Friday, 6 May 2016

PENERAJU KEUPAYAAN RUSIA DALAM ABAD KE-21: DMITRY MEDVEDEV – DARIPADA “SILOVIKI” KE “CIVILIKI”


Jika ditanya tentang kepimpinan Persekutuan Rusia, semestinya nama Vladimir Putin akan menenggelamkan bukan saja semua ahli-ahli politik Rusia, malah pemimpin-pemimpin terkemuka Kesatuan Soviet sendiri. Tidak boleh dinafikan bahawa beliau adalah individu berpengaruh di serata dunia, berstatuskan pemimpin paling berkuasa menurut majalah Time. Namun, bukan beliau saja yang berbakatkan kepimpian. Sergey Lavrov sentiasa panas di persada politik antarabangsa. Alexey Kudrin juga tidak boleh diketepikan, seorang bekas pemimpin bertanggungjawab dalam pembiayaan awal hutang luar negara Rusia.

Berkuasa di pucuk kepimpinan Rusia, Dmitry Medvedev jarang disebut di Malaysia dan tidaklah begitu menghairankan atas perbezaan landskap politik antara dua negara ini. Selaku Pengerusi Kerajaan (Perdana Menteri) Rusia, tugas beliau sekalipun dipengaruhi dasar-dasar ditetapkan Ketua Negara (Presiden), jasa-jasa beliau tidak boleh disisihkan seolah-olah beliau seorang boneka.

Kenaikan beliau ke persada tertinggi negara bermula menerusi kempen semasa Anatoly Sobchak memburu jawatan kerusi parlimen semasa Pilihanraya Legislatif 1989 Kesatuan Soviet yang pertama, juga terakhir. Seperti ramai ahli-ahli politik lain, Dmitry Medvedev pernah terlibat dengan Parti Komunis Kesatuan Soviet pada ketika empayar sosialisme tersebut menghampiri ajal. Anatoly Sobchak memenangi kerusi yang diburunya. Tidak banyak dapat dirungkaikan tentang individu ini; namun beliau adalah “kuala antara dua sungai besar”, yang bermula tiga tahun selepas kempen ini setelah beliau kembali ke Leningrad untuk jawatan Pengerusi Dewan Bandaraya.

Dmitry Medvedev diberikan tugas konsultan diketuai seorang lelaki yang dalam masa 10 tahun akan dibawa ke pentadbiran Presiden Boris Yeltsin, menjadi Pengerusi Kerajaan, mengetuai agensi perisikan FSB, dan pada Tahun Baru 2000 pemangku jawatan Presiden yang disahkan susulan kemenangan 53.4% dalam Pilihanraya Presiden 2000.

Ketika Vladimir Putin dikurniakan rezeki kenaikan pangkat yang mendadak, satu ancaman besar menanti karier politik serta nyawa beliau sendiri. Detik-detik ini sememangnya sangat perit buat Rusia. Keadaan ekonomi menjunam susulan kegagalan dasar-dasar pembaharuan Boris Yeltsin yang membuka jalan kepada korupsi besar-besaran. Jika di Malaysia digelar kroni, Rusia mempunyai terminology eksklusif kepada golongan korperat berkuasa – “oligarch”.

Kuasa kepimpinan Rusia dipegang ketat sebuah kumpulan penasihat yang secara popular digelar “Keluarga Kremlin”. Sebelum Vladimir Putin diangkat menjadi Pengerusi Kerajaan, keluarga ini panas memerangi Yevgeny Primakov yang sedang memburu jawatan Presiden. Pertempuran ini berlangsung selama dua tahun, dan Keluarga Kremlin memerlukan calon Presiden sesuai jika Boris Yeltsin perlu diganti.

Perlantikan Vladimir Putin di kerusi tinggi kerajaan sebenarnya dipengaruhi hubungan akrabnya bersama Keluarga Kremlin. Setelah memenangi jawatan Presiden, sebuah tanggungjawab besar diletakkan di bahu Vladimir Putin. Sebagai tanda terima kasih, ketua Keluarga Kremlin iaitu Boris Berezovsky diberikan ganjaran pembuangan negara. Disini Vladimir Putin memerlukan orang-orang rapat. Dan Dmitry Medvedev yang dikenalinya menerusi hubungan ketika Anatoly Sobchak cukup sesuai untuk diberikan portfolio Timbalan Pentadbiran Presiden Rusia.

Pada masa itu juga Dmitry Medvedev mendapat tanggungjawab pengerusi kepada syarikat minyak dan gas utama negara. Ia bukannya perlantikan kroni baru, kerana Dmitry Medvedev yang sudah membuktikan dirinya seorang ahli perniagaan kompeten berjaya menghentikan barah lari cukai di Gazprom. Hutang-hutang Gazprom distrukturkan semula dan produktiviti mula menjana.

