Thursday, 28 April 2016

SALASILAH KESULTANAN MELAKA & UTHMANIYYAH YANG DIBAWA LARI INGGERIS

Satu lembaran salasilah yang begitu menarik yang menghubungkan sultan-sultan Melaka & sultan-sultan Uthmaniyyah kini berada di UK. Tidak diketahui siapa yang membuat salasilah ini, yang pastinya beliau seorang pakar ilmu salasilah. Barangkali seorang ulama Tanah Melayu. Tahun salasilah ini dibuat diyakini sezaman dengan pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876-1909) kerana salasilah Sultan Uthmaniyyah dalam lembaran ini berakhir pada Sultan Abdul Hamid II. Mengikut lembaran ini, salasilah sultan Melaka & sultan Uthmaniyyah bertemu pada Yafith bin Nuh, anak Nabi Nuh عليه سلام

Di Eropah, semasa Portugis & Sepanyol baru keluar dari zaman kegelapan, mereka sedang berhadapan dengan zaman kegemilangan Uthmaniyyah. Jadi menyerang Uthmaniyyah bukanlah satu tindakan yang bijak.

"Jika tidak mampu membunuh seekor naga, putuskan dulu ekornya."

Dengan sebab itu, Alfonso de Albuquerque telah mengeluarkan ucapan2 seperti berikut :-

"Sebagai perbandingan kehilangan kota ini merupakan kerugian yang lebih besar berbanding kehilangan nyawaku dari segi khidmat kepada Tuhan, Penguasa kita dan Raja Portugal, yang berkuasa ke atas kita. Kota ini adalah sumber yang paling besar bagi rempah-rempah, ubat-ubatan dan kekayaan di seluruh dunia. Kota ini dihuni oleh peniaga-peniaga yang paling kaya, dan ianya wujud di atas manfaat-manfaat perdagangan. Kebanyakan pedagang adalah orang Islam, yang tinggal di setiap negeri yang dikenali di India dan juga di tempat-tempat yang lain. Melalui Melaka mereka mampu untuk berdagang di pelbagai tempat, dan tanpa Melaka mereka tidak boleh membekalkan rempah-rempah, ubat-ubatan dan hasil kekayaan dalam kuantiti yang begitu besar ke bumi Kaherah, Iskandariah dan Venice.

Dengan mengusir orang-orang Islam keluar dari Melaka, api umat Islam akan dipadamkan dan kepercayaan mereka tidak akan tersebar lebih jauh lagi dengan sendirinya.

Dan jika kita mengambil yang satu ini (Kota Melaka) juga, mereka (umat Islam) tidak akan mempunyai negara lagi untuk menyara mereka.

Dari sini (Kota Melaka) lada-lada lebih banyak di ambil ke Timur Tengah berbanding dari Calicut. Dengan hanya setengah pusingan kunci, laluan ini akan ditutup, maka Raja, penguasa kita, akan menjadi penguasa bagi seluruh perdagangan ini."

Catatan Fernao Lopes De Castanheda

"Ini adalah kota utama dalam wilayah-wilayah ini, yang kaya dalam perdagangan, yang telah menjadikan umat Islam kaya raya dan berkuasa di rantau ini. Kita tidak dapat melakukan khidmat yang lebih besar kepada Tuhan dan kepada Raja, penguasa kita, selain mengambil alih daripada orang Islam perdagangan ini dan dengan itu menghalang mereka daripada memiliki kekayaan mereka, dan menjadikannya milik kita."

Catatan Gaspar Correia

Sumber: Hasan Yusof (https://goo.gl/Kiz3XZ)

Wednesday, 27 April 2016

NINJA TERAKHIR SEORANG BEKAS JURUTERA

Wajahnya mungkin tidak sesuai dengan gambaran seorang pembunuh berpakaian serba hitam dengan senjata membunuh & berkemampuan menghilangkan diri dengan bom asap. Ninja, atau lebih dikenali sebagai shinobi di Nippon (baca : Jepun) merupakan tentera upahan yang mahir dalam kerja risikan, sabotaj & membunuh secara senyap.

Namun merujuk kepada rekod Muzium Ninja Igaryu, orang terakhir yang mewarisi ilmu ninjutsu yang asli secara turun-temurun merupakan seorang bekas jurutera berusia 67 tahun (pada 2016) bernama Kawakami Jinichi.

Beliau merupakan 'Ban-gumi no soke' atau Ketua Keluarga (baca: klan/clan) Ban. Mempraktikkan ilmu ninjutsu aliran Koga & Iga, sejarah penglibatan Ban-gumi dalam ninjutsu dapat ditelusuri sejak 500 tahun yang lampau. Dengan kedudukan & kelebihan yang diwarisi, bekas jurutera ini dilantik sebagai 'Banke Shinobinoden no soke' (Pengetua Sekolah Shinobi Banke). Banke Shinobinoden mula popular sejak penubuhan Muzium Ninja Igaryu pada tahun 1964.

Kawakami-soke mendakwa bahawa beliau adalah satu-satunya pewaris ilmu ninjutsu asli yang masih hidup hingga kini. Menurut Japan Times "Kawakami-soke mempunyai sesuatu yang kebanyakan (proclaimed) shinobi tiada, iaitu sifat rendah diri & pelajaran yang sebenar. Termasuk juga skil pertahanan diri yang tinggi.

Kawakami-soke sendiri bukanlah mewarisi darah keluarga ninja, akan tetapi mewarisi ilmu tersebut sejak berusia tujuh daripada Ishida Masazo, yang merupakan biksu Buddha & pembuat ubatan herba. Menurut Kawakami-soke, lelaki tersebut mendakwa bahawa beliau merupakan salah seorang pengamal ilmu ninjutsu yang asli yang masih wujud.

Sebelum dia berusia 19 tahun, Kawakami-soke sudah mewarisi gelaran sensei (guru) & mewarisi skrol-skrol rahsia ninjutsu.

"Untuk melatih konsentrasi, saya perlu merenung api lilin hingga saya merasa diri saya benar-benar berada di dalam api tersebut. Saya juga berlatih mendengar bunyi jarum yang jatuh di lantai bilik sebelah" kata Kawakami-soke. Dia juga berlatih memanjat dinding, melompat dari tempat tinggi & belajar bagaimana mencampur bahan kimia untuk menciptakan bahan letupan & bom asap.

"Saya juga dilatih untuk menahan panas & dingin serta rasa sakit & kelaparan. Semua latihan itu sangat rahsia & menyakitkan, tapi saya tidak pernah terfikir mengapa saya melakukan semua ini. Latihan-latihan tersebut telah menjadi sebahagian daripada hidup saya," katanya sambil menunjukkan beberapa alat dan teknik yang digunakan dalam tugas risikan & sabotaj pada masa lalu.

"Seni ninjitsu terletak pada pergerakan yang tidak disedari oleh musuh, bukan pada kekejaman."

Pelajar terbaik Kawakami-soke,Kiyomoto Yasushi, merupakan satu-satunya yang menjadi gurulatih bertauliah dari Banke Shinobinoden. Kiyomoto-sensei menubuhkan sebuah dojo in Sagamihara-shi, Kanagawa, namun kini sudah tidak mengambil pelajar baru.

Pada 2003 pula Jose Defez & beberapa rakan bela diri dari Sepanyol memulakan latihan di Jepun mempelajari Shinobijutsu Koka daripada keluarga Ban. Pada Oktober 2010, Kawakami-soke dan Kiyomoto-sensei mengiktiraf Jose Defez sebagai satu-satunya sensei di luar Jepun, yang berpusat di Valencia.

(Sumber : http://www.bankeshinobi-spain.com/introduction.html )

Namun begitu, pada tahun 2012, Kawakami-soke memutuskan tidak akan mewariskan kedudukan soke kepada sesiapa lagi. Beliau meluahkan bahawa ilmu tersebut akan mati bersamanya kerana ianya tidak sesuai dengan zaman moden. Tambah beliau beliau "Di zaman perang saudara ataupun zaman Edo, kebolehan ninja untuk merisik & membunuh mahupun menghasilkan ubat amatlah berguna. Tetapi sekarang sudah ada pistol, internet & ubatan yang lebih baik, jadi seni ninjutsu sudah tiada tempat di zaman moden"

-Kai-

Tuesday, 26 April 2016

PENGGUNAAN KOTA DAN KUBU DI ALAM MELAYU

'Kalau Roboh Kota Melaka, Kota Di Johor Kita Dirikan'.
Kota dalam bahasa Melayu sebenarnya mempunyai beberapa pengertian bergantung kepada fungsi. Kota boleh bermakna pekan atau bandar. Manakala pusat pemerintahan sesebuah kerajaan Melayu itu juga sering digelar sebagai kota. Selain itu kota juga kadang-kadang disamakan dengan kubu pertahanan. Jika ditinjau dari segi fungsinya, kota dan kubu ada peranan yang berbeza. Biasanya dalam catatan teks historiografi Melayu, kota akan dikaitkan dengan pusat Kesultanan atau kompleks Istana raja.

Lazimnya Kota Raja diperbuat daripada kayu-kayan keras seperti cengal ,meranti, belian dan jati atau daripada bahan batuan dan mampatan tanah, batu bata, batu sungai mahupun batu kapur. Raja-Raja Melayu menggunakan Kota sebagai pusat pertahanan, pemerintahan, dan pentadbirannya. Sebagai sebuah Kota raja, kebiasaannya ia akan dilengkapkan dengan sistem pertahanan seperti menara kawalan, parit beranjau, para pengawal dan juga meriam. Sebuah kota raja juga dilengkapi dengan bangunan-bangunan seperti Istana raja, permandian raja, Istana keluarga diraja, balairung, balai penghadapan, tempat beribadah, dan bangunan tempat senjata.

Apabila seseorang raja itu berpindah atau membuka negeri baru, maka perkara pertama yang akan dilakukannya ialah mengerahkan pengikut-pengikutnya membina Kota Raja. Sejarah Melayu ada menyebut mengenai pembinaan Kota Raja, parit, rumah-rumah dan kedai serta istana ketika Seri Teri Buana hendak membuka negeri baru iaitu Singapura:

‘Maka Aria Bupala pun naik menghadap Wan Seri Beni, persembahkan segala pesan Seri Teri Buana itu. Maka Wan Seri Beni pun menyuruh berlengkap pada segala Orang Besar-besar, mengerahkan rakyat sekalian bermuat gajah, kuda ke perahu. Setelah mustaid, maka Wan Seri Beni pun pergilah ke Singapura. Setelah sampai maka sekaliannya naiklah; maka negeri Singapura pun telah sudahlah diperbuat orang dengan Kota paritnya, dan dengan segala Istana dan balairung dalam dan balairung luar, serta sekalian rumah orang, kedai dan pasar; terlalu indah perbuatan negeri Singapura itu.’

Manakala kubu pula adalah sejenis binaan yang digunakan untuk pertahanan. Kubu bukanlah sebuah tempat tinggal yang tetap atau tempat dibina Istana. Oleh hal yang demikian kubu-kubu ini kebiasaannya diperbuat daripada tanah mampat dan pancangan kayu keras. Ia juga dipanggil sebagai pagar sasak. Dalam Bahasa Inggeris ia dikenali sebagai Palisade atau Stockade. Kubu-kubu pertahanan ini dapat kita ketahui penggunaannya dalam peristiwa Perang Pahang dimana pasukan Datuk Bahaman dan pahlawan Pahang banyak membina kubu-kubu dari tanah di sekitar kawasan yang strategik bagi menghadapi serangan British contohnya di Jeram Ampai.

Sejarawan barat seperti Anthony Reid berpendapat, masyarakat Melayu tidak lazim membina kubu dan kota. Menurutnya keadaan geografi kawasan Asia Tenggara dan kepulauan Melayu khususnya yang berhutan tebal dan bergunung ganang menyebabkan pembinaan kubu adalah sesuatu yang tidak perlu dan sukar kerana bentuk muka bumi boleh di pergunakan untuk pertahanan mereka. Selain itu katanya orang Melayu tak perlukan kota dan parit kerana harta benda mereka tidak berharga dan mudah dibakar sebab diperbuat daripada kayu atau buluh.
Saya kurang bersetuju dengan pandangan ini. Masyarakat Melayu sememangnya sudah lama menggunakan parit dan kota sebagai pertahanan. Sebagai contohnya sewaktu Siam menyerang Kota Kelampang di Pattani, tentera Siam terpaksa berhadapan dengan parit yang dalam dan besar mengelilingi Kota tersebut. Ketika tentera Siam berusaha untuk meredah menaiki parit tersebut mereka telah dihujani dengan panah dan tembakan senjata api yang menyebabkan ramai daripada mereka terkorban. Akibatnya mereka terpaksa berundur.
Pendapat Reid juga dapat disangkal sekiranya kita melihat catatan mengenai kerajaan-kerajaan awal di Alam Melayu. Catatan daripada pengembara dari India, China dan Timur Tengah menyatakan bahawa kerajaan-kerajaan awal ini mempunyai Kota yang diperbuat daripada batu mengelilinginya. Satu catatan yang menyatakan tentang hal ini adalah daripada Zhao Ragua dalam bukunya Zhu Fan Zhi yang ditulis pada tahun 1225 Masihi berdasarkan kepada catatan pengembara dan pedagang Cina dari abad ke 12 dan 13 Masihi.

Menurut beliau, Ibu Kota Sanfotsi atau Srivijaya diperbuat daripada batu-bata dan ukurannya sangat panjang iaitu berpuluh-puluh Li ukur lilitnya. Kerajaan Srivijaya juga mempunyai satu strategi pertahanan yang unik. Menurut Zhu, bagi menghalang pencerobohan lanun dan musuh daripada memasuki Ibu Kota kerajaan yang terletak dekat dengan laluan kapal iaitu di tepi laut, maka kerajaan Srivijaya telah menggunakan rantai besi dan merintanginya di perairan berhampiran pintu masuk ibu Kota. Rantai besi ini dikatakan boleh dituil sama ada untuk ditinggikan atau direndahkan.

Pada abad ke 17, catatan daripada Belanda mengenai Palembang menyebut bahawa Kota pelabuhan tersebut dipagari dengan tembok batu yang besar, malahan terdapat lakaran daripada pegawai VOC yang menunjukkan Kota tersebut lengkap dengan Istana batu dan bangunan-bangunan di dalam Kota. Kota tersebut terkenal dengan nama Benteng Kota Besak dan sisanya masih ada sehingga sekarang.

Tanah Jawa juga amat kaya dengan tinggalan Kota dan kubu. Masyarakat Jawa mahir membina kubu dan kota daripada batu-bata. Hal ini dibuktikan dengan catatan dalam Babad Ing Sangkala yang berkisar mengenai Kerajaan Kartasura. Babad ini ada menyatakan bahawa terdapatnya Kota-kota yang dibina dengan batu bakar yang disepuh dengan plaster putih. Hal ini juga disentuh oleh Ricklefs dalam bukunya yang mana beliau menyatakan bahawa kubu-kubu dan Kota pertahanan yang terdapat di Jawa adalah setaraf dengan kubu dan Kota dunia barat.

Bercakap soal kota, pasti akan timbul persoalan berkenaan Kota Melaka di zaman sebelum penjajahan Portugis. Persoalan berkenaan Kota Melaka pra penjajahan masih diperdebatkan sehingga kini kerana hampir semua bukti-bukti fizikal kewujudan kota tersebut telah hilang dimusnahkan penjajah. Namun demikian sememangnya ada sumber sejarah yang dapat memberikan petunjuk bahawa Kerajaan Melaka mempunyai binaan kotanya sendiri tak kiralah samada daripada kayu, tanah mahupun batu.

Catatan Eridea memberikan maklumat bahawa orang Melayu Melaka sudah tahu membina Kota atau kubu yang kukuh. Menurut beliau orang Melayu membina struktur yang diperbuat daripada tanah yang dimampatkan di antara pancangan kayu. Banyak rumah-rumah turut dibina dalam keadaan sebegini di Melaka. Namun demikian mereka turut menjumpai binaan yang diperbuat daripada batu bata namun tidak mempunyai mortar. Rui de Araujo mencatat didalam suratnya bahawa Kota Melaka mengandungi 10 ribu buah rumah dan lebih kurang 500 buah daripadanya adalah diperbuat daripada batu dan tanah liat manakala selebihnya adalah daripada kayu.

Teryata daripada catatan Portugis ini menunjukkan memang ada binaan batu di Melaka. Menurutnya lagi stail binaan ini adalah sama dengan binaan batu yang dibuat oleh orang-orang lembah Sungai Ganges di India. Binaan seperti ini juga digunakan untuk membina Kota dan Istana raja. Eredia turut menyentuh tentang pembinaan kubu yang diperbuat daripada pokok Nibung oleh orang Melaka dalam situasi perang. Mereka turut menggali parit mengelilingi kubu yang dibina. Parit ini mengandungi jerangkap, dan ranjau yang disapu dengan racun. Mereka juga membuat lubang perangkap yang di tutup dengan dahan-dahan kering.

