Wednesday, 30 December 2015

MAJNUN

Ketika seorang Raja mendengar bagaimana Majnun telah didorong oleh rasa cintanya kepada Laila hingga meninggalkan segala-galanya dan merayau-rayau di padang pasir sebagai seorang lelaki yang mabuk cinta, dia telah memerintahkan hambanya supaya mencari dan membawa Majnun kepadanya.
Bila Majnun telah sampai di istana dan berdiri di hadapannya, beliau terus bertanya apakah yang telah menghancur-luluhkan jiwanya hingga memilih dan hidup seperti gelandangan.

Majnun menjawab: "Ramai kawan-kawan rapat saya, menyalahkan saya kerana mencintai dia, tetapi jika mereka melihatnya, sudah tentu mereka akan faham. Ohh! Laila, cinta hati saya, pesona jiwa saya, biarkan wajahmu bersinar sekali pada mereka yang memarahi saya dan biarkan terlepasnya lemon di tangan mereka dan tanpa sedar menghiris jari serta luka berdarah bila melihat kecantikanmu!"

Ianya telah menarik hati Raja dan diperintahkan Laila untuk dibawa kepadanya. Hamba-hambanya menggeledah perkhemahan beberapa buah kafilah Arab sehingga mereka menjumpainya dan di bawa ke hadapan Raja.

Raja memandang wanita itu beberapa ketika lalu memeriksa fizikal luarannya dengan teliti, namun tidak kira dari sudut mana dia memandangnya, apa yang dilihatnya adalah satu kehodohan malah menjadi lebih jelik dan hina dimatanya. Raja mula berkerut dahi dan berfikir bagaimana mungkin Majnun sangat memujanya. Bahkan dayangnya yang paling biasa pun adalah lebih cantik berbanding wanita ini.

Dari raut wajah Raja itu, Majnun dapat meneka apa yang difikirkan olehnya dan berkata, "Untuk melihat kecantikan Laila dan mendedahkan rahsianya kepada mereka yang boleh melihatnya, anda perlu melihat melalui mata saya!"

-ARAZ-

Tuesday, 29 December 2015

ORANG KAYA PEMANCHA DANA “BAYANG”

Pahlawan Rentap, Penghulu Bantin, Penghulu Asun serta ramai lagi merupakan nama-nama tokoh Iban dahulu kala yang sememangnya gah dengan kepahlawanan mereka. Nama-nama ini juga sering mewarnai catatan sejarah Sarawak Kingdom iaitu ketika pentadbiran dibawah Rajah Brooke. Mana tidaknya kerana nama-nama ini adalah antara yang memulakan penentangan kental mahupun penyokong ke atas pentadbiran “orang putih” di Sarawak.

Orang Kaya Pemancha Dana “Bayang” adalah seorang tokoh Iban yang tidak asing bagi orang Sarawak. Beliau merupakan anak bongsu kepada Orang Kaya Beti “Tajai Ngindang” yang juga salah seorang Iban tersohor dari Padeh. Ibunya bernama Endau . Dan dari generasi beliaulah melahirkan nama-nama seperti Orang Kaya Pemancha Nanang, Luyoh, Orang Kaya Aji Apai Limpa, Unting, Budha dan Umpu. Nama-nama ini adalah anak lelaki kepada OKP Dana melalui perkahwinannya dengan Mengan Tuai. Disamping itu, perkahwinan mereka juga diserikan dengan 3 anak perempuan iaitu yang dinamakan Tiong, Landan dan Badong.

OKP Dana bukanlah sembarangan pahlawan Iban kerana beliau merupakan antara “Bujang Berani” yang telah banyak menyertai peperangan di Sarawak sejak dahulu lagi. Beliau bukan sahaja gah namanya di Sarawak malah nama beliau turut digeruni di bumi Kalimantan, berdasarkan kepada penglibatan beliau di dalam perang-perang dengan masyarakat pribumi Kalimantan sejak dahulu lagi.

Sebagai “Tuai Perang”, OKP Dana juga mempunyai beberapa orang kanan yang menjadi sandarannya seperti Sabok Apai Maang, Uyu Apai Ukum, Unal “Bulan”, Igoh Apai Lamban, Orang Kaya Akun “Bedindang”, Isek dan Senaang. Menurut sejarahnya belum ada lagi peperangan yang tidak dimenangi oleh OKP Dana kerana beliau mempunyai orang-orang kanan yang cukup digeruni dan gagah.

Mimpi OKP Dana “Bayang”

Apabila kita berbicara tentang kepahlawanan masyarakat Iban maka sudah tentu kita harus mengaitkannya dengan mimpi mengenai mereka. Ini kerana mimpi merupakan satu bentuk kepercayaan yang boleh memberikan firasat masa hadapan bagi setiap kepahlawanan masyarakat Iban suatu waktu dahulu. Dikatakan bagi OKP Dana pula firasat “mimpi” telahpun berlaku ketika beliau belum akal baligh lagi.

Antara rumusan mengenai firasat mimpi beliau adalah beliau telah bertemu dengan ikon suci masyarakat Iban yang bernama “Kumang” di puncak Gunung Santubong. Di dalam mimpi itu, beliau telah awal-awal lagi diberitahu tentang kedatangan “Ribai” yang merujuk kepada “Orang Putih” di Sarawak.

Dikatakan juga hanya “Ribai” ini yang mampu mengalahkan beliau di dalam perang dan oleh kerana itulah beliau dinasihatkan untuk tidak memerangi “Ribai” ini sehingga kepada 8 generasi OKP Dana itu sendiri.

Selain daripada itu di dalam firasat “mimpi” OKP Dana ini juga mengingatkan beliau untuk tidak memerangi mana-mana penempatan di kawasan persisiran utara Sungai Saribas iaitu mana-mana penempatan masyarakat pribumi antara Saribas dan delta Santubong.

Oleh kerana berpegang teguh kepada mimpi inilah OKP Dana tidak pernah menyerang mana-mana penempatan Orang Melanau di delta Rejang dan juga penempatan Orang Ulu di kawasan sekitarnya.

Perang OKP Dana “Bayang”

OKP Dana sememangnya seorang “Tuai Perang” Iban yang digeruni baik di Sarawak mahupun di negara tetangga iaitu Kalimantan suatu waktu dahulu. Banyak rentetan perang-perangnya yang menyaksikan kejayaan yang besar kepada angkatan perang beliau. Dengan didokongi oleh pahlawan Iban yang cukup berani juga membenarkan kejayaan di pihak beliau.

Sekitar pertengahan tahun 1800, menurut sejarahnya OKP Dana telah menyerang rumah panjang etnik Selakau serta perkampungan Melayu Pontianak yang terletak di Sungai Raya, Kalimantan. Dengan 120 buah perahu perang Iban didokongi Iban Saribas dan Skrang, mereka telah berjaya membunuh beratus-ratus musuh mereka.

Pada tahun 1804 pula, sekali lagi OKP Dana bersama-sama dengan pemimpin Melayu Saribas dan Iban Skrang membawa angkatan tentera mereka menyerang sebuah pekan kecil di Kalimantan pada waktu itu iaitu Pekan Sambas. Sekali lagi pertempuran maha hebat berlaku di Sambas dengan etnik Selakau dan Lara ramai yang terkorban mempertahankan bumi Sambas mereka.

Setelah 2 tahun merehat diri di perkampungan masing-masing, sekitar tahun 1806 sekali lagi OKP Dana telah mengetuai angkatan perang ke bumi Kalimantan. Pada kali ini, tentera perang beliau menghala ke kawasan penempatan masyarakat China di Singkawang. Dikatakan pada ketika ini masyarakat China Singkawang cuba mempertahankan diri dengan senjata pedang panjang mereka iaitu “tat” namun tidak boleh mengalahkan taktik perang konvensional masyarakat Iban pada masa itu.

Walaupun kekalahan di pihak China Singkawang namun tidaklah kesemua yang berjaya ditangkap. Sebaliknya ramai daripada mereka berjaya meloloskan diri sehingga ke Monterado iaitu antara kawasan perlombongan emas terkemuka di Bengkayang, Kalimantan Barat. Oleh kerana tidak berpuashati ramai orang China Singkawang yang berjaya melarikan diri maka sekitar tahun 1810, OKP Dana telah berkunjung sekali lagi ke bumi Kalimantan.

Dengan menggunakan 180 perahu perang Iban dan bersandarkan kepada beratus-ratus pahlawan Iban Saribas, Skrang mahupun Melayu Saribas, OKP Dana mengetuai satu pasukan perang menuju ke Monterado pada tahun 1810. Kesemua ini dilakukan untuk menjejaki mana-mana China Singkawang yang melarikan diri ke daerah itu ketika Perang Singkawang 1806.

Walaupun sekitar tahun 1810 dikatakan industry perlombongan emas di bumi Monterado pada kemuncaknya dengan ramai jumlahnya orang China berhimpun di wilayah itu untuk mencari rezeki. Ini semua tidak pernah menjadi alasan kepada OKP Dana untuk memerangi mereka. Di bumi Monterado ini juga, OKP Dana dengan pahlawan-pahlawannya bertempur sehingga beratus-ratus daripada mereka terkorban.

Pada tahun 1815, OKP Dana telah sekali lagi memerangi penempatan di Pontianak. Kalimantan. Pada kali ini mereka memerangi ibukota Pontianak yang merupakan Bandar pusat bagi satu kerajaan kesultanan Melayu Pontianak yang bernama Kerajaan Kesultanan Qadriah. Pada masa itu sultan yang memerintah bernama Syarif Kasim Al-Qadrie. Beliau merupakan antara pemerintah Al-Qadriah yang menyokong Koloni Belanda.

OKP Dana yang membawa lebih kurang 100 buah perahu perang Iban bersama-sama Melayu Saribas dan juga Iban Skrang serta Saribas telah menyerang hendap ibukota Pontianak. Hal ini telah membawa kepada pertempuran yang hebat di daratan. Dan dikala itulah dikatakan OKP Dana telah memberi isyarat kepada anak-anak buahnya untuk menukar strategi perang di air.

