan tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi. Setelah sudah maka tirai dan kelambu itupun di labuhkan orang maka raja Dewa Indera Laksana pun keluarlah ke balai berjamu segala raja2 dan menteri hulubalang pahlawan itu makan minum. Maka segala raja2 itupun makanlah yang raja sama raja yang menteri sama menteri yang hulubalang dan pahlawan sama hulubalang pahlawan dan yang rakyat sama rakyat.

Setelah sudah makan minum maka minuman pula di angkat daripada pelbagai jenis minuman pula daripada arak beram tepi keyalang pengasi serbat kahwi dengan pelbagai tambal yang berbagai jenis citarasanya terlalulah ramainya orang minum itu berlaram larahan bersulang sulangannya. Syahdan makan minum itu dengan segala bunyi bunyian pelbagai jenis di palu orang maka segala yang asyik berahi itupun bangun menarilah berangkap angkapan. Adapun segala raja2 makan minum itu setelah bunga selasihlah mabuknya maka sekeliannya pun berhentilah melainkan segala menteri hulubalang dan pahlawan rakyat juga lagi makan minum itu. Maka segala raja2 itupun duduklah melihat segala menteri hulubalang rakyat makan minum itu kerana segala raja2 itu banyak yang masygulkan Syahrum Dewa Perba Raksa itu adapun makan minum itu tujuh hari tujuh malam lamanya.

Syahdan sebermula akan Asma Dewa Pekerma Raja duduklah baginda itu bersuka sukaannya dengan tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi itu serta dengan gurau sendanya dengan segala isi mahligai itu mengiburkan hatinya dukacita itu. Setelah genap tujuh hari tujuh malam itu maka raja Dewa Indera Laksana pun memandikan Asma Dewa Pekerma Raja laki isteri itu tiadalah di sebutkan perkataan mandi itu. Setelah sudah mandi maka raja Dewa Indera Laksana pun memberi derma akan segala fakir miskin emas perak terlalu banyak daripada kebanyakan derma kurnia baginda itu segala fakir miskin itupun banyaklah kaya. Setelah selesailah daripada pekerjaan kahwin itu maka masing2 pun kembalilah ke tempatnya dan khemahnya.

Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun fikir di dalam hatinya “Baiklah aku kahwin dengan puteri Mengindera Ratna Gemala itu supaya jangan syak hatinya segala keluarganya raja2 Anrang itu kerana ia pun anak raja besar juga”. Setelah sudah ia fikir itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berkata kepada tuan puteri Puspa Ratna Gemala “Ayuhai adinda tuan raja permaisuri kekanda memohonkan ampun tuan kepada abang. Jikalau ada kasih adinda akan abang akan puteri anak raja Anrang itu kekanda hendak jadikan saudara adinda boleh juga akan teman adinda berkata2”.

Setelah di dengarnya oleh tuan puteri Puspa Ratna Gemala akan kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka tuan puteri pun tahulah akan arat kata Asma Dewa Pekerma Raja itu kerana tuan puteri sudah tahukan Asma Dewa Pekerma Raja hendak ambilkan puteri Mengindera Ratna Gemala akan isterinya itu. Maka sahutnya “Mengapakah maka kekanda berkata yang demikian itu. Apakah kepada patik akan patik ini lebih pula hendak berkirim diri kepada orang kerana tuan puteri Mengindera Ratna Gemala itu pun anak raja besar juga. Baiklah kekanda kahwin dengan dia supaya sempurna nama kekanda”.

Demi di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan kata tuan puteri itu dengan suka hatinya rupanya maka Asma Dewa Pekerma Raja pun terlalulah sukacita seraya katanya “Ayuhai adinda tuan mahkota kekanda baiknya budi jiwa kekanda ini. Jikalau demikian esok harilah kekanda bermohonkan kepada adinda pergi ke kota raja Anrang itu kerana kekanda hendak segera berjalan pergi mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu”. Syahdan maka sahut tuan puteri “Baiklah kekanda” maka hari pun malamlah maka Asma Dewa Pekerma Raja dan tuan puteri pun beradulah.

Telah keesokkan harinya maka Asma Dewa Pekerma Raja pun bermohonlah kepada tuan puteri lalu keluarlah ke balai kesaktian. Maka di lihat oleh segala raja2 yang di balai kesaktian itu akan Asma Dewa Pekerma Raja datang itu maka semuanya pun turunlah dari balai itu menyembah kepada baginda. Maka kata Asma Dewa Pekerma Raja kepada segala raja2 itu “Marilah saudaraku sekelian kita pergi ke kota raja Anrang itu” maka sembah segala raja2 itu “Silakanlah tuanku” lalu baginda berjalanlah di iringkan oleh segala raja2 itu keluar kotanya lalu ke kota raja Anrang itu. Setelah sampai lalu masuk ke dalam kota lalu berjalanlah ke istana Anrang Gemala Dewa Syah Peri tatkala itu akan Anrang Gemala Dewa Syah Peri pun ada duduk berkata2 dengan Anrang Jemala Alam Pertawi.