Walaupun Melaka mempunyai kubu atau Kota yang diperbuat daripada mampatan tanah atau batu sekalipun, namun berkemungkinan besar bukan seluruh bahagian bandar Melaka dilindungi dengan binaan tersebut. Pada pendapat saya bahagian yang dilindungi kota hanyalah di bahagian bandar yang terdapatnya Masjid, kediaman pembesar dan kompleks Istana Sultan. Oleh hal yang demikian, dalam Sejarah Melayu ada disebut yang orang Melaka cuba menghalang kemaraan Portugis dengan berkubukan Kempas di tempat tertentu. Saya yakin kubu kempas ini dibina di kawasan pantai di bahagian pasar dan kampung rakyat biasa.

Setelah menawan Melaka, Alfonso De Albuquerque telah mengarahkan pembinaan Kota A’Famosa di kaki Bukit Melaka untuk mempertahankan Kota tersebut daripada serangan balas Sultan Mahmud Syah dan sekutu-sekutunya. Kota ini siap dibina sekitar awal 1512 hasil kerahan tenaga buruh paksa dan penduduk tempatan.

Untuk membina kembali kota pentadbiran di tapak kota yang telah dimusnahkan dalam tempoh yang singkat adalah agak sukar malah mustahil walaupun dengan sumber tenaga buruh yang ramai jika tiada sumber bahan mentah dikawasan tersebut. Oleh itu pasti ada sumber batuan di sekitar bandar Melaka. Lakaran kota Melaka selepas penjajahan Portugis yang dilukis pada tahun 1512 menunjukkan bahawa kota awal Portugis itu dibina di tebing kanan sungai Melaka yakni di kaki bukit Melaka. Lokasi ini adalah bertepatan dengan lokasi asal Masjid Agung Melaka.

Oleh sebab itu saya berpendapat kota Portugis yang disiapkan dalam masa 4 ke 5 bulan tersebut dibina diatas binaan asal Kota Melaka sebelum serangan Portugis. Hal ni memang jelas disebutkan dalam catatan Portugis dimana mereka mengakui bahawa Kota tersebut dibina daripada runtuhan istana, punggaran bangunan dan rumah-rumah pembesar malah makam dan kubur berbatu laterit yang diambil sekitar Melaka. Seorang penulis barat menyebut:

“A Famosa was built by the forced labour of 1,500 royal slaves, who were conscripted by Albuquerque after he had defeated and put to flight their master, the Sultan. With a disregard for Muslim susceptibilities typical of the time, the Christian Portugese erected their fortress on the ruins of the Great Mosque of Malacca and constructed it, in part at least, out of stones taken from Malay religious buildings and from the graves of former Malay sultans. Because of the marshy nature of the site, the foundations had to be dug to the depth of a war lance.” – Graham W.Irwin.

Ini jelas menunjukkan betapa banyaknya bangunan batu yang terdapat di Melaka hingga kehancurannya dapat dijadikan asas bahan binaan untuk membangunkan Kota Portugis. Catatan Portugis menyebut Albuquerque sendiri telah mengerahkan hamba raja yang ditawan untuk memunggar Masjid Agung Melaka yang diperbuat daripada batu. Malah masjid-masjid kecil lain di seluruh bandar Melaka yang diperbuat daripada batu turut dipunggar untuk mendapatkan batunya.
Sewaktu dalam pengungsian di Bintan, Sultan Mahmud dan para pengikutnya telah membina sejenis pertahanan yang dinamakan Kota Kara. Kota Kara dipercayai adalah sejenis kubu pertahanan sementara yang dibina dalam keadaan perang. Ia dibina daripada pancangan kayu-kayu keras ataupun mampatan tanah dan batu.
Armada Portugis yang dipimpin oleh admiral Mascarenhas dengan 20 buah kapal membawa 550 orang Portugis dan 600 orang Melayu telah berjaya membungkam Kota Kara yang dipertahankan oleh orang-orang Sultan Mahmud di bawah Sang Setia dan Laksamana Hang Nadim pada 23 Oktober 1526. Setelah itu barulah Kopak dapat dikuasai. Menurut RO Winstedt, armada Portugis memerlukan empat belas hari sebelum Kota itu dapat dilumpuhkan.

Pada zaman kerajaan Johor, Kota Johor Lama menjadi kota pentadbiran warisan kerajaan Kesultanan Melaka. Benteng kota yang terletak di atas Tanjung Batu itu menggunakan ketul-ketul batu pejal dan atasnya dikambus dengan tanah yang menjadikan ketul batunya tidak kelihatan.

Tembok kota yang berlapis batu-batu pejal selebar tiga meter dan berturap simen kapur kira-kira enam sentimeter menjadi asas kepada kekuatan dan kekukuhan kota. Tembok ini juga dilengkapi dengan ratusan meriam untuk mempertahankan kota dari ancaman Portugis dan musuh yang lain.

Teknologi yang digunakan membolehkan kota ini bertahan daripada bedilan meriam musuh. Portugis berusaha menakluk kota ini selama lebih 50 tahun dan hanya berjaya pada tahun 1587 dan menemukan 800 meriam di dalam kota. Hal ini menguatkan logik bahawa orang Melayu Melaka yang berundur dari Melaka telah memiliki pengetahuan, kemahiran dan teknologi yang tinggi dalam pembinaan kota. Pastinya semua yang ditonjolkan di Kota Johor Lama adalah teknologi yang pernah digunapakai dalam pembinaan kota-kota terdahulu di tempat asal mereka dan semakin ditambah baik mengikut zaman.

Selain daripada pertahanan di darat, orang Melayu juga mahir dengan taktik dan strategi peperangan di atas air. Dalam Syair perang Siak, ada di sebut mengenai sejenis strategi unik yang digunakan oleh orang-orang Melayu dalam menghadapi serangan Belanda. Taktik tersebut ialah dengan menggunakan sejenis Kota Berjalan. Pada pendapat saya Kota Berjalan ini adalah sejenis perahu berperisai yang sama fungsinya seperti Kapal Kura-Kura Laksamana kerajaan Joseon (Korea) Yi Sun Shin.

Menurut Donald .J Goudie, Kota berjalan adalah sejenis Kota terapung yang dibina di atas sebuah kapal dan dilengkapi dengan banyak senjata-senjata api seperti meriam lebih kurang 16 buah meriam besar dan beberapa banyak lagi meriam-meriam kecil dan sederhana. Menurut pendapat beliau Kota berjalan ini sukar untuk dikendalikan dan ia adalah salah satu bentuk serangan berani mati.

Selain daripada Kota-kota yang telah disebutkan, sebenanrya ada banyak lagi kota-kota dan kubu buatan orang Melayu di seluruh Malaysia malah seluruh Alam Melayu ini. Ada yang masih berdiri kukuh namun banyak juga yang hanya tinggal nama sahaja.

Antaranya ialah Kota Kuala Kedah, Kota Melawati, Kota Kayang, Kota Kubang Labu, Kota Mahligai, Kota Lukut, Kota Singgora, Kota Pancur, Kota Baharu dan lain-lain. Hal ini menunjukkan bahawa orang Melayu memang tahu membina kota dan kubu dan bukan hanya lari masuk ke hutan jika diserang seperti yang dituduh Orientalis.

Membongkar Kota-kota Melayu terutama Kota Melayu Melaka yang telah hilang dalam sejarah adalah satu proses yang masih belum selesai. Perbezaan pendapat dan penulisan sejarah serta kekurangan maklumat mewujudkan dilema yang berterusan dikalangan pengkaji.

Tetapi apa yang penting, bukanlah Kesultanan Melayu Melaka dan tamadun Melayu tidak pernah mengenali akan kewujudan kota batu dalam sejarah mereka. Sebagai contoh, leluhur kepada Kesultanan Melayu Melaka iaitu Singapura Purba adalah bukti utama kepada kewujudan sebuah kota batu.
Kalau kalian pernah menjejakkan kaki ke Fort Canning Hill di Singapura yang menjadi tempat persemadian raja-raja Melayu hari ini, terdapat bukti arkeologi mengenai batu bata yang pernah menjadi kubu kepada kota ini.

Ahli Arkeologi Singapura memang dah lama jumpa banyak juga batu-bata BAKAR di tapak kawasan kompleks kuno istana Raja-raja Melayu Temasik di bukit tu. Ini maknanya memang orang Melayu zaman tersebut dah tahu bina kota dari Batu Bata Bakar, bukan setakat batu sungai atau tanah.

Kalau leluhur kepada Melaka iaitu Temasik/Singapura Purba mampu membina kota batu seperti yang ditemui oleh para arkeologi, mengapakah Melaka tidak mampu berbuat demikian?

Namun demikian kita dapat simpulkan bahawa sememangnya orang-orang Melayu mempunyai pengetahuan dalam pembinaan Kota dan kubu untuk pertahanan, tidak kira lah sama ada Kota atau kubu tersebut diperbuat daripada batu-bata, tanah mampat mahupun hanya pancangan dan jalinan kayu keras.

Apa yang penting dan jelas di sini ialah pembinaan Kota dan kubu juga adalah salah satu strategi yang dipraktikkan oleh orang Melayu sejak sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Sekian, wallah hu a’lam.

~ASJ~

Sumber:

• Donald J. Goudie, Syair Perang Siak, Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society, Monograph No.17,Art Printing Snd Bhd,Kuala Lumpur, 1996.

• V. Mills (translator), Eredia’s description of Malacca, Meridional India and Cathay, Malaysian Branch of royal Asiatic society, 1997.

• Sulalat Al-Salatin, Yakni Perteturun Segala Raja-Raja, yayasan karyawan dan dewan bahasa dan pustaka, Kuala Lumpur,Malaysia,1997.

• M.C Ricklefs, Modern Javanese Historical Tradition: A study of an original Kartasura Chrinicle and Related Materials, School of oriental and African studies university of London, Malee street, London, 1978.

• Anthony Reid, An Indonesian Frontier, Acehnese And Othere History Of Sumatra, Singapore university publication, Singapore, 2005.

• Abdul Halim Nasir. Kota-Kota Melayu. Dewan Bahasa Pustaka; 1990.

• Noor Aisyah Binti Mokhtar, Nik Hassan Shuhaimi Bin Nik Abdul Rahman, Kamarul Afizi Bin Kosman, Kewujudan Kota Melayu Melaka, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi Selangor.

Monday, 25 April 2016

KEANGKUHAN FIRAUN BERDASARKAN BIBLE: BALA-BALA DAHSYAT YANG MENUNDUKKAN KESOMBONGAN FIRAUN

Terdapat sepuluh bala besar yang menggoncang bumi Mesir Purba semasa pemerintahan Firaun yang menzalimi Bani Israel. Keangkuhan Firaun yang tiada batas menunjukkan betapa gelap hatinya, dikeruhkan lagi dengan bisikan-bisikan pembesar-pembesarnya.

Dalam siri artikel yang lepas, teori Firuan manakah yang terlibat dalam persengketaan bersama Nabi Musa as dibincangkan, secara terperinci:

http://www.thepatriots.my/thutmose-ii-firaun-terhebat-mesir-purba-itu-firaun-dalam-al-quran/

http://www.thepatriots.my/ramses-ii-itu-firaun-dalam-al-quran/

Artikel-artikel ini tidak menyentuh tentang bala-bala yang dimaksudkan secara menyeluruh.

Pertembungan Nabi Musa bersama Firaun benar-benar meletus selepas berlakunya pertunjukkan ala-ala silap mata, dimana tongkat Nabi Harun berubah menjadi ular dan memakan ular-ular milik ahli-ahli sihir Mesir.

Maka bermulalah kronologi bala-bala yang begitu dahsyat sekali, dimana setiapnya menandingi tahap yang sebelumnya dan selepas bala yang kesepuluh barulah terbukanya hati Firaun… itupun sebentar sahaja.

“Inilah Firmannya: kamu sudah tahu Akulah Tuhan. Melalui tongkat ditangan ini, Aku akan tukarkan air Sungai Nil menjadi darah. Ikan-ikan Sungai Nil akan mati, dan sungai ini akan membusuk sehingga rakyat Mesir tidak dapat minum daripadanya.” – Keluaran 7:18.

Sehebat-hebat negara Mesir pada ketika itu, ia tidak mampu mengelakkan bala ini daripada berlaku. Kata-kata Nabi Musa yang mengandungi janji Tuhan bukannya sekadar amaran lelaki yang merajuk. Bayangkan setiap titisan air di Mesir mengandungi darah; sumber yang lain pun berdarah.

Tetapi hati Firaun langsung tidak bergoyah selepas ahli-ahli sihirnya sendiri mampu tukar air menjadi darah. Firaun mengerahkan gandaan kepada kerja Bani Israel.

Seminggu selepas peristiwa darah itu, Tuhan menuntut lagi pengeluaran Bani Israel, dan kali ini, janji yang dibuat itu mengandungi amaran yang lebih dahsyat:
“Jika kamu enggan akan Aku hantar katak kepada seluruh negara kamu. Sungai Nil akan dipenuhi katak. Mereka akan memasuki istana-istanamu, kamar-kamar tidurmu, menaiki katil-katilmu, memasuki rumah-rumah menteri-menterimu dan juga rakyat-rakyatmu, sehingga kedalam ketuhar-ketuhar dan penguli-penguli tepungmu.” – Keluaran 8:2-3.

Katak mula membanjiri daratan Mesir daripada perairan-perairan seperti sungai, terusan dan tasik. Sekali lagi ahli-ahli sihir Firaun membisik di telinga pemerintah angkuh itu dengan membuktikan mereka pun boleh keluarkan katak.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, jelas kelihatan keangkuhan ini telah memperbodohkan diri mereka sendiri dalam usaha menandingi kuasa Tuhan… kerana mereka tidak tahu cara untuk menghentikannya.

Maka Firaun berganjak.

Dia menyeru Nabi Musa hentikan bala ini, menjanjikan keluaran Bani Israel. Dan Nabi Musa bersabda katak ini sekadar bukti Tuhan yang lebih berkuasa – bahawa Firaun hanya perlu tetapkan tarikh sahaja agar ia dihentikan. Dan Firaun memilih esok; selepas bala ini dihentikan, Firaun tidak menepati janjinya, membuka tirai kepada bala ketiga yang jauh lebih teruk.

Kali ini, Nabi Musa tidak membuat desakan langsung.

“Tuhan berfirman kepada Musa, ‘Perintah Harun agar dia laraskan tongkatnya dan hentak ke bumi’ maka di sepanjang Tanah Mesir, setiap debu akan menjadi kutu.” – Keluaran 8:16.

Dan setiap debu berubah menjadi kutu yang menyerang rakyat dan haiwan Mesir. Kali ini, ahli sihir Mesir tidak dapat menandingi bala ini. Tetapi Firaun masih lagi tidak berganjak, dan wahyu seterusnya memerintah Nabi Musa bertemu lagi dengan Firaun untuk memberikan amaran:

“Jikalau kamu tidak keluarkan hamba-hambaKu, Aku akan utuskan kawanan-kawanan langau kepada kamu dan menteri-menteri kamu dan rakyat kamu. Mereka akan memasuki rumah-rumah kamu, sehingga tanah pun ditutupi mereka.” – Keluaran 8:21.

Cuma bala kali ini berbeza sedikit, kerana Tanah Goshen yang didiami Bani Israel tidak diapa-apakan. Kawanan langau menyerang rakyat Mesir sahaja. Dan sekali lagi Firaun menjanjikan pembebasan. Sekali lagi bala itu ditarikbalik. Sekali lagi Firaun tidak mengotakan janjinya, bersedia untuk berdepan dengan bala kelima yang bermula selepas satu lagi pertemuan bersama Nabi Musa.
Seperti biasa, bala yang berlaku semakin mengeruh.

“Jikalau kamu enggan dan masih lagi tidak mengotakan janjimu, kuasaKu akan menurunkan wabak yang teruk kepada haiwan-haiwan ternakanmu.” – Keluaran 9:2-3.

Dan sekali lagi, ternakan Bani Israel tidak diapa-apakan, manakala di sebelah Mesir pula, ternakan seperti kuda, keldai, unta, lembu dan kambing tersungkur menemui ajal. Walaupun Firaun mengetahui ternakan Bani Israel masih hidup, hatinya masih lagi keras.

