Saturday, 7 May 2016

WELTANSCHAUUNG SEBUAH SEJARAH

Apakah nilai sebuah sejarah itu, tuan-tuan dan puan-puan?

Nilai sebuah sejarah itu apabila kita lihat betapa Thailand mengeluarkan filem-filem sejarah mereka dengan teliti dan besar-besaran; contohnya mengerahkan askar-askar mereka berlakon dalam siri filem Naresuan, malah pelakon utamanya yang membawa watak Raja Naresuan itu adalah seorang pegawai tentera. Bukan sahaja sejarah Ayutthaya, malah sejarah ratu-ratu Patani juga mereka rembat buat sumber cerita filem epik mereka Queens of Langkasuka.

Nilai sejarah itu amat penting di sana apabila kita lihat betapa raja-raja mereka sanggup sambung pahat Batu Bersurat Ramkhamhaeng pada abad ke-19 dan membuat kisah fiksyen tentang utopia Ramakhamhaeng, bagi menaikkan semangat patriotik dan cintakan tanahair mereka.

Sarjana luar yang mempertikaikan kepalsuan ini akan dikenakan lèse majesté dan walau para pembesar atau pihak tentera berebut kuasa politik, sejarah dan institusi beraja mereka tetap dipertahankan walau siapa yang menang dalam konflik itu.

Nilai sebuah sejarah itu apabila kerajaan China sanggup mengupah para pelukis profesional untuk melukis di gua-gua seolah-olah lukisan prasejarah. Kemudian mengumumkan bahawa terdapat tamadun prasejarah di sana yang memungkinkan di China adalah pusat terawal ketamadunan manusia dan menjadi 'cradle of civilization'.

Nilai sebuah sejarah itu apabila kita lihat kerajaan Sweden sanggup menaikkan kapal perang abad ke-17; Vasa yang tenggelam di dasar Laut Baltik yang memakan kos berjuta-juta dollar. Kapal itu dipulihara dan disimpan di dalam muzium sebagai simbol kebanggaan dan patriotisme di kalangan rakyat Sweden.

Banyak lagi contoh-contoh sebegini yang menunjukkan kepada kita betapa orang luar amat-amat menghargai sejarah mereka dan sedar betapa sejarah itu amat berguna sebagai perkakas menaikkan keadiwiraan jatidiri bangsa lalu mencetuskan fikiran merdeka dan kreatif, memajukan ekonomi mereka dan menjadi negara maju.

Mereka sanggup beratur panjang untuk memasuki muzium, membaca di kaki-kaki lima perpustakaan kerana kerusi meja sudah penuh, conquistador dan orientalis mereka mengangkut khazanah manuskrip kita beratus-ratus kilometer jauhnya mengharungi badai dan petir untuk dikaji sejarahwan mereka, dijaga dengan rapi, dibuat mikrofilem dan dikaji dengan khusyuk dan ghairah, kemudian diumumkan kepada mereka itu yang dari pagi beratur panjang untuk masuk ke muzium laksana membeli tudung Fareeda.

Perkara-perkara begini belum berlaku di sini, kerana minda tahyul dan fiksyen merajai jiwa kolonial kita. Kita masih bergaduh tentang perkataan-perkataan dan wujud atau tidak sejarah itu dan melabel sejarah sebagai fiksyen dan dongeng.

Perkara ini biasa kerana kita pernah dibawah imperialisme dahulu, yang luarbiasanya kita masih berminat menjadi saka imperialisme walau pada hari ini imperialisme sudah selamat di dalam lubang-lubang neraka.

Mungkin generasi anak kecil ini akan menyaksikan, betapa minda pasca-merdeka nanti sudah kebah dari saka kolonial sepenuhnya.

~Srikandi

1 comment:

  1. How to get to the Harrah's Tunica casino - Dr. MD
    Harrah's Tunica is 고양 출장안마 an MGM 서울특별 출장안마 Resorts 과천 출장마사지 International property in Tunica Resorts, Mississippi. It 광주 출장마사지 is the second property to be 속초 출장안마 sold,

    ReplyDelete