Friday, 1 January 2016

SARAWAK BUMI KENYALANG YANG KITA WARISI

Sarawak Bumi Kenyalang yang kita warisi sekarang adalah sebuah wilayah yang cukup besar iaitu dengan keluasannya 123,300 km2 membuatkan Sarawak Bumi Kenyalang adalah negeri yang terbesar di dalam Gagasan Malaysia. Bumi Semenanjung Malaysia sendiri yang merangkumi lebih kurang 9 buah negeri pula mempunyai keluasan 131,600 km2 dan Sabah iaitu jiran tetangga Sarawak pula mempunyai keluasana 73,700 km2.

Jika keluasan dan faktor geografi sudah menunjukkan keunikan Sarawak Bumi Kenyalang yang kita warisi ini apatah lagi jika dibandingkan dengan kayanya adat resam dan tradisi masyarakat Sarawak itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai etnik membuatkannya terlalu istimewa.

Yang menghairankan ditengah-tengah kepelbagaian budaya dan etnik ini, Sarawak Bumi Kenyalang yang kita warisi ini tetap gah dengan toleransi kaum dan agama yang dilestarikan sejak berkurun lamanya.

Dari segi sudut sejarah sosio politik pentadbiran Sarawak Bumi Kenyalang ini sebenarnya telah melalui 5 fasa pentadbiran yang menyebabkan ianya adalah antara salah satu wilayah yang begitu unik sejarahnya. Fasa-fasa pentadbirannya adalah seperti berikut:

1. Tanah kuripan pembesar Kesultanan Brunei
2. Pemerintahan Dinasti Keluarga Brooke
3. Pendudukan Jepun Perang Dunia Kedua
4. Tanah jajahan Koloni British Borneo
5. Sarawak, Malaysia

Tanah Kuripan Kesultanan Brunei

Setelah berakhirnya penguasaan empayar Srivijaya dan Majapahit akhirnya wilayah Sarawak suatu masa dahulu diterajui oleh Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam pada kurun ke 15 Masihi. Pada masa ini corak pemerintahan lebih kepada sistem feudal iaitu dengan setiap wilayah mempunyai pembesar ataupun kerabat diraja yang dilantik oleh Sultan Brunei untuk menguruskan wilayah Sarawak pada masa itu.

Pada masa itu setiap pembesar yang dilantik hanya menaikkan bendera peribadi mereka di setiap tanah kuripan kerana mereka yang berkuasa pada ketika itu. Hanya pada setiap penghasilan hasil bumi harus dibahagikan kepada Sultan Brunei tanpa ada campurtangan baik dari pentadbiran dan sebagainya.

Hal inilah yang terjadi apabila Pengiran Indera Mahkota yang merupakan pembesar bagi Sarawak (Hanya sebesar Kuching, sekarang) dengan pemerintahan kuku besi nya telah menyebabkan rakyat tempatan Sarawak yang didokongi oleh Dato Patinggi Ali bangun memberontak.

Ketibaan Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim juga tidak mampu menjernihkan keadaan malah ianya semakin bertambah rumit. Akhirnya kedatangan kedua seorang pelayar Inggeris bernama James Brooke telah menukar geo-politik Sarawak pada masa itu.

Setelah Perang Seniawan 1840 tamat, akhirnya Brooke diangkat menjadi Gabenor Sarawak dan Pengiran Indera Mahkota disisihkan dan beliau juga turut diperangi oleh Brooke dan Patinggi Ali melalui Perang Patusan 1844 yang menyebabkan Datu Patinggi Ali sendiri terkorban.

Sekitar 1846, akhirnya Brooke memiliki sepenuhnya wilayah Sarawak tanpa perlu campurtangan daripada Kesultanan Brunei selepas itu. Semenjak dari itu wilayah kuripan Brunei jatuh ke tangan Brooke satu persatu untuk membentuk sebuah Negara bergelar Kingdom Of Sarawak.

The Kingdom Of Sarawak (1840 – 1946)

Setelah James Brooke “mendapat” Sarawak pada tanggal Ogos 1846, perlulah diingatkan bahawa Sarawak yang dimaksudkan hanya meliputi kawasan Lidah Tanah sahaja sehingga ke Tanjung Datu. Ada pelbagai cara untuk Brooke memperluaskan wilayah Sarawak pada masa itu dan salah satunya adalah atas tiket “memerangi lanun”.

