Friday, 6 May 2016

IANYA MENUNGGU UNTUK DISAPA, LENA MEREKA MAHU MINTA DIKEJUTKAN

Pusat Manuskrip Melayu PNM menganggarkan sehingga lebih 32,000 Manuskrip Melayu yang belum dapat dibawa pulang ke Malaysia, bertebaran di seluruh pelusuk dunia.

Itu belum termasuk catatan2 dan himpunan kisah tentang kerajaan2 purba, sejarah Melayu sejak zaman Kerajaan Purba di Tanah Melayu, Pra Parameswara, catatan2 Orientalis hingga membawa kepada kejatuhan Kesultanan Melaka, dan seterusnya catatan2 dan penulisan penjajah di Melaka dan Tanah Melayu selepas itu.

Catatan sejarah, manuskrip dan dokumen2 sejarah ini pula ditulis dalam pelbagai bahasa, termasuklah dalam bahasa yang telah pupus, iaitu Latin.

Seringkali, ia juga boleh diperolehi dalam bahasa ibunda penjajah seperti Portugis, Belanda, tulisan 'Kanji' Jepun dan Inggeris.

Dan dokumen2 sejarah ini pula bukan setakat disimpan di negara tersebut, malah turut disimpan dan dijaga rapi di negara2 lain bekas jajahannya.

Penjajah2 ini kebanyakannya membawa pulang artifak, dokumen, manuskrip, perkakas2 serta bukti2 sejarah dalam pelabagai bentuk dan rupa asalnya sebagai trofi penjajahan dan penjarahan mereka, dan kemudiannya menjadi bukti sejarah kejayaan tamadun mereka menakluk nusantara.

Seperti yang dinyatakan oleh Leftenan Komander Frank Stokes di dalam The Monuments Men; "You can wipe out an entire generation, you can burn their homes to the ground and somehow they'll still find their way back. But if you destroy their history, you destroy their achievements and it's as if they never existed."

Mereka memusnah, menjarah dan merompak, membawa lari dan menyimpan bukti2 sejarah ini tadi kerana tidak mahu generasi terkemudian jajahannya selepas itu bangkit melawan, sedar akan kekuatan dan kemasyhuran sendiri sekaligus mencabar status quo mereka sebagai penjajah.

Mereka berkehendakkan dengan melakukan demikian, jajahannya terus kekal tunduk dan tidak sedar akan kehebatan ketamadunan sendiri, serta tidak berasa ada sebab mengapa harus bangkit bangun dan melawan, setidak2nya sepanjang tempoh penjajahan dan penjarahan tersebut berlaku.

Dibawah adalah antara dokumen2 sejarah yang masih lagi tersimpan rapi di luar negara;

Gambar pertama adalah surat dari Engku Temenggung Seri Maharaja (Daing Ibrahim) Johor Maharaja Perancis, Napoleon III, yang ditulis di Singapura pada 17 Syaaban 1273 (12 April 1857). Surat ini kini disimpan dan menjadi hak milik kerajaan British di Perpustakaan British, United Kingdom.

Perapian kepala suratnya menggambarkan keagungan pemerintahan baginda maharaja Johor ketika itu. Padanya tertulis kepala surat dalam tulisan Arab,

"Nur al-shams wa-al-qamr", yang bermaksud, 'cahaya kepada matahari dan bulan’

Seterusnya, penggunaan dakwat emas pula menunjukkan kehalusan dan kemewahan yang mahu ditonjolkan, juga sebagai menghormati penyampaian baginda kepada Napoleon III melalui isinya, antaranya;

"Bertambahlah kekuatan antara kedua pihak tiadalah siapa bangsa yang boleh bandingannya selagi ada perkitaran bulan dan matahari"

Ia kemungkinan diutuskan melalui M. Charles de Montigny utusan Perancis yang berpangkalan di Singapura ketika itu

Jika diperhatikan, pada mohor di sebelah kanan surat itu pula tertulis;

"Al-Wathiqubillah Dato' Temenggung Seri Maharaja Ibn Temenggung Seri Maharaja sanat 1257"

Surat ini memberi maksud bagi menggambarkan persahabatan dan pemakluman kepada Napoleon III akan kedaulatan Johor ketika itu. Ada kemungkinan ia juga digunakan oleh utusan Perancis tersebut untuk manfaat bagi menggambarkan kejayaan peribadinya menghubungkan kedua2 kerajaan Johor dan Perancis ketika itu.

Gambar kedua pula merupakan hasil dari teknik goresan (etching) yang diperolehi terus dari Biblioteca Digital Luso-Brasileira (Perpustakaan Digital Luso-Brasiliera, Brazil) yang juga merupakan jajahan Portugis suatu ketika dahulu. Ia adalah karya litografi oleh Manuel Luís da Costa pada tahun 1804.

Ia tertulis padanya (Tulisan asal pada gambar adalah dalam bahasa Portugis);

"Penaklukan Melaka. Alfonso de Albuquerque menyampaikan perutusan rasmi sempena pengisytiharaan matawang baru bagi pihak Dom Manuel, Raja Portugal, Algarves dan Melaka"

Kemungkinan ianya adalah gambaran pelukis ketika Alfonso De Albuquerque menyampaikan ucapan pemasyhuran matawang baru di Melaka bagi tujuan urusniaga di pelabuhan dan perdagangan sekitar empayar Portugal Melaka ketika itu yang telah mengambil alih laluan perdagangan di selat Melaka.

Sememangnya banyak lagi sejarah berkaitan asal usul dan titik2 bersejarah penting kita yang tersimpan dan tidak ditemukan di tanah orang di luar sana.

Semuanya sudah lama pasrah menunggu dan mahu kita menyapanya. Lena mereka mahu minta dikejutkan.

Denyut ini seharusnya mengumpuk menjadikan kita lebih ghairah mahu mengkaji sejarah bangsa dan tanah air sendiri.

"Ducit Amor Patriae"

-KAM-

Rujukan

1. British Library

http://britishlibrary.typepad.co.uk/asian-and-african/2013/08/a-golden-letter-in-malay-to-napoleon-iii.html

2. Biblioteca Digital Luso-Brasileira

http://bdlb.bn.br/acervo/handle/123456789/3553

No comments:

Post a Comment