Hasil usaha Dmitry Medvedev, Gazprom mengembangkan aset daripada AS$7.8bilion (2000) ke AS$300bilion (2008). Dmitry Medvedev turut terlibat dalam program yang menekankan pembaharuan dalam empat sektor utama: kesihatan, pendidikan, perumahan dan pertanian. Susulan kejayaan Program Projek-Projek Keutamaan Nasional inilah mula menghiasai Rusia walaupun diberikan bajet rendah. Pekerja-pekerja empat sektor ini menikmati durian runtuh yang stabil.

Tahun 2000 hingga 2008 adalah rezeki kepada Rusia, dan Dmitry Medvedev adalah sebahagiand aripadanya. Tetapi satu masalah mula membahang. Tempoh Vladimir Putin menghampiri kesudahan, dan Ketua Timbalan Pengerusi Kerajaan Dmitry Medvedev mula disasarkan media. Pada 10 Disember 2007, Vladimir Putin mengumumkan sokongan kepada Dmitry Medvedev. Sebuah kejutan besar melanda pihak yang skeptikal kepada kemampuan Dmitry Medvedev apabila Pilihanraya Presiden 2008 dimenanginya dengan majoriti sangat besar.

Kejayaan ini tidak datang daripada sokongan Vladimir Putin saja, tetapi itu adalah faktor pemandu utama yang tidak boleh dinafikan. Dmitry Medvedev bukan saja bijak dalam pengurusan, malah taktik politik juga. Beliau mengumumkan kenaikan bajet Program Empat Sektor buat tahun 2008. Dalam kempen demi dirinya, ciri-ciri idealisme baru mengalir daripada beliau yang mengancam pihak ketenteraan dalam kuasa kepimpinan. Hujah beliau adalah pemburuan kepada pembangunan dinamik tanpa revolusi. Langkah-langkah penting untuk mencapai impian ini dilakarkan, bermula dengan pengukuhan undang-undang dan program anti-korupsi.

Pengumuman penurunan cukai juga dalah tamparan hebat buat parti-parti pembangkang. Persekutuan Rusia sememangnya adalah negara cukai rendah pada masa kini pun. Tanda aras beliau dalam pemoden ekonomi berasaskan empat prinsip: institusi, infrastruktur, inovasi dan pelaburan.

Kejayaan Dmitry Medvedev dinafikan Barat sebagai “sandiwara” bahawa Vladimir Putin masih lagi pemimpin sebenar. Ada juga kagum dengan keputusan Vladimir Putin yang turun untuk memberikan platform kepada ahli politik lain pada ketika populariti diri masih di kemuncak. Perkara ini tidak pernah dilihat dalam politik Rusia sejak penubuhan Duma sewaktu zaman Empayar lagi. Seperti biasa, Rusia tidak kisah apa Barat mahu ungkapkan.

Dmitry Medvedev mengangkat sumpah pada 7 Mei 2008. Sehari kemudian, beliau menepati janjinya untuk melantik Vladimir Putin sebagai Pengerusi Kerajaan. Dibawah Presiden Dmitry Medvedev, nilai “kuasa sepakat” dapat dilihat. Dalam rombakan kabinet, satu hijrah dapat dilihat: perubahan daripada “siloviki” (ahli-ahli politik tentera) ke “civiliki” (ahli-ahli politik ilmuwan) yang selaras dengan empat prinsip beliau. Ramai golongan “civiliki” berasal daripada rangkaian Saint Petersburg.

Tetapi idealisme empat prinsip beliau tergendala susulan impak Kemelesetan Kewangan 2008 membaham ekonomi Rusia yang menjunam -7.8% (2009). Dmitry Medvedev mengorakkan langkah-langkah penyelamatan ekonomi seperti suntikan dana lebih daripada AS$40bilion dan pinjaman AS$50bilion kepada bank-bank bermasalah dan syarikat-syarikat merudum. Perbelanjaan tinggi ini menunjukkan kepakaran Dmitry Medvedev dalam pembendungan krisis. Ekonomi mula stabil dalam masa setahun.

Mungkin ada yang akan membandingkan beliau bersama Dr. Mahathir. Cuma perbandingan ini terlalu kompleks, kerana seketika krisis ini mengancam ekonomi Rusia, sebuah pergolakan besar di Georgia meledakkan peperangan yang akhirnya melibatkan Rusia. Georgia sudah lama mempunyai konflik bersama negeri-negeri Ossetia Selatan dan Abkhazia. Kedua-dua negeri ini disokong Rusia, dan Georgia memulakan serangan besar-besaran pada awal Ogos.

