Tuesday, 22 December 2015

SIAPAKAH RAJA SIAM "PADUKA BUBUNYA"?

Menjadi keinginan buat saya untuk merungkai asal-usul gelaran raja Siam yang digelar di dalam kitab Sejarah Melayu sebagai "Paduka Bubunya". Pada mulanya pencarian sekitar kerajaan Ayutthaya dan Ligor tidak membuahkan hasil dan saya berfikiran gelaran tersebut mungkin berasal daripada kesilapan penyalin manuskrip yang menulis "Bubunya" daripada "Burumma" yakni nama raja Ayutthaya yang masyhur sekitar abad ke-15 masihi, Borommaracha.

Tapi pagi ini bangkit dari lena saya terfikir yang salah faham mungkin berlaku akibat kompleks penggunaan istilah Siam itu sendiri dan pada hakikat bahawa perebutan gelaran-gelaran tertentu seperti 'chakravarti' yang memberikan status raja universal menyebabkan ia muncul di beberapa tempat, figura atau zaman berbeza tapi dianggap sama.

Saya mengambil strategi berundur kembali sejauh Ligor dan memaklumi kembali yang nama Siam itu sendiri selain digunakan terhadap Ayutthaya lebih patut ditala kepada incumbent 'chakravartin' lagi absah pada zaman itu yakni Angkor.

Kemboja.

Ayutthaya tidak meraih status keunggulan itu sehinggalah mereka secara total menundukkan Kemboja pada abad ke-17 masihi. Peperangan antara kedua-dua kerajaan itu masih diteruskan oleh waris-warisnya walaupun ibu negara Angkor dihancurkan pada 1350 dan pentadbiran dipindahkan ke Longvek, Basan, Oudong sebelum berakhir pada era rejim Phnom Penh yang terpaksa mengakuri Ayutthaya.

Kekurangan Ayutthaya ini amat memeranjatkan jika disusuli dengan kajian mengenai geneologi raja-raja di Kemboja dalam perluasan konsep yang ia juga adalah Siam. Di sana kita akan menjumpai kognat yang sangat hampir dengan "Paduka Bubunya" dan secara jelas digunakan di dalam istana Angkor periode penghabisan dan Kemboja pasca-Angkor dari 1350an sehingga tahun 1650-an!

"Phya Banya"
"Cau Banya"

Variasi vernakular juga menyebutnya sebagai 'Samdach Phya Ponhea'

Melayu mendengar dan menyebutnya sebagai Ba Banya atau Bo Bonya meskipun saya masih belum meneliti bentuk sebenar ia dalam versi skrip jawi.

Nama peribadi raja seperti Narayanaraja, Srirajadhiraja atau Paramaraja tidak disebut bahkan nama gemulah raja-raja diberi nama khas seperti Nirvanapada ibarat ganti nama "marhum" dalam tradisi Melayu era Islam. Selepas zaman penjajahan Ayutthaya gelaran 'Banya' ini hilang dan hanya dikekalkan tradisi menggelar dengan 'Ang' yang saya percaya adalah pangkat bangsawan Kemboja yang lebih rendah.

Dalam konteks sumber-sumber kita yang relevan, menyelak kembali Sejarah Melayu dan latar Kesultanan Melayu Melakanya kita dapat memerhatikan beberapa perkara kecil yang amat penting tetapi kita terlepas pandang sebagai klu dalam menjustifikasi kedudukan Kemboja dalam permasalahan ini.

Misalannya, pada bab abad ke-13 masihi menceritakan perihal raja Siam menculik Raja Pasai dan latarnya ditetapkan di "Syahrun Nuwi" yang sudah pasti merujuk kepada kota Ayutthaya dan ganti nama reverensi pada waktu itu menggunakan "ya tuanku" untuk merujuk kepada raja Siam dan penyebutan berulang-ulang kali ini dibezakan dengan riwayat pada bab abad ke-15 masihi yang menyeru raja Siam dengan ganti nama "Paduka Bubunya".

Dua 'Siam' yang berbeza!