“Kemudian Tuhan berfirman kepada Musa dan Harun, ‘ambil segenggam jelaga daripada sebuah relau dan balingkan ke udara di hadapan Firaun. Ia akan menjadi debu yang akan membarah nanah ke seluruh Mesir.” – Keluaran 9:8-9.
Ahli-ahli sihir Firaun sendiri tidak dapat tahan dengan ketumbuhan nanah yang teruk ini. Tetapi Firaun tidak berganjak juga, dan atas keangkuhannya, bala yang paling teruk (buat masa itu) pun menyusul dengan amaran yang begitu menggerunkan:

“Tuhan berfirman kepada Musa, ‘keluarlah di awal pagi, bertemulah dengan Firaun dan katakanlah, ‘Inilah Firman Tuhan: lepaskan hamba-hambaKu, agar mereka dapat menyembahKu, dan jikalau kamu tidak mengendahkan perintahKu, akanKu hantar balaKu berskala penuh kepadamu dan menteri-menteri mu dan rakyatmu, agar kamu akan sedar tiada siapa dapat menandingiKu di Bumi ini. Pada waktu ini, Aku boleh saja menamparmu sehingga kamu dan rakyat kamu lenyap dari Bumi ini. Tetapi Aku menaikkan darjatmu, dan tujuanKu untuk menunjukkan kekuasaanKu diatas namaKu. Kamu masih lagi tetap dengan pendirianmu dan tidak mahu bebaskan hamba-hambaKu. Maka pada hari esok, Aku akan utuskan ribut taufan yang paling dahsyat yang tidak pernah dialami Mesir sejak penubuhannya.” – Keluaran 9:13-18.

Ada dalam kalangan menteri-menteri Firaun sendiri yang begitu gerun akan amaran ini. Mereka bergegas untuk bawa masuk hamba-hamba dan ternakan mereka. Tetapi ada juga yang keras dan mengabaikan janji ini, walaupun mereka telah menyaksikan enam bala yang sungguh teruk sebelum ini.

Dan mereka benar-benar merasai kuasa Tuhan apabila awan mula menyelubungi langit Mesir, dengan izin-Nya untuk meletuskan bala ketujuh – guruh, petir dan hujan lebat mula mencetuskan ketakutan dalam hati rakyat Mesir – dan seperti yang dijanjikan, inilah ribut yang paling dahsyat dalam sejarah Mesir, meragut semuanya. Tetapi di Tanah Goshen, Bani Israel sekadar melihat sahaja.

Firaun akhirnya mengaku dosanya. Dia mengakui kehebatan Tuhan, dan kesalahannya dan rakyatnya. Firaun menyeru Nabi Musa berdoa kepada Tuhan agar bala besar ini dihentikan dan menjanjikan pembebasan Bani Israel, dan seperti biasa, tidak mengotakan janjinya.

Tetapi masih ada tiga bala lagi yang menanti Firaun. Dan jika bala ketujuh ini pun sudah cukup untuk menghancurkan ego Firaun buat seketika – bayangkan bala kelapan ini – “Jikalau kamu tidak lepaskan hamba-hambaKu, Aku akan utuskan kawanan belalang pula ke negaramu esok. Mereka akan melitupi setiap permukaan tanah sehingga tidak dapat dilihat. Mereka aken menjamah cebisan-cebisan makanan yang kamu ada selepas ribu, termasuk tanaman-tanamanmu yang sedang tumbuh.” – Keluaran 10:4-5.

Dan kawanan belalang ini mengunjungi Mesir dan menyerbu masuk ke rumah-rumah mereka, satu perkara seperti yang dikatakan Tuhan yang tidak pernah dilihat oleh leluhur Firuan sejak penubuhan Mesir Purba.

Dan menteri-menteri Firaun sudah naik muak. Mereka bersetuju penghijrahan Bani Israel, kerana, “tidakkan baginda sedar bahawa Mesir sudah hancur?” – Keluaran 10:7.

Dan Firaun memanggil semula Nabi Musa dan Nabi Harun untuk bertanya siapakah yang akan dikeluarkan. Nabi Musa menjawab setiap individu dalam kalangan Bani Israel, termasuk kumpulan kambing dan lembu. Tetapi Firaun hanya bersetuju jika lelaki sahaja yang dikeluarkan. Dan Nabi Musa dan Harun tidak berkompromi.

Kawanan belalang yang tidak pernah dilihat dan tidak akan dilihat lagi menyerang Mesir sehingga setiap inci darat menjadi hitam seperti kulit mereka, menjamah apa yang masih ada di Mesir selepas ribut itu termasuk tanaman-tanaman yang dicucuk. Tiada satu hijau pun tinggal, dan setelah diminta agar kawanan ini dikeluarkan, Firaun memungkiri janjinya seperti biasa.

Pengkhianatan ini telah menyusulkan bala kesembilan dimana Tuhan menggelapkan bumi Mesir selama tiga hari. Rakyat Mesir tidak dapat lihat apa-apa. Mereka tidak dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa, tetapi bumi Bani Israel terang sahaja.

“Firaun memanggil Musa dan menitah, ‘Pergi sembah Tuhanmu. Kamu boleh bawa kaum wanita dan kanak-kanak bersamamu, tetapi tinggalkan kambing dan lembu di sini.” – Keluaran 11:24.

Dan apabila Nabi Musa berunding agar kawanan ternakan mereka pun akan dibawa pergi juga demi korban, Firaun menghalaunya keluar dan mengugut bunuh jika baginda datang lagi.

Dengan sembilan bala besar, Firaun masih lagi tidak berganjak daripada keangkuhannya. Maka datangnya bala kesepuluh, dimana Tuhan menjanjikannya sebagai bala terakhir:

“Tuhan berfirman kepada Musa, ‘Aku akan membawa satu lagi bala keatas Firaun dan Mesir. Selepas itu, dia akan benarkan kamu keluar; dan apabila dia benarkan, dia akan menghalau kamu secara sepenuhnya.” – Keluaran 11:1-2.

Dan Nabi Musa menyampaikan wahyu itu, “Inilah titah Tuhan: ‘Pada tengah malam ini, Aku akan melalui Mesir. Setiap anak sulung Mesir akan mati, daripada anak sulung Firaun yang sedang menduduki takhta, kepada anak sulung hamba wanita yang sedang bekerja di pengisarnya, sehingga anak sulung lembu sekali. Akan ada raungan yang kuat di seluruh Mesir – terlalu teruk sehinggakan tidak pernah sekali pun Mesir diraung sedemikian rupa dan tidak lagi akan Mesir raung sebegitu.” – Keluaran 11:4-6.

Tetapi dalam kalangan Bani Israel, tiada seekor anjing pun akan menyalak. Dan Tuhan menasihati Nabi Musa agar setiap keluarga sembelih seekor kambing. Jika keluarga itu kecil, mereka wajib berkongsi sembelihan bersama jiran mereka.

Dan haiwan sembelihan pun ada syaratnya: umur setahun tanpa sebarang kecacatan. Dan pada senja hari ke-14, Bani Israel mesti menyembelih haiawan-haiwan ini, menyapu darah mereka di bingkai pintu rumah mereka. Pada malam itu, mereka wajib makan daging yang dipanggang atas api dengan herba-herba tertentu bersama roti yang dibuat tanpa ragi (yeast).

Tuhan juga mensyaratkan mereka tidak boleh memakannya mentah atau menjerangnya. Mereka wajib memanggangnya, termasuk kepala, kaki dan organ-organ. Jika ada sisa, mereka wajib membakarnya.

Dan mereka wajib memakannya dengan jubah diikat dalam tali pinggang, kasut kemas di kaki dan tongkat rapat ditangan. Bukan itu sahaja. Sesungguhnya bala yang sedang menanti ibaratkan mempunyai bencana yang begitu besar sehinggakan perlindungannya amat susah untuk dikecapi.

Bani Israel diwajibkan berpantang roti bersama ragi selama seminggu (selepas hari sembelihan (14 Hari Bulan)). Sesiapa yang memakan bersama ragi akan disingkirkan daripada Bani Israel. Mereka diwajibkan untuk tidak bekerja dalam minggu tersebut.

Dan apabila hari yang dijanjikan datang, Tuhan sendiri (ada juga yang mengatakan Malaikat Maut) melalui Mesir dan mengambil nyawa anak pertama setiap orang dan haiwan yang dijanjikan – tetapi bagi Bani Israel yang taat dengan perintah sembelihan, pemakanan bersyarat dan berpantang, mereka terkecuali.

Dan pada malam itu juga, Firaun, menteri-menterinya dan seluruh rakyat Mesir bangun dan raungan mereka menggegarkan bumi negara hebat itu.

Firaun yang angkuh itu akhirnya mengalah dan membenarkan keluaran Bani Israel – lelaki, wanita, kanak-kanak, kambing dan lembu. Dia juga meminta Nabi Musa berdoa agar dia dirahmati. Dan Bani Israel berhijrah ke Sukkoth – seramai 600,000 orang yang berjalan kaki. Tetapi mereka tidak melalui negara Filistina walaupun jalan itu lebih singkat. Kerana Tuhan berfirman, “Jika mereka menemui peperangan mereka akan kembali ke Mesir.” – Keluaran 13:17.

Akhirnya, Firaun menarikbalik kebenaran itu. Dan keputusannya membawanya ke nasibnya di Laut Merah. Dan menurut Kitab Zabur, Firaun mati bersama tentera-tenteranya di lautan tersebut.

-- AFDS --

REPOST

Sunday, 24 April 2016

WAHAI ANGIN SAMPAIKAN SALAMKU PADA LAYLA!

Wahai angin sampaikan salamku pada Layla!
Tanyakan padanya apakah dia masih mau berjumpa denganku?
Apakah ia masih memikirkan diriku?
Bukankah telah kukorbankan kebahagiaanku demi dirinya?
Hingga diri ini terlunta-lunta, sengsara di padang pasir gersang
Wahai kesegaran pagi yang murni dan indah!
Maukah engkau menyampaikan salam rindu pada kekasihku?
Belailah rambutnya yang hitam berkilau
Untuk mengungkapkan dahaga cinta yang memenuhi hatiku
Wahai angin, maukah engkau membawakan keharuman
rambutnya padaku
Sebagai pelepas rindu
Sampaikan pada gadis yang memikat hati itu
Betapa pedih rasa hatiku jika tidak bertemu dengannya
Hingga tak kuat lagi aku menanggung beban kehidupan
Aku merangkak melintasi padang pasir
Tubuh berbalut debu dan darah menetes
Airmataku pun telah kering
Karena selalu meratap dan merindukannya
Duhai semilir angin pagi, bisikkan dengan lembut salamku
Sampaikan padanya pesanku ini:
Duhai Layla, bibirmu yang selaksa merah delima
Mengandung madu dan memancarkan keharuman surga
Membahagiakan hati yang memandang
Biarkan semua itu menjadi milikku!
Hatiku telah dikuasai oleh pesona jiwamu
Kecantikanmu telah menusuk hatiku laksana anak panah
Hingga sayap yang sudah patah ini tidak mungkin dapat terbang
Berbagai bunga warna-warni menjadi layu dan mati
Karena cemburu pada kecantikan parasmu yang bersinar
Engkau laksana dewi dalam gelimang cahaya
Surgapun akan tertarik untuk mencuri segala keindahan
yang engkau miliki
Karena engkau terlalu indah dan terlalu berharga untuk
tinggal di bumi!

Duhai Layla, dirimu selalu dalam pandangan
Siang selalu kupikirkan dan malam selalu menghiasi mimpi
Hanya untukmu seorang jiwaku rela menahan kesedihan
dan kehancuran
Jeritanku menembus cakrawala
Memanggil namamu sebagai pengobat jiwa, penawar kalbu
Tahukah engkau, tahi lalat di dagumu itu seperti sihir
yang tidak bisa aku hindari
Ia menjadi sumber kebahagiaan yang telah memikatku
untuk selalu mengenangmu
Membuat insan yang lemah ini tidak lagi mempunyai jiwa
Karena jiwaku telah tergadaikan oleh pesonamu yang memabukkan
Jiwaku telah terbeli oleh gairah dan kebahagiaan cinta
yang engkau berikan
Dan demi rasa cintaku yang mendalam
Aku rela berada di puncak gunung salju yang dingin seorang diri
Berteman lapar, menahan dahaga
Wahai kekasihku, hidupku yang tidak berharga ini suatu saat akan lenyap
Tapi biarkan pesonamu tetap abadi selamanya di hatiku

(Petikan daripada buku Laila dan Majnun tulisan Nizami Ganjavi pada Bab III, hlm. 21-23, situasi ketika Qays mulai sering meninggalkan rumah, hidup sendirian di padang pasir gersang atau hutan belantara yang berbahaya. Ia tidak lagi merawat tubuh, membiarkan rambut memanjang dan ke sana-kemari bertelanjang dada. Saat berjalan di kampung-kampung, orang-orang akan memanggilnya dengan Majnun, si gila. Dan anak-anak kecil akan mengikuti langkahnya dari belakang sambil melempari batu. Meski demikian dari mulutnya yang kering tetap keluar syair-syair yang indah)

Sumber: http://kepadapuisi.blogspot.my/

-HE-

PERANG ETNIK IBAN SEBELUM KEDATANGAN BROOKE

Etnik Iban merupakan antara etnik yang terkenal dengan sejarah perang mereka. Bukan sahaja ketika Sarawak dibawah pemerintahan Brooke selama 100 tahun sebaliknya ianya telah berlaku lebih lama daripada itu iaitu sejak mereka mula berhijrah daripada kawasan Sungai Kapuas sehinggalah menjelajahi segenap pelusuk Borneo pada awal abad ke 17 Masihi lagi.

Sejarah perang etnik Iban di Sarawak sebenarnya mempunyai sebab yang tertentu samada melalui perang perluasan wilayah mahupun kerana perang untuk menyelesaikan pertikaian yang berabad lamanya. Apa yang disajikan di dalam artikel ini adalah hanya secara sepintas lalu sahaja sebagai ruang informasi untuk semua.

1. Perang Iban vs Seru & Buketan

Di ketika etnik Iban mula memasuki wilayah Sarawak, ada 2 etnik yang menjadi musuh mereka kerana kedua-duanya juga mempunyai tradisi yang sama. 2 etnik itu adalah etnik Seru dan Buketan yang mana pada masa sekarang etnik Seru sudah tiada lagi di dalam dermografi Sarawak manakala Buketan menjadi etnik yang lebih kecil.

Pertembungan mereka dengan beberapa etnik seperti Seru malah juga Buketans telah menyebabkan etnik-etnik ini terpaksa menyelusup masuk menjadi etnik-etnik yang berada di sekitarnya bagi tujuan survival kaum mereka pada ketika itu. Kekuatan dan teknik perang etnik Iban seringkali tidak dapat diduga oleh mereka sehingga menyebabkan ramai antara mereka terkorban dan kepala mereka menjadi “hadiah” perang kayau etnik Iban suatu waktu dahulu.

Kedua-dua etnik ini yang pada mulanya menetap di kawasan persisiran sungai telah “dihalau” sehingga ke kawasan pedalaman Sarawak. Menurut ceritanya pada ketika Brooke mula bertapak di Sarawak, kedua-dua etnik ini telah melalui penyusutan yang ketara sehingga Brooke sendiri melabelkan mereka antara etnik yang hilang di Sarawak.

2. Perang Iban vs Kaum Orang Ulu & Bidayuh

Selain itu, etnik Iban juga boleh dikatakan memerangi sesiapa sahaja di dalam proses perluasan wilayah mereka seperti konflik perang dengan Kaum Orang Ulu di utara Sarawak, etnik Bidayuh di selatan Sarawak dan juga mana-mana etnik sehingga ke wilayah Kapuas.

Peristiwa Bung Bratak misalnya menyaksikan bagaimana Iban Skrang telah memerangi etnik Bidayuh sehingga memaksa Panglima Kulow seorang pahlawan Bidayuh mengejar mereka sehingga ke perkampungan mereka dengan kerjasama daripada Brooke yang baru sahaja menggungguli Kuching pada masa itu.

Ini adalah salah satu contoh perang Iban ke atas etnik Bidayuh yang tercatit di dalam sejarah iaitu sebelum Brooke mula melebarkan sayapnya ke seluruh Sarawak suatu waktu dahulu.

3. Perang Iban vs Pembesar Kesultanan Brunei

Umum mengetahui bahawa wilayah Sarawak suatu waktu dahulu adalah juga wilayah kuripan kepada pembesar-pembesar Kesultanan Brunei Darussalam. Pembesar-pembesar dilantik untuk memungut cukai daripada rakyat-rakyat di dalam wilayah kuripan ini sentiasa tidak disukai oleh etnik Iban.

