Saturday, 7 May 2016

BERKECAINYA LEGASI MONARKI RUSSIA

Susulan kekalahan Rusia dalam Perang Dunia Pertama, dunia menyaksikan kehancuran sebuah legasi yang muncul atas usaha Raja Rurik dimusnahkan begitu sahaja akibat kesalahan-kesalahan Maharaja Nikolai II yang turut bertanggungjawab atas pembunuhan puteri-puteri dan puteranya. Dan ruangan kekosongan itu diisi pula dengan eksperimen yang menggemparkan dunia semula dengan kejayaan sains, seni dan persenjataan.

Seperti budaya Melayu, British, dan Jepun, Rusia juga mempunyai sejarah monarki usianya melebihi 1000 tahun dengan nama-nama popular seperti Pyotr, Yekaterina dan Aleksandr Nevsky, raja paling popular dalam sejarah Rusia yang menghalau pengaruh Teuton dan juga menormalkan hubungan bersama Angkatan Kencana (Mongol).

Rusia sebelum bermulanya kegemilangannya tidak dapat bersatu menentang musuh yang sama. Tetapi semua ini berubah selepas Ivan III Vasilyevich yang dengan beraninya menyekat pembayaran ufti kepada Mongol dan memijak portret Khan Ahmed bin Kuchuk yang meledakkan konfrontasi paling bersejarah di Sungai Ugra.

Dalam konfrontasi ini, hanya ketua-ketua kedua-dua panji ini sahaja berperang, menggunakan ilham taktik dan strategi tanpa menumpahkan setitik darah pun. Khan Ahmed berasa lemah semangat melihat senjata-senjata Muscovy. Beliau berundur ke bandar Vorotynsk untuk menunggu bantuan raja Lithuania Casimir IV Jagiellon, yang terikat dengan sahabat Muscovy iaitu Khan Crimea Mengli I Giray.

Ivan III pula menggerakkan ketenteraannya ke bandar Kremenets dan memulihkan hubungan bersama adik-adiknya, tetapi Ivan tidak menyeberangi Sungai Ugra. Maka dengan pertambahan kekuatan Rusia dan tanpa jawapan daripada Casimir IV, Ahmed tidak menyerang dan Ivan pula tidak tergopoh untuk memulakan pertempuran yang dinanti-nantikan pada masa genting itu memandangkan musim salji bakal menyusul.

Menarik benar – dua-dua ketenteraan ini membatalkan serangan dan melarikan diri daripada satu sama lain, tanpa dikejar sesiapa pun.

Dan bermulalah dominasi Rusia selepas tarikh bersejarah di Sungai Ugra tersebut – 8 Oktober 1480, permulaan perkembangan pengaruh Rusia sehingga ke Volga dan Kazan sebelum berakhirnya Dinasti Rurik dan bermulanya Dinasti Romanov. Keluarga ini bermula sebagai golongan bangsawan (boyar) sahaja. Mereka benar-benar merasai pengaruh penguasaan selepas Tsaritsa Anastasia Zakharyina Romanovna berkahwin dengan Tsar Ivan IV.

Dinasti inilah yang memulakan Empayar Rusia. Semasa zaman Tsar Pyotr I, Rusia menikmati pembaharuan besar-besaran dalam pertembungan diplomasi bersama Syarikat Hindia Timur Inggeris demi India. Revolusi kebudayaan yang diterajui berjaya mengubah Rusia kearah sistem rasionalis yang moden dan saintifik. Rusia berjaya mengembangkan lagi pengaruh mereka, yang disambung Tsarina Yekaterina Alexeevna.

Kebangkitan Rusia menimbulkan kegusaran besar dalam kerajaan British, kerana Rusia mula memandang India sebagai rizab kekayaan juga. Kegusaran ini bertambah keruh selepas Napoleon I mendarat di Mesir pula. Dan kedua-dua maharaja empayar gemilang ini pernah bertemu untuk rampas India daripada British dan mewujudkan penguasan perkongsian antara satu sama lain – usaha ini tidak direalisasikan. Pada 24 Jun 1812, Napoleon I telah melaksanakan satu perkara yang British dapat menghela nafas lega: Perancis telah mencerobohi Rusia dalam peperangan yang mengundang padah kepada Perancis sendiri.

Dinasti yang hebat ini menempah kegagalan selepas bermulanya abad ke-20, semasa Perang Rusia-Jepun atas cita-cita imperialisme kedua-dua empayar ini keatas Manchuria dan Korea. Jepun mendominasi semua operasi yang dilaksanakan sehingga mereka menguasai Selatan Manchuria, menghalau Rusia ke utara. Akibat kekalahan ini, Tsar Nikolai II sangka baginda mampu mengembalikan maruah Rusia dengan menyertai Perang Dunia Pertama.

Percaturan baginda tersandung teruk. Rusia ditarik masuk peperangan berdasarkan kedangkalan yang sama seperti negara-negara lain: pertembungan imperialisme, nasionalisme beracun, keegoan ketenteraan, terlebih yakin akan pakatan, kekurangan diplomasi dan kepentingan rakyat yang diketepikan.

Apa yang benar-benar merupakan kesalahan besar Tsar Nikolai II, ekonomi membangun Rusia bergantung kepada pelaburan asing. Sektor perindustriannya tidak mampu bersaing dengan Jerman. Nikolai sangka hubungan kekeluargaan baginda bersama Maharaja Wilhem Jerman mampu mengelakkan konflik. Pada masa yang sama, Nikolai tidak menekankan fokus baginda keatas sentimen anti-kerajaan yang mula bercambah selepas pembunuhan ratusan pelombong di Sungai Lena pada 1912.

Sentimen ini semakin menjadi keruh kerana gaji rendah dan kenaikan kos sara hidup. 12,000 pekerja besi Putilov berkumpul dan ditembak. Kerajaan pula menafikan insiden tembakan itu, dan ini meledakkan demonstrasi pada 1914 yang menyekat pengeluaran industri dan komersial Saint Petersburg.

Kesemua ini terhenti seketika selepas peperangan bermula. Untuk membenci Jerman memang mudah, tetapi membenci raja adalah pengkhianatan yang besar. Selepas pengumuman peperangan, Nikolai dan permaisurinya disayangi pula, tetapi tidak lama – prestasi peperangan mula terjejas. Tentera-tentera Rusia tidak tersusun dan terurus, tanpa persenjataan yang lengkap. 100,000 rifel diperlukan setiap bulan, tetapi kilang-kilang Rusia hanya mampu mengeluarkan 42,000 sahaja.

Kekalahan di Tannenberg menunjukkan bahawa jeneral-jeneral Rusia tidak berkemampuan dalam kepimpinan peperangan. Mereka juga berpecah – seperti Jeneral Samsonov dan Jeneral von Rennekampf saling benci membenci antara satu sama lain tanpa ada sebarang komunikasi atau kerjasama yang mencukupi antara mereka berdua.

Rusia kehilangan 130,000 tentera di Tannenberg dan 170,000 lagi di Tasik Masuria. Kegagalan-kegagalan ini mengundang pengunduran pada Mei 1915, dimana dijangka seramai 800,000 tentera Rusia terkorban. Tsar Nikolai sendiri turun padang, walaupun dinasihati ketua-ketua tenteranya bahawa baginda kekurangan pengalaman dalam peperangan strategik, tetapi usaha beliau tidak membuahkan hasil.

Ketenteraan Rusia telah mengusung 15 juta lelaki Rusia ke peperangan, membuatkan Rusia ketandusan buruh kasar.

Penghasilan makanan menyusut teruk akibat petani-petani yang dipindahkan ke zon industri untuk menghasilkan senjata yang gagalan menepati keperluan. Sistem pengangkutan pun mendapat impak juga, menjejaskan perhubungan antara bandar Rusia. Yang paling teruk, percetakan wang kertas yang banyak dalam ekonomi Rusia telah meledakkan inflasi melebihi 400%.

Dengan kata mudah, harga barangan melonjak empat kali ganda.

Ekonomi Rusia hancur, pada masa kekayaan Nikolai mencecah AS$300bilion, nilai sekarang. Jenayah-jenayah kecil semakin meningkat, apabila rakyat yang kelaparan mencuri roti dan keperluan yang lain. Dan berkibarlah panji-panji merah dengan laungan, “TURUNKAN RAJA!”.

Berbeza dengan sebelumnya, kali ini, pihak berkuasa sendiri mula condong kepada gerakan revolusi. Satu demi satu rejimen mula memberontak, termasuk Rejimen Perobrazhensky yang merupakan induk tertua sejak zaman Tsar Pyotr I lagi. Bangunan-bangunan kerajaan mula dibakar. Dan pada malam itu, 60,000 tentera telah menyertai revolusi ini.

Tsar Nikolai II menurunkan dirinya daripada takhta selepas dituntut daripada rakyat sehingga jeneralnya sendiri. Penurunan ini dan revolusi Bolshevisme telah menghancurkan Dinasti Romanov yang telah berkuasa setelah sekian lama. Barisan liberal dan sosialis di Britain dan Perancis begitu gembira akan insiden ini, walaupun mereka dalam perikatan yang sama dengan Rusia dalam Perang Dunia Pertama.

Kerajaan sementara yang menguasai Rusia selepas penurunan ini telah membawa keluarga Romanov keluar daripada kepanasan revolusi. Tetapi nasib mereka bertukar malang selepas Vladimir Lenin mula meraih hati rakyat Rusia. Dan akhirnya arahan pembunuhan telah ditandatangani Pengerusi Sekretariat Parti Bolshevik.

Keluarga Romanov dikejutkan pada malam hari dan diberitahu mereka akan sekali lagi dipindah. Tetapi mereka dibawa ke sebuah kamar bawah tanah atas kepercayaan sedang menunggu lori pengangkut yang sedang datang. Kemudian skuad pembunuh pun masuk, mengelirukan bekas raja yang masih lagi belum percaya apa yang sedang berlaku.

Kesemua keluarga Romanov – Nikolai (50), Aleksandra (46), Olga (22), Tatiyana (21), Mariya (19), Anastasiya (17) dan Alexey (13) – dibunuh pada malam itu. Puteri-puteri Romanov itu ditikam dengan pisau selepas didapati berlian-berlian di baju mereka melindungi mereka daripada tembakan. Olga dan Alexey ditembak di kepala, Alexey ditembak dua kali.

Menurut Menteri Luar Negeri Soviet, pembunuhan ini dilakukan atas arahan Vladimir Lenin, dan sudah tentunya, kematian kesemua keluarga Romanov adalah satu keperluan untuk mengelakkan kebangkitan mereka dalam Perang Saudara Rusia yang sedang bermula.

--AFDS--

No comments:

Post a Comment