Menurut sejarahnya dikala inilah, pahlawan Iban yang tersohor namanya iaitu Libau “Rentap” telah berlawan satu lawan satu dengan pahlawan Melayu Pontianak dengan melompat dari perahu ke perahu membunuh mereka. Bermula dari sinilah, Rentap mengukir nama di dalam perang Iban iaitu sebagai antara pahlawan “Bujang Berani” OKP Dana “Bayang”.

Pada tahun 1820 pula, wilayah Tanjung Datu pula yang menjadi serangan OKP Dana. Pada kali ini ianya seperti lebih kepada perang membalas dendam lama. Ini kerana pada ketika itu etnik Selakau Tanjung Datu telah bersatu dengan Orang Kayan Temenggung Jugah anak Nyambong.

OK Temenggung Jugah ini merupakan orang Iban Sebuyau yang telah berhijrah ke Lundu. Sejak di Sebuyau lagi sememangnya ada tidak persefahaman antara OKT Jugah dengan OKP Dana.

Perang Tanjung Datu 1820 ini bukannya satu perang yang biasa-biasa bagi OKP Dana. Sebaliknya perang ini juga menyebabkan musibah yang besar di pihak OKP Dana walaupun beliau di pihak yang menang. Ramai juga antara pahlawan Iban Saribas dan Skrang yang gugur di medan perang sehingga membuatkan dendam kesumat lama Iban Saribas dengan Iban Sebuyau semakin berpanjangan.

Pada tahun 1825, bumi Mempawah di Kalimantan pula bermandikan darah. Mereka menyerah satu perkampungan nelayan di Mempawah. Di dalam perjalanan pulang selepas kemenangan itu dikatakan beberapa pahlawan Iban dibawah OKP Dana telah seperti Orang Kaya Antau “Linggang Negeri” dan Orang Kaya Gun “Mangku Bumi” dari Rimbas telah menyerang penempatan Iban Sebuyau.

Ini semua dilakukan kerana dendam yang berpanjangan antara Iban Sebuyau dan Iban Saribas. Akibatnya Iban Sebuyau telah bersatu dengan Ibau Balau dan menyerang balas di wilayah Rimbas, Paku dan Padeh selepas itu.

Tahun 1834 pula menyaksikan OKP Dana mengetuai 200 buah perahu perang ke Sambas dan kemenangan memihak kepada mereka. Kali ini mereka berjaya membawa pulang sebuah meriam yang merupakan meriam legenda di dalam sejarah perang Sarawak iaitu meriam “Bujang Timpang Berang:.

Dikatakan meriam ini merupakan salah satu meriam pertahanan kepada bahtera milik Sultan Umar Aqamaddin III iaitu pemerintah Kerajaan Kesultanan Sambas dari tahun 1830 sehingga 1846 Masihi. Pada ketika beliau sedang di dalam perjalanan belayar itu dikatakan terserempak dengan angkatan perang OKP Dana.

Dan ketika meninggalkan bahtera untuk melepaskan diri ini lah dikatakan beliau meninggalkan bahteranya kosong dengan segala peralatan perang termasuk meriam. Akhirnya meriam itu menjadi hakmilik paling berharga buat OKP Dana selepas itu.

Selepas tahun 1834, dikatakan banyak perang-perang OKP Dana lebih terarah di dalam wilayah Sarawak. Ini kerana ianya banyak dicampuri oleh dendam kesumat antara Iban Saribas dengan Iban Sebuyau. Banyak rentetan perang tempatan antara masyarakat Iban di wilayah Sarawak pada masa itu namun ianya tetap sentiasa menunjukkan kebijaksanaan OKP Dana menghadapi konflik sesama Iban sehingga memungkinkan beliau amat dikagumi rakan mahupun lawan.

Meriam “Bujang Timpang Berang”

Selepas mendapatkan sebuah meriam yang kemudiannya bernama “Bujang Timpang Berang” pada tahun 1834, Orang Kaya Dana “Bayang” mewariskan meriam tersebut kepada anaknya iaitu salah seorang pahlawan iban yang tersohor yang bernama Orang Kaya Aji Apai Limpa. OK Aji Apai Limpa merupakan antara pahlawan Iban yang menentang pemerintahan Brooke di Saribas sejak mulanya lagi.

Di Bukit Sadok jugalah OK Aji Apai Limpa bersama-sama dengan Rentap “Libau” telah berpadu tenaga melawan Brooke. Dia meminjamkan meriam tersebut kepada Rentap bagi memastikan bahawa pertahanan mereka akan lebih kuat. Ini kerana ekspedisi pertama dan ekspedisi kedua Bukit Sadok oleh Brooke berpihak kepada mereka. Dan sudah tentu untuk ekspedisi seterusnya Brooke akan mempertingkatkan strategi dan pertahanan mereka.

Pada September 1861, Brooke melancarkan Ekspedisi Ketiga Sadok yang lebih besar dengan menggunakan tenaga buruh untuk membuat jalan di hutan, sepasukan askar Negro yang terlatih dalam pertempuran jarak dekat serta senjata penembak roket, Six-Pounder Gun dan meriam yang digelar " Bujang Sadok".

Selepas sampai di puncak Gunung Sadok, keesokan paginya, serangan dilancarkan ke Kuta Rentap dan berlaku berbalas serangan menggunakan meriam antara Bujang Sadok dengan Bujang Timpang Berang.

Malangnya, salah seorang pengendali meriam Rentap terkena tembakan dari Bujang Sadok dan darahnya membasahkan serbuk letupan menyebabkan Bujang Timpang Berang tidak berfungsi dan kelebihan Bujang Sadok digunakan untuk memusnahkan dinding keras Kuta Rentap.

Selepas melancarkan serangan bertali arus pada ekspedisi terakhir Brooke berjaya menawan dan membakar Kuta Rentap pada 28 Oktober 1861, Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Lanjak, Skrang sehingga Entabai, Kanowit dan Julau.

Perjanjian Damai Tanjong Sabuloh 1843

Setelah bermukimnya penguasaan James Brooke ke atas wilayah Sarawak pada tahun 1840an setelah berjaya mengakhiri penentangan tempatan di Seniawan, Lidah Tanah. Hal yang pertama dilakukan oleh James Brooke adalah menggiatkan perluasan wilayahnya ke pedalaman Sarawak.

Sekitar tahun 1843, wilayah Saribas mula diperangi oleh James Brooke bersama-sama dengan admiral tentera lautnya yang juga rakan karibnya Admiral Sir Henry Keppel. Dengan menggunakan kapal perangnya iaitu H.M.S Royalist dan juga H.M.S Iris mereka memerangi Iban Saribas dibawah OKP Dana “Bayang” di kuala Sungai Padeh. OKP Dana bukan hanya berpeluk tubuh tetapi bersama-sama dengan anak-anaknya mereka mempertahankan tanah Saribas.

Melihat kepada keupayaan Brooke pada masa itu sememangnya OKP Dana tidak boleh menandingi mereka dan juga kerana bersandarkan kepada kepercayaan beliau terhadap mimpinya yang tidak boleh sama sekali memerangi “Ribai” atau “Orang Putih” itulah, beliau bersetuju untuk menandatangi perjanjian perdamaian dengan James Brooke.

Perjanjian Perdamaian Tanjung Sabuloh 1843 ini ditandatangani antara OKP Dana dengan James Brooke bagi menghentikan segala peperangan yang dimulakan oleh OKP Dana pada ketika itu di bumi Saribas dan tempat-tempat lain.

Orang Kaya Pemancha Dana meninggal dunia pada tahun 1854 dan kepimpinan Ketua Iban Padeh dan Layar akhirnya diwariskan kepada anaknya iaitu Orang Kaya Aji Apai Limpa.

Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenali seorang lagi tokoh pahlawan Iban yang sudah tentu sejarahnya tidak begitu diwar-warkan untuk pengetahuan sejarah anak bangsa Sarawak sekalian. Sesungguhnya Sarawak juga mempunyai pahlawan-pahlawan yang gagah berani sejak dari dahulu lagi.

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

1. Book: A history of Sarawak under its two white Rajahs, 1839-1908; Author: Baring-Gould, S. (Sabine), 1834-1924; Bampfylde, Charles Agar, 1856- Published 1909

2. Journal Article: Pemerintahan Brooke Dan Pelajaran Bumiputera Sarawak; Kajian: Sabihah Osman, Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, JEBAT BIL. 1 1971/1972

3. St Thomas Catheral Kuching Official Website – History
http://stthomascathedralkuching.org/web/?page_id=36

4. Let Me Tell You The Story
http://www.vernonkedit.com/2009/09/let-me-tell-you-story-of-my-great-great.html

5. Orang Kaya Pemancha Dana Bayang
http://www.geni.com/people/ORANG-KAYA-PEMANCHA-DANA-BAYANG/6000000006104760704

6. Kerajaan Kesultanan Qadriah, Kalimantan Barat – Borneo Oracle

7. Kerajaan Kesultanan Sambas, Kalimantan Barat – Borneo Oracle

8. Ekspedisi Bukit Sadok – Borneo Oracle

Monday, 28 December 2015

SEJARAH KEDATANGAN ISLAM KE TAMADUN MELAYU

Tamadun Melayu secara rasminya dianggarkan bermula kira-kira 600 SM berdasarkan rekod penemuan terkini arkeologi di Sungai Batu. Orang Melayu membina peradaban mereka kira-kira 1400 tahun sebelum kelahiran junjungan besar Rasulullah dan kelahiran Islam. Sebelum cahaya hidayah mula meresapi umat Melayu, mereka dicatatkan pernah mengganut fahaman animism, agama Hindu dan Buddha.

Namun selepas kedatangan Islam, orang Melayu tidak lagi bertukar agama meski usaha pengkristian cuba berlaku ke atas bangsa mereka ini, melalui usaha-usaha penjajah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris sendiri. Sepertinya, pencarian spritiual orang Melayu akhirnya berhenti pada Islam.