Ramai warganegara Rusia di Ossetia Selatan dibunuh, termasuk juga tentera-tentera keamanan Rusia sendiri. Serangan ini tidak disangka sesiapa, kerana Dmitry Medvedev sedang bercuti dan Vladimir Putin pula menghadiri majlis pembukaan Olimpik Beijing 2008 di China. Pengendali sementara pada ketika itu adalah Anatoly Serdyukov, selaku Menteri Pertahanan yang berkaliber. Perhubungan bersama Anatoly Serdyukov dipercayai adalah permulaan penglibatan Rusia dalam pergolakan ini.

Keesokan harinya, Dmitry Medvedev membuat pengumuman peperangan yang tidak dapat dielakkan, menjanjikan hukuman kepada pembunuh-pembunuh warga Rusia di Georgia. Rusia membalas serangan dan dalam masa lima hari, Georgia undur dari Ossetia Selatan dan Abkhazia yang disahkan dengan perjanjian antara pihak terlibat, juga disaksikan Perancis. Ketika peperangan ini, Vladimir Putin bergegas pulang dari Beijing untuk bertemu dengan pelarian-pelarian perang seketika Dmitry Medvedev mengorakan segala perkara yang patut untuk mengendalikan konflik secara efektif. Populariti Dmitry Medvedev memuncak susulan kejayaan ini.

Apabila dua dugaan ini diuruskan, Rusia kembalikan fokus kepada empat prinsip. Dmitry Medvedev mengenalpasti kelemahan utama ekonomi Rusia – terlalu mengharapkan sumber alam. Beliau memulakan usaha-usaha kearah ekonomi campuran berasaskan inovasi dan teknologi tinggi. Lima teknologi utama ditekankan, iaitu nuklear, maklumat, perubatan-farmaseutikal, angkasa-telekomunikasi dan tenaga. Dmitry Medvedev juga memulakan dasar-dasar penswastaan aset-aset yang tidak diperlukan kerajaan persekutuan dan negeri.

Sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk memandu kejayaan teknologi Rusia. Suruhanjaya ini menguruskan hampir semua jabatan-jabatan kerajaan. Syarikat-syarikat juga sentiasa dipantau Ketua Pendakwaraya Negara dan Ketua Direktori Audit.

Dmitry Medvedev juga menubuhkan struktur polis yang pertama dalam sejarah Rusia, sekaligus menghapuskan agensi “militsiya” (milita) yang diwarisi Rusia daripada Kesatuan Soviet. Gaji anggota polis dinaikkan untuk membasmi korupsi. Salah satu cara mudah digunakan Rusia untuk memerangi rasuah polis adalah pemasangan kamera dashboard dalam kereta. Sebarang urusan pihak polis pula mesti dibuat dalam bingkai rakaman. Video yang dirakam juga dapat digunakan sebagai bukti kemalangan dan penipuan insuran.

Korupsi adalah musuh utama Dmitry Medvedev.

“Saya akan menyebut satu hakikat mudah tetapi menyakitkan. (Pengamalan) korupsi sudah menjadi teruk di negara kita. Ia telah menjadi biasa dan sebahagian daripada hidup masyarakat Rusia.” – Dmitry Medvedev, September 2008.

Strategi beliau membabitkan denda tinggi dan hukuman keras terhadap pengamal-pengamal rasuah. Salah satu hukuman tersebut adalah pelucutan jawatan pihak berkuasa jika didapati terlibat dalam korupsi. Malah, tidak melaporkan korupsi juga dijadikan satu kesalahan. Meskipun kedudukan Rusia dalam CPI bertambah baik, Dmitry Medvedev berpendapat kerajaan gagal memerangi rasuah. Denda pula ditambah 100 kali ganda kepada jumlah rasuah, tetapi dihadkan secara maksimum pada AS$18juta.

Tempoh Dmitry Medvedev tamat pada 2012 apabila Pilihanraya tersebut menyaksikan kemenangan besar kepada Vladimir Putin. Susulan kemenangan Vladimir Putin, Dmitry Medvedev dilantik sebagai Pengerusi Kerajaan dan beliau menjadi Pengerusi Kerajaan pertama Rusia untuk menghadiri mesyuarat G-8 2012 selepas Vladimir Putin mengambil keputusan untuk tidak mewakili Rusia.

Usaha kearah idealisme beliau tidak dihentikan begitu saja. Dmitry Medvedev turut mengusahakan agar perokok di kawasan awam dihukum. Alkohol dinaikkan harga, dan hukuman diketatkan kepada pemandu mabuk.

-- AFDS --

No comments:

Post a Comment