Dan kerana itulah pernah berlaku beberapa rentetan perang dengan pembesar-pembesar ini seperti cerita perang yang melibatkan Sharif Hamid yang telah dibunuh oleh etnik Iban kerana terlalu sombong.

Dan ada juga beberapa orang pembesar yang sebenarnya bersahabat baik dengan etnik Iban sehingga membenarkan ada beberapa pemimpin Iban turut mendapat gelaran Orang Kaya dan juga Panglima.

Ada antara etnik Iban ini yang menjadi tulang belakang kepada penentangan pembesar lantikan Brunei seperti Indra Lela, Sharif Jaafar dan Sharif Sahap yang terkenal dengan perang mereka ke atas Brooke sebelum Brooke berjaya menjadi Sarawak sebagai wilayahnya daripada Kerajaan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu. Contoh terdekat adalah Perang Patusan iaitu antara perang utama ketika Brooke ingin memperkuatkan pengaruhnya di Sarawak.

Pada ketika itu Iban Undup memihak kepada pembesar Brunei sehingga menyebabkan Brooke yang berang membakar perkampungan Iban Undup kerana berani bersekongkol dengan pembesar lantikan Brunei yang bangun memberontak keatas pemerintahan Brooke di Sarawak.

4. Perang Iban vs Lanun Iranun

Di dalam sejarah juga menyaksikan wilayah Sarawak juga suatu waktu dahulu menjadi kawasan untuk lanun-lanun Iranun bermaharajalela dan seringkali mereka menjarah kawasan perkampungan dengan menjarah apa yang ada serta menculik wanita, kanak-kanak untuk dijadikan hamba.

Hal ini tidak pernah dibiarkan oleh etnik Iban sebaliknya mereka turut memerangi lanun-lanun Iranun ini sehingga mereka cabut lari. Sejarah memerangi lanun Iranun ini yang paling maha hebat adalah bagaimana seorang pemimpin Iban bersama-sama dengan anak buahnya iaitu Sunggang “Lebor Menoa” telah berjaya menyelamatkan saudagar dari China yang datang berniaga ke Saribas.

Kapal dagangnya hampir dirompak oleh lanun Iranun dan Sunggang “Lebor Menoa” bersama anak buahnya telah menyelamatkan mereka dan memerangi lanun Iranun sehingga mereka bertempiaran lari menuju ke tempat asalnya tanpa pernah singgah lagi untuk merompak selepas itu di wilayah Saribas.

5. Perang Iban vs Iban

Sejarah juga tidak pernah menafikan bahawa etnik Iban juga berperang sesama etnik Iban samada perang tersebut tercetus akibat salah faham mahupun pertikaian atas sesuatu perkara. Etnik Iban sendiri mempunyai beberapa sub etnik yang diklasifikasikan mengikut dimana penempatan mereka seperti Iban Sebuyau, Iban Balau, Iban Undup, Iban Saribas mahupun Iban Skrang itu sendiri.

Di ketika pengaruh pembesar Brunei masih lagi berkuasa di wilayah Sarawak, ada sesetengah iban yang setia kepada pembesar Brunei dan ada juga yang enggan menerima langsung kedudukan pembesar Brunei di wilayah Sarawak pada masa itu. Pembesar dilantik oleh Brunei seperti Indra Lela, Wangsa Lingga dan Lela Pelawan misalnya banyak bersandarkan kepada Iban Saribas untuk memerangi Iban Sebuyau yang enggan membayar cukai kepada mereka.

Antara nama-nama besar yang pernah memimpin banyak peperangan sesama sendiri serta mempunyai pasukan tersendiri adalah seperti Iban Saribas dibawah OK Pemancha Dana “Bayang” dari Padeh bersekutu dengan Linggir “Mali Lebu”, Uyut “Bedilang Besi” dari Paku, Bunyau Apai Bakir daripada Entanak dan Unal “Bulan” dari Ulu Layar.

Di bahagian Iban Skrang pula dipimpin oleh Libau “Rentap”, Orang Kaya Gasing dan Orang Kaya Rabong. Nama Libau “Rentap” telahpun disebut-sebut sebelum Brooke memerintah lagi iaitu sebagai Raja Ulu kerana kegagahannya malah peristiwa Perang Sadok membuktikan Brooke sebenarnya tidak mampu melawan kegagahan seorang pahlawan perang bernama Rentap ini.

Dan Iban Sebuyau pula terkenal dengan pemimpinnya yang bernama Ngelambong dan juga anaknya Temenggong Jugah Lundu yang turut pernah memimpin peperangan sesama etnik Iban suatu waktu dahulu.

Antara contoh perang iban vs iban adalah pada tahun 1834 iaitu Iban Skrang yang dipimpin oleh Orang Kaya Rabong telah memerangi Iban Balau di Bukit Banting. Pada perang itu menyaksikan kemusnahan yang besar di pihak Iban Balau.

Pada tahun 1837 pula menyaksikan perang Iban Saribas dibawah pimpinan OK Pemancha Dana Bayang memerangi Iban Undup. Perang ini sebenarnya bertitik tolak kepada Iban Undup yang dikatakan telah membunuh Angkum iaitu seorang anak Iban Saribas. Dikatakan pada masa itu juga Iban Saribas turut bersatu dengan Iban Skrang dan perang ini menyaksikan banyak rumah panjang Iban Undup menjadi mangsa atas hukuman pembunuhan tersebut.

Tahun 1838 pula menyaksikan Iban Balau pula menyerang Iban Saribas di Kalaka. Ini adalah sebenarnya merupakan perang balas dendam memandangkan dikatakan Iban Balau turut menerima kerugian sewaktu perang Iban Saribas terhadap Iban Undup di Banting.

Mereka yang hidup aman damai dan harmoni tidak mencampuri urusan perang iban Saribas ini telah terpalit sama kerana penempatan mereka tidak jauh daripada Iban Undup.

Pada masa itu Iban Balau dibawah Janting telah memerangi rumah panjang besar Orang Kaya Temenggong Tandok di Melupa, Kalaka. Manakala Iban Balau dibawah pimpinan Ijau “Lang” pula terpaksa mengaku kalah kepada Unal “Bulan” daripada Ulu Layar di sebuah sungai di Saribas. Kegagahan Iban Saribas dibawah pimpinan Unal tidak mampu ditandingi oleh Iban Balau dibawah Ijau “Lang” pada masa itu.

Dan sekali lagi pada tahun 1839 juga terheret daripada perang 1838, perasaan dendam dan ingin menuntut bela itu ada yang akhirnya Iban Balau sekali lagi menyerang Iban Saribas yang mendiami Paku dan juga di Rimbas.

Peperangan yang dikatakan lokasinya di Nanga Undai itu menyaksikan ramai Iban Saribas yang tinggal di Rimbas terkorban seperti anak-anak Orang Kaya Antau dan Gun yang merupakan antara pemimpin Iban Rimbas pada masa itu.

Apa yang disajikan hanyalah sepintas lalu peperangan Iban sebelum Brooke mula mendominasi Sarawak suatu waktu dahulu. Etnik Iban sebenarnya gah dengan perang dan tiada siapa yang boleh menidakkan sejarah ini. Selain daripada itu kerana peperangan inilah Brooke melihatnya sebagai satu peluang kerana mana mungkin dia boleh memenangi setiap perangnya di dalam penentangan serta perluasan wilayahnya pada ketika itu.

Peluang inilah yang dinamakan oleh Brooke “Only Dayaks Can Kill Dayak” iaitu dengan mengadu domba sesama etnik Iban yang sejak azalinya sudah tidak boleh bersatu-padu. Kerana itulah ada etnik Iban sendiri yang menyebelahi Brooke dan sanggup menikam belakang etnik Iban yang lain untuk kepentingan serta kebajikan mereka sendiri.

Satu kenyataan yang pahit untuk ditelan.

#KamekSayangSarawakBah

Rujukan:

1. Peristiwa Bung Bratak – Borneo Oracle
2. Perang Patusan – Borneo Oracle
3. Author: James Joshua Guang – Iban Migration Into Sarawak
4. Author: R.M Pringle – Rajahs and Rebels “The Ibans of Sarawak Under Brooke Rule, 1841-1941”

NASHKAH EKONOMI AGUNG DARI EMPAYAR MAURYA

Arthasastera/Iqhtisad/Ekonomi adalah pengurusan kehidupan, terutama yang melibatkan wang atau tukar barang. Oleh yang demikian, semua bangsa sebenarnya melibatkan diri dalam ekonomi. Maksud asal Ekonomi mungkin sudah agak berbeza pada hari ini dengan tanggapan terhadapnya semakin mengecil,

Ekonomi hanya berkisar tentang kemajuan, upah minimum, kos hidup, dan jika di Malaysia, graduan Ekonomi dianggap graduan kelas kedua. Pemikiran ekonomi pula adalah ilmu yang membantu bangsa itu menguruskan diri mereka sehingga dapat bertahan selama ribuan tahun. Bagaimana pemikiran seumpama itu dapat menjana pembangunan/kebahagiaan/kebajikan sesebuah bangsa/negara?

[Smith, Pemikir Ekonomi Tajaan Barat]

Smith menerusi karya beliau yang paling terkenal, The Wealth of Nations dianggap sebagai penyelamat bangsa Inggeris. Sebelum Smith, masyarakat hanya menganggap kekayaan negara adalah menerusi emas dan perak (Walaupun ini adalah prinsip kekayaan yang lebih bermakna berbanding wang fiat pada hari ini).Ada baiknya jika beberapa idea Smith ini dibentangkan terlebih dahulu, contohnya

(a) Smith menolak pemikiran merkantilis

Anggapan bahawa kepentingan eksport mendahului import, atau negara perlu mengeksport sahaja tanpa mengimport ditolak oleh Smith. Tujuan utama merkantilis adalah menjaga akaun imbangan perdagangan, menerusi emas dan guna tenaga domestik. Menurut Smith, apabila perdagangan bebas dijalankan maka kedua pihak akan mendapat faedah. Kemudian pengkhususan dalam pengeluaran akan membuatkan ekonomi bidangan lebih cekap.

(b) Tangan ghaib

Kerajaan seharusnya mengurangkan campur tangan dalam ekonomi, kerana campur tangan tidak memberi faedah. Pasaran dianggap akan membetulkan ketidakseimbangan dalam jangka pendek dengan sendirinya.

Pemikiran ini hanya mampu bertahan, hingga pertengahan 1900 kerana apabila Kemurungan Besar berlaku, ternyata konsep Smith tidak lagi terpakai pada waktu itu. Bayangkan berpuluh penjual epal melonggokkan jualan mereka di sepanjang jalan dan tidak ada siapa yang mampu untuk membelinya! Itu hanyalah cebisan pemikiran Smith, tapi perkara itu tidak akan dibincangkan dengan lanjut dalam makalah ini.

[Arthashastra, 2000 tahun sebelum Smith]

Sesuatu yang agak mendukacitakan sebenarnya di Malaysia, kerana hanya karya Smith yang banyak diangkat dalam mata kuliah Sejarah Pemikiran Ekonomi. Justeru menerusi makalah ini, kami menawarkan pandangan alternatif yang sesuai diberikan perhatian.

Arthashastra (Bermaksud sains/sastera pengurusan/harta) adalah karya agung kerajaan Maurya di India. Dikarang sekitar 321 – 296 Sebelum Masihi.Karya ini merangkumi beberapa pecahan perkara penting iaitu strategi peperangan, ilmu kepolisan, dasar ekonomi, ilmu Sains seperti Fizik, Forensik dan Kimia, panduan peperiksaan memasuki perkhidmatan awam, di samping panduan am tata pengurusan negara. Beberapa pandangan wujud untuk menjelaskan nama pengarang sebenar Arthashastra.

Terdapat tiga nama utama iaitu Kautilya, Vishnugupta dan Chanakya. Namun nama yang kekal bagi pandangan arus perdana adalah Kautilya. Perbahasan tentang nama – nama ini dapatlah dirujuk menerusi Shamasastry (1967). Terdapat beberapa subbahagian dalam Arthashastra tentang dasar ekonomi yang akan kami sentuh dalam bahagian seterusnya.

[Pembayaran Hutang]

Umumnya, sistem pinjaman dan pembayaran hutang menurut Arthashastra adalah seperti berikut.

(a) Kadar bunga pana dan suku peratus sebulan adalah adil/piawai.

(b) Lima panas peratus sebulan adalah kadar bunga komersial, atau “vyahariki.”

(c) Sepuluh panas peratus sebulan dikenakan jika berada peminjam dan pemberi pinjam berada di dalam hutan.

(d) Dua puluh panas peratus sebulan adalah kadar bunga yang wajar antara pedagang, atau “samudranam.”

Bagi sesiapa yang mengenakan kadar bunga melebihi kadar dinyatakan, mereka akan didenda manakala sesiapa yang bersubahat pula didenda separuh kadar berbanding si pelaku.

Bagaimana pula dengan hutang bagi perniagaan?

(a) Kadar bunga atas bijirin semasa musim tuaian yang baik tidak boleh lebih daripada separuh nilai bijirin tersebut apabila dinilai dalam wang.

(b) Kadar bunga pada saham/pemilikan perniagaan, atau “prakshekpa” adalah setengah daripada keuntungan, dan dibayar secara berkala.

(c) Jika hutang dibenarkan untuk bertambah, sama ada dengan niat atau penghutang tersebut berada di luar kawasan, maka jumlah pembayaran akan menjadi dua kali ganda daripada jumlah asal.

(d) Sesiapa yang mendakwa kepentingan/faedah yang tidak sepatutnya, maka akan didenda empat kali lebih tinggi berbanding jumlah yang didakwa.

(e) Pemberi hutang yang meminta jumlah bayaran hutang dengan tidak munasabah, contohnya empat kali ganda lebih tinggi, maka akan didenda sebanyak itu juga.

Beberapa kes tertentu juga diperuntukkan bagi masalah pembayaran hutang.

(a) Jika yang berhutang menghidap penyakit berbahaya, ditahan dalam rumah gurunya untuk belajar, dan terlalu miskin, maka hutang tersebut tidak perlu dibayar.

(b) Pemberi hutang yang tidak mahu menerima hutangnya semula akan didenda 12 panas. Jika penolakan itu berpunca daripada sebab yang munasabah, maka jumlah pinjaman asal akan disimpan oleh perbendaharaan negara bagi kebaikan masyarakat.

(c) Anak kepada penghutang yang mati perlu membayar hutang serta faedahnya.

(d) Suami akan ditangkap jika isteri tidak membayar hutang, namun isteri tidak akan ditangkap jika sebaliknya. Jika suami tersebut tidak mengaku dan tidak mahu membayarnya, maka saksi akan dipanggil.

Umumnya, tiga saksi diperlukan dan orang berkepentingan dalam sebutan kes termasuk yang pernah dipenjarakan tidak layak menjadi saksi. Budi bicara hakim/raja turut diambil kira jika terdapat saksi yang bercanggah.
“Pana” bermaksud emas, perak, syiling/wang yang secara umumnyadianggap piawai bagi wang komoditi.

Beberapa contoh unit terbitan daripada unit piawai ini adalah

“Dwipanya” = 2 panas
“Utksepana” = 16 panas
“Pajcazatpanika” = 50 panas

Sistem hutang dan pembayaran semula seperti ini menunjukkan bahawa pada masa tersebut sudah wujud satu sistem seperti urus niaga yang terurus. Kerajaan pada masa itu juga tidak mengabaikan golongan miskin kerana mereka akan dilindungi jika tidak mampu untuk melunaskan hutang.