Maka di lihatnya akan Asma Dewa Pekerma Raja datang itu maka ia pun turun menyembah kepada Asma Dewa Pekerma Raja seraya katanya “Silakanlah tuanku naik” maka Asma Dewa Pekema Raja pun naiklah dengan segala raja2 sekelian duduk di balai raja Anrang itu dengan segala raja2 sekelian itu. Kemudian maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berkatalah seperti yang di hasratkan di dalam hatinya itu kepada Anrang Gemala Dewa Syah Peri dan Anrang Jemala Alam Pertawi. Setelah di dengarnya oleh raja kedua itu akan kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka ia pun terlalulah sukacita hatinya seraya kata “Ya tuanku akan patik sekelian ini di dalam maklum tuanku. Barang mana titah kesukaanlah di hati patik sekelian ini”.  Syahdan maka Anrang Gemala Dewa Syah Peri pun memberi tahu kepada bonda baginda permaisuri Seri Nanta Lela Angkasa maka permaisuri pun terlalulah sukacitanya.

Setelah sudah keesokkan harinya maka Asma Dewa Pekerma Raja pun kahwinlah dengan tuan puteri Mengindera Ratna Gemala itu. Setelah sudah kahwin itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun duduklah di dalam istana itu bersuka sukaannya dengan tuan puteri Mengindera Ratna Gemala itu lima hari lima malamnya. Syahdan akan Anrang Gemala Dewa Syah Peri pun berjamu segala raja2 dan menteri hulubalang pahlawan makan minum bersuka sukaannya. Setelah sampailah kepada lima hari Asma Dewa Pekerma Raja di istana tuan puteri Mengindera Ratna Gemala itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun bermohonlah kepada isterinya kembali ke kota kesaktian itu lalu mengadap raja Dewa Indera Laksana mesyuarat berbicarakan mengahwinkan raja Peri Mengerna Indera dengan tuan puteri Mengindera Ratna Silauan Cahaya dan mengahwinkan Nabat Syahrum Syah dengan puteri Kamakama Kembar Mengindera itu.

Maka keesokkan harinya lalu memulai berjaga pula tujuh hari tujuh malam betapa adat segala raja2 bekerja terlalu ramai kerana kedua buah kota itu berjaga. Akan raja Peri Mengerna Indera raja Dewa Indera Laksana memerintahkan dia. Akan Nabat Syah Lela raja Indera Pahlawan dengan Mengerna Dewa Raja Bangsawan memerintahkan dia. Syahdan akan puteri Mengindera Silauan Cahaya itu Anrang Gemala Dewa Syah Peri memerintahkan dia. Akan puteri Kamakama Kembar Mengindera itu saudaranya Anrang Jemala Alam Pertawi memerintahkan dia. Syahdan akan tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi pun menyuruh menyambut tuan puteri Mengindera Ratna Gemala itu datang ke mahligainya setelah bertemulah puteri kedua itu maka sama berhormatan kedua anak raja itu.

Syahdan maka puteri Mengindera Ratna Gemala pun menyembah kepada puteri Puspa Ratna Gemala Dewi lalu duduklah berkata2 keduanya bersenda gurau seperti orang sudah konon biasa lakunya maka Asma Dewa Pekerma Raja pun terlalu sukacita hatinya melihat puteri kedua itu berkasih kasihan. Setelah dua malam puteri Mengindera Ratna Gemala di mahligai puteri Puspa Ratna Gemala Dewi itu maka ia pun bermohonkanlah kembali ke kotanya maka di suruh oleh tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi mengantarkan kepada segala inang pengasuhnya. Setelah sampai sekeliannya bermohon kembalilah maka tuan puteri Mengindera Ratna Gemala pun berpesan sembah kepada tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi.