Inilah yang sangat penting untuk kita kaji dan dalami, tentang sinar-sinar kemasukan tamadun Islam ke Tamadun Melayu. Justeru, saya akan bahagikan fasa-fasa kemasukkan Islam yang mula meresapi ke Tamadun Melayu.

1. Fasa Persinggahan

Dipercayai bahawa sejak abad pertama Masihi lagi, orang Melayu sudah terlibat dengan perdagangan dengan bangsa Arab. Sebagai contoh, Lynda Shaffler dalam bukunya Maritim Southeast Asia to 1500 mencatatkan bahawa orang Melayu sudah membuka penempatan di Pelabuhan Aden pada waktu seawal 53 Masihi lagi.

Dan perhubungan antara bangsa Melayu dan bangsa Arab sebenarnya telah banyak membantu perkembangan teknologi mereka terutama di sekitar Yaman. Ini tidaklah hairan kerana dalam sejarah, orang Melayu dikenali sebagai pelopor ketamadunan kelautan yang sangat mengagumkan.

Dicatatkan bahawa orang Melayu ialah bangsa pertama di dunia yang meneroka lautan luas serta bangsa pertama yang belayar dengan memanfaatkan pengerakkan angin monsoon. Pencapaian hebat bangsa Melayu ini telah meninggalkan peninggalan mereka sejauh di Mesir Purba, kerajaan Bani Israel, Yunani, Rom hingga ke Timur Afrika.

Dan hubungan bangsa Melayu dan Arab tidak pernah tamat walaupun ketika era Rasulullah S.A.W. Ketika zaman Islam mula meresapi seluruh Jaziriyah Arab, maka proses menguruskan jenazah memerlukan kapur barus. Maka dicatatkan pada waktu ini, orang Melayu adalah bangsa yang mengambil kesempatan ini dengan memperdagangkan kapur barus kepada orang Arab. Ini berlaku ketika kerasulan Rasulullah S.A.W

Atas sebab ini juga, dicatatkan bahawa terdapat proses keluarnya pedagang Arab ke Kepulauan Melayu untuk mendapatkan kapur barus lalu dibawa ke Tanah Arab. Atas sebab ini juga, dicatatkan bahawa Islam sebenarnya mula dikenali oleh penduduk Nusantara seawal 674 Masihi apabila dicatatkan terdapat penempatan-penempatan orang Arab Islam di dalam wilayah Empayar Melayu Srivijaya iaitu di Sumatera Timur.

Lebih awal daripada itu, para sahabat nabi dikatakan pernah sampai ke Tamadun Melayu pada suatu ketika dahulu. Dicatatkan bahawa sebuah rombongan para sahabat nabi yang diketuai oleh Wahab bin Abi Qabahah telah sampai ke Riau pada 627 Masihi.

2. Fasa Pertapakkan

Dicatatkan juga ketika era Dinasti Umaiyyah mengambil alih pemerintahan Khalifah Islam di Timur Tengah, khalifahnya yang pertama yang juga merupakan sahabat nabi, Muawiyah R.A telah menghantarkan armada kapal untuk melakukan tinjauan di Tamadun Melayu. Ketika itu, Muawiyah dalam misi meluaskan empayar Islam dan memastikan bahawa pedagang-pedagang Islam tidak ditindas.

Ketika sampai di sebuah kerajaan di Kepulauan Melayu yang bernama Kalingga, pemerintah kerajaan tersebut merupakan Ratu Sima yang memerintah Pulau Jawa ketika itu, Muawiyah mendapati bahawa pedagang Islam dijaga dengan baik membuatkan Muawiyah membatalkan niatnya. Dicatatkan bahawa putera Ratu Sima yang bernama Raja Jay Sima turut memeluk Islam akibat dakwah ketika itu pada 726 Masihi.

Disamping itu, Muawiyah juga telah berusaha menjalinkan hubungan dengan kerajaan Malayu malah mengajak rajanya yang bernama Lkitavarman memeluk Islam. Lebih awal dari pengislaman putera Ratu Sima, seorang maharaja Empayar Melayu Srivijaya pernah dicatatkan mengirimkan surat kepada Khalifah Umar Abdul Aziz yang merupakan khalifah untuk Dinasti Umaiyyah. Isi surat tersebut adalah seperti berikut:

“Dari raja kepada Raja yang berketurunan dari 1000 raja, yang kandangnya dipenuhi dengan beribu gajah, dan kawasan taklukannya adalah 2 sungai,yang mengairi tanam- tanaman, wangi-wangian, pohon pala, dan kapur wangi, yang wangiannya semerbak sehingga 12 batu jauhnya.

Kepada raja Arab, yang tidak menyekutukan tuhan dari tuhan yang satu.Beta telah menghantar hadiah, yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan, dan beta harap agar anda menghantar seseorang,yang dapat mengajarkan ajaran Islam,serta menunjukkan undang-undangnya.”

Dicatatkan bahawa Maharaja Indravarman, maharaja Srivijaya yang mengirimkan surat ini turut memeluk Islam pada terkemudiannya. Nama kerajaan Melayu ini kemudian bertukar kepada Sribuza Islam.

Pengislaman beberapa raja dan kerajaan Melayu di Kepulauan Melayu ini telah membuatkan Dinasti Tang di China tidak senang duduk. Ini kerana bekalan tetap lada hitam dan segala kekayaan alam di Kepulauan Melayu ini diplopori oleh orang Islam.

Lalu Dinasti Tang telah mengirimkan dua orang pendeta Buddha bermazhabkan Buddha Mahayana yang bernama Wadjarabodhi dan Amoghabaraja ke Srivijaya untuk menandingi penyebaran Islam di sana. Kemudian dicatatkan pada tahun 730 Masihi, sebuah pemberontakan orang Melayu beragama Buddha telah berlaku dan pemberontakan ini didalangi oleh Dinasti Tang. Dengan Sribuza Islam yang merujuk kepada Srivijaya beragama Islam ini pun runtuh.

Dalam masa yang sama, akibat penggolakkan Dinasti Umaiyyah yang sedang mengalami konflik dan kacau bilau tidak dapat menghantarkan bantuan bagi mematahkan pemberontakan tersebut.

Ketika sinar Islam yang dibawakan oleh golongan Sunni malap di sekitar kawasan Palembang, Jambu dan sebahagian Sumatera, terdapat perubahan aneh berlaku pula di kawasan sekitar utara Sumatera.

Konflik kejatuhan Umaiyyah dan kebangkitan Abbasiyah memerintah menjadi Khalifah banyak mempengaruhi perkembangan Islam di Nusantara. Dicatatkan bahawa golongan syiah yang bersama Bani Abbas ketika menggulingkan Umaiyyah telah melancarkan pemberontakan pulak ke atas Abbasiyah. Di bawah pemerintahan Khalifah Al-Makmum, golongan pemberontak ini berjaya ditangkap. Namun, mereka tidak dibunuh sebaliknya Khalifah Al-Makmum mengarahkan mereka untuk menjalankan kerja kemasyarakatan dengan berdakwah dan menyebarkan Islam.

Lalu untuk menebus segala kesalahan mereka, mereka pun berlayar bersama ulamak-ulamak mereka dan antara kerajaan Melayu terawal yang menerima ulamak dan pendakwah Syiah ialah kerajaan Perlak seawal abad ke-9 Masihi. Dipercayai bahawa raja pertama Perlak memakai nama Sultan Alaiddin Saiyid Maulana Abdul-Aziz Syah memerintah pada 840 Masihi.

Tidak cukup dengan itu, pada tahun 877 Masihi seramai sehingga 200 ribu pedagang Arab dan Parsi yang beragama Islam yang tinggal di Canton berpindah dari sana selepas pemberontakan dan perang saudara yang sememangnya rencah sejarah Dinasti-Dinasti China. Pedagang Arab dan Parsi ini dikatakan berpindah ke negeri yang berada di bawah jajahan Srivijaya seperti Kedah dan Palembang. Ini dapat dibuktikan apabila ditemukan dua keping siling Dirham Baghdad.

Selain daripada dua keping syiling Dirham Baghdad, antara penemuan yang boleh dikaitkan dengan penghijrahan beramai-ramai orang Arab dan Parsi di sekitar Alam Melayu adalah seperti berikut:

- Nisan Syeikh Abdul Qadir ibn Husin Syah Alam di Tanjung Inggeris di Kedah yang berusia 903 Masihi

- Batu Bersurat di daerah Phan-rang yang terletak di kerajaan Melayu Champa yang bertarikh 1025 Masihi

- Batu nisan Ahmad ibn Abu Ibrahim ibn Abu Arradah al-Rahdar Abu Kami di lokasi Phan-rang untuk kerajaan Melayu Champa berusia 1039 Masihi

- Batu nisan yang dijumpai di Pekan, Pahang berusia 1028 Masihi

- Nisan seorang puteri di Brunei berusia 1028 Masihi

- Batu nisan di Pekan, Pahang berusia 1048 Masihi

- Nisan Fatimah bini Maimun ibn Hibat ALLAH di Leran Jawa Timur yang berusia 1082 Masihi

- Batu bersurat Terengganu yang berusia 1303 Masihi

3. Fasa Penyebaran Islam Secara Meluas

Antara kerajaan dan negeri terawal di Semenanjung Tanah Melayu yang menerima Islam ialah negeri Kedah Darul Aman. Untuk pengetahuan semua, Kesultanan Kedah yang wujud pada hari ini merupakan antara kesultanan tertua di dunia dengan usia yang boleh diejjak seawal 1136 Masihi, hampir 200 tahun lebih awal daripada penemuan batu bersurat di Terengganu dan pengislaman Melaka.