[Deposit/Harta]
Arthashastra menjelaskan bahawa harta yang disimpan pada tempat simpanan (Fungsinya boleh dikatakan seperti tempat cagaran, kerana kami tidak menjumpai bukti untuk mengatakannya adalah seperti bank pada hari ini)tidak boleh dituntut semula jika

(a) Diserang musuh
(b) Apabila kerajaan dimusnahkan
(c) Berlaku kebakaran atau banjir besar
(d) Kapal dagang yang sarat muatan karam di tengah lautan atau diserang lanun

Tempat simpanan/pemegang amanah yang menyimpan harta jika didapati menggunakan harta tersebut untuk kepentingan peribadi maka denda yang akan dikenakan adalah

(a) Membayar pampasan, atau “bhogavetanam”
(b) Denda 12 panas
(c) Denda 24 panas jika penyimpan amanah menggunakan deposit tersebut dan nilainya semakin berkurang
(d)Kematian/bencana yang menimpa tempat simpanan tidak boleh meletakkan bebannya kepada simpanan deposit
(e)Jika deposit tersebut dijadikan cagaran/dijual/hilang, maka ganti nilai sebanyak empat kali ganda akan dikenakan, malah denda lima kali seperti nilai yang tercatat, atau “panchabandho dandah”

Peraturan umum ini turut terpakai pada barang cagaran, dengan beberapa penambahan seperti

(a) Penerima cagar yang tidak memulangkan cagaran sedangkan orang cagar sudah bersedia menebusnya akan didenda 12 panas
Dan harta yang masih dalam pesanan, atau “adesa” dan harta yang sedang dibawa untuk diserahkan kepada orang ketiga, atau “anvadhi” dengan penambahan beberapa keadaan seperti

(a) Penghantar barang/harta yang mati/dirompak barang tersebut semasa dalam perjalanan, tidak perlu bertanggungjawab, begitu juga saudara terdekatnya

[Perdagangan Antarabangsa]

Arthashastra menjelaskan kepentingan import terhadap sesebuah negara di samping eksport. Import dapat membekalkan sesebuah kerajaan dengan barang yang tidak dapat dihasilkan di dalam negara tersebut. Prinsip ini juga dijelaskan oleh David Ricardo, menerusi pemikiran beliau tentang kelebihan bandingan. Kelebihan bandingan menjelaskan bahawa sesebuah negara yang maju tidak semestinya sentiasa berdaya saing berbanding negara membangun. Keadaan ini berbeza dengan prinsip kelebihan mutlak. Contohnya adalah seperti berikut.

Daya pengeluaran satu tahun bagi satu buruh. Andaian awal hanya ada dua negara dan dua barang.

X Y
Gandum 30 20
Keluli 50 10

Negara X mempunyai kelebihan mutlak berbanding negara Y, bagi gandum dan keluli. Ini bermaksud negara membangun seperti Y tidak sesuai berdagang dengan X kerana hanya akan mendapat kerugian. Tetapi kelebihan bandingan dapat menjelaskan bahawa X mempunyai kelebihan bandingan dalam keluli, sementara Y dalam pengeluaran gandum.

Justeru menurut Ricardo, selagi wujud kelebihan bandingan, maka selagi itulah wujud hasil daripada perdagangan, tidak kira sama ada satu negara mempunyai kelebihan mutlak yang tinggi. Pandangan oleh Arthashastra dan Ricardo ini ternyata berbeza dengan pendirian majoriti negara membangun pada hari ini, termasuk Malaysia.

[Ekonomi Percukaian]

Urusan perbelanjaan dan percukaian menurut Arthashastra adalah berdasarkan tiga prinsip utama
a) Kuasa mengutip cukai adalah terhad
b) Cukai perlu tidak membebankan atau layanan keistimewaan kepada orang tertentu
c) Peningkatan cukai perlu secara berjadual

Menerusi tiga prinsip ini, jelas bahawa kerajaan yang stabil dan kuat perlu mempunyai satu sistem cukai yang mantap. Cukai tidak salah untuk dikutip tetapi ia perlu adil kepada rakyat. Seterusnya siapa yang perlu dikenakan cukai? Arthashastra menjelaskan bahawa cukai akan dikenakan kepada

a) Cukai pendapatan
b) Cukai harta dan tanah
c) Cukai urus niaga, termasuk eksport dan import
d) Cukai kepala bagi lelaki dewasa

Bagaimana cukai tersebut perlu dibayar? Ada lima kaedah utama yang digariskan.

a) Emas dan perak
b) Ternakan, contohnya lembu
c) Barangan pertanian
d) Kayu balak, hasil perlombongan
e) Perkhidmatan peribadi, contohnya masyarakat membina sistem jalan raya tanpa
mendapat upah, ganti kepada cukai yang seharusnya dibayar

Perkara terakhir yang perlu dijelaskan adalah, apa maksud jika cukai yang dikenakan adil kepada rakyat? Ada enam penentuan asas.

a) Mudah untuk dibayar
b) Mudah dikira
c) Tidak keterlaluan pada pandangan pentadbir
d) Beban yang setara, maksudnya keseluruhan masyarakat mendapat beban yang sama
e) Kesan cukai adalah neutral terhadap ekonomi
f) Cukai tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi

3.5 Sistem Upah

Upah yang diberi kepada buruh adalah berdasarkan tiga perkara utama.
a) Masa yang digunakan
b) Jumlah barang yang dihasilkan
c) Kemahiran yang diperlukan

Jika terdapat ahli perniagaan yang ingin mengupah pekerja, contohnya dalam industri pertanian, penternakan, jual beli, atur cara pembahagian upah adalah

a) Petani layak mendapat 1/10 daripada hasil pertanian
b) Penggembala layak mendapat 1/10 daripada nilai pasaran ternakan
c) Pekerja jualan layak mendapat 1/10 daripada hasil jualan
Peranan kesatuan sekerja juga dijelaskan, atau istilahnya “Sanghabhrta”. Kesatuan ini bertindak sebagai pelindung kepada tenaga kerja separuh berkemahiran dan kurang kemahiran. Jika di Malaysia, ia menyerupai peranan CUEPACS (Penjawat awam) dan MTUC (Penjawat swasta). Pengurusan tertinggi “Sanghabhrta” akan menilai perjanjian antara pekerja dan majikan tentang kadar upah dan syarat pekerjaan supaya tidak terjadi penindasan.

[Kesimpulan]

Beberapa konsep yang telah kami jelaskan dalam Arthashastra masih sesuai untuk digunakan pada hari ini dengan beberapa pengubahsuaian supaya serasi dengan Ekonomi acuan Melayu dan Islam. Hal ini bukanlah bermaksud mengagungkan tamadun India, tetapi sekurang – kurangnya dapat memberi kesedaran supaya Arthashastra juga wajar ditelaah dalam mata kuliah bidang Ekonomi.

Rujukan:

1. Harunrashid, T. 2014. Penilaian semula prinsip perdagangan antarabangsa, ekonomi percukaian dan sistem upah berasaskan Arthashastra. Pertemuan Ke-4 Kump. Ekonomi & Kewangan ASASI. 21 Jun 2014 : PTSL, UKM.

2. Shaharir, M.Z. 2008. Ekonomi Pembangunan lawan Ekonomi Kebahagiaan. Jurnal Kajian Ketamadunan. 5(1) : 1 – 45.

3. Shamasastry, R. 1967. Kautilya’s Arthashastra . 8th ed., Mysore, India : Mysore Printingand Publishing House.

4. Smith, A. 1776. The Wealth of Nations. Dicetak semula pada 1970. Baltimore : Penguin Books.

-John Harunrashid Nash-

Gambar: Empayar Maruya di India

BURHANUDDIN AL- HELMI

Hari ini, (24/4/2016) merupakan sambutan hari anti - penjajah sedunia. Perjuangan menentang penjajahan itu adalah sesuatu yang mustahak bagi memastikan kelangsungan bangsa kita dan perjuangan ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi kita semua. Ramai tokoh - tokoh dari kalangan anak watan pernah dengan beraninya berjuang demi kemerdekaan tanah air tercinta ini mengikut aliran dan fahaman tersendiri. Antara tokoh yang cukup menarik perjuangannya adalah Doktor. Burhanuddin Al - Hilmy.

Seorang anak watan kelahiran negeri Perak pada tahun 1911 ini cukup digeruni pihak penjajah. Beliau telah menyambung pelajarannya di Universiti Muslim Aligarh yang terletak di India dan  sekembalinya dari pelajarannya di India beliau telah mengembara ke Palestin dan Turki. Akhirnya, Doktor Burhanuddin Al-Hilmy bertugas sebagai guru bahasa Arab di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Aljunied, Singapura.

Selepas Perang Dunia kedua, Doktor Burhanuddin telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Objektif utama parti ini adalah untuk menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris. Idealisme Dr. Burhanuddin adalah untuk  membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan "kesatuan politik" Malaya-Indonesia.

Sempena sambutan hari anti - penjajah sedunia ini, marilah kita sama - sama mengahayati perjuangan beliau. Teks berikut adalah dari karya asal seorang lagi tokoh pejuang kemerdekaan tanah air yang cukup terkenal, Ahmad Boestamam yang ditulis pada tahun 1972 dalam buku “Dr. Burhanuddin :Putera Setia Melayu Raya” terbitan Pustaka Kejora, Kuala Lumpur.

Doktor Burhanuddin

Pembawa obor chita2 kemerdekaan
Bapak Kebangsaan Melayu
Putera Setia Melayu Raya

(Oleh : Ahmad Boestamam)

Diatas segala - galanya mendiang Dr. Burhanuddin Al - Hilmy adalah seorang patriot dan kalau kepada beliau hendak diberikan suatu gelaran maka gelaran yang tepat, layak, sesuai dan hak sekali bagi beliau ialah BAPAK KEBANGSAAN MELAYU. Serangkap madah beliau yang pasti tidak akan dilupakan oleh setiap patriot tanahair, yiatu madah yang dihamburkan beiau dalam Kongres Partai Kebangsaan Melayu Malaya di - Melaka dulu sebagai sifatnya beliau Yang Dipertua Agungnya, berbunyi:

Diatas robohan kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu padulah segenap baka
Membela hak keadilan pesaka.

Hak keadilan pesaka yang belliau maksudkan itu tidaklah lain dari KEMERDEKAAN.Pada ketika itu beliau dipersenda - sendakan orang kechuali orang2 yang menjadi pengikut beliau yang setia - sechita - chita dan seperjuangan menurut istilah sakti yang sering beliau pergunakan.Orang2 yang mempersenda - sendakan beliau ini berkata: Membuat sebilah jarum pun tak tahu, hendak merdeka pula konon.

Akhirnya bukankah beliau terbukti benar?

Sebuah negara yang merdeka memerlukan suatu “bangsa negara”. Ini suatu kemestian dan mendiang Dr. Burhanuddin. Sejak mula berjuag lagi sehinggalah kepada saat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, masih tetap mengingini “bangsa negara” itu dinamakan “Melayu.”Beliau berjaya memperjuangkan ini dalam ikatan PUTERA - AMCJA bila gabungan gerakan2 kiri segala bangsa itu menerimanya dan menchatatkannya atau memaktubkannya dalam suatu dokumen bersejarah yang berbentuk dan diberikan nama PERLEMBAGAAN RAKYAT. Ini sebelum merdeka.

“Melayu” mengikut istilah beliau dan PUTERA - AMCJA mempunyai pengertian yang luas dan progresip - ya, paling luas dan paling progresip. Siapa saja yang mengaku taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negeri ini asl bersedia mengakui dirinya “Melayu” boleh diterima menjadi rakyat “Malaya Merdeka” yang beliau ingini. Tidak ada perhitungan “darah” diberikan sedikit juga kepadanya.Orang2 Melayu, sebagai bumiputera, dengan diri sendirinya dan sechara otomatis terlingkung dalam istilah Melayu ini.Begitulah pendirian beliau dan itulah pula yang diterima oleh PUTERA - AMCJA.

Dengan ini sekali lagi beliau keluar sebagai pembawa obor - pertama sebagai pembawa obor chita2 kemerdekaan dan kali ini sebagai pembawa obor yang memberikan perkataan “Melayu” istilah - nya yang paling luas dan paling progresip.Memang suatu irono bila Malaya benar2 merdeka maka bukan tangan beliau yang mengendalikannya melainkan tangan orang lain - orang2 yang dulunya mempersenda - sendakan beliau. Namun beliau tidak sedikit juga berkechil hati dan ini terbukti dari turutnya beliau berkechimpung dalam perjuangan alam kemerdekaan sehingga beliau terpilih menjadi anggota parlimenya yang pertama.

Dalam perlimen ini beliau terus tak jemu2 menyarakan dan memperjuangkan “bangsa negara” yang bernama “Melayu” tadi. Disinilah terbuktinya kegigihan beliau. Ditolak, beliau sarankan lagi. Ditolak, beliau perjuangkan lagi.Sampai pada saat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir itu, saya perchaya, chita2 ini masih panas membakar dada dan jiwa beliau. Sebagai patriot beliau adalah patriot yang berpandangan jauh, yang tidak bersedia hidup dalam tempurungnya seekor katak. Beliau merindukan tuntutan sejarah dan kemestian sejarah itu. Inilah matlamat akhir beliau dalam berjuang.

Apakah dia tuntutan dan kemestian sejarah itu? Jawapan beliau tegas sekali yaitu MELAYU RAYA  - bersatunya daerah2 yang terlilngkung dalam Gugusan Pulau2 Melayu dalam suatu yunit politik ditengah = tengah yunit2 politik dunia yang besar.Ini beliau sarankan dalam teriakan dan laungan “INDONESIA - MALAYA SATU.”

Chita2 ini pun, saya perchaya, tetap beliau pegang dengan kokohnya hingga pada saat akhir beliau berada didunia yang fana ini. “Anti - Indonesia” adalah slogan yang paling beliau benchi dan musuhi. Perkataan ini tidak ada dalam kamus beliau. Sekarang beliau telah pergi membawa chita2nya itu tanpa beliau sempat melihat kenyataannya. Akan menjadi kenyataankah ini nanti? Tuntutan dan kemestian sejarah adalah hukum alam dan bukannya hukum manusia.

Manusia hanya boleh meranchang tetapi Tuhan Maha Peranchang.

Kepada patriot - putera terbesar tanahair ini saya berikan salut ( tabik pernghormatan) saya yang sehormat - hormatnya - salut seorang “anak” yang selama 24 tahun sechara empat mata, walaupun berlainan tempat tegak, tak pernah tak sechita2 dan seperjuangan dengan “bapa” nya.

Bumi ibunda ini kehilangan lagi seorang putera tuanya. Semoga tenanglah dia bersemadi ditempat peristirehatannya yang terakhir itu. Ya tuhan, chuchurilah rahmat - MU atasnya.

- Mathis

SUNGAI MALAYO ON THE PENARIKAN & THE TERRITORY OF ARU

The map of 16th century, Portugueses' Malacca. Just what on earth and why a place tagged "Malayo" appears on such map is still a mystery in absence based on modern references.

It looks like to be a locality name laid along the Penarikan trans-peninsula 'river' or it may be a river itself. The case of the labelling suggests it is a river either independent or the Pahang itself.

In maps of such time the Penarikan route was depicted as one river where River Pahang in the east coast and River Muar on the west flow and almost meet each other in their middle courses, but it also may possibly as real as drawn where we understood the dynamicity of Malayan ancient and classical hydrology.

The second part of this is that the tags written with 'Aru', three as can be seen in this map (bottom, middle) actually tell us the territory of the Kingdom of Aru which stretch as north as modern Medan and as south far as Rokan or Batubara, thus situated directly opposite of Selangor on the peninsular where Sejarah Melayu told the immediate raid of Aru had took place reaching until Cape Jugra before thwarted by Laksamana Tun Tuah's navy.

-TMII

RANTAI BESI GERGASI MAHARAJA MELAYU

Zhao Ragua dalam bukunya Zhu Fan Zhi yang ditulis pada tahun 1225 Masihi berdasarkan kepada catatan pengembaraan para pedagang Cina dari abad ke 12 dan 13 Masihi. Menurut beliau, Ibu Kota Sanfotsi atau Srivijaya adalah diperbuat daripada batu-bata dan ukurannya sangat panjang iaitu berpuluh-puluh Li ukur lilitnya . Tambahan lagi kerajaan Srivijaya pada masa itu juga telah mempunyai satu strategi pertahanan yang dianggap agak bijak dan terkedepan. Hal ini turut diperkatakan oleh Zhu dalam bukunya.

Bagi menghalang daripada pencerobohan lanun dan musuh daripada memasuki Ibu Kota kerajaan yang terletak dekat dengan laluan kapal, maka kerajaan Srivijaya telah menggunakan rantai besi dan merintanginya di kawasan perairan berhampiran pintu masuk melalui ibu Kota. Rantai besi ini juga dikatakan boleh dituil sama ada untuk ditinggikan atau merendahkannya. Apa yang menariknya sistem ini telah diwarisi kepada kerajaan Temasik. Catatan Sejarahwan mengesahkan bahawa Temasik juga menggunakan sistem pertahanan rantai besi yang sama seperti Srivijaya.

Malah sistem yang sama juga pernah digunakan oleh Kerajaan Byzantine di Selat Golden Horn pada zaman kegemilangannya. Disebabkan rantai-rantai besi yang merintangi Selat Golden Horn tersebut lah maka Sultan Muhammad Al Fateh terpaksa mendaratkan Armadanya dan mengarahkan agar kapal perangnya di tolak di atas darat bagi mendekati tembok Kota Constantinople.