Sebermula akan orang berjaga itu setelah genaplah tujuh hari tujuh malam maka raja Peri Mengerna Indera dan Nabat Syahrum Syah pun di kahwinkanlah dengan puteri kedua itu berarak dari kota kesaktian itu ke kota raja Anrang itu terlalu ramai. Setelah sudah kahwin itu maka raja Peri Mengerna Indera pun duduklah bersuka sukaan dengan puteri Mengindera Silauan Cahaya itu dan Nabat Syahrum Syah pun demikian juga bersuka sukaan dengan puteri Kamakama Kembar Mengindera itu maka terlalulah sukacita kedua raja2 itu melihat rupa isterinya oleh boleh seperti kehendak hatinya itu. Syahdan maka Anrang Gemala Dewa Syah Peri dan Anrang Jemala Alam Pertawi pun berjamu pula segala raja2 dan menteri hulubalang pahlawan rakyat sekelian makan minum.

Setelah lepas tiga hari selangnya daripada kahwin raja Peri Mengerna Indera dan Nabat Syahrum Syah itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun pergilah mengadap raja Dewa Indera Laksana dengan segala raja sekelian. Maka sembah Asma Dewa Pekerma Raja kepada raja Dewa Indera Laksana “Ya tuanku adapun patik ini hendak bermohonlah kepada tuanku hendak pergi mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu kerana segala raja2 menteri hulubalang yang di suruh pergi mencari dia itupun setengah sudah kembali tiadalah bertemu”. Setelah di dengarnya oleh raja Dewa Indera Laksana akan kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka sahutnya “Ya anakanda pada fikir ayahanda jikalau anakanda hendak pergi sendiri pun mencari raja Gua Setia Zholamat itu biarlah habis kembali segala raja2 yang pergi mencari dia itu dahulu. Anakanda berhentilah dahulu barang sebulan dua bulan kerana ayahanda pun hendak menyambut anakanda kedua laki isteri pergi ke kota Berangga Puri itu”.

Setelah di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan kata raja Dewa Indera Laksana itu maka sahutnya “Ya tuanku jikalau ada hayat patik kemudianlah patik mengadap duli tuanku kesana. Akan sekarang ini tiadalah dapat patik duduk lagi di sini sebulan dua bulan pun kerana hati patik sangat bimbang akan dia Syahrum Dewa Perba Raksa itu kerana tiadalah berketahuan perginya itu. Jikalau di nanti segala raja2 yang pergi mencari itupun pada fikir patik tiada akan bertemu sebagai lagi pula amat kemaluanlah patik kepada segala raja2 isi alam dunia ini lebih maklum duli tuanku pula”.

Setelah di dengarnya oleh raja Dewa Indera Laksana akan kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka tiadalah berdaya lagi di hati baginda itu. Kemudian lalu katanya pula kepada Asma Dewa Pekerma Raja itu “Maka tiadalah berdaya lagi di hati ayahanda. Ya anakanda jikalau anakanda pergi akan paduka adinda sekelian itu di manakah di tinggalkan”. Maka kata Asma Dewa Pekerma Raja “Ya tuanku akan paduka anakanda pada fikir patik patik hendak tinggalkan di kota raja Anrang perbuat itulah kerana kota itu terlalu teguh perbuatannya lagi pula hampir sedikit dengan kota Berangga Puri itu. Syahdan akan patik pergi ini tiada patik membawa segala raja2 sekelian dan akan anakanda raja Peri Mengerna Indera patik tinggalkan menunggu paduka anakanda itu. Kemudian kepada tuankulah pengiriman patik segala yang tinggal itu”.

Maka sahut raja Dewa Indera Laksana “Baiklah anakanda tetapi jikalau sudah bertemunya dengan raja Gua Setia Zholamat itu hendaklah anakanda segera kembali kemudian pula”. Maka kata raja Dewa Indera Laksana “Adapun akan ayahanda ini hendak bermohonlah kepada anakanda kembali ke kota Berangga Puri itu kerana ayahanda hendak menyambut adinda kedua itu pergi bermain2 kesana sehari dua hari peninggalan anakanda ini” maka kata Asma Dewa Pekerma Raja “Baiklah tuanku”. Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun pergilah ke mahligai tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi itu.

Syahdan akan raja Dewa Indera Laksana pun bersimpanlah akan kembali itu lalu baginda laki isteri pergi mendapatkan anakanda baginda tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi bermohon kepada anakanda baginda kedua laki isterinya. Maka Asma Dewa Pekerma Raja laki isteri pun menyembah kepada raja Dewa Indera Laksana kedua laki isterinya maka baginda kedua pun memeluk mencium anaknya seraya titah raja Dewa Indera Laksana kepada anakanda baginda tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi “Adapun ayahanda kembali ini tiada lama apabila lepas kekanda tuan ini berjalan ayahanda menyuruh mari menyambut anakanda pergi ke kota Berangga Puri. Hendaklah tuan ajak puteri Mengindera Ratna Gemala itu pergi bermain2 kesana” maka sembah tuan puteri “Baiklah tuanku”.

