Ingat tidak filem ‘The Last Samurai’ yang ada lakonan Tom Cruise dan Ken Watanabe? Tahukah anda watak Katsumoto yang dilakon oleh Ken Watanabe di dalam filem tersebut sebenarnya merujuk kepada samurai terakhir Satsuma iaitu Saigo Takamori?
Admin sebenarnya suka filem tersebut kerana memaparkan budaya Jepun yang cantik dan unik walaupun terdapat beberapa kesalahan fakta sejarah di dalamnya.
Saigō Takamori, atau nama sebenarnya Kichibē, atau Kichinosuke, (dan juga dikenali sebagai Nanshū) lahir pada 23 January 1828, Kagoshima, Kyushu, Jepun. Beliau merupakan anak yang sulung dan mempunyai 7 orang adik beradik. Saigo Takamori merupakan seorang panglima perang dan merupakan seorang samurai. Beliau dikatakan sebagai ‘The Last True Samurai’.
Keluarga Saigo dikatakan berkhidmat sebagai Samurai Jokashi (Samurai yang mahir) tetapi hidup bersederhana. Akibat kehidupan bersederhana mereka, mereka diberi gelaran Goshi ( Samurai pedalaman) . Goshi juga diberi kepada Samurai yang hidup sebagai separuh samurai dan separuh lagi sebagai petani.
Keluarga Saigo Takamori dikatakan hidup dalam serba kemiskinan. Walaupun mereka dibayar gaji oleh Daimyo, gaji tersebut masih tidak cukup untuk membayar hutang mereka.
Pada era lewat Edo, status, pangkat dan darjat amat bermakna kepada keluarga-keluarga samurai. Lebih tinggi pangkat seseorang samurai itu, lebih kaya kehidupan mereka, dan mereka akan menjadi kegemaran Daimyo. Menurut sejarah, jikakalau seseorang rakyat yang tidak tunduk hormat semasa samurai berlalu, samurai tersebut mempunyai hak untuk memenggal kepala rakyat tersebut. Adakah samurai tersebut akan dikenakan hukuman kerana tindakannya? Jawapannya tidak. Sebab itulah pangkat pada era Edo amat penting bagi seorang samurai.
Semasa kehidupan awal Saigo, beliau sering dicaci dan dihina oleh Samurai yang mempunyai pangkat yang lebih tinggi daripadanya. Keluarganya juga dihina kerana hidup dalam kemiskinan. Walaupun dicaci, dihina dan dibuli, Saigo mengendahkan cacian tersebut, dia tetap sabar dan meneruskan kehidupannya.
Selepas mendapat pangkat sebagai pegawai daerah pada umur 26 tahun, beliau diarah untuk pergi ke Edo (sekarang Tokyo) untuk membantu Daimyo Satsuma, Shimazu Nariakira dalam gerakan Kobu gattai.
Kobu Gattai merupakan satu polisi di mana Shogun dan pihak Imperial Jepun berbincang untuk mencapai titik persamaan untuk jenis tindakan yang perlu diambil semasa dalam keadaan krisis. Hal ini sedemikian kerana, pada 8 Julai 1853 seorang laksamana United States yang bernama Commodore Matthew C. Perry telah mengancam Jepun dengan membawa masuk empat kapal wap perang di mulut pelabuhan Edo.
Objektif utama Commodore Matthew C. Perry pada masa itu adalah untuk memaksa Jepun membuka pelabuhan mereka bagi menjalankan perdagangan dengan negara Barat. Menurut sejarah, Commodore Matthew C.Perry telah mengancam Shogun dan mengatakan bahawa jika pelabuhan Jepun tidak dibuka kepada negara Barat, kapal wap perang US akan membedil pelabuhan Edo.
Selain daripada itu, Commodore Matthew C. Perry telah mengarah kapal-kapal perangnya untuk membidik meriam mereka ke arah bandar Uruga berdekatan teluk Edo. Dia juga telah mengarahkan kapal-kapal perangnya untuk melepaskan 73 tembakan kosong, dengan alasan bahawa ianya untuk meraikan Hari Kemerdekaan USA.
Kerajaan Jepun pada masa itu mempunyai pelbagai masalah yang sedang berlaku di dalam pentadbiran mereka. Pada masa itu, Shogun Tokugawa Leyoshi tenat dan tidak tahu tindakan apa yang perlu dibuat.
Pada 14 Julai, pegawai-pegawai tertinggi Shogun atas arahan Shogun membenarkan Commodore Matthew untuk mendarat di Kurihama (sekarang Yokosuka). Surat Presiden Fillmore yang dibawa oleh Commodore Matthew diberi kepada pegawai tertinggi Shogun. Setelah selesai menghantar surat Presiden Fillmore yang mengandungi tuntutan US, Commodore Matthew bertolak bersama armadanya ke China pada 17 Julai dan mengatakan kepada pegawai-pegawai Jepun tadi bahawa dia akan kembali untuk mendapatkan jawapan daripada Shogun.
Abe Masahiro mengumpulkan semua Daimyo dari seluruh pelusuk Jepun untuk mencari jawapan untuk krisis ini. Satu perbahasan yang hangat berlaku di kalangan para Daimyo di dalam Istana Shogun. Kebanyakan Daimyo Jepun di dalam Kobbu Gattai buntu dan tidak tahu tindakan apa yang perlu dibuat. Shogun Tokugawa leyoshi telah meninggal dunia beberapa hari selepas Commodore Matthew meninggalkan Jepun.
Keadaan menjadi lebih runsing apabila para Daimyo dan Tairo Ii Nosuke bergaduh dalam siapa seterusnya yang akan menjadi Shogun. Ii Nosuke dan beberapa orang lain mahu Tokugawa Iemochi yang hanya 12 tahun untuk menjadi Shogun. Mengapa mereka mahu memilih Tokugawa Iemochi yang sangat muda menjadi Shogun? Rupa-rupanya li Nosuke dan beberapa orang Daimyo lain ingin mengawal pentadbiran politik Jepun dengan menjadikan Tokugawa Iemochi sebagai boneka untuk mendapatkan kuasa.
Tairo li Nosuke juga dikatakan menandatangani perjanjian “Perjanjian Harris 1858” dengan seorang ahli politik US bernama Townsend Harris. Perjanjian tersebut membolehkan kerajaan US dan negara-negara Barat lain untuk berdagang di Jepun. Namun ia hanya boleh dijalankan jika Ii Nosuke berjaya melantik Tokugawa Iemochi sebagai Shogun.
Daimyo yang taat kepada klan Hitotsubashi yang diketuai oleh Tokugawa Nariaki, Daimyo Mito tidak bersetuju dengan li Nosuke dan menyatakan bahawa Tokugawa lemochi tidak sesuai dan tidak berpengalaman untuk menjadi seorang Shogun.
Untuk mengakhiri pergaduhan pewarisan Shogun. Ii Nosuke memberi alasan bahawa isu pewarisan Shogun tidak perlu dirisaukan oleh para Daimyo dan Maharaja. Beliau berkata lagi hanya keluarga Tokugawa shaja yang boleh melantik Shogun seterusnya. Ii Nosuke sebenarnya merupakan seorang ahli kaunsel keluarga Tokugawa dan penasihat yang paling terdekat. Pengaruhnya yang kuat telah mengakibatkan keluarga Tokugawa untuk bersetuju dengan Ii Nosuke. Lalu Tokugawa Iemochi telah menjadi Shogun.
Selepas perlantikan Shogun yang baharu, Kobbu Gatai diteruskan. Mereka berbincang tentang tindakan apa yang wajar dilakukan sekiranya armada US kembali ke Jepun.
Dikatakan hanya 61 Daimyo sahaja yang memberi jawapan.
19 Daimyo bersetuju untuk mengikut tuntutan US, 19 Daimyo menentang tuntutan tersebut, 14 Daimyo tidak bersetuju dengan mana-mana dan lebih risau jikakalau peperangan akan meletus jika Jepun tidak menerima tuntutan US, 7 Daimyo lagi tidak pasti jawapan apa yang perlu diberi dan mengatakan bahawa mereka akan mengikut pendapat majoriti.
Shimazu Nariakira mencadangkan bahawa semua negeri/wilayah Jepun perlu menguatkan pertahanan sekiranya armada US kembali dengan tujuan untuk berperang.Semua Daimyo telah bersetuju dan membina dan menguatkan lagi kubu-kubu pertahanan di sepanjang persisiran pantai Jepun.
Pada 13 Februari 1854, Commodore Matthew kembali dengan 10 buah kapal perang dan 1600 askar tentera laut. Disebabkan kapal-kapal perang US kali ini lebih besar, lebin moden dan lebih ramai, Shogun Tokugawa Iemochi berasa risau dengan kedatangan armada laut US dan menghantar satu utusan kepada Commodore Matthew untuk memberitahu bahawa baginda bersetuju dengan tuntutan US.
Keputusan Shogun Tokugawa lemochi mendapat tentangan daripada beberapa Daimyo, pihak Imperial Jepun (Maharaja) dan Saigo Takamori.
Beberapa Daimyo telah pergi berjumpa dengan Maharaja Jepun dan merayu pada baginda untuk melucutkan jawatan Ii Nosuke. Namun begitu, disebabkan Ii Nosuke telah menjadikan Shogun sebagai boneka dia, Ii Nosuke mendapat hak istimewa oleh Shogun. Setelah Ii Nosuke mendapat tahu terdapat Daimyo yang menentang dia, beliau telah melaksanakan kempen Ansei.
Kempen Ansei telah memaksa Daimyo yang taat kepada klan Hitotsubashi untuk bersara. Terdapat juga Daimyo yang telah dipenjarakan dan ada juga dibunuh dengan kejam.
Saigo telah melarikan diri ke Satsuma dan beliau cuba membunuh diri dengan melemaskan diri. Namun begitu beliau telah diselamatkan dan dibuang ke Pulau Amami Oshima dari 1859 sehingga 1864.
Pada 24 Mac 1860, Ii Nosuke telah dibunuh oleh 17 orang Samurai dari wilayah Mito. Setahun selepas kematian Ii Nosuke, Saigo dipanggil semula ke Kagoshima oleh adik Nariakira, Hisamitsu dan juga Tadayoshi.
Hisamitsu dan Tadayoshi telah merancang untuk memimpin sebuah angkatan tentera Satsuma yang besar ke Kyoto dan Edo untuk menjatuhkan pentadbiran Shogun dan mengangkat Maharaja sebagai pemimpin Jepun yang sebenar.
Maaf jika terlalu panjang, admin terpaksa pendekkan kerana takut kalau pembaca menjadi bosan. Jadi perjuangan Saigo Takamori akan diteruskan pada Bab 2! Nantikannya di The Patriots!
Harap maaf jika ada kesalahan tatabahasa!
Ditulis oleh: -OF-
No comments:
Post a Comment