Setiap bangsa di dunia ini mempunyai ciri-ciri keunikan sendiri. Sejarah Melayu menunjukkan bangsa ini mempunyai kehebatan dalam pentadbiran thalasokrasi (penguasaan berasaskan kekuatan maritim) yang memerlukan angkatan ketenteraan laut moden (mengikut zaman) Pengaruh Melayu berkembang pesat di Pentas Nusantara sehingga ke Madagascar, satu perjalanan beribu-ribu kilometer tidak kira sama ada secara terus atau melalui persisiran pantai.
Sejarah kuno Yunani pula merupakan aset utama dalam kebudayaan bangsa ini. Walaupun ajaran-ajaran mitologi tidak diamalkan lagi, tetapi pengaruh ajaran kuno ini tidak boleh dinafikan mempunyai peranan besar dalam perkembangan sejarah mereka. Nama-nama seperti Achilles, Hercules dan Perseus telah diriwayatkans ehingga hari ini, termasuk dengan peristiwa pembukaan kota Rom selepas penjarahan kota Troia (Troy), yang terletak di Barat Laut Turki.
Kebanyakan nama-nama hebat, seperti tiga pewira diatas, mempunyai hubungan dengan konsep ketuhanan mitologi Yunani. Achilles dipercayai memiliki ilmu kebal selepas direndam ibunya, Thetis, semasa bayi dalam Sungai Styx (sungai antara Hidup dan Mati). Seluruh badannya direndam, memastikan air sungai mitos itu sampai di setiap inci susuk badannya… kecuali dibahagian tumit, dimana Thetis sedang memegangnya untuk rendaman.
Dan tumit itulah merupakan sasaran maut buat pewira digeruni ramai ini. Hanya sebatang panah sahaja berjaya menumbangkannya, walaupun dipercayai Achilles dipanah dibadan tetapi sempat mengeluarkannya sebelum terkorban.
Kalau dilihat tentang Hercules yang merupakan hasil Zeus bersama tunang Jeneral Amphitryon iaitu Alcmene dan Perseus – anak hubungan Zeus dan Danaë – konsep ketuhanan Yunani boleh disimpulkan sebagai kepercayaan mitos yang, jika benar, sungguh berat padahnya. Jika dua lelaki yang mencintakan satu wanita boleh bergaduh dan bertikaman, bayangkan jika dua tuhan sedang mengejar seorang wanita.
Begitulah kisah nafsu serakah Aphrodite, yang berlaku curang kepada suaminya Hephaestus dengan beberapa kekasih seperti Ares, Adonis dan Anchises. Dan Ares merupakan salah satu mitos dalam konsep ketuhanan mereka. Bayangkan apa yang akan berlaku kepada dunia jika Ares (mitos Perang) dan Hephaestus (mitos Tukang Besi) berperang demi Aphrodite yang gila lelaki.
Sudahlah anak buah teruk – ketua-ketua pun sama saja. Thetis sentiasa dikejari Zeus dan Poseidon sehingga Prometheus memberikan amaran bahawa anak Thetis akan menjadi lebih agung berbanding ayah mereka. Lalu Zeus dan Poseidon mengundurkan diri dan membiarkan Thetis dikahwini Peleus, raja Myrmidon – hubungan yang menghasilkan Achilles.
Sebenarnya, apa yang ditakuti Zeus dan Poseidon? Ajaran mereka meletakkan kedua-dua mitos ini sebagai tuhan – adakah ajaran mereka mencadangkan tuhan mampu digugurkan? Ya.
Zeus, Poseidon dan Hades telah bergabung tenaga untuk menurunkan ayah mereka, Kronus. Zeus dan 11 yang lain merupakan Dinasti Olympia, generasi ketiga dalam senarai ketuhanan mitologi Yunani. Tuhan-tuhan yang utama, menurut mitologi ini, merupakan kumpulan 14 ahli seperti Uranus (Langit) dan Gaia (Bumi). Generasi pertama ini melahirkan angkatan Titan yang mempunyai keagungan tanpa batas.
Dibawah Titan, sejenis zaman kegemilangan bermula, yang memastikan keamanan, keharmonian dan kestabilan. Merekalah yang menghalau keluar semua generasi ketuhanan pertama. Kronus menyimpan perasaan dengki terhadap ayahandanya (Uranus) dan menginginkan kuasa Alam Semesta. Sementara itu, Uranus pula membangkitkan kemarahan isterinya, Gaia, selepas menyumpah Hecantonchires dan Cyclops ke dalam Tartarus (ibaratkan neraka) agar mereka tidak akan melihat cahaya lagi.
Uranus juga membuatkan Gaia hamil, tetapi tidak mengizinkan kelahiran janin-janin tersebut kerana merisaukan penghalauan daripada takhtanya. Maka Gaia yang begitu marah dan sakit meminta bantuan janin-janinnya agar bangkit menentang Uranus yang zalim. Kesemuanya menolak, kecuali janin bongsunya – Kronus. Maka Gaia menyiapkan Kronus sebilah sabit.
Apabila Uranus datang meniduri Gaia, Kronus membelahkan kemaluan ayahandanya; maka Uranus pun dijatuhkan daripada takhtanya, dan sabit tersebut menjadi simbol utama kekuasaan Kronus.
Darah Uranus membasahi bumi, membangkitkan bangsa gergasi (Gigantes), Tuhan Api dan Tuhan Pokok; manakala kemaluan Uranus dicampakkan ke dalam laut telah menghasilkan buih-buih yang membangkitkan Aphrodite.
Manakala Kronus yang berkahwin dengan kakaknya, Rhea, mendapat Zeus dan Olympia yang lain. Sama seperti Uranus, Kronun dan bangsa Titan turut dihalau anak-anak mereka, iaitu bangsa Olympia, seperti yang diberitahu Gaia. Dan Kronus menelankan anak-anaknya sebelum dilahirkan agar dapat elakkan perkara ini berlaku, sehinggalah Zeus dilahirkan, anak yang mengetuai Olympia dalam Titanomachy (Perang Titan).
-- AFDS --
No comments:
Post a Comment