Setelah sudah maka kata raja Dewa Indera Laksana kepada permaisuri itu “Ya adinda marilah kita kembali ke kota Berangga Puri itu” maka sembah permaisuri “Baiklah tuanku”. Maka raja Dewa Indera Laksana pun turunlah sekeliannya dari mahligai itu berjalanlah kembali ke kota Berangga Puri itu dengan segala raja2 dan menteri hulubalang rakyatnya sekelian. Setelah peninggalan raja Dewa Indera Laksana kembali itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berkata kepada tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi “Ayuhai adinda adapun akan adinda kekanda hendak tinggalkan duduk di dalam kota raja Anrang itu kerana kota itu terlalu teguhnya. Akan kota ini kota kesaktian hendak kekanda kembalikan. Syahdan akan kekanda raja Peri Mengerna Indera kekanda tinggalkan menunggu adinda”.

Setelah di dengarnya oleh tuan puteri maka sahutnya “Baiklah kekanda syahdan berkenanlah patik duduk di sana kerana dekat sedikit dengan kota Berangga Puri itu”. Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun menyuruh bersimpan segala harta perkakas yang di mahligai itu di angkat pergi ke kota raja Anrang kepada istana yang di suruh Asma Dewa Pekerma Raja perbuatkan tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi itu. Syahdan akan istana itu terlalu besar berbanding dengan istana tuan puteri Mengindera Ratna Gemala yang di perbuatkan oleh Anrang Gemala Dewa Syah Peri itu. Setelah sudah habis segala harta dan perkakas di mahligai itu maka tuan puteri Puspa Ratna Gemala Dewi pun pindahlah dari mahligai itu ke kota raja Anrang itu habis seorang pun tiada di tinggal lagi.

Syahdan maka Asma Dewa Pekerma Raja pun menyuruh segala raja2 dan menteri hulubalang pahlawan rakyat yang duduk di dalam kota kesaktian itu sekeliannya pindah ke kota raja Anrang itu maka sekeliannya pun habislah keluar di dalam kota kesaktian itu ada yang berkhemah di tengah padang itu. Setelah habislah sekeliannya keluar di dalam kota kesaktian itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun mencitakan kota kesaktian itu kembali kepada Indera Gemala kesaktiannya itu maka kota kesaktian itupun ghaiblah sekeliannya habislah dengan segala bangun bangunannya. Kemudian maka Asma Dewa Pekerma Raja pun mengambil cincin permata zamrud itu maka balai kesaktian itupun ghaiblah maka cincin itupun di masukkan kepada jari manisnya.

Maka tiadalah tinggal lagi segala yang di dalam kota itu melainkan mahligai tuan puteri dan istana segala raja itu juga maka di suruh oleh Asma Dewa Pekerma Raja rombak ambil kepada segala raja2 sekelian pindahkan ke kota raja Anrang itu. Maka tinggallah taman tuan puteri itu juga di suruh pagari dan tunggui oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan tempat tuan puteri bermain kerana taman Suka Berahi itu terlalulah indahnya di perbuat oleh raja Dewa Indera Laksana akan tuan puteri itu. Setelah sudah ghaiblah kota kesaktian itu maka segala raja2 menteri hulubalang rakyat dan segala yang melihat itu pun hairanlah akan kesaktian Asma Dewa Pekerma Raja itu.

Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun kembalilah ke kota raja Anrang itu menyuruh segala raja2 dan menteri hulubalang pahlawan rakyat Anrang dan mambang itu membaiki kota dan perbuatanya selapis lagi kota batu menjadilah tiga lapis kotanya dan di galinya pula parit berkeliling kota itu terlalulah luasnya dengan dalamnya seperti sungailah rupanya. Maka di perbuatnya titian akan jalan pergi datang itu pada sebelah kota Berangga Puri itu di perbuatnya pintu kota itu. Syahdan maka segala pintu yang lain di suruhnya tutup matikan maka kota itupun menjadikan sebuah negeri besar rupanya lengkap di dalamnya pasar maka di namainya akan dia negeri Anrang Puri bertentanganlah kedua buah kota itu samalah besarnya.

Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun memberi persalin akan Perdana Dewa di jadikan mangkubumi di negeri itu di namainya menteri Perdana Dewa kerana hendak di tinggalkan oleh Asma Dewa Pekerma Raja dengan raja Peri Mengerna Indera di negeri Anrang Puri itu. Maka Perdana tiadalah mahu tinggal ia sujud kepada kaki Asma Dewa Pekerma Raja seraya berdatang sembah katanya “Ya tuanku akan patik ini jikalau ada ampun duli tuanku selagi ada hayat patik ini tiadalah mahu patik bercerai dengan duli tuanku kerana sudahlah peminta patik dari mulanya ke bawah duli tuanku”. Setelah di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan sembah Perdana Dewa itu maka baginda pun tiadalah berkata2 lagi kerana sudah ia berwaad dengan Perdana Dewa tatkala mula bertemu itu ia tiada mahu bercerai dengan dia itu.

