Wednesday, 30 December 2015

MAJNUN

Ketika seorang Raja mendengar bagaimana Majnun telah didorong oleh rasa cintanya kepada Laila hingga meninggalkan segala-galanya dan merayau-rayau di padang pasir sebagai seorang lelaki yang mabuk cinta, dia telah memerintahkan hambanya supaya mencari dan membawa Majnun kepadanya.
Bila Majnun telah sampai di istana dan berdiri di hadapannya, beliau terus bertanya apakah yang telah menghancur-luluhkan jiwanya hingga memilih dan hidup seperti gelandangan.

Majnun menjawab: "Ramai kawan-kawan rapat saya, menyalahkan saya kerana mencintai dia, tetapi jika mereka melihatnya, sudah tentu mereka akan faham. Ohh! Laila, cinta hati saya, pesona jiwa saya, biarkan wajahmu bersinar sekali pada mereka yang memarahi saya dan biarkan terlepasnya lemon di tangan mereka dan tanpa sedar menghiris jari serta luka berdarah bila melihat kecantikanmu!"

Ianya telah menarik hati Raja dan diperintahkan Laila untuk dibawa kepadanya. Hamba-hambanya menggeledah perkhemahan beberapa buah kafilah Arab sehingga mereka menjumpainya dan di bawa ke hadapan Raja.

Raja memandang wanita itu beberapa ketika lalu memeriksa fizikal luarannya dengan teliti, namun tidak kira dari sudut mana dia memandangnya, apa yang dilihatnya adalah satu kehodohan malah menjadi lebih jelik dan hina dimatanya. Raja mula berkerut dahi dan berfikir bagaimana mungkin Majnun sangat memujanya. Bahkan dayangnya yang paling biasa pun adalah lebih cantik berbanding wanita ini.

Dari raut wajah Raja itu, Majnun dapat meneka apa yang difikirkan olehnya dan berkata, "Untuk melihat kecantikan Laila dan mendedahkan rahsianya kepada mereka yang boleh melihatnya, anda perlu melihat melalui mata saya!"

-ARAZ-

No comments:

Post a Comment