Perkenalkan kepada anda seorang ulamak yang bertanggungjawab meng-Islam-kan Kedah iaitu Syeikh Abdullah Al-Qumairi. Datangnya beliau dari bumi Yaman, bumi tempat asal para Habib yang sedang giat berdakwah di bumi kita. Dicatatkan bahawa Syeikh Abdullah Al-Qumairi datang bersama dengan 11 sahabatnya. Beliau dicatatkan telah mengislamkan seorang raja Melayu Kedah yang bernama Phra Ong Mahawangsa yang selepas memeluk Islam menukarkan namanya kepada Sultan Muzaffar Shah yang kemudiannya mangkat pada tahun 1179 Masihi.

Sultan Muzzaffar Syah kemudian bersama Syeikh Abdullah Qumairi ini kemudiannya bersama-sama berganding bahu mengIslamkan seluruh rakyat Melayu Kedah daripada agama Hindu-Buddha. Syeikh Abdullah Al-Qumairi ini juga memberi nama baru kepada Kedah iaitu Kedah Darul Aman dan mengarahkan pembinaan menara azan di puncak Gunung Jerai.

Selain itu keadaan kekhalifahan Islam di Timur Tengah di dalam kekacauan membuatkan golongan ahli sufi mula muncul yang menganggap kekacauan yang berlaku di kerajaan Islam adalah kerana pemerintahnya yang mementingkan kebendaan. Golongan tarikat dan sufi inilah yang kemudian keluar dari timur tengah dan wilayah Islam ke Nusantara untuk menyebarkan Islam. Merekalah insan-insan yang bertanggungjawab mengubah mazhab yang dianuti oleh orang-orang Melayu di Kepulauan Melayu dari Syiah kepada Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Antara ulamak sufi yang bertanggungjawab menyebarkan Islam di Tamadun Melayu ialah Syeikh Ismail al-Siddiq dan seorang ahli sufi bernbama Fakir Muhammad yang telah sampai ke sebuah kerajaan Melayu iaitu Pasai pada pemerintahan Merah Silu yang memerintah pada sekitar 1261 – 1289 Masihi. Merah silu telah diislamkan oleh ulamak sufi ini lalu mengambil nama sempena dengan pengasas kerajaan sunni Mamluk di Mesir. Nama Merah Silu ditukarkan kepada Sultan Malik Al-Salleh.

Kerajaan teragung orang Melayu selepas era Hindu-Buddha, iaitu Kesultanan Melayu Melaka turut diislamkan oleh ulamak sufi. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu menceritakan tentang Syeikh Abdul Aziz yang mengislamkan raja Melaka dan seluruh rakyat Melayu Melaka. Syeikh Abdul Aziz juga merupakan seorang ulamak tassawuf.

Selain Syeikh Abdul Aziz, ulamak-ulamak sufi yang terkenal di Alam Melayu adalah seperti Nurddin al-Raniri, Hamzah Fansuri, Samsudin Sumterani dan Abdul Rauf Singkel. Di Kepulauan Jawa pula, ulamak sufi yang sangat terkenal ialah Wali Songo yang berjaya mengislamkan penduduk Jawa yang sangat kuat tradisi Hindu-Buddha mereka.

Ajaran sufi yang menyapa umat Melayu mungkin adalah penyebab kenapa tiada monument-monument hebat yang dibina oleh orang Melayu ketika era Hindu-Buddha. Kalau ketika itu, kita dapat melihat tamadun-tamadun di alam Melayu membina binaan hebat seperti Borubudur dan Prambanan, tetapi selepas kedatangan Islam binaan yang dibina untuk tujuan bermegah-megah ini tidak dijumpai. Tetapi walaupun sedemikian, Melaka masih boleh berbangga dengan binaan seperti Istana Melaka yang dibina setinggi tujuh tingkat sambil disapu oleh cat keemasan.

---

Sumber rujukan:

1. Ahmad Jelaini Halimi. Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Utusan Publication. (2008)

2. Prof. Dr. Abd Jalil bin Borham, Islam Di Nusantara. Universiti Malaysia Pahang

3. Artikel Utusan Malaysia bertarikh 28/05/2007; Syeikh Abdullah Al-Qumairi ulama dan pencipta nama Kedah Darul Aman

4. http://studentsrepo.um.edu.my/359/3/BAB2.pdf

5. Lynda Shaffler. Maritim Southeast Asia to 1500. Routledge Publishing. (1995)

-HE-

Sunday, 27 December 2015

MELAKA PICISAN?

MELAKA ITU KERAJAAN PICISAN  – AMZARUL YUZRIN MOHD YUSOF

Pertama, saya tidak mahu ambil tahu dan masuk campur ke atas masalah anda dengan pemerintah Malaysia, dengan kerajaan, dengan raja-raja Melayu atau idealogi politik anda. Semua itu tiada apa-apa jika dibandingkan dengan kenyataan anda menemplek kewujudan Kesultanan Melayu Melaka itu sendiri.

Saya meneliti hujah anda dalam menafikan KEHEBATAN Melaka dengan merendah-rendahkan Kesultanan Melayu Melaka. Kata anda bahawa kegaungan Melaka itu tidak wujud bahkan anda mencabar pengkaji sejarah memaparkan bukti seperti berikut:

1.) Istana Melaka
2.) Armada Kapal Melaka
3.) Tentera Melaka

Justeru, demi membidas saudara amzarul, maka saya menulis artikel ini bagi membuktikan sebaliknya.

a.) Istana Melaka

Anda mempersoalkan dimanakah Istana Melaka? Kata anda sehingga kini, masih belum ada sejarawan yang mampu menunjukkan anda di manakah Istana Melaka. Perlunya saya ingatkan kepada anda sejarah juga bukan dinilai melalui tinggalan arkeologi sahaja, tetapi melalui catatan-catatan dan manuskrip dari zaman silam yang membuktikan

Daripada Sulalatus Salatin Versi Shellabear, halaman 102:

"Besar istana itu tujuh belas ruang, ruangnya tiga depa, besar tiangnya sepemeluk, tujuh pangkat kemuncaknya. Pada antara itu diberinya bertingkap, pada antara tingkap itu diberinya berbumbungan melintang dan bergajah menyusu, sekaliannya bersayap layang-layang berukir dan bersengkuap, pada antara sengkuap itu diperbuatnya belalang besagi, sekaliannya bergunung-gunungan dan berjurai-jurai belaka.

Adapun segala tingkap istana itu sekaliannya dicat dan dibubuhi air emas, kemuncaknya kaca merah…dan dinding istana dengan cermin Cina yang besarbesar…Adapun rusuk istana itu sehasta lebarnya, sehasta tebalnya, diukirnya jenang pintu itu, dan empat puluh banyak pintunya, sekaliannya dicat dibubuh air emas. Terlalu indah.”

Boleh lihat disini lakaran semula sejarawan yang diambil dari jurnal-jurnal sejarah: http://imgur.com/a/YChTB

b.) Armada Kapal Melaka

Anda bertanyakan di manakah perginya Armada Kapal Melaka… anda memberi contoh seperti kenapa dalam Pertempuran Batu Pahat yang diketuai oleh Tun Perak memperlihatkan strategi seperti itu manakala di Penaklukan Melaka kita boleh kalah sesenang itu?

Sebelum saya nak ulas lebih lanjut tentang soal itu, izinkan saya untuk hamburkan kepada anda tentang fakta-fakta ilmu pembinaan kapal Melayu untuk anda hayati.

i. “Memandangkan tiada bukti kukuh yang dapat mengesahkan kewujudan kapal besar dari rantau lain, dapatlah disimpulkan bahawa bangsa Melayu adalah yang pertama sekali membina kapal besar (1,000 tan ke atas) bermula dari kurun pertama masehi. Pada kurun ketiga pula kapal 7 tiang yang boleh dianggarkan melebihi 2,000 tan muncul dari dunia Melayu.”

(Sumber: http://depts.washington.edu/silkroad/texts/weilue/appendices.html)

ii. “Jong Melayu dan Jong Jawa yang berpangkalan di Melaka kerap belayar untuk berdagang ke negeri China dan mengikut apa yang diketahuinya jong-jong Melayu dan Jawa ini patuh dengan kehendak pentadbir pelabuhan Canton agar berlabuh jauh daripada pantai kerana orang Cina bimbang sebuah sahaja Jong Melayu ini boleh menewaskan 20 buah kapal Cina.”

(Anthony Reid, Southeast Asia In The Age Of Commerce mukasurat 59 merujuk Tome Pires, Suma Oriental mukasurat 122-123)

iii. “Orang Cina juga tahu penduduk pulau ini sebagai pembina dan kru kapal laut serta akan terlibat perdagangan laut. Orang Cina sebenarnya telah banyak belajar daripada mereka. Orang Melayu mula membina kapal yang diperbuat dari tikar anyaman yang diperkukuhkan dengan buluh, sekurang-kurangnya beberapa beratus-ratus tahun SM dan ketika masa Dinasti Han (206 SM hingga 221 SM), orang Cina telah menggunakan layar itu.”

(Sumber: Maritime Souteast Asia To 1500: Lynda Shaffler)

iv. “Keterangan orang-orang China berkenaan kapal-kapal Melayu adalah seawal abad ketiga Masehi, menunjukkan kapal-kapal layar Melayu,iaitu jong (perkataan Melayu),sebuah kapal dengan lambung kapal yang berlapis-lapis.Perkataan Inggeris,junk selalu dirujuk sebagai kapal orang-orang China,sebenarnya kata ambilan dari kapal jong Melayu. Orang China juga mengenali bahawa perkataan mereka bagi kapal-kapal Kunlun (sebutan orang China bagi penduduk Melayu) iaitu buo adalah perkataan asing yang dimasukkan ke dalam kosa kata bahasa China.”

(Manguin, 1980: 266-67, 274)

v. Kemajuan maritim yang dialami oleh bangsa Cina adalah berlaku sesudah Maharaja Song melantik bangsa Melayu Champa menjadi Pegawai Maritim yang sekaligus menjadi Shahbandar di Fujian. Kemudian setelah China dikuasai oleh Monggul, jawatan tersebut kekal disandang oleh warga China berbangsa Melayu Champa malah Maharaja Yuan melantik Pu Shou Keng sebagai perekacipta kapal perang dinasti Yuan.