Syahdan maka Asma Dewa Pekerma Raja pun duduklah di balairong itu di adap oleh segala raja2 sekeliannya penuh sesak seraya bertitah menyuruh memanggil segala raja2 barang mana yang tiada itu maka sekelian raja2 itupun datanglah mengadap Asma Dewa Pekerma Raja. Setelah berhimpunlah segala raja itu sekeliannya syahdan akan segala raja2 dan menteri hulubalang yang di titahkan oleh Asma Dewa Pekerma Raja mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itupun sekeliannya habislah kembali datang mengadap Asma Dewa Pekerma Raja persembahkan peri hal ehwal ia mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu tiadalah bertemunya.

Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun makin bertambah dukacita hatinya kemudian lalu baginda bertitah kepada segala raja2 sekelian itu seraya katanya “Hai saudaraku dan segala tuan2 sekelian pada bicara hamba baiklah saudaraku sekelian kembali ke negeri saudaraku sekelian kerana hamba pun hendak segera berjalan pergi mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Demi di dengarnya oleh segala raja2 itu akan titah Asma Dewa Pekerma Raja itu maka sekeliannya pun berdatang sembah katanya “Ya tuanku adapun akan patik sekelian ini pada niat hati patik sekelian tiadalah mahu bercerai dengan duli tuanku. Syahdan barang kemana duli tuanku pergi patik sekelian sertalah mengiringkan duli tuanku”.

Setelah di dengarnya oleh Asma Dewa Pekerma Raja akan sembah segala raja2 itu maka titah baginda pula “Hai saudaraku sekelian adapun yang kasih tuan hamba sekelian itu sepenuhnyalah hamba menanggungkan dia tetapi akan saudaraku sekelian tiada dapat mengikut hamba pergi ini kerana jikalau hamba membawa saudaraku sekelian nescaya lambatlah bertemu dengan Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Melainkan jikalau ada kasih tuan hamba sekelian dapat akan hamba barangkali ada kesukaran kesakitan hamba hendaklah tuan hamba sekelian dapat hamba barang di mana hamba duduk”. Setelah di dengarnya oleh segala raja2 sekelian itu akan titah baginda itu maka sekeliannya pun dukacitalah seraya berdatang sembah “Baiklah ya tuanku kerana patik sekelian ini di dalam maklum duli tuanku tetapi jikalau ada barang kesukaran atau kesakitan atau barang suatu kerja duli tuanku hendaklah tuanku menyuruh memberi tahu kepada patik sekelian supaya patik sekelian segera datang mengadap duli tuanku”.

Syahdan maka Asma Dewa Pekerma Raja pun bertitah kepada raja Peri Mengerna Indera “Ya kekanda akan kekandalah duduk di kota Anrang Puri ini mengganti tubuh hamba tinggal ini. Jikalau ada suatu kesukaran kesakitan atau datang suatu bencana hendaklah cita nama hamba”. Setelah di dengarnya oleh raja Mengerna Indera akan titah Asma Dewa Pekerma Raja itu maka sembahnya “Baiklah tuanku”. Maka Asma Dewa Pekerma Raja pun memilih penghulu hulubalang Anrang itu dua orang seorang bernama Johan Pertawi dan seorang bernama Berama Jelas di tinggalkannya bersama2 dengan raja Peri Mengerna Indera itu. Syahdan setelah sudah maka segala raja2 itupun bermohonlah masing2 kembali ke istananya dan ke khemahnya bersimpan segala kelengkapannya.

Syahdan akan mangkubumi Arkas Kemandu dengan segala raja2 kaum raksasa itu pun di suruh oleh Asma Dewa Pekerma Raja kembali ke Gua Setia Zholamat seraya bertitah baginda “Pergilah engkau sekelian kembali janganlah engkau sekelian bersusah2 pergi mencari saudaraku Syahrum Dewa Perba Raksa itu. Biarlah aku sendiri pergi mencari dia janganlah engkau dukacita hati pada firasatku tiada akan dia mati”. Setelah di dengarnya oleh Arkas Kemandu dengan raja2 di Gua Setia Zholamat itu akan titah Asma Dewa Pekerma Raja itu adalah sukacitanya sedikit hatinya maka ia sekeliannya pun bermohonlah kepada Asma Dewa Pekerma Raja lalu mengerahkan segala kaum raksasa itu berjalanlah sekeliannya kembali menuju ke Gua Setia Zholamat.

