MAT KiLAU sempat melaungkan Kalimah Keramat...
"MERDEKA!!!"
"MERDEKA!!!"
"MERDEKA!!!"
KUANTAN: Daripada ramai pahlawan Melayu Pahang yang bangkit menentang penjajahan Inggeris pada 1880-an, hanya seorang daripada mereka yang sempat menyaksikan sendiri detik kemerdekaan negara.
Dia ialah Mat Kilau, anak kepada pembesar Imam Perang Rasu (Tok Gajah), yang bangkit menentang kedatangan Inggeris ke Pahang pada sekitar 1880-an dan 1890-an.
Lebih daripada itu, Mat Kilau juga berpeluang melaungkan ungkapan keramat "Merdeka!" pada 31 Ogos 1957, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh rakan-rakan perjuangan seangkatan dengannya seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah, Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Janggut atau yang lebih awal seperti Datuk Maharaja Lela dan Dol Said.
Namun, pada hari berkenaan tiada seorangpun daripada puluhan ribu manusia yang berkumpul di Padang Masjid Negeri di Kuantan mengetahui bahawa orang tua yang dianggarkan berusia lebih 100 tahun di kalangan mereka adalah Mat Kilau.
Ini kerana pahlawan Melayu yang digeruni pada satu ketika dahulu menghilangkan diri selama lebih separuh abad selepas pihak British memburunya dan mendakwa beliau menderhaka terhadap sultan.
Nama Mat Kilau dan Datuk Bahaman terukir dalam sejarah negara kerana mereka mengetuai Perang Lubuk Terua di mana mereka menyerang sebuah pos polis menyebabkan dua anggota polis British terbunuh.
Pada peringkat awal, Mat kilau dan rakan seperjuangannya seperti Datuk Bahaman, Mat Kelubi, Awang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid dan Mat Lela berjaya mencabar British sehinggakan mereka berjaya menguasai Temerloh.
Bagaimanapun, dengan kekuatan tentera dan polis tambahan serta tipu helah kononnya pejuang-pejuang itu sebenarnya menderhaka sultan, British berjaya memperdaya rakyat supaya tidak lagi menyertai kumpulan itu.
Ini sekali gus menghakis kekuatan kumpulan itu yang pada satu ketika meningkat sehingga ke 600 orang.
Lari ke Terengganu.
Mat Kilau dan kumpulannya terpaksa melarikan diri ke Terengganu dan Kelantan dan akhirnya menjadi orang buruan Inggeris secara berterusan.
Tok Gajah yang juga menentang penjajah meninggal dunia di Hulu Terengganu, manakala Datuk Bahaman dan beberapa pengikutnya menyerah diri kepada kerajaan Siam.
Apa terjadi kepada Mat Kilau ketika itu terus menjadi misteri tetapi yang pastinya sepanjang hidup sebagai pelarian beliau terpaksa menempuhi seribu satu macam penderitaan, berpindah-randah dan hidup menggunakan nama samaran seperti Mat Dahan, Mat Dadu dan Mat Siam.
Akhirnya beliau kembali ke Pahang dan menetap di Kampung Batu 5, Gambang, Kuantan, dengan nama Mohamed bin Ibrahim @ Mat Siam.
Identiti sebenar Mat Kilau hanya diketahui umum apabila beliau sendiri membuat pengakuan terbuka selepas sembahayang Jumaat di masjid Pulau Tawar, Jerantut pada 26 Dis 1969.
Selepas siasatan dan penyelidikan berbulan-bulan, kerajaan negeri Pahang akhirnya mengesahkan identiti itu.
Malangnya 10 hari selepas pengesahan itu, Mat Kilau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 di kediamannya di Kampung Batu 5. Beliau dikatakan meninggal dunia pada usia hampir 122 tahun berdasarkan maklumat bahawa beliau dilahirkan pada 1847.
Jenazahnya dikebumikan dengan penuh penghormatan seorang pahlawan di bumi kelahirannya di Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut.
Anak angkat beliau yang kemudian menjadi menantunya, Abu Bakar Awang, 80, berkata sebelum mengisytiharkan dirinya yang sebenar, Mat Kilau sentiasa berdalih setiap kali ditanya tentang asal-usul dirinya -- mungkin kerana khuatir beliau belum lagi diampunkan oleh sultan.
Semasa kebangkitan itu, Pahang berada di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muazam Shah.
Ambil masa lebih 12 tahun.
"Beliau juga mengambil masa hampir 12 tahun selepas merdeka sebelum tampil mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau kerana khuatir sultan belum mengampunkan dirinya yang dianggap sebagai penderhaka," katanya.
Salah seorang anak Mat Kilau, Aminah, 80, yang ditemui di rumahnya di Kampung Batu 5, mengesahkan bahawa sebelum perisytiharan tentang identitiya, beliau dan anak-anak lain tidak pernah menyangka bahawa manusia yang bergelar Mat Siam itu adalah pahlawan yang digeruni Inggeris.
