Friday, 8 April 2016

HANTU-HANTU DALAM MASYARAKAT YAHUDI

Jika masyarakat Melayu terkenal dengan jin yang menyerupai hantu seperti pontianak, hantu raya, pocong atau toyol, masyarakat Yahudi pula mengenali 72 jenis puaka atau hantu yang wujud dalam kepercayaan mereka.

Mengikut kepercayaan masyarakat Yahudi, 72 jin terbabit adalah ketua utama yang memerintah pasukan tentera syaitan untuk berkeliaran melakukan angkara di muka bumi ini.

Setiap puaka itu memiliki kepakaran dan kesaktian tertentu antaranya memukau, menyihir, menjelma dan membentuk sesiapa atau apa sahaja selain mempengaruhi pemikiran manusia seterusnya menyesatkan mereka daripada kebenaran.

Berikutan jin terbabit memiliki kekuatan sihir dan magis, ada antara puaka terbabit yang dipuja oleh pihak tertentu dalam ritual songsang selain diseru ahli sihir kononnya bagi mendapatkan bantuan makhluk ghaib terbabit.

[Sejarah Dan Jenis]
Mengikut mitos kaum Yahudi, semua jin, hantu atau puaka ini pada asalnya dikurung Raja Nabi Sulaiman AS dalam tujuh bekas berasingan di sebuah kuil purba di Jerusalem pada ribuan tahun dahulu.

Tetapi apabila tentera Empayar Rom datang ke kuil itu, mereka menemui bekas terbabit lalu membukanya menyebabkan semua puaka yang terperangkap akhirnya bebas sehingga kini. Antara puaka, hantu dan jin yang dipercayai oleh kaum Yahudi berbahasa Ibrani adalah seperti berikut,

1. Bael

Bael adalah puaka yang tidak gemar bekerja di bawah sesiapa. Ahli sihir silam yang mendakwa konon Bael pernah muncul di hadapan mereka menggambarkan puaka itu memiliki tiga kepala iaitu kepala manusia, kepala kucing dan kepala katak, berkaki seperti labah-labah dan bersuara garau. Ia berkebolehan mengghaibkan dirinya. Bael adalah raja di timur dan menguasai 66 pasukan tentera syaitan.

2. Agares – Puaka ini dikatakan berkuasa menyebabkan gempa bumi, membekukan sesuatu yang sedang bergerak dan memukau seseorang sehingga menganggap manusia yang menjadi pengikutnya di pandang mulia dan memahami pelbagai bahasa. Ia menguasai 31 pasukan tentera syaitan dan akan menjelma di hadapan ahli sihir sebagai seorang lelaki tua kurus yang memegang burung dan menunggang seekor buaya.

3. Vassago – Digelar sebagai ‘Raja Ramal’ kerana kononnya berkuasa meramal masa hadapan, membantu pengikutnya mengesan harta karun dan mencungkil masa lampau. Vassago digambarkan memiliki perwatakan nakal, suka menukar rupa bentuknya dan menyakat sesiapa yang menyerunya.

4. Marbas – Berkebolehan mengubah rupa bentuk sesiapa yang berada di sekelilingnya seperti menukarkan manusia kepada serigala atau beruang, mengetahui rahsia terpendam, menyebabkan penyakit menular serta mampu mengubatinya. Apabila diseru, ia menjelma sebagai seekor kucing besar atau singa selain rupa seorang lelaki.

5. Valefar – Dikenali sebagai puaka yang amat jahat, memiliki sikap yang kurang disenangi dan penuh dengan muslihat. Menjelma sebagai singa berkepala keldai. Pakar dalam ilmu mencuri dan menjadi pendorong dan penghasut supaya seseorang mencuri.

6. Amon – Orang Mesir purba dikatakan menyembah Amon dan ia digambarkan sebagai lelaki berkepala burung selain serigala berekor ular. Amon bersifat licik dan gemar memanipulasi sehingga menyebabkan manusia menganggap ia sebagai ‘Tuhan’.

7. Paimon – dikatakan puaka yang amat merbahaya dan berkuasa di kalangan jin. Menguasai 200 pasukan tentera. Ahli sihir silam mengatakan Paimon adalah jin yang amat sukar untuk diseru. Ia menjelma sebagai manusia yang memakai mahkota dan diiringi tenteranya selain muzik tertentu akan berkumandang. Berkuasa menjadikan seseorang itu berpengaruh dan bermartabat.

8. Buer – Digambarkan menjelma sebagai manusia berkaki kuda yang memegang panah dan kulitnya berwarna perak berkilauan, berambut putih dan bermata merah. Menguasai 50 pasukan tentera dan berkuasa dalam bidang perubatan.

9. Gusion – Menjelma sebagai lelaki bertubuh sasa dan memakai jubah kuning, bercakap dengan lembut dan tenang serta kelihatan baik. Berkebolehan menjawab segala persoalan lampau dan masa hadapan.Menguasai lebih 45 pasukan tentera.

10. Sitri – Berkuasa membangkitkan nafsu seks dan menghasut supaya manusia bertelanjang dan melakukan hubungan kelamin. Digambarkan menjelma sebagai makhluk berkepala harimau dan bersayap.

11. Beleth – Menguasai 85 pasukan tentera. Menjelma sebagai seorang ksatria (knight) yang menunggang kuda pucat dan diiringi muzik tertentu, mulutnya mengeluarkan api. Antara jin yang agak sukar diseru.

12. Lerie – Suka menghasut sehingga berlakunya perang dan menyebabkan kecederaan yang dialami sesiapa sahaja ketika perang tidak akan sembuh selagi Lerie tidak beredar. Cara terbaik adalah memotong bahagian yang tercedera atau mati. Menguasai 30 pasukan tentera. Menjelma sebagai seorang pemanah kacak.

13. Bathin – berkuasa memindahkan seseorang ke tempat atau negara lain. Menjelma sebagai lelaki gagah berekor ular yang menunggang kuda pucat. Menguasai 30 pasukan tentera.

14. Ipos – Digelar ‘Putera Helah’ dan menjelma sebagai jin yang memiliki kepala singa dan berkaki angsa. Seseorang yang dikuasai Ipos akan lebih gemar bergaduh dari bercakap. Menguasai 36 pasukan tentera dan berkuasa menjadikan seseorang itu cerdas dan berani.

No comments:

Post a Comment