Zhu juga mengatakan bahawa sistem pertahanan pelabuhan kerajaan Srivijaya sangat utuh dan sistematik. Menurutnya lagi, jika ada kapal yang memasuki pelabuhan tanpa izin dan pengetahuan daripada pemerintah, maka askar (orang laut) berperahu akan dikerahkan untuk menyerang menggunakan taktik tertentu. Askar-askar ini bersedia untuk mati demi Maharaja dan oleh kerana itulah kerajaan ini menjadi sebuah kerajaan Maritim yang sangat penting dan sangat kuat.
Sekian anecdote sejarah ringkas hari ini.

~ASJ~

Sumber:

Anthony Reid, An Indonesian Frontier, Acehnese And Other History Of Sumatra, Singapore university publication, Singapore, 2005.

Gambar: Lukisan yang menggambarkan rantai besi yang pernah digunakan oleh Byzantine (Rom Timur) yang memaksa Sultan Muhammad Al-Fateh menarik kapal di daratan bagi mengelakkan rantai besi itu.

Friday, 22 April 2016

SAMARA VIJAYATUNGGA DAN MANABRHANA : ANAK MELAYU SRIVIJAYA YANG MENJADI MASTERMIND PENAKLUKAN SELATAN INDIA

Sejarah Melayu mempunyai sejarah keagungan yang tidak terbayang dek akal kita umat Melayu yang selama ini saya kira hanya disuapkan dengan sejarah versi membunuh jati diri kita. Hakikatnya, suatu masa dahulu, nenek moyang kita pernah membina peradaban yang tidak kurang hebatnya. Banyak tokoh-tokoh agung yang bangkit dalam helaian sejarah dan salah satu daripadanya ialah seorang putera Melayu Srivijaya yang bernama Manabrana, yang saya kira sebagai seorang penakluk agung dalam sejarah Melayu, sebaris dengan penakluk-penakluk hebat seperti Patih Gajah Mada, Fan Shih-Man dan banyak lagi. Bahkan kejayaan hebatnya ini tidaklah keterlaluan saya kira lebih agung daripada kebanyakan penakluk agung yang lain.

Mari saya bawa kalian mengembara mengenali tokoh yang bernama Manabhrana ini. Semuanya bermula pada detik 1025 Masihi di mana Maharaja Rajednra Chola, merupakan seorang raja agung dari kerajaan Chola. 1025, Rajendra Chola membawa bala askar yang tidak terbayang dek akal ketika itu, ke Alam Melayu lalu membantai dan menjarah setiap kota yang pernah berdiri dalam Empayar Srivijaya. Punca utama serangan Rajendra Chola ini dibincangkan oleh para sejarawan. Antara faktor utama yang dibangkitkan ialah tidak lain dan tidak bukan kecemburuan Rajendra Chola akan kekayaan empayar Melayu yang beragama Buddha ini. Kekayaan yang dimiliki oleh Srivijaya kerana m,elalui laluan utama perdagangan dunia di Selat Melaka ketika itulah yang memandu kepada serangan Rajendra Chola ini.

Tetapi sebelum itu, bukanlah Maharaja Melayu Srivijaya tidak mengetahui niat busuk Rajendra Chola ini. Mereka juga telah menghidu puluhan tahun lebih awal. Dicatatkan pada tahun 996 dan 1021 Masihi, maharaja-maharaja Srivijaya telah membantu Sri Lanka dalam perang melawan Rajendra Chola sebelum pada tahun 1021, Sri Lanka turut ditakluk di bawah Empayar Chola. Namun, Rajendra Chola tetap menyimpan dendam ke atas Srivijaya yang pernah membantu musuh azalinya Sri Lanka – permusuhan yang tidak pernah tamat sehingga hari ini (kita boleh melihat pada perseteruan antara suku Tamil dan juga suku Sinhalese).

Era serangan Rajendra Chola ini dapat dijejak pada ketika pemerintahan seorang maharaja Melayu Srivijaya yang bernama Sangrama Vijayatungga dan ketika serangan Chola itu, Sangrama Vijayatungga telah ditangkap dan dibawa ke India lalu tampuk pemerintahan Srivijaya ketika itu dipegang oleh adiknya Samara Vijayatungga. Ketika serangan yang saya kira berbentuk penjarahan ini, dicatatkan juga bahawa terapat beberapa buah kota Srivijaya dikuasai oleh Chola selama lebih kurang 20 tahun. Kota-kota ini biasanya melibatkan kota-kota pelabuhan. Kalau diukur pada kekuatan serangan jarahan Rajendra Chola ini, ramai berpendapat bahawa Srivijaya tidak akan mampu bangkit semula dari puing-puing kemusnahan. Sebaliknya yang berlaku, Samara Vijayatungga telah berjaya membangunkan empayar Melayu terhebat dalam helaian sejarah menjadi gagah dan kuat kembali, bahkan mampu melancarkan serangan balas ke atas Chola pada waktu terkemudiannya.

Dicatatkan bahawa pada tahun 1044 Masihi, Rajendra Chola telah melawat sendiri beberapa kota di Srivijaya yang masih berada di bawah penguasaannya. Ketika itu, Maharaja Samara Vijayatungga telah menghantarkan seorang puteranya yang bernama Purandara untuk membunuh Rajendra Chola, sebagai simbol pemberontakan orang Melayu dan kemerdekaan Srivijaya. Sebaik sahaja kematian Rajendra Chola, Samara Vijayatungga sendiri naik takhta dan mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Srivijaya. Purandara sendiri telah diamanahkan oleh Samara Vijayatungga untuk menghalau saki-baki tentera Chola dari setiap kota yang masih dibawah penguasaan Empayar Chola.

Selepas berjaya membebaskan seluruh kota-kota Srivijaya dari pengaruh Chola, maka Maharaja Samara Vijayatungga sendiri telah pergi ke Sri Lanka dan membantu pulau tersebut bebas dari kekuasaan Chola. Baginda Maharaja Samara Vijayatungga telah menjalankan pakatan dengan raja Sri Lanka yang bernama Putera Kasyapa yang ketika itu, belum menjadi raja lagi. Ibu kota Sri Lanka iaitu Anuradhapura telah berjaya ditawan oleh pakatan askar Melayu Srivijaya-Sri Lanka. Lalu kemudian, Maharaja Samara Vijayatungga sendiri telah membantu raja Pandya yang bernama Sundra Pandya untuk mendapatkan kembali kotanya Madura yang ditawan oleh Chola. Dari situ, Maharaja Samara Vijayatungga telah mewujudkan pakatan tiga serangkai antara Empayar Melayu Srivijaya bersama sebuah kerajaan Tamil bernama Pandya dan kerajaan Sri Lanka sendiri untuk melawan tentera dari Empayar Chola.

Kejayaan Maharaja Samara Vijayatungga ini telah dipahatkan dalam sebuah Prasasti di Sri Lanka iaitu Prasasti Madirigiri:

“…digubal sebagai memperingati Maharaja Samara yang menghalau keluar Chola dari seluruh bumi Sri Lanka. Kampung Mehendibapiti,yang mana dimiliki oleh oleh Maharaja Samara,hendaklah diberikan kepada penyewa, ia hendaklah diingati bahawa pada masa ini, kita telah dibebaskan oleh raja ini, ia harus diingati bahawasanya,kampung-kampung dan tanah kami telah dibebaskan oleh raja ini, ia juga hendaklah diingati bahawa walau bagaimanapun banyak kampung yang dimiliki,berapa banyak rumah-rumah dan taman-taman yang dimilki,rumah-rumah dan taman-taman akan kekal tanpa pegawai dari istana menceroboh hak mereka dan merampasnya dari mereka.”

Dalam masa yang sama, ketika kematian Rajendra Chola, Empayar Chola ketika itu menerima raja baru bernama Virarajendra lalu ketika era pemerintahan baginda, kekuasaan Chola mula melemah. Baginda bukanlah seperti mana ayahanda dan nendanya, Rajendra Chola dan juga Rajaraja Chola yang memang terbukti merupakan tulang belakang di atas kebangkitan Empayar Chola.

Dicatatkan bahawa Virarajendra mempunyai dua orang putera raja. Ketika itu, terdapat pemberontakan dan perang saudara selepas kematian Rajendra Chola. Salah seorang anak Virarajendra yang bernama Adhrajendra telah berjaya menundukkan pemberontakan itu dan telah dinobatkan sebagai bakal raja. Ini telah membuatkan Kulotongga Chola, salah seorang putera Virarajendra yang sebelum ini telah dijanjikan takhta menjadi kecewa. Maka Kulotongga pun meninggalkan Chola bersama pengikutnya, cuba untuk menawan Pandya demi mendapatkan kekuasaan disitu. Namun dia dikalahkan membuatkan dia meminta bantuan Empayar Khmer tetapi masih lagi kalah dengan Pandya membuatkan baginda telah berundur ke Sri Lanka sebelum dijadikan gabenor di situ oleh raja Sri Lanka.

Tetapi cita-cita Kulottungga untuk mendapatkan takhta yang sepatutnya menjadi hak tidak pernah padam. Lalu Kulottunga telah meminta bantuan Empayar Melayu Srivijaya yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Samara Vijayatungga. Samara Vijayatungga telah menghantarkan puteranya bernama Manabhrana untuk membantu Kulotungga.

Tetapi Manabhrana ialah seorang jeneral perang yang sangat bijak. Beliau tidaklah bertindak terburu-terburu. Manabhrana sendiri telah menganalisis adalah sangat tidak efisyen untuk menyerang Chola yang jauh beribu-ribu batu dari pusat pemerintahan Srivijaya di Alam Melayu. Lalu beliau telah membina markas tenteranya terlebih dahulu yang terletak kira-kira 260 batu dari Chola, iaitu terletak di utara Sri Lanka. Lagipun memang raja Sri Lanka terhutang budi dengan Srivijaya kerana telah memerdekan mereka dari cengkaman Chola.

Dari situ, kemudiannya Manabhrana meminta tolong pula Sundra Pandya yang merupakan raja kerajaan Pandya untuk menolong Kulotongga menewaskan Chola. Pada asalnya, Sundra Pandya sendiri merasakan dirinya keberatan kerana sudah dua kali Kulutongga cuba menyerang kerajannya namun berkat pujukan Manabhrana maka Sundra Pandya terpaksa bersetuju. Diplomasi yang sememangnya telah mengalir dalam badan anak Melayu sebagai aset dan senjata utama mereka telah berjaya menyatukan pakatan tentera ini.

Ketika pakatan tentera berbilang bangsa dan kaum serta kerajan ini dibentuk, Virarajendra telah mati dan Raja Adhirajendra telah menaiki takhta menjadi raja baru. Namun mendengarkan pakatan tiga kerajaan dan pemberontak bernama Kulutongga yang diketuai oleh putera Melayu bernama Manabhrana itu, maka Adhirajendra telah meminta tolong musuh utamanya yang juga merupakan sebuah kerajaan Tamil bernama Chalukya untuk mempertahankan Chola. Maka tentera Chalukya bersetuju lalu berkampunglah askar-askar Chalukya tinggal di Chola. Ini membuatkan para pembesar yang telah terlibat dalam perserteruan yang sebenarnya telah wujud sejak zaman berzaman. Kalau di China, kita mengenali tentang persengeketaan tiga kerajaan iaitu Shu, Wu dan Wei ketika kejatuhan Dinasti Han dulu, Selatan India juga punya kisah yang serupa. Tiga kerajaan agung Tamil yang selalu bersengketa untuk ratusan tahun iaitu Chola, Chalukya dan juga Pandya.

Mendapat tahu bahawa orang Chola sendiri tidak merestui Adhirajendra di atas takhta Chola, maka Manabhrana telah menggerakkan serangan mengejut ke atas ibu kota Chola iaitu Gangakundapura. Serangan mengejut daripada Manabhrana telah membuatkan askar-askar Chalukya bertempiaran lari. Maka kewtika itu, Mahabrana telah mendatangi para menteri dan bangsawan Chola lalu memberi kata dua kepada mereka.

“Tunduk kepada kekuasaan Srivijaya atau menghadapi kehancuran.”

Dalam sebuah makalah bertajuk Chinese Texts Describing or Refrrering to The Chola Kingdom as Zunian, tulisan Noboru Karashima dan juga Tansen Sen, ada sebuah perenggan yang menyebut bahawa Chola yang dibahaskan sebagai Zhunian sebagai berada di bawah pemerintahan seorang Maharaja Srivijaya yang dibahaskan sebagai Diwakara. Petikan daripada makalah itu adalah di bawah:

“Song huiyao adalah sumber bahan yang paling penting yang memberi maklumat kepada pengumpul / penyusun Songshi, dan dalam seksyen lidai chaogong, yang merekodkan kedatangan utusan dari negara-negara asing, status Di-hua-jia-luo digambarkan sebagai fanwang, seorang raja asing atau penguasa Zhu-Nian, dengan itu membezakan dia dari raja Zhu-Nian.”

Dalam naskah Journal of the South-East Asian History (Singapore) September – 1964, turut mencatatkan bahawa terdapat Inskripsi dalam sebuah kuil di Guangzhou yang dibaiki pada tahun 1060-an hasil sumbangan dari raja Diwakara menyatakan bahawa Diwakara ketika itu ialah maharaja empayar Sriwijaya. Catatan dari China ini kemudiannya menjadi bukti bahawa Srivijaya pernah berada atas tahap yang lebih tinggi daripada Chola.

Selepas memikirkan segala yang bakal terjadi, maka mereka semua akur untuk tunduk kepada Srivijaya dan selepas itu, Kulotungga terus ditabalkan menjadi raja Chola yang baru. Manabrhana kemudiannya pulang ke Srivijaya dan bersifat realistik untuk tidak terus menjajah Chola kerana jarak yang terlalu jauh antara mereka. Tujuan penaklukan itu pun kerana mahu menunjukkan kekuasaan Srivijaya dan selepas itu, Srivijaya tidak pernah dikacau oleh sebarang kuasa dari India lagi.

Sumber:

1. Raja Mohd. Affandi, Tokoh Tokoh Melayu Yang Agung dalam Sejarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, 1974

2. Hermann Kulke, K Kesavapany and Vijay Sakhuja.  Nagapattinam to Suvarnadwipa: Reflections on the Chola Naval Expeditions to Southeast Asia. Institute of Southeast Asian Studies. 2009

3. M.C. Chand Chirayu Rajani. Background To Sri Vijaya Story--part III [Review Article on S. Paranavitana, Ceylon and Malaysia]. In Journal of the Siam Society, 62, 1. 1975

4. M. C. Chand Chirayu Rajani. Background to the Sri Vijaya Story— Part I, JSS 62, 1. 1974

5. . M.C. Chand Chirayu Rajani. .Background To Sri Vijaya Story--part II [review Article on S. Paranavitana, Ceylon and Malaysia]. In Journal of the Siam Society, 62, 1. 1974

6. S. Paranavitana. Ceylon and Sri Vijaya, in Artibus Asiae. Supplementum, Vol. 23, Essays Offered to G. H. Luce by His Colleagues and Friends in Honour of His Seventy-Fifth Birthday. Volume 1: Papers on Asian History, Religion, Languages, Literature. Music Folklore, and Anthropology” Artibus Asiae Publishers. 1976

7. S. Paranavitana “Princess Ulakudaya’s Wedding University of Ceylon Review, Vol. XXI No. 2, October 1963

8. Senarat Paranavitana. Ceylon and Malaysia Lake House Investments, Sri Lanka. 11976

9. Srikandi, Al Semantani dan Ibnu Rusydi, Membongkar Rahsia Dunia Melayu, Pribumi Asia Tenggara Menjawab Kekeliruan Sejarah. Hijjaz Record Publishing, 2014.

10.  Noboru Karashima dan Tansen Sen.  Chinese Texts Describing or Refrrering to The Chola Kingdom as Zunian.

11. South-East Asian History (Singapore) September. 1964 

-HE-

LEGENDA PUTERI JUNJUNG BUIH

Puteri Lela Menchanai adalah satu nama yang tidak asing bagi masyarakat di Brunei Darussalam malah ianya juga salah satu daripada ikon legenda di dalam masyarakat Kedayan di Sarawak, Sabah mahupun Negara Brunei Darussalam sendiri. Puteri Lela Menchanai dikatakan nenek moyang kepada masyarakat Kedayan sekarang yang mana mengikut teori kedua masyarakat Kedayan sekarang merupakan berasal daripada pengikut kepada Puteri Lela Menchanai yang bersama-sama di dalam rombongan perkahwinan Puteri Lela Menchanai.

Puteri Lela Menchanai ini merupakan seorang puteri daripada tanah seberang yang berkahwin dengan baginda Sultan Bolkiah, sultan bagi Negara Brunei Darussalam suatu waktu dahulu. Ini dapat dipastikan melalui tulisan daripada Drg Marthin Bayer yang menyatakan bahawa Puteri Lela Menchanai adalah sama dengan Kameloh Putak Janjulen Karangan yang terkenal di dalam masyarakat Dayak di Kalimantan Barat yang juga dikenali sebagai Puteri Junjung Buih.