Aminah adalah antara empat daripada lima orang anak Mat Kilau yang masih hidup dan tinggal di sekitar Kuantan. Yang lain ialah Sabariah, Abdul Rahman, Salamah dan Razali, manakala anak bongsunya, Zaleha, yang berkahwin dengan Abu Bakar meninggal dunia pada 1978.
Meneruskan ceritanya, Abu Bakar berkata beliau adalah antara orang yang paling gembira apabila mengingat kembali keghairahan luar biasa Mat Kilau menunggu saat-saat perisytiharan kemerdekaan.
"Hari itu (31 Ogos 1957) awal-awal pagi lagi dia sudah bangun dan lepas sembahyang subuh dia terus bersiap untuk ke bandar Kuantan apabila mendapat tahu upacara sambutan juga akan diadakan di peringkat negeri, selain daripada Stadium Merdeka di Kuala Lumpur.
"Saya agak hairan melihat dia beria-ia benar hendak ke Padang Masjid Negeri. Walaupun sudah berusia lebih 100 tahun, saya lihat dia begitu bersemangat sekali untuk turut menyambut hari bersejarah itu," katanya.
Guru seni silat.
Abu Bakar yang kini menjadi guru utama Seni Silat Tapak Setia Suci, seni yang diwarisi daripada bapa mertuanya itu, berkata beliau masih ingat pada hari berkenaan Mat Kilau memakai kemeja-T leher bulat warna putih, kot warna kelabu, berseluar panjang dan bersamping serta lengkap berkasut, manakala kepalanya pula berlilit kain cindai.
"Saya sendiri tidak tahu di mana beliau perolehi semua itu dan apakah maksud tersirat di sebalik melilit kain cindai di kepala," katanya.
Menurut tradisi, kain cindai iaitu sejenis kain sutera nipis untuk lilitan kepala atau bengkung yang digunakan oleh pahlawan-pahlawan Melayu ketika turun ke gelanggang untuk berhadapan dengan musuh.
Meneruskan ceritanya tentang detik-detik pagi keramat itu, Abu Bakar berkata gelagat bapa mertuanya yang ternyata amat bersemangat itu menyebabkan isteri Mat Kilau, Ajrah Bakar menganggapnya sebagai "buang tabiat".
Selesai bersiap-siap, Abu Bakar dan Mat Kilau keluar rumah dan sama-sama menunggu bas percuma yang disediakan pihak berkuasa sempena sambutan itu.
Walaupun bas berkenaan penuh sesak hingga memaksa ramai yang berdiri dan berhimpit-himpit, Mat Kilau tetap nekad dan seolah-olah tidak sabar untuk ke padang berkenaan.
"Bila sampai di padang kami sama-sama menunggu detik laungan Merdeka. Sempat juga tengok orang berarak... kereta berhias pun ada dan dia (Mat Kilau) hari itu kelihatan cukup seronok," katanya.
Apabila laungan merdeka kedengaran, Mat Kilau turut serta melaungkan merdeka.
Cuba beri bayangan.
Malah ketika berada di padang itu, Mat Kilau ada cuba memberi bayangan kepada Abu Bakar tentang siapa dirinya sebenar dengan berkata: "Tengok, siapa sangka aku juga sempat melihat (negara) merdeka".
Abu Bakar yang tinggal bersama Mat Kilau sejak berusia 18 tahun berkata walaupun tidak berupaya untuk pergi ke Stadium Merdeka di mana perisytiharan kemerdekaan peringkat kebangsaan diadakan, bapa mertuanya tetap berpuas hati kerana dapat turut melaungkan "Merdeka!" di padang Kuantan itu.
Bagi Abu Bakar, laungan itu adalah manifestasi sebenar kegembiraan seorang pahlawan yang terpaksa menjalani liku-liku kehidupan penuh keperitan semata-mata kerana bangkit mempertahankan maruah bangsa dan agama serta kedaulatan tanahairnya.
Beliau juga berharap agar sesetengah teks sejarah disemak atau ditulis semula kerana masih ada kalangan yang terus menganggap Mat Kilau sebagai seorang penderhaka raja.
"Pihak Inggeris yang melabelkan Mat Kilau serta rakan-rakannya termasuk Datuk Bahaman sebagai pemberontak dan penderhaka, semata-mata untuk mengabui mata rakyat agar perjuangan mereka ketika itu tidak mendapat sokongan," kata Abu Bakar yang juga Ketua Kampung Batu 5.
Cucu Mat Kilau, Alhamadi Abu Bakar, 40, berkata datuknya tidak meninggalkan apa-apa harta pusaka kecuali semangat perjuangan dan keberanian untuk diwarisi generasi sekarang dan akan datang agar negara tidak kembali dijajah. BERNAMA
Peringatan!
Bukan hanya Mat Kilau sahaja yang membuka tubuh yang baru. Oleh itu, hormatilah setiap warga Tua di sekeliling kita kerana engkau tidak tahu siapakah individu sebenar yang berselindung di sebalik penzahiran mereka.
Hargailah Perjuangan Mereka!
Peliharalah KeMERDEKAan Negara Kita.
RAHMAT ALLAH BUAT KiTA SEMUA.
Al-Fatihah...
No comments:
Post a Comment