Sunday, 24 April 2016

RANTAI BESI GERGASI MAHARAJA MELAYU

Zhao Ragua dalam bukunya Zhu Fan Zhi yang ditulis pada tahun 1225 Masihi berdasarkan kepada catatan pengembaraan para pedagang Cina dari abad ke 12 dan 13 Masihi. Menurut beliau, Ibu Kota Sanfotsi atau Srivijaya adalah diperbuat daripada batu-bata dan ukurannya sangat panjang iaitu berpuluh-puluh Li ukur lilitnya . Tambahan lagi kerajaan Srivijaya pada masa itu juga telah mempunyai satu strategi pertahanan yang dianggap agak bijak dan terkedepan. Hal ini turut diperkatakan oleh Zhu dalam bukunya.

Bagi menghalang daripada pencerobohan lanun dan musuh daripada memasuki Ibu Kota kerajaan yang terletak dekat dengan laluan kapal, maka kerajaan Srivijaya telah menggunakan rantai besi dan merintanginya di kawasan perairan berhampiran pintu masuk melalui ibu Kota. Rantai besi ini juga dikatakan boleh dituil sama ada untuk ditinggikan atau merendahkannya. Apa yang menariknya sistem ini telah diwarisi kepada kerajaan Temasik. Catatan Sejarahwan mengesahkan bahawa Temasik juga menggunakan sistem pertahanan rantai besi yang sama seperti Srivijaya.

Malah sistem yang sama juga pernah digunakan oleh Kerajaan Byzantine di Selat Golden Horn pada zaman kegemilangannya. Disebabkan rantai-rantai besi yang merintangi Selat Golden Horn tersebut lah maka Sultan Muhammad Al Fateh terpaksa mendaratkan Armadanya dan mengarahkan agar kapal perangnya di tolak di atas darat bagi mendekati tembok Kota Constantinople.

Zhu juga mengatakan bahawa sistem pertahanan pelabuhan kerajaan Srivijaya sangat utuh dan sistematik. Menurutnya lagi, jika ada kapal yang memasuki pelabuhan tanpa izin dan pengetahuan daripada pemerintah, maka askar (orang laut) berperahu akan dikerahkan untuk menyerang menggunakan taktik tertentu. Askar-askar ini bersedia untuk mati demi Maharaja dan oleh kerana itulah kerajaan ini menjadi sebuah kerajaan Maritim yang sangat penting dan sangat kuat.
Sekian anecdote sejarah ringkas hari ini.

~ASJ~

Sumber:

Anthony Reid, An Indonesian Frontier, Acehnese And Other History Of Sumatra, Singapore university publication, Singapore, 2005.

Gambar: Lukisan yang menggambarkan rantai besi yang pernah digunakan oleh Byzantine (Rom Timur) yang memaksa Sultan Muhammad Al-Fateh menarik kapal di daratan bagi mengelakkan rantai besi itu.

No comments:

Post a Comment