Al-sahibul hikayat diriwayatkan suatu waktu dahulu terdapat sebuah Kerajaan lama bernama Amuntai yang terletak di Kalimantan Selatan. Alkisahnya Kerajaan Amuntai ini diperintah oleh dua orang raja bersaudara. Raja yang sulung bernama Patmaraga atau lebih dikenali dengan julukan Raja Tua. Manakala adiknya pula bernama Sukmaraga dengan julukan Raja Muda. Dikatakan walaupun kedua-dua raja ini telah mendirikan rumahtangga namun kedua-dua raja ini tidak dikurniakan dengan sebarang cahayamata bagi mewariskan kerajaan mereka.

Dek kerana mengenangkan tiadanya waris maka kedua-dua raja ini telah mengambil kata sepakat untuk mendapatkan anak walau dengan apa cara sekalipun. Maka Raja Tua telah memerintahkan agar adindanya Raja Muda untuk mengusahakan apa yang perlu kerana ternyata Raja Muda lebih gagah dan lebih muda dari segi faktor usianya berbanding dengan Raja Tua. Dengan penuh tawakal, Raja Muda berserta dengan permaisurinya telah berusaha berjumpa dengan mereka yang pakar bagi mendapatkan zuriat dan pada suatu malam Raja Muda telah bermimpi didatangi oleh seseorang yang menyuruh baginda untuk pergi bertapa di sebuah pulau berdekatan dengan kota Banjarmasin.

Setelah terbangun daripada lenanya, Raja Muda pun menceritakan kisah mimpinya kepada permaisurinya dan tanpa ada berasa sangkal pada dirinya, permaisuri telah meminta Raja Muda untuk pergi ke lokasi yang diceritakan. Maka berangkatlah Raja Muda ke pulau yang dinyatakan untuk bertapa. Setelah sampai baginda pun mulalah bertapa seperti yang diajar di dalam mimpi baginda.

Di dalam pertapaan inilah, Raja Muda telah mendapat firasat iaitu jika hendak mendapatkan zuriat maka hendaklah permaisurinya memakan bunga Kastuba. Maka Raja Muda pun mencari bunga kastuba yang tumbuh meliar di kawasan pertapaannya dan diberikannya kepada permaisurinya untuk makan. Kemudian pulanglah mereka ke istana di Kerajaan Amuntai bagi menanti berita baik yang akan tiba pada bila-bila masa.

Setelah beberapa bulan berlalu, ternyata permaisuri Raja Muda telah hamil dan akhirnya setelah mengandung 9 bulan maka lahirlah putera kembar yang sangat elok rupa parasnya. Berbanggalah Raja Muda kerana ternyata Kerajaan Amuntai sekarang sudah mempunyai waris.

Berlainan pula kisahnya dengan Raja Tua yang mendengar perkhabaran gembira daripada Raja Muda juga mempunyai keinginan untuk mempunyai cahayamata sendiri. Maka Raja Tua dan permaisurinya pun berdoa dengan para dewa agar dikurniakan cahayamata juga. Pada malamnya, Raja Tua pula didatangi oleh seseorang di dalam mimpinya yang menyuruh baginda untuk bertapa di sebuah lokasi bernama Candi Agung yang terletak di luar kota Amuntai.

Raja Tua dan permaisurinya pun tanpa berlengah-lengah telah mengikuti arahan yang diberikan. Walau bagaimanapun di sepanjang pertapaan tersebut, Raja Tua tidak menerima apa-apa firasat dan setelah tempoh pertapaan selesai baginda dan permaisurinya pun berangkat pulang ke istana dengan penuh sebak di dada.

Di dalam perjalanan pulang ini, permaisuri merasa dahaga lalu mereka pun mengambil keputusan untuk berehat di sebatang sungai yang agak jernih. Ketika permaisuri mencedok air bagi menghilangkan dahaganya alangkah terkejutnya permaisuri secara tiba-tiba berbuih-buihlah di tengah sungai tersebut dan dengan tidak semena-mena timbullah seorang bayi perempuan yang terapung-apung dan mula menghampiri permaisuri.

Rupa paras bayi perempuan tersebut terlalu indah dengan putih berseri-seri. Raja Tua dengan permaisuri percaya bahawa inilah zuriat yang diberikan kepada baginda lalu mengambil keputusan untuk mengangkat bayi perempuan tersebut sebagai puterinya. Dek kerana keindahan rupa paras bayi tersebut serta daripada mana asalnya maka bayi perempuan inipun diberikan nama Puteri Junjung Buih.

Setiba di istana Kerajaan Amuntai, Raja Tua telah memerintah menteri istana iaitu Datuk Pujung untuk membuat persiapan bagi Puteri Junjung Buih. Ketika diberikan kepada Datuk Pujung inilah tiba-tiba Puteri Junjung Buih yang masih bayi ini telah pandai berkata-kata iaitu beliau berkeinginan untuk diselimutkan dengan selembar kain tenunan yang harus dibuat dalam waktu ½ hari jika tidak kesaktiannya tidak akan berkesan. Mendengar atas perkara tersebut, Raja Tua pun bertitah untuk memanggil siapa juga wanita yang ahli di dalam membuat tenunan kain.

Pada masa itu, Puteri Junjung Buih hanya di dalam dakapan permaisuri Raja Tua tidak diletakkan di atas katil. Setelah mengadapnya 40 wanita Kerajaan Amuntai yang ahli menenun maka bertitahlah Raja Tua iaitu barangsiapa yang mampu menenun selembar kain seperti yang dimahukan oleh Puteri Junjung Buih di dalam masa ½ hari maka wanita itulah yang akan diangkat menjadi pengasuh utama Puteri Junjung Buih dan dikurniakan dengan segala hadiah daripada Raja Tua.

Ternyata hanya seorang sahaja wanita yang mampu melangsaikan selembar kain tenunan di dalam waktu yang dibenarkan iaitu seorang wanita bernama Ratu Kuripan. Tenunan yang dihasilkan pun bukannya calang-calang kerana tenunan yang dihasilkan amat indah sekali. Akhirnya Puteri Junjung Buih diselimutkan dengan selembar tenunan itu dan diserahkan kepada Ratu Kuripan untuk dijaga dengan seelok-eloknya di dalam istana Kerajaan Amuntai.

Apabila meningkat dewasa, Raja Tua dan Raja Muda ingin menyerahkan kekuasaan Kerajaan Amuntai kepada zuriat-zuriat mereka maka berpakatlah mereka untuk menyatukan putera sulung Raja Muda dengan Puteri Junjung Buih. Namun begitu mengikut ceritanya putera kembar yang bongsu Raja Muda juga menaruh hati kepada Puteri Junjung Buih.

Akibat tidak berpuashati kedua-dua putera kembar ini bertelagah di antara satu sama lain sehingga membenarkan Puteri Junjung Buih mengkhabarkan kepada ayahandanya Raja Tua bahawa jodohnya tidak boleh golongan bangsawan yang senegara dengannya kerana jika dilakukan kemudian malapetaka akan berlaku kepada Kerajaan Amuntai kelak. Jodoh Puteri Junjung Buih hanya pada golongan bangsawan atau raja daripada sebuah negara yang sedang berkembang dengan gah di Pulau Borneo.

Maka diceritakan akhirnya Raja Tua telah menjodohkan Puteri Junjung Buih dengan seorang raja daripada Pulau Borneo dan Puteri Junjung Buih sewaktu perkahwinannya telah dibekalkan dengan beberapa pengikut yang ahli di dalam serba serbi sebagai membantu Puteri apabila di bumi asing nanti.

Terlalu banyak versi Puteri Junjung Buih malah ada yang menyebut ianya juga puteri bangsawan daripada Kerajaan Banjar. Walau bagaimanapun ini hanyalah cerita legenda yang ada kebenarannya tetapi telah ditokok tambah bagi mencantikkan jalan cerita penglipurlara. Sebelum itu, bagi mencarikan kebetulannya di dalam mengatakan cerita legenda Puteri Junjung Buih ini adalah Puteri Lela Menchanai, permaisuri Sultan Bolkiah marilah kita bersama-sama menilai bait-bait indah daripada lagu melayu lama karangan Shukri Zain, seorang penyair daripada Negara Brunei Darussalam yang dihasilkan pada 10 Mac 1968.

Puteri Laila Mencanai

Puteri Laila Mencanai
Serumpun kumpai di tengah lautan
Dalamnya terkandung buih nan indah
Darinya menjelma puteri rupawan
Dijadikan isteri Sultan Bolkiah
Puteri jelita Laila Mencanai
Didapat baginda dalam pelayaran
Kasih baginda tiada ternilai
Hajar isterinya dapat ditunaikan
Dalam Pelayaran isterinya menjahit
Jarum emas penyulam-nyulam
Baginda perhatikan begitu asyik
Sehingga tertidur di dalam pangkuan
Puteri pun terharu sulaman tak tentu
Jarum tercucuk ke tangan baginda
Bisanya jarum tawar tak selulu
Mangkatlah baginda di tangan jelita
Laila Menchanai berdukacita
Akhirnya puteri menikam dirinya
Meninggalkan wasiat bermakan sama
Makam selarong bernisan tiga

- Syukri Zain, 10/3/1968, Brunei –

Apakah kedua-dua nama ini adalah puteri yang sama hanya Allah yang tahu segalanya. Di harap cerita legenda ini akan menjadi sumber cerita untuk kita perturunkan kepada generasi kita yang seterusnya. Sesungguhnya kita yang berada di satu pulau yang sama mempunyai perkongsian cerita legenda yang agak sama yang wajar kita lestarikan menjadi karya agung buat tatapan generasi mendatangkan.

#KamekSayangSarawakBah!

HAN XIN: KISAH LELAKI YANG MERANGKAK DI BAWAH KANGKANG PEMBULI MENJADI JENERAL PERANG AGUNG DALAM SEJARAH CHINA

Kalau kita semua membicarakan tentang sejarah China, sebuah negara moden yang ditubuhkan atas puing-puing keagungan sebuah tamadun yang berusia lebih 5000 Tahun, pastinya kita tidak akan ketinggalan untuk berbicara tentang Dinasti Han dan seorang panglima perang yang menurut saya, jantung dan hati kepada usaha Liu Bang menyatukan seluruh China selepas kejatuhan Dinasti Qin.

Umumnya, kita mengetahui bahawa Dinasti Qin ialah dinasti pertama dalam sejarah China yang berjaya menyatukan seluruh China, menyatukan seluruh suku-suku kaum yang menghuni kawasan di sekitar Lembangan Sungai Hwang Ho. Suku-suku kaum yang bertutur dalam satu bahasa dalam rumpun dan dialek yang sama yang hari ini kita tahu dikenali sebagai keluarga bahasa Cina. Namun, Dinasti Qin tidak bertahan lama lalu menemui pengakhirannya.

Pada saat kejatuhan Dinasti Qin, China mula memasuki era perang saudara, di mana dalam dua pihak saling berebutkan takhta Maharaja China. Dan dua belah pihak itu ialah Chu dan Han. Dunia hari ini mengenali fasa ini dalam sejarah China sebagai Persengketaan Chu-Han.

Dan persengketaan itu menyaksikan pelbagai pertempuran-pertempuran yang sangat menarik untuk disaksikan dan dipelajari oleh kita. Dan salah satu daripada watak besar di sebalik pertempuran hebat itu ialah Han Xin, seorang jeneral perang yang boleh diibaratkan lahir setiap 100 tahun dalam sejarah China. Sang manusia genius yang menjadi tulang belakang kejayaan Liu Bang.

[Lelaki Yang Merangkak Di Bawah Kangkang Sang Pembuli]

Han Xin (韩信) (mati pada 196 Sebelum Masihi) adalah seorang lelaki biasa yang sebenarnya mempunyai sejarah yang dikurinakan tuhan kebijaksanaan yang tiada bandingannya pada zamannya. Namun, kehidupan Han Xin adalah sangat sadis. Anak yatim ini hidup bergantung pada ehsan orang lain. Setiap hari, dia dicatatkan akan meminta-minta makanan setiap hari di sekitar kampungnya.

Namun, pada saat kebuluran yang sudah bersahabat dengannya, pastinya akan ada seorang perempuan di kampungnya yang merasa simpati. Maka, si perempuan itulah yang setia memberi makan kepada Han Xin. Han Xin yang sememangnya bercita-cita besar menjadi seorang panglima perang yang hebat suatu hati nanti menjanjikan pada perempuan tadi balasan kalau dia berjaya mencapai cita-citanya.

Walaupun hidup dalam keadaan serba susah, namun Han Xin selalu meluangkan masanya untuk membaca tentang strategi ketenteraan dan juga berlatih bermain pedang seorang diri. Bahkan Han Xin mempunyai satu tabiat dengan berjalan-jalan di sekitar kampungnya sambil membawa pedang kayu yang selalu digunakan untuk latihannya, sambil membayangkan dirinya sebagai seorang jeneral perang hebat.

Pernah suatu masa, Han Xin tersempak dengan sekumpulan pembuli yang memang sering menyasarkan Han Xin yang menurut mereka bermimpikan benda yang mustahil. Kalau dalam masyarakat kita, kita mungkin melabelkan Han Xin saling tak tumpah seperti Mat Jenin. Orang kampung Han Xin tidak boleh melihat seorang lelaki yang bervisi dan berimpian seperti Han Xin.

Han Xin diketawakan, diejek malah dimaki dengan sangahina kerana menjadi seorang lelaki yang bervisi dan dia telah dipaksa merangkak di bawah kangkang ketua kumpulan pembuli tadi kalau tidak mahu dipukul. Han Xin akur kerana menyedari dirinya yang dikelilingi oleh kumpulan manusia yang ramai dan berbadan besar.

Sejarah mencatatkan selepas puluhan tahun dari peristiwa itu, Han Xin sendiri mendapatkan kumpulan pembeli itu. Anehnya, Han Xin tidak menghukum mereka sebaliknya Han Xin menganugerahkan pangkat dan jawatan pada lelaki yang terpaksa dia merangkak bawah kangkangnya satu masa dahulu. Sempat lagi Han Xin menitipkan pesanan.

“Kamu adalah hero. Kalau tidak kerana kau, aku tidak akan berada di tempat aku hari ini. Kau yang sering membuli dan memperkecilkan akulah yang menyebabkan aku berkobar-kobar membuktikan siapakah Han Xin sebenarnya!”

Dipendekkan cerita, akhirnya Han Xin berjaya memasuki pasukan tentera Chu yang dipimpin oleh jeneral perang bernama Xiang Yu yang ketika itu sedang menggerakkan revolusi menggulingkan Dinasti Qin. Dalam pasukan tentera Xiang Yu, Han Xin sering mendapatkan Xiang Yu dan mencadangkan strategi dan taktikal perangnya untuk digunakan dalam medan perang.

Namun Xiang Yu tidak mengendahkan setiap idea yang datang daripada Han Xin menyebabkan lelaki itu kecewa lalu meninggalkan pasukan Chu. Bertahun-tahun kemudian nanti. Xiang Yu akan menyesal dengan tindakannya itu kerana Han Xin akan menjadi nemesis utama Xiang Yu dalam medan perang, dalam fasa Persengketaan Chu-Han ketika era kejatuhan Dinasti Qin. Han Xin akan menjadi kanser yang menjatuhkan rejim Xiang Yu sendiri.

[Drama Di Bawah Sinaran Bulan]

Kalau kalian pernah membaca artikel kami tentang bagaimana Liu Bang dimalukan dengan teruk di Hong Gate (Link artikel: https://goo.gl/r5tDPq), kalian akan dapati bahawa Liu Bang tidak mungkin akan menang ke atas pasukan Chu yang memang sebuah pasukan yang sangat ampuh. Dengan kehebatan Xiang Yu di medan perang dan kebijaksanaannya, Liu Bang yang kekurangan seorang penasihat militari yang hebat akhirnya dihantar ke Banshu, ke sebuah pendalaman China untuk mentadbir di sana.

Selepas berjaya menjatuhkan Dinasti Qin, Xiang Yu ketika itu membahagikan China kepada beberapa bahagian, di mana setiap bahagian itu diperintah oleh orang-orang kepecayannya. Raja Chu yang merupakan sekadar boneka Xiang Yu akan memerintah di Xianyang yang pernah menjadi pusat pemerintahan Dinasti Qin.

Zhang Liang, penasihat Liu Bang menasihati daripada melawan arahan Xiang Yu, maka Liu Bang mematuhi arahan Xiang Yu dalam waktu itu, sementara mengumpulkan kekuatan untuk menjatuhkan Xiang Yu.