Sebermula akan raja mambang ketiga dan segala anak raja2 yang kurang esa empat puluh itu pun bermohonlah kepada Asma Dewa Pekerma Raja dan berjabat tangan segala raja2 yang tinggal itu. Maka pilulah hatinya meninggalkan Asma Dewa Pekerma Raja itu oleh kasih di dalam hatinya melihat budi pekertinya Asma Dewa Pekerma Raja itu. Setelah sudah maka raja mambang ketiga dan segala anak raja2 yang kurang esa empat puluh itupun berjalanlah keluar kota di iringkan oleh segala raja2 dan menteri hulubalang pahlawan rakyatnya. Setelah datang keluar kota maka raja mambang ketiga pun berjabat tangan dengan anak raja2 yang kurang esa empat puluh itu lalu berjalanlah masing2 menuju ke negerinya dan segala anak raja2 yang kurang esa empat puluh itupun berjabat tangan samanya segala raja2 itu berpeluk bercium dan bertangis2an maka sekeliannya pun berjalanlah menuju ke desanya masing2.

Syahdan adapun akan Anrang Gemala Dewa Syah Peri dan Anrang Jemala Alam Pertawi dan Nabat Syahrum Syah setelah sudah berlengkap itu maka Anrang Gemala Dewa Syah Peri dan Anrang Jemala Alam Pertawi dan Nabat Syahrum Syah pun masuklah bermohon kepada Asma Dewa Pekerma Raja ke istana tuan puteri Mengindera Ratna Gemala itu. Akan raja Peri Mengerna Indera pun ada di sana dengan isterinya puteri Mengindera Silauan Cahaya dan permaisuri Seri Nanta Lela Angkasa pun ada di istana anakanda baginda itu. Adapun akan permaisuri Seri Nanta Lela Angkasa tiada ia mahu kembali ke desa Belangga Kilani itu ia duduk dengan anakanda baginda tuan puteri Mengindera Ratna Gemala.

Syahdan setelah datanglah segala raja2 itu bermohon maka Anrang Gemala Dewa Syah Peri dan Anrang Jemala Alam Pertawi pun datanglah menyembah kaki bondanya permaisuri Seri Nanta Lela Angkasa itu. Maka di peluk di ciumnya oleh permaisuri akan anakanda baginda seraya dengan tangisnya kemudian maka Nabat Syahrum Syah pun menyembah pada kaki permaisuri serta dengan isterinya puteri Kamakama Kembar Mengindera itu. Kemudian maka tuan puteri Mengindera Ratna Gemala pun menyembah lutut kekanda baginda Anrang Gemala Dewa Syah Peri seraya dengan tangisnya maka di sambutnya akan adinda baginda itu seraya dengan menangisnya. Kemudian tuan puteri menyembah kepada Anrang Jemala Alam Pertawi syahdan maka tuan puteri Kamakama Kembah Mengindera pun berpeluk bercium dengan puteri Mengindera Ratna Gemala itu seraya menangis dan berpeluk bercium pula dengan puteri Mengindera Silauan Cahaya.

Setelah sudah maka raja2 ketiga itupun bermohonlah kepada Asma Dewa Pekerma Raja menyembah kepada baginda maka di peluk di dakapi oleh baginda akan raja2 ketiga itu maka raja2 itupun bercucuranlah air matanya terkenangkan budi pekerti Asma Dewa Pekerma Raja itu. Setelah sudah maka raja ketiga itupun berjabat tangan dengan raja Peri Mengerna Indera dan berpeluk bercium. Setelah sudah maka sekeliannya keluarlah akan segala puteri2 itu naiklah ke mongkornya maka Anrang Gemala Dewa Syah Peri dan Anrang Jemala Alam Pertawi pun singgah berjabat tangan dengan Selia Raja Indera Pahlawan dan Mengerna Dewa Raja Bangsawan dan menteri Perdana Dewa di balairong itu.

Maka menteri Perdana Dewa pun menyembah kepada raja2 ketiga itu maka kata raja2 ketiga itu kepada menteri Perdana Dewa “Hai saudaraku mangkubumi Perdana Dewa jikalau ada suatu kesakitannya atau kesukaran raja Asma Dewa Pekerma Raja itu habaya2 pesan hamba kepada saudaraku jangan tiada di persembahkan suruh raja Asma Dewa Pekerma Raja menyuruh memberi tahukan hamba ketiga ini” maka sembah menteri Perdana Dewa “Baiklah tuanku”. Setelah sudah maka raja ketiga itupun berjalanlah keluar kota itu di iringkan oleh segala raja2 yang takluknya dengan segala menteri hulubalang pahlawan rakyatnya sekelian lalu berjalanlah sekeliannya menuju ke tasuk Bahar Al Nur itu setengah melayang ke udara setengah berjalan di bumi.