Tiket “memerangi lanun” ini sebenarnya adalah merujuk kepada mana-mana etnik pribumi yang tidak mahu menerima pentadbirannya. Sejak di zaman tanah kuripan lagi, bukan semua masyarakat pribumi di Sarawak yang menerima pemerintahan pembesar kesultanan Brunei dan hanya dengan budi bicara pemimpin Brunei yang dilantik seperti Sharif Masahor yang terkenal dengan toleransinya dengan Iban di Skrang sebenarnya antara mereka yang diterima.

Namun begitu banyak wilayah yang menjadi penempatan etnik pribumi adalah bebas dan mereka digelar “kaum merdeka” sejak dari dahulu lagi. Untuk itu, Brooke harus memerangi mereka ini dan dengan agenda inilah, Brooke berjaya mendapat bantuan daripada armada laut daripada Kerajaan Mahkota British.

Melalui beberapa siri ekspedisi dan pertempuran, akhirnya Brooke berjaya memberi tekanan kepada Sultan Brunei untuk memberikan secara percuma atau memajakkan beberapa wilayah kepada beliau untuk menjadi sebahagian daripada empayar The Kingdom Of Sarawak.

i. Wilayah Batang Sadong, Batang Lupar, Saribas dan Kalaka

Sekitar Ogos 1853, Sultan Abdul Momin setelah dipujuk oleh James Brooke telah memberikan Batang Sadong, Batang Lupar, Saribas, Kalaka menjadi pembentuk empayar Sarawak Kingdom. Dikala ini dikatakan bahawa Sultan Abdul Momin tidak menerima bayaran saguhati sebaliknya Sultan Abdul Momin akan menerima separuh daripada hasil pendapatan yang didapati oleh Brooke di wilayah ini. (Cheah, 2001).

Dan akhirnya dikatakan James Brooke terus memiliki wilayah ini setelah diberikan percuma oleh Sultan Abdul Momin kerana wilayah ini tidak memberi sebarang hasil kepada Kerajaan Brunei pada ketika itu. (Rawlins, 1965).

ii. Wilayah Lower Sungai Rajang (Sarikei)

Atas berlakunya tragedi pembunuhan Fox dan Henry Steel pada tahun 1859, seluruh wilayah Lower Sungai Rajang telah menjadi milik Brooke sebagai galang ganti atau upah untuk meredakan ketegangan di kawasan tersebut. Ianya didapati dengan percuma sahaja seperti yang dilaporkan oleh (Cheah, 2001).

iii. Wilayah Upper Rejang, Mukah, Tatau Dan Sungai Bintulu

Bermulanya campurtangan Brooke di daerah ini adalah sebenarnya bertindak kepada industri sagu yang menjadi antara komoditi paling bernilai ketika itu di pasaran dunia. Dan ianya menambah kecekalan Brooke untuk mendapatkan wilayah ini apabila adanya satu perang saudara yang berlaku di Mukah pada masa itu.

Setelah berjaya meredakan perang saudara tersebut maka pada tahun 1861, James Brooke telah berjaya memujuk Sultan Brunei wilayah ini dengan imbuhan setiap tahun sebanyak $4,500. Imbuhan yang telah dinantikan oleh Sultan Brunei kerana dikatakan sepanjang perang berlaku, beliau Sultan Brunei tidak menerima satu sen pun dari wilayah ini. (Rawlins, 1965).

iv. Wilayah Baram

Pemberontakan Kayan 1874 telah menukar scenario kerana masyarakat Kayan lebih memilih untuk berada di bawah pentadbiran Sarawak Kingdom. Walaupun pada mulanya Sultan Brunei tidak mahu memberikan Baram namun akhirnya setelah melihat kepada penentangan yang merebak sehingga ke bumi Brunei sendiri akhirnya Baram menjadi milik Brooke.

Sekitar tahun 1882, wilayah Baram menjadi rasmi milik Sarawak Kingdom apabila Sultan Brunei menerima imbuhan sebanyak $4,200 setiap tahun. (Rawlins, 1965).

v. Wilayah Trusan

Trusan juga didapati apabila adanya satu tragedi yang berlaku pada tahun 1884. Akibat daripada hal ini telah menyebabkan Sultan Brunei mendapat tekanan sehingga boleh membawa kepada peperangan di antara Trusan dan Sarawak pada masa itu.