(Sumber: Makalah JONG DI ALAM MELAYU DAN CHINA, oleh Prof. Dr. Maimun dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hidayat bin Syafie yang turut dari Universiti Kebangsaan Malaysia ketika pembentangan 6th International Conference of Asean Studies)

Sekarang fikirkan bahawa sebuah Kesultanan Melayu Melaka, yang dibina oleh bangsa yang mengasaskan teknologi-teknologi perkapalan di atas, tidak mampu untuk membina sebuah armada tentera lautnya sendiri dan membina kapal-kapal mereka? Logik akal apakah ini?

Baik, sebelum nak mengulas tentang bab ini, saya tertarik untuk mengulas tentang kenyataan anda tentang Pertempuran Batu Pahat yang melibatkan Melaka vs Siam yang saya kira mungkin merujuk kepada Sri Dharmaraja ketika itu.

"Gua tanya kenapa Tun Perak sendiri guna taktik akalkan bakar kayu api as decoy kapal untuk halau siam sorang untuk halau siam. sorang Sejarahwan so called pakar melayu pun tak mampu nak jawapkan. Siap unfren blok gua ada la..." – AMZARUL YUZRIN MOHD YUSOF

Kenyataan di atas seolah-olah cuba untuk menafikan armada laut Melaka. Tapi kelihatannya hamba ALLAH itu sendiri tidak mengkaji sejarah strategi dan taktikal perang dalam dunia.

Apa yang cuba dilakukan oleh Tun Perak adalah percubaan untuk menampakkan kapal-kapal Melaka terlalu banyak menandingi jumlah yang dimiliki oleh Siam.

Taktikal yang lebih kurang sama pernah digunakan oleh Zhuge Liang waktu memimpin askar Shu melawan Wei. Di sebuah kota bernama Xicheng, Zhuge Liang telah menempatkan askar-askarnya di situ menanti bala askar daripada Shima Yi.

Zhuge Liang telah mengarahkan semua pintu masuk ke kota Xicheng dibuka, dan kumpulan askar itu dipaksa berpura-pura menjadi penduduk kota yang sekadar menyapu sampah ketika askar Wei yang dipimpin oleh Sima Yi tiba. Zhuge Liang pula ketika itu akan berada di atas sebuah pentas di tengah-tengah kota, sambil memerhati pintu masuk utama kota Xicheng yang terbuka luas tatkala askar Wei tiba sambil bermain dengan kipas guqinnya.

Apa yang diperhatikan oleh Sima Yi ketika tiba di Xicheng benar-benar mengejutkan membuatkan Sima Yi menyangka bahawa Zhuge Liang sengaja berbuat demikian untuk mengumpan askar Sima Yi masuk dan perangkap hebat tersedia untuk askarnya.

Maka, Sima Yi mengarahkan askarnya pulang kerana takut terjerat perangkap yang kalau diikutkan sebenarnya tidak wujud pun. Hari ini, dunia mengenali strategi perang ini sebagai Empty Fort Strategy, dan didebatkan antara cendekiawan antara strategi perang terbijak dan genius pernah digunakan dalam sejarah.

Saya rasa ikut logik akal anda, itu bermakna bahawa Shu tak mempunyai askar langsung? Tak gitu? Nampak sangat yang anda tidak memahami startegi perang zaman dahulu.

Dan tahu tak apa kata Sun Tzu tentang jeneral yang tak perlu bersusah payah menghabiskan darah askarnya untuk menang perang?

1. “The supreme art of war is to subdue the enemy without fighting.” ― Sun Tzu, The Art of War

2. “Supreme excellence consists of breaking the enemy's resistance without fighting.” ― Sun Tzu, The Art of War

3. “The greatest victory is that which requires no battle.”
― Sun Tzu, The Art of War

Berdasarkan genius perang yang hidup ribuan tahun yang lalu, Tun Perak sebenarnya telah berjaya mengaplikasikan apa yang diajarkan oleh Sun Tzu.
smile emoticon

Kalau anda yang memimpin askar ke medan perang, saya merasakan bahawa anda merupakan Jeneral yang Sun Tzu sekalu cakap:

“Victorious warriors win first and then go to war, while defeated warriors go to war first and then seek to win.” ― Sun Tzu, The Art of War

Sebelum berpencak hujah lebih lanjut, saya nak bentangkan anda tentang fakta-fakta Pelabuhan Melaka untuk anda dalami:

i.  “Maka segala dagang atas angin dan  bawcih  angin sekeliannya  datang ke Melaka:  terlalu  ramai  Bandar  Melaka  pada  zaman  itu.  Maka  segala orang  Arab  dinamainya  Malakat,  ertinya  perhimpunan  segala  dagang, kerana  banyak jenis  dagangan  ada  disana.  (Sejarah  Melayu,  edisi  2000, hlm 80)

ii. "... bandar  raya  Melaka  ini  adalah  pelabuhan  yang  terkaya  dengan jumlah    pedagang    borong   yang    terbesar    dan    perkapalan Serta perdagangan  yang  sungguh   banyak  yang   boleh   didapati   di  seluruh dunia. ” (Duerto Barbarossa)

iii. “Melaka merupakan sebuah kota yang dilahirkan untuk perdagangan, lebih baik daripada kota-kota lain di dunia, di hujung monsoon dan di pangkal monsoon yang lain. Melaka dikelilingi dan terletak di pertengahan dan perdagangan serta perniagaan di antara bangsa yang berlainan kerana daripada ribuan batu dari mana-mana arah mesti datang ke Melaka. (A.Cortesao: 1967:268)

iv. “Lima kurun dahulu, Melaka dikunjungi 2,000 kapal sehari iaitu sesibuk pelabuhan Singapura moden kini, yang menjadikannya satu daripada tiga pelabuhan yang tersibuk di dunia …

Di situ terdapat orang-orang Gujerat, Tamil,Bengali daripada India berniaga  dengan orang Melayu, Cina dan Arab secara harmonis; bandar raya dengan 100,000 penghuni, 84 bahasa dituturkan di pasar.

Sultan yang memerintah, telah memastikan keselamatan Selat Melaka daripada lanun, dan barangan dapat disimpan dalam ratusan gudang dengan selamat. Jika ada sebarang pertelingkahan undang-undang yang berwibawa dilaksanakan ke  atas orang tempatan dan asing seadilnya.”

(Simon Elegant, Far Eastern Economic Review (IO Jun, 1999:45)

v. Tiada pelabuhan yang sebesar Melaka diketahui dan tiada yang berdagang barangan yang secantik dan semahal itu." (Suma Oriental of Tome Pires, Armando Cortesao, 1944:286).

Secara logiknya, anda mahu mengatakan bahawa sebuah pelabuhan yang digambarkan penuh takjub di atas tidak mempunyai armada lautnya tersendiri? Sebab itu saya kata jangan memandai ketika belum habis menuntut ilmu. Mari saya paparkan kepada anda petikan-petikan yang membincangkan tentang armada laut Melayu Melaka itu sendiri. Kalau macam itu sudah tentu keselamatan pedagang tidak terjamin dan pedagang pastinya akan mencari pelabuhan lain yang lebih terjamin.

i. “Kewibawaan Melaka ke atas Selat Melaka dipastikan apabila Iskandar Syah menghantar kapal dan perahu peronda yang dikendalikan oleh orang Laut untuk memaksa kapal-kapal singgah di Melaka seperti dalam zaman Srivijaya, laut itu menjadi laut persendirian.”

(P.Wheatly, The Golden Khersonese, Kuala Lumpur, Penerbitan Universiti Malaya, 1980, halaman 308)

Portugis juga ketika sampai ke Melaka tidak ketinggalan mencatatkan tentang kapal-kapal orang Melayu ketika berperang dengan mereka:

i. - “Dinding Jong Melayu begitu tinggi sekali sehinggakan orang Portugis tidak mampu memanjatnya (apabila menyerang jong), dan dinding jong setebal empat lapis tidak rosak sedikitpun oleh peluru meriam”

(Portuguese Documents On Malacca mukasurat 213)

ii. - “Flor De La Mar mempunyai geladak haluan dan geladak buritan yang tertinggi antara galleon milik Portugis, dan ini cuma sekadar hampir menyamai geladak Jong Melayu sahaja…”

(Portuguese Documents On Malacca mukasurat 213)

iii. -“Dinding Jong Melayu begitu tinggi sekali sehinggakan orang Portugis tidak mampu memanjatnya (apabila menyerang jong), dan dinding jong setebal empat lapis tidak rosak sedikitpun oleh peluru meriam” (Portuguese
Documents On Malacca mukasurat 213)

Nampak tak bagaimana Portugis membanding-bandingkan kapal mereka dan kapal orang Melayu? Jadi sekarang sudah jelas bahawa Melaka mempunyai armada kapalnya tersendiri?

c.) Di manakah tentera Melaka?

Dalam membicarakan tentang Kesultanan Melayu Melaka ini, izinkan saya menyebut dua orang raja Melaka yang menjadi sumber kepada perluasan empayar Melayu Melaka.

Tahukah saudara ketika di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah, dicatatkan bahawa Melaka menghantar 200 buah kapal dan perahu perang melanggar Pahang? Perang yang sengit berlaku antara Melaka dan Pahang dan akhirnya, Pahang tunduk kepada kekuasaan Melaka dan Sri Dharmaraja yang ketika itu menjajah Pahang berjaya pula ditundukkan oleh Melaka. Peperangan ini diketuai oleh Tun Perak bersama dengan 11 hulubalang terhebat Melaka.

Negeri-negeri Melayu yang lain terkejut dengan kejayaan Melaka ini sehingga ada yang rela hati datang kepada Melaka dan rela menjadi naungan Sultan Mansur Shah. Selepas penawanan Melaka, antara kerajaan-kerajaan yang berjaya dimasukkan ke dalam Empayar Melaka oleh Sultan Mansur Shah ialah Bernam, Kampar, Siak,Rupat, Singapura, dan Bintan. Dari peperangan ini, Sultan Mansur Shah berkahwin dengan Puteri Onang Seri.

