KATA-KATA HIKMAH GENGHIS KHAN
Suatu pagi, Genghis Khan dan para pengiringnya keluar berburu. Pengiringnya membawa busur dan anak panah, tetapi Genghis Khan lebih suka membawa burung helang kesukaannya di lengan kerana ia lebih baik dan tepat berbanding mana-mana anak panah. Ia boleh terbang ke langit dan melihat segala-galanya yang mana manusia tidak mampu lakukan. Pada awalnya mereka bersemangat dalam memburu, tetapi kecewa, tiada hasil buruan yang diperolehi. Genghis Khan kembali ke khemah dan supaya rasa kecewanya tidak dilepaskan kepada para pengiringnya dia meninggalkan mereka dan menunggang bersendirian.
Mereka telah tinggal di dalam hutan untuk waktu yang lebih lama daripada yang dijangkakan, dan Genghis Khan merasa sangat letih dan dahaga. Musim kala itu adalah musim panas dan semua aliran anak sungai telah kering, dan dia tidak menjumpai apa-apa untuk diminum lalu berehat sebentar. Tanpa diduga, dia terlihat aliran air yang perlahan dari bukit berbatu dihadapannya dan terus dialihkan helang dari lengannya, lalu mengeluarkan cawan perak yang sentiasa dibawanya. Air itu mengalir sangat perlahan untuk mengisi secawan penuh dan baru saja cawan hendak sampai ke bibirnya, helang itu terbang ke arahnya lalu meregut cawan dari tangannya dan melemparkan ke tanah.
Genghis Khan sangat marah, tetapi helang itu adalah kesayangannya dan mungkin ia juga kehausan. Dia mengambil semula cawan, dibersihkan dari kotoran dan diisi semula. Apabila cawan itu separuh penuh, helang itu menyerangnya dan menumpahkan semula air. Walaupun Genghis Khan memuja burung ini, tetapi dia juga tahu bahawa dia tidak boleh, dalam apa jua keadaan, membenarkan sikap rasa tidak hormat seperti itu. Mungkin seseorang akan terlihat kejadian itu dari jauh dan menghebahkan kepada para parajuritnya bahwa sang penakluk yang hebat dan gagah perkasa ini tidak mampu menjinakkan seekor burung.
Kali ini, dia menghunuskan pedangnya, cawan ditadah semula sambil memerhatikan gelagat helangnya. Sebaik saja cawannya penuh dan bersedia untuk di minum, helangnya dengan laju terus terbang ke arahnya. Genghis Khan, dengan satu rodokan terus menusuk ke dada helangnya.
Aliran air tadi, bagaimanapun, telah kering. Genghis Khan, tiada pilihan dan disebabkan rasa dahaga, dia memanjat bukit itu dalam usahanya mencari sumber mata air tersebut dan alangkah terkejutnya dia kerana memang terdapat kolam air di atas bukit itu, malangnya ada seekor ular paling berbisa di rantau itu mati di tengah kolam. Jika tadi dia minum air itu, dia pasti akan mati keracunan.
Dia kembali semula ke khemah dengan bangkai burung helang ditangannya. Dia mengarahkan supaya diukirkan patung helang dari emas dan pada salah satu sayap, terukir:
'Walaupun sahabatmu melakukan sesuatu yang tidak kau suka, dia masih terus menjadi sahabatmu.'
Dan di sebelah lagi sayap, terukir:
'Apapun tindakan yang kau lakukan dalam kemarahan, ianya menuju kebinasaan.'
-Abdul Rahman Abdul Aziz-
No comments:
Post a Comment