Kemungkinan bahawa Ayutthaya menggunakan gelaran tersebut mungkin ada kerana ia mempunyai benang-benang kekerabatan dengan Kemboja-Ligor tetapi setakat ini tidak ada rekod menyokong kewujudan gelaran tersebut di Ayutthaya. Jika wujud saya ada beberapa teori mengapa pertindihan tersebut berlaku.

Teori Kemboja ini dapat disokong juga melalui sejarah "Peperangan Melaka-Dai Viet 1483" yang menurut catatan China berlaku di Lanxang(Laos). Dalam Sejarah Melayu, ia bertepatan dengan kisah Paduka Bubunya meminta orang Melaka berperang ke belahan sempadan timur Siam. Peristiwa ini berlaku pada zaman Sultan Mansur Syah mengirim Tun Telanai dan Menteri Jana Putera ke Siam. Saya tak mahu cerita lanjut bab ini, bacaan lanjut yang lengkap dan tuntas boleh dibaca di ATBM http://riwayatmelayu.blogspot.my/…/perang-melaka-dai-viet-1…

Cuma mengulas sedikit artikel tersebut saya berpendapat yang kedatangan Melaka pada waktu itu ke Lanxang selain melalui Ayutthaya dan Lanna lebih tepat sekiranya diletakkan melalui peranan Kemboja yang masih mempunyai pengaruh ke atas Khorat dan Champassak.

Berikut disertakan misalan raja-raja Kemboja menggunakan gelaran 'Banya' dengan peristiwa penting yang berlaku dalam masa pemerintahan mereka:

(1405) Suriyavamsa, Cau Banya Ram.

(1418-1432) Paramasokaraja, Cau Banya Kalamegha

(1445-1481) Paramaraja, Cau Banya Yat - Turun takhta awal diberikan kepada tiga orang anak secara bergilir.

(1481-1485) Narayanaraja - Anak pertama Banya Yat.

(1504-1512) Sri Sughandapada

(1516-1566) - Paramaraja, Cau Banya Cand

(1594-1596) - Rama, Cau Banya Ong

(1596-1597) - Rama, Cau Banya Nur

(1598-1599) Paramaraja, Cau Banya Tan - Memerintah beberapa bulan sebelum dibunuh oleh orang-orang Melayu pada 1599, yang bermaharajalela setelah berjaya menghapuskan askar-askar Sepanyol di Phnom Penh.

(1599) Paramaraja, Cau Banya An

(1600-1602) Keo Hua, Cau Bana Nom

(1627-1632) Sri Dhammaraja, Cau Bana Tu

(1632-1640) Ang Dan, Cau Bana Nur

(1642-1658) Ramadhipati, Satha Cau Bana Cand

Selepas ini setakat pemerhatian saya tidak muncul lagi gelaran "Cau Banya"

Serta, jika diperhatikan kerangka masa kisah Perang Melaka-Dai Viet itu berlaku dalam masa pemerintahan Cau Banya Yat dan tiga anak-anaknya termasuk yang dikira sebagai raja-raja perkasa terakhir Kemboja yang selama beberapa dekad berjaya menyekat kemaraan Siam dan merampas kembali wilayah Chantaburi, Khorat dan Angkor. Ketika zaman Sultan Mahmud Syah dan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pula berlaku pada zaman Srisughandapada.

Allahua'lam.

~ The Prince of Gunong & Siamese Sea

Gambar: Longveck ibu negara Kemboja dari 1431 sehingga 1618 sebelum dipindahkan ke Oudoung pasca serangan Raja Naresuan pada 1593. (https://en.wikipedia.org/wiki/Longvek…)

Referensi

- G. Coedes(2015), The Making of South East Asia, translated version, New York, Routledge.
-I. Mladjov(2015), Cambodian Rulers, irst version, accessed via https://sites.google.com/a/umich.edu/imladjov/chronologies
- A. Samad Ahmad(2003), Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, edisi pelajar, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pustaka
-Srikandi(2015), Perang Melaka-Dai Viet 1483, www.riwayatmelayu.blogspot.my, accessed via http://riwayatmelayu.blogspot.my/…/perang-melaka-dai-viet-1…

No comments:

Post a Comment