Sekitar tahun 1469 dalam catatan China disebut bahawa serombongan utusan dari Melaka yang dalam pelayaran balik dari China telah dipukul ribut dan terkandas di Vietnam. Kesemua anak kapal ditangkap, ada yang dibunuh malah yang muda dan anak-anak dikasi dan dijadikan sida-sida oleh orang Vietnam.

Melaka telah mengadukan hal tersebut kepada Maharaja China. Pada mulanya Melaka tidak mahu bertindak kerana tahu bahawa Vietnam juga adalah negara yang menghantar ufti ke China. Utusan Melaka Duan Ya Ma La Di Na Cha (Tun Seri Nara Diraja?) juga telah mengadukan rancangan Vietnam untuk menyerang dan menakluk Melaka.

Sewaktu utusan Melaka berada di China kebetulan utusan dari Vietnam juga turut ada. Hal ini telah menyebabkan timbul pertengkaran diantara wakil Melaka dengan wakil Vietnam tentang tindakan biadap Vietnam yang telah menculik dan membunuh utusan Melaka sebelum itu.
Mereka berdua ditenangkan oleh salah seorang menteri pertahanan China ketika itu yang menasihati mereka agar melupakan persengketaan kerana perkara tersebut telah lama berlalu.

Sebelum kedua-dua utusan tersebut pulang ke negeri masing-masing, Maharaja China telah mengirimkan surat yang menyelar perbuatan Maharaja Vietnam dan menasihatinya agar berbuat baik dengan negara tetangga dan merenung kesalahan sendiri.

Manakala Maharaja China telah bertitah kepada utusan Melaka supaya bertindak tegas dan menyiapkan tentera serta kuda perang sekiranya Vietnam tetap mahu menyerang Melaka kelak.

Dalam sejarah, Maharaja Vietnam yang dimaksudkan diatas adalah Le Than Tong. Pada zaman beliau wilayah kekuasaan Vietnam mencapai sehingga sempadan Burma. Le juga dikatakan telah menyerang kerajaan Lanxang dengan 90 ribu askar namun dalam satu serangan mereka telah kalah dan terpaksa berundur kembali.

Walaupun dalam catatan sejaran Lanxang dan Vietnam tidak pernah menyebut keterlibatan Melaka dalam perang diantara Lanxang dan Vietnam ini, namun kronik China ada mencatatkannya.

Dikatakan bahawa 90 ribu bala tentera Vietnam telah melanggar Lanxang namun mereka berjaya diusir oleh angkatan perang Melaka dan mengakibatkan mereka kehilangan seramai 30 ribu nyawa.

Peristiwa ini tercatat didalam kronik China Ming Shilu. Adakah peristiwa ini merupakan tindakbalas Melaka terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Vietnam sebelum itu? Faktor penentu kekalahan Vietnam ini pastinya adalah kerana kehebatan Melaka di medan tempur.

Memandangkan tentera Melaka perlu merentas negara Kemboja atau Siam Ayuthia untuk ke Lanxang maka dapatlah disumpulkan bahawa salah satu atau kedua dua pihak ini telah membenarkan bala tentera Melaka melintasi negara mereka kerana berasa terancam dengan dasar perluasan kuasa Vietnam sepanjang pemerintahan Maharaja Le Than Tong 1460-97.

Kegagalan besar ini melenyapkan impian Le Than Tong untuk meluaskan lagi empayarnya sekaligus mengesahkan keunggulan Melaka ke atas semua kuasa lain di Asia tenggara meskipun jumlah tentera dan penduduk Vietnam adalah berkali ganda lebih besar. Saya percaya kemenangan ini juga dibantu oleh jajahan takluk Melaka yang lain termasuk tentera Siam Ayuthia dan Lanxang sendiri. Konflik antara Melaka dan Vietnam dipercayai berlaku ketika era pemerintahan Sultan Mansur Shah dan juga Sultan Alauddin Riayat Shah. 

-----
d.) Di Mana Armada Laut Melaka Ketika Serangan Portugis?

Sebenarnya saudara, perang Melaka bukan berlaku dalam jangka masa yang singkat. Pada masa ketibaan Portugis pada 28 Jun 1511 pertempuran tidak terus terjadi sebaliknya kedua-dua belah pihak menggunakan taktik tunggu dan lihat, masing-masing menunggu siapa yang akan menyerang dahulu.

Hal ini diselangi dengan sesi perundingan dan diplomasi yang tidak kemana. Pihak Portugis mahu tawanan Portugis termasuk Ruy de Aroujo dibebaskan. Selang tiga minggu dari itu keadaan mula semakin tegang. Beberapa siri pertempuran kecil berlaku di laut dan dikawasan penginapan para pedagang berdekatan pantai.

Portugis menyerang empat kapal Jawa dan sebuah kapal Sumatera. Kemudian kapal-kapal saudagar Gujarat di pelabuhan juga dibakar termasuk rumah penduduk di pantai. Walaupun Sultan kemudiannya membebaskan tawanan, namun perang tetap tidak dapat dielakkan lagi.

Pihak Portugis sebenarnya sangat tahu akan kelemahan Melaka. Hal ini kerana mereka telah mempunyai perancangan yang jitu. Mereka mempunyai kelebihan dari segi risikan atau maklumat yang diberi oleh Ruy de Aroujo dan orang-orang dalaman Melaka sendiri seperti Utimutiraja, seorang perempuan Parsi dan Nainachittu. Melaka mempunyai musuh di setiap penjuru malah didalam kelambunya sendiri. Namun demikian Portugis tidak pernah memperkecilkan kemampuan pertahanan Melaka.

Albuquerque sendiri pernah menyebut bahawa

"Kita tidak akan dapat menawan melaka dengan hanya dua batang pedang yang berkarat!"

Di waktu subuh sebelum serangan habis-habisan dilancarkan, Albuquerque memberi ucapan bahawa Melaka harus ditundukkan supaya aliran rempah tidak akan sampai ke Makkah dan Kaherah dan sinar Islam disini akan padam! Ungkapan beliau ini jelas menunjukkan niat sebenar mereka.

Barisan ketenteraan Portugis sebenarnya lebih ramai dari yang kita ketahui. Namun kita sering mendengar jumlah tentera Portugis hanyalah 1200 orang termasuk 600 tentera upahan Malabari dan kapalnya lebih kurang 19 buah.

Maklumat daripada catatan Giovanni menunjukkan bahawa sewaktu tiba di Pedir, jumlah kapal termasuk yang ditawan di perjalanan mencecah angka 25 buah. Di Pasai, lapan buah kapal dari Cambay lagi menjadi mangsa tawanan atau dirosakkan. Dengan demikian kita menganggarkan lebih kurang 27 buah kapal telah tiba di perairan Melaka.

Malahan terdapat beberapa buah kapal lagi di Melaka yang ditawan dan tawanannya dijadikan barisan sokongan dalam serangan keatas Melaka. Giovanni turut melaporkan bahawa dalam serangan pada 25 julai 1511 terdapat 1500 orang tentera Portugis yang terlibat, dengan pasukan bantuan daripada orang Cina sebanyak 400 orang dan bantuan dari seorang putera Sumatera (Raja Kampar menantu Sultan Mahmud sendiri) juga lebih kurang 400 orang.

Ini semua belum termasuk tentera bantuan dari orang Pegu, Siam, malah orang-orang Keling dibawah Nainachittu dan tentera upahan Jawa yang sengaja berperang dengan tidak bersungguh-sungguh setelah ketua mereka Utimutiraja disogok Portugis.

Pertempuran berlaku dengan sengit di beberapa lokasi seperti di Jambatan, bukit Melaka, Bandar pelabuhan, Istana dan Masjid sultan. Pertahanan Melaka turut diperkuatkan oleh ribuan tentera Jawa yang pada permulaan ogos dibayar tiga bulan gaji terkehadapan disamping barisan pejuang Turki dan Khorusones atau Parsi sejumlah 3000 orang.

Seperti yang saya telah sebutkan tadi, walaupun tentera Jawa ini telah dibayar gaji awal untuk tiga bulan, mereka tetap belot dan tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Melaka kerana penghulu mereka Utimutiraja telah membuat pakatan dengan Alfonso de Albuquerque dan memberitahu anak-anak buahnya agar ‘tidak perlu bersusah payah menggadaikan nyawa sendiri untuk mempertahankan harta benda orang lain’.

Persoalannya adakah kekuatan Melaka yang sebenar telah digunakan sepenuhnya? Sebenarnya kekuatan Melaka yang sebenar adalah terletak pada armada lautnya. Namun demikian armada laut Melaka yang terdiri daripada jong-jong yang besar tidak berada di perairan Melaka pada ketika itu.

Sebelum mulanya serangan yang penghabisan oleh Portugis, Sultan sengaja melambat-lambatkan pelepasan tawanan dan cuba berdiplomasi kerana menunggu armada lautnya bersama Laksamana. Namun tindakan Sultan yang sengaja melengah-lengahkan masa tersebut diketahui Portugis yang menyebabkan serangan total dilakukan sebelum sempat armada itu sampai.

Hal ini disebabkan pihak Portugis sangat takut dengan risikan yang diberikan oleh Ruy de Aroujo yang mengatakan bahawa Sultan Melaka mempunyai satu armada laut yang sangat kuat yang diketuai oleh seseorang yang bernama ‘Laksamana’ yang dapat membakar hangus seluruh armada Portugis jika mereka lambat bertindak.

Terdapat catatan dari Portugis yang menyebut bahawa sewaktu Melaka diserang, Laksamana bersama armada Melaka sedang mengadakan rondaan di kawasan perairan jajahan takluk Melaka, mungkin sekitar Riau-Lingga. Ini kerana dalam catatan tersebut diberitahu bahawa Raja Lingga bersama Laksamana telah berpatah balik apabila mengetahui bahawa Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis dan Sultan Mahmud Shah dan keluarganya berundur ke Bentayan di Muar.

Pada pendapat saya Raja Lingga dan Laksamana tahu bahawa kejatuhan Melaka bukanlah bermakna kejatuhan empayar Melaka kerana adat Melayu itu 10 negeri boleh dicari, selagi ada raja berdaulat. Jadi jika raja berundur maka pembesar dan raja-raja taklukannya tidak akan membuat keputusan sendiri untuk terus menyerang Melaka, sebaliknya berundur bersama Sultan untuk mengatur strategi baru. Boleh jadi juga bahawa ketika itu mungkin Laksamana Melaka yang mengetuai armada tersebut merajuk dengan telatah dan karenah Sultan Mahmud yang kita tahu sangatlah korup.

Sultan Mahmud Shah juga dikatakan bertitah, adat kita raja Melayu, negeri alah raja mati, yang melambangkan bahawa perjuangan Melaka sebenarnya belum tamat selagi baginda dan waris-warisnya belum mati.

Apa yang dapat saya simpulkan disini ialah kekalahan Melaka kepada Portugis bukanlah satu kekalahan yang mudah seperti yang sering disebut-sebut.  Barisan pertahanan Melaka telah berjuang berhabis-habisan baik dari segi diplomasi, pertanahan, taktik dan strategi pertempuran.

Pihak Portugis sendiri mengakui bahawa pejuang-pejuang Melayu Melaka adalah gagah perkasa dan terlatih dalam ilmu peperangan serta dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata berpotensi. Namun begitu kita tidak boleh pandang rendah pada kekuatan Portugis. Orang Portugis mempunyai pengalaman tempur dan kepungan laut yang sama hebatnya dengan bangsa Melayu. Sebelum mereka menyerang Melaka banyak kota pelabuhan lain seperti di India dan Teluk Parsi yang berjaya mereka tawan, malah mereka pernah bertempur dengan armada Turki Uthmaniah yang terkenal hebat itu.

Izinkan saya bertanya, sebuah kerajaan yang memiliki senjata seperti dibawah ini tidak mampukah mempunyai tentera sendiri dan armada laut mereka? Habis tu apa gunanya senjata-senjata api yang dirampas oleh Portugis?

• Seperti yang dinukilkan oleh Godinho Eredia dalam buku Asia Portugueza, karya Manuel de Faria Y Souza dalam E. Koek, Portuguese History of Malacca, sewaktu kedatangan Portugis di Melaka, jumlah meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah sangat banyak. Tiga ribu pucuk meriam besar telah dijumpai dalam kota Melaka, 5000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka apabila kota itu tumbang.

• Albuquerque menyatakan bahawa terdapat 2000 pucuk meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi di Melaka. Faria y Souza mengatakan bahawa sebahagian besar daripada 8000 pucuk senjata api atau meriam yang dipunyai kerajaan Melaka adalah berasal dari Pahang.

Gila ke apa senjata-senjata hebat tersebut dijumpai oleh penjajah Portugis, tetapi Melaka tak ada tenteranya sendiri? Logik awak ni sangat melucukan.

Fikir-fikirkanlah saudara. Kikislah sikap inferiority complex yang melanda diri saudara itu. Dalam dunia ini, bukan Russia sahaja bangsa yang hebat.

-HE-

22 Perkara Perlu Tahu sebelum Sambung Master


==========================================
Pengenalan:Post ini adalah bertujuan untuk berkongsi mengenai kepada sesiapa yang ingin meneruskan pengajian ke pringkat yang lebih tinggi. Sehubungan itu, dibawah ini terdapat 22 perkara yang perlu anda tahu sebelum anda sambung master.

----------------------------------------------------------

1) Anda boleh sambung belajar dalam bidang yang lain selain bidang waktu Degree.

----------------------------------------------------------

2) Anda perlu menghadiri penerangan oleh pihak Universiti dan anda perlu fahamkan buku tersebut dengan supaya tidak terlepas perkara-perkara yang penting .Setiap proses dalam pembikinan  kajian memerlukan masa yang lama. Mohon semak buku ini dan rancang sebaiknya.

----------------------------------------------------------

3) Anda bersendirian semua orang akan buat assignment sendiri.  Dan anda akan presention di hadapan kelas sendiri. Belaja anda perlu belajar sendiri. Sebab anda dah mula masuk ke alam kajian bersendirian. Tidak dapat dinafikan, anda masih boleh belajar secara berkumpulan kerana dengan cara itu lebih banyak anda memperoleh segala maklumat yang telah dibincangkan bersama rakan-rakan anda tambah  lagi apabila waktu peperiksaan sudah hampir.

----------------------------------------------------------

4) Ada terlebih banyak sangat waktu yang panjang. Bayangkan dalam satu semester hanya ada 4 subjek. Satu subjek 3 jam seminggu. Setiap minggu ada satu kelas sahaja. Kalau ambil full time memang banyak masa.

----------------------------------------------------------

5)  Adakalanya, banyak buang masa ketika dahulu kita seorang yang kurang berdisiplin, ketahuilah peluang untuk anda berlengah juga tinggi. Apatah lagi, yang full time study dan tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

----------------------------------------------------------

6)  Boleh dikatakan assignment dan presentation setiap minggu pasti ada. Dari situ anda perlu berubah menjadi seorang yang lebih rajin dan bertanggungjawab.

----------------------------------------------------------

7) Ada 3 pilihan mode pembelajaran yang boleh dipilih mengikut kesesuaian masa dan kebolehan masing-masing.

Yang pertama:
Mode Full Research : Kajian Sepenuhnya. Boleh sambung Ph.D  dan terus sebab ada kajian.

Yang Kedua:
Mode Coursework : Belajar semua subjek yang diwajibkan bagi sesuatu kos dan menulis artikel/mini research adalah untuk mendapatkan sijil Sarjana. Perlu buat kajian terlebih dahulu, baru anda boleh sambung Ph. D

Yang ketiga:
Mix mode : Belajar beberapa sahaja subjek ditambah dengan penulisan tesis untuk mendapatkan sijil Sarjana. Anda boleh sambung Ph.D terus.

Full time study : 2 – 3 tahun
Part time study : 2 – 4 tahun

----------------------------------------------------------

8) Kita boleh tukar mode pembelajaran di sepanjang perjalanan menggapai segulung ijazah Sarjana. Tak semestinya kita tetap dengan pilihan pertama kita.

----------------------------------------------------------

9) Ambil coursework sahaja, dan tidak perlu risaukan sangat pasal kemampuan anda. Akan tetapi, bagi anda yang  mengambil research. Lebih baik anda mula tesis dengan awal agar penulisan anda tidak tertangguh dan tidak risau.

----------------------------------------------------------

10) Cari tajuk kajian pada semester satu dan cari penyelia. Anda harus rajinkan diri berkenalan dan minta pendapat para pensyarah. Sebab segala informasi dan maklumat dapat dibincagkan dengan baik.

----------------------------------------------------------

11) Seterusnya, anda akan mahu habiskan seawal yang mungkin. Finish what you’ve started. Anda akan fikir hendak mencari kerja tetapi selalunya belajar tidak tamat lagi, jadi anda terpaksa siapkan juga.

----------------------------------------------------------

12)  Pergi kursus menulis dan format tesis.13)– Ambil short sem untuk terus menulis research proposal atau sambung menulis.

----------------------------------------------------------

14) Walaupun anda ambil Full Time,  anda harus mencuba mencari kerja supaya dapat bermotivasikan diri anda dan menjadi lebih proaktif dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

----------------------------------------------------------

15)  Rajinkan diri ke perpustakaan agar anda dapat segala input dan bahan rujukan yang lebih banyak.

----------------------------------------------------------

16) Selain daripada bekerja untuk membayar duit yuran, anda boleh memohon pinjaman MARA atau PTPTN. Biasiswa kerajaan MyBrain pun ada. Penerangan untuk cara memohon banyak boleh cari di google.

----------------------------------------------------------

17) Kalau ada duit lebih, bolehlah beli printer sendiri. Kalau dah tak nak guna lagi, boleh jual semula. Printer penting juga sebenarnya untuk siapkan thesis.
----------------------------------------------------------

18) Keluarlah dari bilik dan join program universiti. Walaupun anda yang paling tua di situ, sebab banyak lagi ilmu yang boleh anda dapat selain daripada pengalaman. Bersenam, berenang dan sebagainya.

----------------------------------------------------------

19) Disiplin fokus.

----------------------------------------------------------

20) Jangan malu bertanya dan minta bantuan usahakan berkawanlah dengan kawan yang lebih baik dan pandai.

----------------------------------------------------------

21) Selalu baiki niat dan kembalikan semangat “Kenapa aku mahu sambung belajar?”. Ada yang mahu mencapai cita cita, ada yang mahukan untuk kepuasan diri, ada yang atas permintaan ibu bapa. Apa pun, kalau hilang diri, cepat-cepat cari.

----------------------------------------------------------

22) Anda mungkin menangis kerana terasa susah sangat dengan fasa hidup yang baru ini. Anda mungkin rasa hilang (lost) beberapa kali. Dan adakalanya anda rasa mahu putus asa. Tetapi pengalaman ini akan menjadi suatu titik tolak baharu dalam kehidupan anda. Anda akan lihat kebaikan yang banyak hadir selagi mana anda senyum dan bersangka baik dengan ujian dari Tuhan. Jadi teruskan kejayaan selagai nyawa dikandung badan. Semoga segala pengorbanan anda dirahmati oleh Allah swt.

----------------------------------------------------------

sumber : laman pascasiswazah

KISAH PERANG ANTARA ORANG BanJar Sungai Manik

KISAH PERANG ANTARA ORANG BanJar Sungai Manik BERSENJATAKAN PARANG BUNGKOL DENGAN KOMUNIS BINTANG TIGA.