Hataya setelah sampailah kepada persimpangan jalan ke desa Basthon Terajaib dan desa Danta Mulia dan desa Kok Senia Rana Cahaya itu maka raja2 ketiga itupun berhentilah berpeluk bercium bertangis tangisan akan bercerai itu. Maka Nabat Syahrum Syah pun menyembah kepada Anrang Gemala Dewa Syah Peri dan Anrang Jemala Alam Pertawi dan puteri Kamakama Kembar Mengindera pun menyembah kepada Anrang Gemala Dewa Syah Peri. Kemudian lalu ia sujud kepada kaki saudaranya Anrang Jemala Alam Pertawi seraya dengan tangisnya terlalu sangat dan Anrang Jemala Alam Pertawi pun menangis seraya memeluk mencium adinda baginda.

Setelah sudah maka kata Anrang Jemala Alam Pertawi kepada Anrang Gemala Dewa Syah Peri “Kekanda pun hendak bermohonlah kepada adinda kembali dari sini ke desa Danta Mulia” maka sahut Anrang Gemala Syah Peri “Baiklah kekanda” maka lalu ia berjabat tangan dan berpeluk bercium keduanya kerana keduanya itu sangat berkasih kasihan. Setelah sudah maka segala raja2 itu pun naiklah pula ke atas kenderaannya lalu mengerahkan segala raja2 dan menteri hulubalang rakyatnya berjalan masing2 menuju ke desanya. Hataya berapa lamanya maka segala raja2 itupun sampailah ke desanya masing pun kerajaanlah di negerinya.

Sebermula akan Anrang Gemala Dewa Syah Peri setelah sampai ke desa Basthon Terajaib itu maka Anrang Gemala Dewa Syah Peri pun menyuruhkan Johan Mengindera Kala syahdan jua kembali ke desa Rastan Banur itu. Akan Sahi Medan Johan Perkasa di suruh menyelenggara akan desa Belangga Kilani dan desa Kastam Ambar itu maka duduklah segala raja2 itu masing2 di negerinya tetapi tiada ia lupakan Asma Dewa Pekerma Raja sehari pun demikianlah di ceterakan oleh orang yang empunya cetera ini.

Sebermula adapun akan Asma Dewa Pekerma Raja setelah peninggalan segala raja2 itu sudah pergi maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berkata kepada isterinya puteri Mengindera Ratna Gemala “Ayuhai adinda kekanda hendak bermohonlah kepada adinda akan pergi mencari Syahrum Dewa Perba Raksa itu”. Tuan puteri pun menangislah mendengar kata Asma Dewa Pekerma Raja itu maka di pujuknya oleh baginda dengan berapa cumbu dan kata yang manis2 lalu masuk ke peraduan berduanya. Setelah keesokkannya maka Asma Dewa Pekerma Raja pun pergilah ke istana puteri Puspa Ratna Gemala Dewi beradu di sana.

Kemudian maka Asma Dewa Pekerma Raja pun bermohonlah kepada isterinya kedua itu maka tuan puteri kedua pun menangis terlalu sangat maka di bujuk oleh baginda Asma Dewa Pekerma Raja seraya katanya “Ayuhai adinda kedua janganlah adinda merawan sholi akan kekanda. Adapun kekanda pergi ini jikalau sudah bertemu dengan Syahrum Dewa Perba Raksa itu bangat juga kekanda kembali mendapat adinda kedua melainkan hendaklah adinda serahkanlah abang kepada tuhan Alahi ada memeliharakan kekanda”. Maka sembah puteri kedua itu “Ya kekanda siapakah tuanku bawa teman tuanku pergi” maka sahut Asma Dewa Pekerma Raja “Perdana Dewalah kekanda bawa akan teman kekanda akan segala raja2 Indera Gemala itu semuanya kekanda hendak kembalikan kepada Indera Gemala”.

Setelah itu maka puteri kedua itupun sujudlah kepada kaki suaminya dengan tangisnya maka di peluk di cium oleh baginda akan isterinya kedua itu. Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun mengambil segala senjatanya seraya makan sirih sepahnya di tinggalkan isterinya kedua itu. Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun pergilah ke istana permaisuri Seri Nanta Lela Angkasa bermohon seraya menyerahkan puteri kedua itu kepada permaisuri Seri Nanta Lela Angkasa. Setelah sudah lalu baginda keluarlah ke balairong itu di dapatinya akan raja Peri Mengerna Indera pun ada duduk berkata2 dengan Selia Raja Indera Pahlawan dan Mengerna Dewa Raja Bangsawan.