Ketika itu, Liu Bang telah mendapati bahawa nasibnya untuk menjadi Maharaja China dan memerintah seluruh China agak kabur kerana terperangkap di kawasan pendalaman seperti Bashu yang makanan asasinya ialah serangga goreng dan segala makanan yang sangat pelik. Itu belum lagi kalau berbicara tentang muka buminya yang dikuasai oleh kawasan paya bakau. Namun, siapa tahu takdir mempunyai perancangan lain untuk Liu Bang memiliki China.

Han Xin ketika itu mengembara ke Banshu untuk menyertai pasukan Han, sambil dalam hatinya berbara dendam pada Chu dan juga Xiang Yu. Dia mahu membuktikan pada Xiang Yu bahawa dia bukan calang-calang orang. Dia adalah orang yang sangat berbakat dan Xiang Yu akan menyesal dengan tindakannya.

Sampai sahaja di Banshu, terus Han Xin menyertai pasukan tentera Han. Namun, seperti mana yang berlaku di Chu, tiada siapa pun yang nampak bakat yang dimiliki oleh Han Xin membuatkan Han Xin terpaksa melakukan sesuatu untuk memastikan orang atasannya nampak akan bakat dirinya.

Dan orang atasan itu ialah Xiahou Ying, orang kanan Liu Bang yang merupakan pertama menyedari bakat terpendam yang dimiliki oleh Han Xin Ketika Han Xin hampir dipancung kepalanya oleh Xiahou kerana melanggar undang-undang tentera, lalu ketika diminta untuk melafazkan ayat terakhirnya, maka Han Xin menurturkan ayat di bawah.

“Aku dengar Liu Bang mahu membina sebuah empayar. Jadi, kenapa dia mahu membunuh orang yang boleh membantunya berbuat demikian?”

Tertarik dengan ungkapan Han Xin itu, maka Xiahou Ying pun memberikan tugas untuk mengawal bekalan makanan untuk pasukan askar untuk Han kepada Han Xin. Han Xin telah mengaplikasikan strategi peperangan yang hebat pada pengurusan bekalan makanan Han membuatkan bekalan makanan yang dimiliki oleh Han bertambah berkali-kali ganda meski ketika itu, mereka menjadikan Banshu sebuah kawasan pendalaman sebagai markas mereka.

Lalu bakat ini dikesan pula oleh Xiao He, salah seorang orang penasihat Han. Xiao He merasakan orang yang mampu membawa Liu Bang keluar daripada Banshu sudah berada di depan mata. Lalu dibawa Han Xin kepada Liu Bang, namun ketika itu, bakal maharaja pertama Dinasti Han itu langsung tidak mengendahkan bakat Han Xin membuatkan Han Xin merajuk dan meninggalkan Kota Banshu pada malam itu.

Merasakan bahawa majikannya melakukan kesilapan paling besar, maka Xiao He pun menunggang kuda mengejar Han Xin di bawah bulan purnama, cuba memujuk Han Xin untuk kembali ke Banshu. Ketika itu, terdapat beberapa orang melihatkan Xiao He menunggang kuda mengejar Han Xin. Maka khabar angin kononnya Xiao He meninggalkan pasukan Liu Bang mula tersebar membuatkan Liu Bang menjadi risau apabila orang kanannya berpaling tadah.

Namun, Liu Bang berasa lega apabila melihatkan Xiao He kembali bersama dengan Han Xin lalu bertanyakan soalan kepada Xiao He.

“Kenapa dalam kebanyakan orang yang berpaling tadah daripada aku, kau hanya mengejar Han Xin untuk memujuknya kembali?”

Xiao He menjawab kerana bakat yang dimiliki oleh Han Xin adalah tidak tertanding oleh mana-mana jeneral perang pada waktu itu. Justeru, untuk mendalami bakat hebat yang dimiliki oleh Han Xin ini, maka saya senaraikan beberapa contoh pertempuran hebat yang pernah dipimpin oleh Han Xin sendiri.

1. Penaklukan Tiga Qin oleh Han Xin merujuk pada tiga orang bekas jeneral Dinasti Qin yang berkhidmat untuk Xiang Yu. Pertempuran Jingsuo menunjukkan kebijaksanaan Han Xin menggempur seluruh bala tentera Tiga Qin.

Ketika Chu berjaya menyatukan seluruh China di bawah pemerintahannya, tiga bekas Jeneral Qin diberi tanggungjawab untuk mentadbir negeri Guangzhong yang berjiran dengan negeri yang ditadbir oleh Liu Bang,

Maka, pelan pertama yang dilakukan oleh Han Xin selepas dilantik menjadi jeneral kanan Han untuk mengaburi mata tiga bekas jeneral Qin ini ialah mengarahkan askar-askar di bawah Han untuk memperbaiki satu-satunya jalan keluar daripada Qin di jalan-jalan di tepi pergunungan.

Sengaja Han Xin melakukan ini untuk mengaburi mata tiga jeneral Qin ini seolah-olah membayangkan bahawa Liu Bang tidak berminat untuk melakukan ekpedisi tentera sebaliknya sekadar bersemayam di Banshu.

Namun… dalam masa yang sama, Han Xin telah menggerakan bala askar utama Han untuk terus menggempur Guangzhong melalui jalan rahsia. Askar yang diarahkan untuk membina dan memperbaiki jalan yang rosak itu adalah sekadar “decoy” untuk membuatkan tiga jeneral Qin terleka.

Impaknya, ketika bala askar Qin sampai ke negeri Guangzhong, semuanya sudah terlambat dan akhirnya negeri Guangzhong berjaya ditawan oleh Han Xin.

2. Selepas itu. Han Xin meneruskan kempen penaklukan Han apabila menyasarkan kawasan utara China yang ketika itu di bawah negeri Zhao dan Qi yang diperintah oleh boneka Xiang Yu. Ada dua pertempuran dalam penaklukan Han ke atas kawasan utara China ang diingati kerana kebijaksanaan Han Xin iaitu Pertempuran Jingxing dan Pertempuran Sungai Wei.

- Pertempuran Jingxing: Ini ialah pertempuran yang mencerminkan kepada kita tentang kebijaksanaan Han Xin yang sangat mengagumkan . Selepas berjaya mengalahkan Tiga Qin dalam Pertempuran Jingsuo, maka Han Zin terus mara ke arah negeri Zhao. Jingsuo harus ditawan oleh Han Xin kalau Han di bawah Liu Bang mahu terus mara dan menakluk seluruh China.

Dalam pertempuran ini, Han Xin menunjukkan bagaimana 5 ribu hingga 10 ribu orang askarnya sudah cukup untuk menewaskan bala 200 ribu orang askar dalam peperangan. Pertempuran ini dimulakan dengan Han Xin.

Malam itu, Han Xin mengarahkan 2 ribu orang askarnya menyelinap di belakang kem tentera Zhao sambil membawa panji-panji kibaran pasukan Han sementara baki askarnya yang lain ditugaskan untuk berdepan dengan 200 ribu bala askar Zhao. Han Xin memesan kepada pasukan 2 ribu orang itu supaya menukarkan bendera yang berkibar di kem itu kepada panji kibaran Han apabila pertempuran meletus.

Lalu ditakdirkan pertempuran yang seolah-olah tidak memihak kepada Han Xin berlaku, maka 2 ribu askar tadi pun menukarkan terus bendera di kem Zhao membuatkan askar Zhao yang sedang kusyuk bertempur bertukar panik apabila melihatkan bendera Han berkibar di kem tentera mereka. Ini menjatuhkan terus morale mereka kerana mereka beranggapan bahawa terdapat pasukan rahsia yang dalam jumlah yang terlalu banyak sedang menyerang mereka dari belakang.

Maka, askar-askar Zhao tadi terus lari bertempiaran dari medan perang dan baki askar Han Xin yang berjumlah 3 ribu orang sehingga 8 ribu itu berjaya memenangi peperangan ke atas 200 ribu askar Zhao.

- Pertempuran Di Sungai Wei menyaksikan bagaimana Han Xin mempimpin 50 ribu orang askar melawan 200 ribu orang askar Qi yang dipimpin leh seorang jeneral perang bernama Long Ju. Untuk rekod, Long Ju sangat memandang rendah pada kelebihan yang dimiliki oleh Han Xin.

Kisah Han Xin merangkak di celahan kangkang sekumpulan pembuli suatu masa dahulu memang sudah tersebar dan Long Ju menganggap bahawa lawannya kali ini adalah seorang yang pengecut. Sebelum pertempuran, Han Xin mengarahkan askar-askarnya membina apa yang saya panggil sebagai “empangan ekpress” di hulu Sungai Wei dengan beg-beg pasir yang banyak. Perbuatan Han Xin itu menyebabkan air sungai Wei menjadi cetek.

Han Xin pula ketika itu memimpin 50 ribu askarnya dengan bertempur secara berdepan dengan Long Ju. Memang atas kesengajaan Han Xin, dia menyuruh askarnya berlakon dan berpura-pura seperti kalah dan lari dari medan peperangan demi mengumpan Long Ju dan askar Qin. Ketika itu, Han Xin menyuruh askarnya belari merentasi Sungai Wei yang menjadi cetek airnya.

Ketika 1/3 daripada askar Qi melintasi Sungai Wei, maka Han Xin memberi isyarat kepada askarnya yang mengawal empangan ekpress di hulu Sungai Wei untuk mengangkat timbunan beg pasir tadi. Apa lagi, air bah yang tertahan dek timbunan beg pasir tadi terus melimpah dari hulu sungai dan membantai pasukan Qi di tengah-tengah sungai.

3. Pertempuran Gaixia: Selepas rentetan demi rentetan kejayaan Han Xin memimpin pasukan tentera Han dalam konflik antara Chu dan Han, maka Han Xin menuntut kepada Liu Bang, pemimpin pasukan utama Han ketika itu untuk mendapatkan kuasa autonomi ke atas pasukan tenteranya.

Namun, Liu Bang tidak bersetuju membuatkan Han Xin mengambil keputusan untuk menahan askarnya manakala Liu Bang yang terlalu besar kepala dengan rentetan kemenangan Han terus menyerang Xiang Yu secara berdepan. Namun, serangan itu berakhir dengan kegagalan yang paling dasyat buat Han, dan mujurlah munculnya Zhang Liang yang sempat menyelamatkan keadaan membuatkan pasukan Han terselamat.

Lalu, untuk memastikan nemesis utamanya tersungkur, maka Liu Bang menawarkan kepada Han Xin sebuah negeri untuk Han Xin sekiranya Liu Bang mampu menyatukan seluruh China dan Han Xin akan diberi kuasa penuh memerintah negeri itu. Tetapi mestilah dengan syarat iaitu menewaskan Xiang Yu dalam peperangan. Maka disinilah Pertempuran Gaixia sebagai saksi terakhir tumpasnya Xiang Yu pada orang yang pernah diperlekehkan bakatnya suatu masa dahulu, Han Xin.

Dalam peperangan ini, Han Xin merancang untuk menyerang bala askar Xiang Yu yang berjumlah 200 ribu dengan bala askar sebanyak 800 ribu orangnya yang dipecahkan menjadi kecilan-kecilan tertentu demi melancarkan serangannya ini. Di samping itu Han Xin memastikan bahawa perangkap-perangkap akan dipasangkan di medan pertempuran.

Maka Han Xin sendiri mempimpin askarnya bertempur secara berdepan dengan Xiang Yu sebelum Han Xin sendiri memerintahkan tenteranya berundur melalui jalan-jalan tertentu di mana askar Han dan perangkapnya menanti askar-askar Xiang Yu. Menyedari bahawa dia tidak akan menang kerana sengan mengejut Han Xin itu, maka Xiang Yu memerintahkan askarnya kembali ke kota.

Menyedari akan usaha Xiang Yu akan menggagalkan usahanya untuk menamatkan perang antara Chu-Han, dan mengakhiri hayat Xiang Yu, maka Han Xin mengerahkan lagi serangan demi serangan yang disasarkan untuk mengarahkan Xiang Yu ketika itu memasuki ke sebuah kawasan lembah demi memastikan bahawa tiada jalan keluar lagi untuk Xiang Yu dan askar-askarnya demi lebih banyak serangan mengejut dan perangkap yang menunggu masa untuk membaham Xiang Yu.

Taktik ini dipanggil dalam sejarah China sebagai "Ambush from Ten Sides" (十面埋伏). Formasi yang dibentuk oleh Xiang Yu pada akhirnya terpecah dan morale askar Chu jatuh menjunam. Ketika tiada lagi jalan keluar apabila terperangkap di tengah-tengah lembah, Han Xin pula mengarahkan untuk askar-askarnya memainkan lagu yang berkaitan dengan negeri asal askar-askar Xiang Yu iaitu Chu.

Apa lagi, ketika itu masing-masing mula mengenangkan kampung halaman. Terbayar di tirai minda wajah si ayah, ibu, isteri dan anak-anak. Lalu ketika itu, direkodkan bahawa setiap askar Chu yang masih tinggal merayu-rayu pada Xiang Yu untuk menyerah kalah dan kembali ke rumah masing-masing dan melupakan perang itu. Antara orang yang merayu itu adalah isteri Xiang Yu sendiri yang simpati dengan keadaan askar-askarnya. Taktikal Han Xin itu dikenali dalam sejarah dunia sebagai "Chu Song from Four Sides" (四面楚歌).

Dengan hati yang berat, Xiang Yu terpaksa bersetuju. Semua askar Chu ketika itu terus menyerah kalah pada Han dan melarikan diri dari medan perang. Dicatatkan dalam 200 ribu balas askar yang dibawa Xiang Yu, hanya 800 orang sahaja yang bertaat setia pada Xiang Yu untuk sehidup semati dengan Xiang Yu. Pada malam itu juga, isteri Xiang Yu membunuh diri kerana berangapan bahawa dirinya adalah punca utama kepada kejatuhan Chu. Ini juga membuatkan semangat Xiang Yu terus jatuh.

Namun, jumlah askar yang berjumlah 800 itu sebenarnya memberi kelebihan pada Xiang Yu untuk melarikan diri. Kalau tadi jumlah ratusan ribu menyebabkan penggerakan mereka terhad, tetapi untuk 800 orang, ianya adalah satu rahmat sebenarnya. Pengerakan mereka sukar dijejak dalam lembah itu dan akhirnya, Xiang Yu berjaya melarikan diri.

Sambil itu, Han Xin terkejut menyedari bahawa Xiang Yu telah melarikan diri dengan bantuan 800 orang askar yang setia padanya. Mendengarkan akan perkara itu, maka Liu Bang mengarahkan 5000 tentera berkuda elit mengejar Xiang Yu. Namun Xiang Yu menghadapi masalah lain. Dia pula tersesat dalam wilayah Han. Apabila ditanya kepada penduduk kampung yang berdekatan, mereka semua menunjukkan arah yang salah menyebabkan akhirnya Xiang Yu sampai ke sebuah paya. Terperangkap di paya menyebabkan masa yang ada terbazir sahaja. Perkara ini terjadi adalah kerana kesetiaan mereka pada Liu Bang yang merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan baik.

Dipendekkan cerita, tentera berkuda elit tadi berjaya mengejar Xiang Yu sehingga sampai ke Sungai We. Di sana, Xiang Yu bersama dengan 26 orang tentera yang masih setia dengannya bertempur sehingga ke titisan darah terakhir melawan 5000 orang askar elit tadi. Ramai askar yang dihantar Liu Bang terbunuh, sehingga tinggal Xiang Yu seorang sebelum Xiang Yu membunuh dirinya dengan mengelar lehernya sendiri.

[Pengakhiran Sadis Han Xin]

Siapa tahu, jantung utama pasukan Han yang menyebabkan Dinasti Han ini berdiri dan wujud sebenarnya telah mengusahakan pemberontakannya tersendiri. Namun, isteri Liu Bang, Maharani Lü Zhi yang merupakan master mind di sebalik kebangkitan Liu Bang menjadi pemimpin dapat menghidu pelan Han Xin.

Bersama dengan Xiao He yang merupakan orang yang mengangkat Han Xin menjadi jeneral perang kanan Han, Han Xin berjaya ditangkap lalu dihukum mati bersama dengan isteri, anak-anaknya, ibunya serta semua saudara –maranya oleh Lu Zhi sendiri. Ironinya, orang yang memberi ‘kehidupan’ kepada Han Xin sehingga menempa nama dalam sejarah, rupanya orang yang telah memberikan ‘kematian’ kepada Han Xin.

Ini membuatkan sebuah pepatah dalam bahasa Cina wujud menggambarkan peristiwa itu.

“Kegagalan dan kejayaan kerana Xiao He.”

-HE-