Bagi mengekalkan keharmonian pada masa itu akhirnya Trusan menjadi milik Brooke dengan membayar imbuhan sebanyak $4,500 saban tahun kepada Brunei.(Rawlins, 1965). Akhirnya pada tahun 1885, secara rasminya Trusan menjadi antara pembentuk empayar Sarawak Kingdom.

vi. Wilayah Limbang

Terdapat banyak pertikaian mengenai hak memiliki Limbang ini sehinggalah sekarang namun begitu peristiwa yang terjadi pada tanggal 17hb Mac 1890 ini telah membawa kepada Limbang menjadi hakmilik kepada Sarawak. Walaupun hal ini dirujuk kepada Baginda Queen di Kota London namun ianya tidak memberikan kepuasan kepada Brunei itu sendiri.

Baginda Queen telah menghantar penimbangtara untuk menguruskan aduan yang dibuat oleh Sultan Brunei iaitu dengan menghantar Konsul British ke Borneo yang baru iaitu Sir Neil Penrose Trevenen. Setelah siasatan dilakukan akhirnya British lebih menyebelahi kepada Rajah Charles Brooke pada masa itu.

Sir Neil Penrose juga telah mencadangkan iaitu pada sekitar Mac 1892 wang pampasan dirundingkan dan Sultan Brunei akan menerima $6000 setiap tahun sebagai galang-gantinya Limbang. (Rawlins, 1965). Dikatakan bahawa Sultan Hashim dan pembesar-pembesar Brunei tidak mahu menerima walau sesen pun wang pampasan tersebut. Baginda tidak rela menggantikan Limbang dengan wang ringgit sebagai ganti rugi ke atas tanah Limbang yang dirampas itu.

Akhirnya sekitar Ogos 1895, Pejabat Hal Ehwal Luar Negara Great Britain telah mengistiharkan kes Limbang ini memihak kepada Rajah Charles Brooke dan Limbang kekal sebagai antara salah satu wilayah Sarawak Kingdom sehinggalah sekarang.

vii. Wilayah Lawas

Brooke berjaya memujuk Sultan Hashim untuk memberikan Lawas kepada Sarawak Kingdom iaitu pada 5 Januari 1905. Ini kerana Sultan Hashim dikatakan tidak mahu melepaskan Brooke untuk memiliki satu lagi wilayah yang terlalu bernilai untuk Brunei lebih-lebih lagi ianya mempunyai simpanan arang batu. Daerah yang dimaksudkan adalah daerah Brunei-Muara.

Sejak daripada tarikh itu, empayar Sarawak Kingdom sudahpun membesar dari Tanjung Datu sehingga ke bumi Lawas yang kita warisi sekarang. Di dalam pada itu juga, pentadbiran Brooke telah memperkenalkan sistem pentadbiran nya yang berkisar kepada 4 bahagian iaitu:

Bahagian Pertama (1st Division) – Kuching
Bahaigan Kedua (2nd Division) – Sibu
Bahagian Ketiga (3rd Division) – Simanggang
Bahagian Keempat (4th Division) – Baram, Limbang, Lawas

Di setiap bahagian atau division ini mempunyai seorang Residen yang dilantik yang menjaga segala hal ehwal bahagian masing-masing. Selain daripada itu sejak tahun 1857 lagi telah ditubuhkan Majlis Umum atau General Council yang menjadi majlis tertinggi pemerintahan Brooke dengan kerjasama anak-anak tempatan yang dipilih daripada ketua kaum yang menyokong pentadbiran Brooke.

General Council inilah asas kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak yang menerajui Sarawak sekarang yang juga merupakan Dewan Perundangan Negeri yang paling tertua di Malaysia kewujudannya.

“KITA BORUNEO” Pentadbiran Tentera Jepun (1941-1945)

Sistem pentadbiran yang digunapakai di bumi Sarawak dan juga keseluruhan Pulau Borneo (termasuk North Borneo, Koloni Belanda) pada masa itu dikenali dengan nama KITA BORUNEO. Pada ketika ini keseluruhan taklukan Jepun di Pulau Borneo adalah dibawah kawal selia Leftenan Jeneral Marquess Toshinari Maeda.

Pusat pemerintahan tentera Jepun di Sarawak pada asalnya adalah Miri, Sarawak namun sekitar April 1942 ianya telah berpindah ke Kuching, Sarawak. Ini kerana Leftenan Jeneral Maeda merasakan tidak ada kesesuaian untuk menjadikan Miri sebagai pusat pemerintahan tentera di Sarawak sedangkan selama ini sewaktu Sarawak di bawah pemerintahan Brooke, Kuching merupakan ibukotanya.

Setelah Leftenan Jeneral Maeda terkorban sewaktu nahas udara ketika di dalam perjalanan ke Pulau Labuan pada 5hb September 1942, pemerintah tentera Jepun telah diambilalih oleh Leftenan Jeneral Yamawaki Masataka. Beliau berkhidmat sebagai pemerintah tentera sehingga 22hb September 1944.

Melalui pentadbiran Kita Boruneo, setiap jajahan takluk di bumi Sarawak boleh diawasi dengan sebaik mungkin oleh tentera-tentera Jepun. Di dalam pentadbiran Kita Boruneo ini Sarawak dan Brunei dirangkumkan menjadi satu dan setiap pentadbiran yang Sarawak/Brunei dikenali sebagai “shu”. Pembahagian “shu” ini adalah seperti berikut:

i. Kuching-shu,
ii. Miri-shu (termasuk Brunei)
iii. Sibu-shu.

Di setiap “shus” ini akan dilantik seorang yang berpangkat Gabenor yang boleh dipilih di kalangan orang-orang Jepun yang ada di Sarawak atau rakyat tempatan Sarawak yang layak dan menyokong pendudukan Jepun di Sarawak. Inilah kriteria pemimpin-pemimpin atau ketua-ketua yang diiktiraf oleh pentadbiran tentera Jepun pada masa itu.

Di samping itu jawatan Residen dikekalkan dan seterusnya barulah penglibatan daripada Ketua Kampung. Pada dasarnya setiap ketua penjawat awam bagi pentadbiran Sarawak pada masa itu adalah di kalangan tentera Jepun sendiri dan penjawat-penjawat biasa adalah di kalangan masyarakat tempatan Sarawak sendiri. Namun begitu setiap keputusan dan halatuju jabatan adalah urusan pegawai tentera Jepun yang sudah terpilih.

Jajahan Koloni British Borneo (1946-1963)

Pada 1 Julai 1946, Sarawak menjadi tanah jajahan British walaupun terdapat penentangan yang dilakukan oleh rakyat Sarawak pada masa itu yang dikenali sebagai Gerakan Anti-Penyerahan. Namun setelah hukuman dijatuhkan kepada Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13, gerakan anti-penyerahan ini terus terkubur dan seterusnya British kekal memerintah di Sarawak Kingdom.

Pada masa itu Sarawak dibawah pemerintahan Kerajaan British Borneo yang menggelar Sarawak dan North Borneo sebagai “ 2 States of British Borneo”. Sewaktu pemerintahan British Borneo ini pentadbiran mengikut Perlembagaan 1941 telah dikekalkan selama 10 tahun yang pertama.

Pada tahun 1948, Majlis Tempatan ditubuhkan untuk memberi latihan kepada penduduk pribumi dalam pemerintahan. Majlis ini berkuasa menguruskan pelajaran, kesihatan, bekalan air dan elektrik, jalan raya dan pungutan cukai.

Pada tahun 1956, perlembagaan baru diluluskan. Pilihan raya tempatan mula diperkenalkan buat pertama kali pada bulan November 1957 untuk memilih Ahli Majlis Perbandaran Kuching. Mengikut perlembagaan 1956, Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri terus wujud untuk membantu Gabenor Sarawak.

Ahli Majlis Tertinggi sebanyak 10 orang dan Majlis Negeri 44 orang yang terdiri daripada 22 dipilih oleh rakyat secara tidak langsung dari Majlis Daerah ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri. Pada tahun 1959 pilihanraya untuk Majlis Tempatan diadakan. Ahli Majlis Daerah memilih wakil-wakil ke Majlis Bahagian dan mereka pula akan memilih wakil-wakil ke Majlis Mesyuarat Negeri.