Maka di lihat raja ketiga itu akan Asma Dewa Pekerma Raja datang itu maka sekeliannya turunlah menyembah kepada baginda maka Asma Dewa Pekerma Raja pun naiklah ke balairong itu dengan raja2 ketiga itu. Maka titah Asma Dewa Pekerma Raja kepada Selia Raja Indera Pahlawan dan Mengerna Dewa Raja Bangsawan “Hai saudaraku Selia Raja Indera Pahlawan dan Mengerna Dewa Raja Bangsawan. Baiklah tuan hamba kedua dengan segala hulubalang dan pahlawan rakyat Indera Gemala sekelian ini kembali dahulu ke dalam Indera Gemala kerana hamba hendak segera berjalan dan Perdana Dewa inilah sahaja akan teman hamba berjalan”. Demi di dengarnya oleh Selia Raja Indera Pahlawan dan Mengerna Dewa Raja Bangsawan akan titah Asma Dewa Pekerma Raja itu maka sembahnya “Baiklah tuanku tetapi jikalau ada suatu kesukaran dan kesakitan atau barang kerja tuanku hendaklah tuanku segera memanggil patik kedua ini”.

Setelah sudah maka Mengerna Dewa Raja Bangsawan dan Selia Raja Indera Pahlawan pun berjabat tangan dengan raja Peri Mengerna Indera dan menteri Perdana Dewa maka menteri Perdana Dewa pun menyembah kepada raja kedua itu. Maka raja Pahlawan kedua itu pun mengimpunkan segala kaum Indera Gemala itu maka segala hulubalang dan pahlawan Indera Gemala itupun berjabat tangan dengan segala menteri hulubalang yang ada di balairong itu. Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun mengeluarkan Indera Gemala kesaktian itu di dalam ikat pinggangnya maka lalu di pusarnya di tapak tangannya kedua maka keluarlah api cemerlang.

Maka Selia Raja Indera Pahlawan dan Mengerna Dewa Raja Bangsawan dengan segala hulubalang dan pahlawan rakyat bala tentera Indera Gemala itupun kembalilah kepada Indera Gemala kesaktian itu sekeliannya ghaiblah ke dalam Indera Gemala itu maka segala yang di balairong itu hairan tercengang2 melihat hal yang demikian itu. Setelah sudah raja Pahlawan kedua itu kembali ke dalam Indera Gemala kesaktian itu maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berkata kepada raja Peri Mengerna Indera “Tinggallah kekanda hamba hendak berjalan”. Maka raja Peri Mengerna Indera pun datanglah berjabat tangan dengan baginda seraya menyembah kepada baginda seraya bercucuran air matanya dan Perdana Dewa pun menyembah kepada raja Peri Mengerna Indera.

Maka segala menteri hulubalang yang ada hadir di balairong itupun datanglah sujud kepada kaki Asma Dewa Pekerma Raja dan berjabat tangan dengan menteri Perdana Dewa. Setelah sudah maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berjalanlah turun dari balairong itu lalu berjalanlah keluar kota Anrangga Puri itu di iringkan oleh menteri Perdana Dewa. Akan raja Peri Mengerna Indera dengan segala menteri hulubalang yang tinggal itupun turut mengantarkan Asma Dewa Pekerma Raja keluar kota. Setelah datang keluar kota maka sekelianya bermohonlah kembali maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berkata kepada menteri Perdana Dewa “Hai saudaraku menteri Perdana Dewa pada sebelah manakah negeri raja Zangkaya itu”.

Maka sembah menteri Perdana Dewa “Adapun patik dengar akan negeri Zangkaya itu di sebelah paksina itulah tuanku” maka Asma Dewa Pekerma Raja pun berjalanlah menuju ke paksina dengan Perdana Dewa itu. Syahdan setelah lepaslah padang Belanta Khirani itu lalu masuklah ke dalam rimba belantara yang besar2. Sebermula akan segala yang tinggal di kota Anrangga Puri itu sekeliannya masygul belaka seperti orang kematian rupanya akan puteri kedua itu sedia kala ia menangiskan Asma Dewa Pekerma Raja itu demikianlah di ceterakan oleh orang yang empunya cetera ini Wa Allaha Aa’lama Ba Al Showaaba.

Sumber: Kitab Peperangan Syaitan
Manuskrip Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment