Hikayat Syeikh Abdullah al-Yamani dengan Raja Iblis merupakan karya kritik tasauf yang hebat.
Selain menjadi kritik sosial kepada tabiat manusia dan raja-raja pada zaman itu, seperti perebutan harta faraid, malas belajar, penipuan perniagaan, pergaduhan antara keluarga, cinta dunia, kemusnahan akibat peperangan yang merupakan adu domba iblis, dan kesyirikan menyembah berhala ia mengkritik juga perspektif keramat yang dianuti ramai muridin tarekat-tarekat tertentu.
Hikayat ini menimbulkan persoalan penipuan iblis dan anak cucunya dengan penyamaran sebagai rijalullah atau Nabi Khidir yang memberi ilham lengkap dengan jubah hijau dan berjanggut berambut putih walhal sebenarnya ia merupakan ilusi semata-mata tidak ubah seperti kisah iblis cuba menipu Syeikh Sayyidi Abdul Qadir al-Gaylani dengan merupakan diri sebagai cahaya ketuhanan. Tambahan daripada itu, dalam erti seorang salik fi sabilillah seseorang perlu mencontohi Syeikh Abdullah al-Yamani dalam mempelajari erti kebenaran dengan mengenal dan menghindari kejahatan dan itulah asasnya sebelum naik ke makam-makam muraqabah yang lebih tinggi.
Paling kritikal saya perhatikan adalah kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa di dalam al-Qur'an di sini disongsangkan menjadi kisah Iblis yang berperwatakan serupa mengembara dengan Syeikh Abdullah sebelum klimaksnya berlaku berlatarkan istana Kedah. Pengarang dengan bijak cuba memfokuskan segala persoalan sosial dan kesufian yang diceritakan di seluruh dunia itu tadi rupanya mempunyai signifikan dan sentraliti yang berakibat di Kedah.
Akhirnya perpisahan mereka berlaku akibat Syeikh Abdullah membantah tindakan Iblis mengencingi gelas arak Raja Phra Ong Mahawangsa seperti kisah Nabi Musa membantah tindakan Nabi Khidir membetulkan tembok yang melindungi harta warisan dua anak yatim. Hal ini justeru menarik kerana pengarang berdiplomasi dan memujuk massa tunduk dengan kritikan kerana posisi penting yang dimiliki Kedah dan rajanya sangat membutuhkan kepatuhan syariah lebih daripada negeri-negeri lain yang ada.
Pada pemerhatian saya hikayat yang disatukan dengan hikayat-hikayat lain dalam Hikayat Merong Mahawangsa ini harus berasal daripada suatu versi yang lebih elaborat kerana lazim ditemui pada sastera klasik Melayu sesetengah kisah seperti Hikayat Raja Suran dan Hikayat Mani Purindan disebut sendiri oleh penyunting seperti Tun Seri Lanang bahawa ia diringkaskan daripada karya asal untuk dimuatkan pada suatu naskhah karya yang baharu. Ia bermakna masih ada di mana-mana khasnya di Hindustan, Persia dan Tanah Arab versi aslinya yang lengkap sebelum disadur menjadi naskhah hikayat Melayu. Menurut Sejarah Melayu hikayat itu sendiri dihimpunkan dari ceraian-ceraian kisah yang dibawa kembali ke Johor pasca 1511 dari Goa.
Kisah ini bisa sahaja berdasarkan watak dan latar sebenar pada zaman itu lamun diberi pengolahan romantis menjadi hikayat untuk bacaan popular massa, sekurang-kurangnya boleh jadi merupakan metafora kerana sebahagian besar kandungan Hikayat Merong Mahawangsa itu jika dibuat kaji silang maka hampir kesemua fakta seperti nama tempat dan geografinya adalah benar dan kronologikal.
-TMII
No comments:
Post a Comment