Sarawak, Malaysia (1963 hingga sekarang)

Pada tanggal 16hb September 1963, Sarawak bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo (Sabah) dan Singapura membentuk satu gagasan yang dipanggil Malaysia. Sebelum itu pada tanggal 22hb Julai 1963, Sarawak sudahpun mempunyai barisan kabinetnya sendiri walaupun masih dikawal selia oleh Gabenor British pada masa itu.

Dan setelah pengistiharan Gagasan Malaysia akhirnyam, Sarawak mempunyai pentadbirannya sendiri dengan halatujunya adalah daripada pentadbiran anak Sarawak sendiri. Sarawak Bumi Kenyalang yang kita warisi sekarang sudahpun mempunyai 12 bahagian iaitu:

1. Bahagian Kuching
2. Bahagian Kapit
3. Bahagian Miri
4. Bahagian Bintulu
5. Bahagian Sibu
6. Bahagian Limbang
7. Bahagian Mukah
8. Bahagian Sri Aman
9. Bahagian Samarahan
10. Bahagian Sarikei
11. Bahagian Betong
12. Bahagian Serian

Dari sini pentadbiran Sarawak adalah diwakili oleh Bahagian dengan diketuai oleh seorang Residen. Bagi setiap Bahagian pula dibahagikan kepada Daerah. Di setiap pentadbiran peringkat daerah diketuai oleh Pegawai Daerah. Dan didalam Daerah pula mempunyai daerah-daerah kecil yang ditadbir oleh Pegawai Pentadbir.

Ketua bagi Negeri Sarawak adalah Tuan Gabenor atau Tuan Yang Di Pertua Negeri Sarawak. Jawatan Gabenor ini dilantik setiap empat tahun sekali dengan perlantikannya hanya oleh Yang Dipertuan Agong menurut apa yang dicatatkan di dalam Perkara 19A, Perlembagaan Persekutuan.

Untuk Ketua Kerajaan Negeri pula adalah jawatan Ketua Menteri Sarawak yang mana jawatannya dilantik oleh TYT Sarawak dari kalangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak iaitu merujuk kepada keyakinan majority ADUN. Di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak ini juga mempunyai 8 orang Menteri yang dilantik oleh TYT dari kalangan ADUN dengan nasihat daripada Ketua Menteri.

Disamping itu, Menteri-menteri Kabinet Sarawak yang berlapan ini juga mempunyai Menteri-menteri Muda yang akan membantu Menteri-menteri Kabinet di dalam kelancaran setiap kementerian-kementerian yang diwakili mereka.

Bagi pihak pentadbiran kementerian dan jentera Kerajaan Negeri Sarawak sudah tentu diketuai oleh seorang penjawat awam yang berjawatan Setiausaha Negeri Sarawak dan kemudiannya di setiap pentadbiran kementerian pula diketuai oleh Ketua Pentadbir yang dipanggil Setiausaha Tetap Kementerian.

Inilah peralihan pentadbiran Sarawak Bumi Kenyalang yang kita warisi sekarang dari segi sosio politik dan pentadbirannya. Dari hanya sebuah wilayah kuripan hampir berabad lamanya dan seterusnya menjadi milik keluarga Dinasti Brooke selama 100 tahun. Kemudian menjadi taklukan Jepun setelah kalah pada Perang Dunia Kedua yang menyaksikan banyak seksaan kepada masyarakat tempatan Sarawak.

Pada tahun 1946, Sarawak pula dijajah oleh Koloni British sehinggalah pada tahun 1963 iaitu pada tanggal 22hb Julai menjadi detik bendera British diturunkan di Kuching dan dinaikkan bendera Sarawak. Pada tanggal 16hb September 1963, Sarawak menjadi pembentuk Gagasan Malaysia dan seterusnya mempunyai pentadbiran anak watannya yang tersendiri.

Dengan itu lengkaplah Artikel Sarawak Bumi Kenyalang Yang Kita Warisi sebagai satu wacana ilmu untuk mengenali fasa-fasa peralihan pentadbiran Sarawak Bumi Kenyalang yang kita warisi ini.

Kekallah Sarawak Bertuah, Teras Perjuangan Rakyat, Berjaya Berdaulat.

#KamekSayangSarawakBah!

No comments:

Post a Comment