Terkadang apa yang terpapar di hadapan kita bukanlah suatu kenyataan. Apa yang kita baca tidak semestinya adalah suatu kebenaran yang hakiki. Malah ada antaranya adalah satu kepalsuan yang menutupi suatu kebenaran. Kisah Parang Terbang Sungai Manik di Negeri Perak adalah salah satu daripadanya. Wallahua’lam…

( Selempang Merah )

Perang Sabil Sg Manik, Perak adalah perang yang dipaksakan ke atas orang Melayu oleh Cina Komunis MPAJA melalui provokasi terancang sehingga mencetuskan kemarahan orang Melayu. Ianya berlaku sejurus tentera Jepun berundur dari Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua dan Cina Komunis Bintang Tiga memerintah Tanah Melayu selama 14-hari. Kekejaman Cina Komunis ini tak banyak beza dengan kegiatan AhLong masakini yang menyiksa mangsa hutang tanpa belas kasihan kerana kegiatan jenayah terancang mereka ini diwarisi turun temurun melalui kongsi gelap yang menjadi tulang belakang dewan perniagaan Cina di seluruh dunia.
Banyak cerita perihal kehandalan dan kehebatan ilmu kebatinan suku Melayu Banjar yang di sampaikan dari mulut ke mulut, tapi kini makin luput dari ingatan generasi muda. Dalam kejadian 13 Mei 1969, pejuang Melayu dari Sg Manik telah beramai-ramai turun ke Kuala Lumpur untuk menyelamatkan nyawa orang Melayu di Kg Baru yang berada dalam bahaya. Anda mungkin pernah mendengar kisah Parang Terbang yang berlegar sewaktu curfew atau perintah berkurung semasa peristiwa 13 Mei.
Pergerakan seperti Tentera Sabil atau Kumpulan Parang Terbang merujuk kepada kaum etnik Banjar Sg Manik di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Bakri. Cerita tentang parang terbang dan kehandalan pahlawan Melayu Banjar yang hanya bersenjatakan parang menentang komunis yang lengkap bersenjatakan senapang sudah menjadi satu legenda.
Nama-nama seperti Tuan Guru Haji Bakri, tetap menjadi sebutan anak-anak muda Sg Manik. Selepas Jepun menyerah kalah, kumpulan bintang Tiga yang kebanyakannya orang Cina cuba mengambil alih pemerintahan Tanah Melayu dan menubuhkan negara komunis Cina.
Mereka melakukan banyak kekejaman secara terancang terhadap orang Melayu yang tidak menyokong perjuangan mereka, lebih-lebih lagi kerana orang Melayu dianggap sebagai tali barut Jepun. Cubaan Bintang Tiga mencampuri urusan agama Islam dan memungut cukai mendapat tentangan terutama dari masyarakat Banjar di Sg Manik dan Batu Pahat.
Bintang Tiga tidak menjangkakan reaksi dan tentangan yang bakal mereka terima dari masyarakat Banjar. Jika tidak kerana set back yang mereka terima di Sg Manik dan Batu Pahat, senario politik kita masa ini mungkin sedikit berbeza. Mungkin Perdana Menteri bukan lagi orang Melayu, seperti yang terjadi di Singapura!
Bagi orang Melayu Banjar Sg Manik terutama keluarga bekas pejuang timbul satu kekesalan kerana tiada official recognitions atau pengiktirafan terhadap perjuangan mereka yang membela maruah orang Melayu.
Bacalah mana-mana buku sejarah di sekolah, tiada satu yang menyebut secara jelas tentang peristiwa itu mungkin kerana nak menjaga sensitiviti perkauman. Di Batu Pahat misalnya, Kiyai Salleh yang menyelamatkan orang Melayu tetapi Dato Onn yang dapat nama sebagai hero.
Sudah tiba masanya pengiktirafan diberikan kepada mereka yang berjuang menyelamatkan bangsa, bukan digambarkan sebagai satu kumpulan etnik yang ganas dan panas baran dan peristiwa itu hanya sebagai satu titik hitam dalam sejarah negara.
Orang Melayu Banjar Sg Manik tidak mahu ganjaran berbentuk material atau pangkat duniawi seperti Tan Sri atau Dato, cukup sekadar pengorbanan pejuang terdahulu dihargai dan direkodkan dalam sejarah negara. Jangan sampai peristiwa pemerintahan Tanah Melayu oleh Komunis Cina Bintang Tiga selama 14-hari itu berulang kembali.

Al  - Fatihah

Saturday, 26 December 2015

WING CHUN DAN LAGENDA IP MAN

1. Wing Chun adalah salah satu sistem seni mempertahankan diri yang berasal dari Selatan China pada kira kira 300 tahun yang lalu.

2. Seorang rahib Budha yang bernama Ng Mui , merupakan pakar dalam Kungfu ‘Shaolin’ , menggunakan kepakaran dan pengetahuannya untuk mencipta satu cara untuk memanipulasi kelemahan yang wujud dalam sistem kungfu ‘Shaolin’ .Beliau mendapat inspirasi beliau untuk Wing Chun dari pergerakan haiwan, terutamanya daripada burung bangau.

3. Nama Wing Chun itu sendiri berasal daripada nama seorang wanita yang bernama Yim Wing Chun. Yim Wing Chun juga merupakan anak murid pertama kepada Ng Mui. Wanita ini didesak oleh seorang jeneral perang pihak musuh untuk berkahwin dengannya.

4. Setelah menguasai seni bela diri ini , wanita ini berjaya menghalau penjahat dan berjaya mengalahkan Jeneral Perang itu dalam perlawanan satu sama satu. Ini adalah bagaimana keturunan Wing Chun bermula menurut legenda popular.

5. Yip Man ( atau dikenali sebagai Ip Man ) dilahirkan di Foshan, China pada tahun 1893. Beliau berasal dari keluarga yang kaya.

6. Ip Man dihantar bapanya untuk berguru dengan Chan Wah Shun (merupakan anak murid kepada Leung Jan). Setelah Chan Wah Shun bersara atas faktor kesihatan dan usia yang sudah lanjut, Ip Man meneruskan latihannya bersama senior-senior seperguruannya, seperti Ng Jung So.

7. Selepas kematian gurunya iaitu Chan Wah Shun pada tahun 1911, Ip Man menyambung pelajarannya di St. Stephan College Hong Kong. Di sana, beliau terserempak dengan Leung Bik, merupakan anak kedua kepada Leung Jan. Bakat dan ketangkasan Ip Man digilap dan dilatih oleh Leung Bik kepada tahap tertinggi dalam tempoh 7 tahun sepanjang pengajiannya di Hong Kong.

8. Sifu Chan Wah Shun dan Leung Bik mempunyai cara dan variasi yang berbeza. Belajar di bawah 2 sifu yang berbeza membuatkan Ip Man berjaya menguasi seni Wing Chun dengan sempurna.

9. Sekembalinya beliau ke China, beliau berusaha untuk mengembangkan seni Wing Chun kepada orang ramai dengan mengajarnya. Walaubagaimana pun, beliau tidak mengajar lama. Hal ini disebabkan penguasaan Jepun terhadap China pada tahun 1942.

10. Ip Man berjaya melarikan diri ke Hong Kong pada 1949 dan mula mengajar Wing Chun di sana untuk menyara kehidupan. Sepanjang beliau di Hong Kong, beliau berjaya melatih ramai anak murid yang handal. Antara anak murid yang dilatih beliau adalah Bruce Lee.

11. Beliau meninggal dunia pada tahun 1972 di Hong Kong pada usia 79 tahun.

12. Kisah lagenda ini banyak difilemkan ke layar perak. Antara yang paling popular adalah watak yang dimainkan oleh bintang Hong Kong, Donnie Yen sebagai Ip Man. Aksi tangkas Donnie Yen sememangnya membuatkan penonton terpegun melihatnya.

13. Untuk pengetahuan anda semua, Donnie Yen memiliki tali pinggang hitam dalam taekwando dan judo. Selain itu, beliau memegang tali pinggang unggu dalam jiu-jitsu. Beliau juga mempelajari muay thai, parkour, kick boxing dan wrestling sebagai tambahan. Beliau juga kerap kali memenangi pingat emas dalam acara wushu.

14. Kisah Ip Man sememangnya penuh dengan pengajaran dan unsur unsur penting terutamanya sifat sayangkan bangsa dan anti penjajah. Berharap pengarah pengarah di Malaysia juga mengetengahkan seni bela diri Melayu seperti Silat dengan watak watak pahlawan Melayu untuk tatapan rakyat Malaysia.

Sekian.

Friday, 25 December 2015

ANALISIS TAKTIKAL 3 PERTEMPURAN TERBESAR MELIBATKAN RASULULLAH S.A.W

Dalam sejarah, baginda memang dikenali sebagai seorang insan yang banyak mengetuai banyak pertempuran dalam sejarah. Maka saya nukilkan artikel ini sempena dengan Maulidul Rasul bagi menceriakan lagi perayaan kita. Justeru, bagi saya adalah penting juga untuk kita mengkaji sisi kemanusian Rasulullah itu sendiri, sama penting untuk kita mengkaji tentang sisi keajaiban dan kenabian baginda ketika perang.

Ini adalah penting kerana kita umat akhir zaman perlu tahu bahawa keajaiban tidak mungkin akan mendatangi mereka kecuali dengan izin ALLAH. Maka sisi kemanusiaan Rasulullah perlu juga dipelajari oleh kita, untuk kita menyediakan diri kita dalam perang seperti mana Rasulullah S.A.W. Antaranya ialah Rasulullah tidak turun berjihad semata-mata berdoa kepada ALLAH atau melaungkan ALLAH MAHA BESAR dan selepas itu, mengharapkan keajaiban berlaku.

Sebaliknya, sebelum pertempuran berlaku, Rasulullah sendiri menyediakan taktikal dan strategi perang untuk melawan musuh. Maka mari bersama saya, kita selami sejarah yang maha hebat ini. Perlu diingatkan bahawa dalam artikel ini, kami tidak menceritakan secara terperinci sebaliknya sekadar analisis dan kemudian memaparkan keputusan yang diperolehi daripada analisis itu.

1. Pertempuran Badar 9 (624 Masihi)

Pertempuran ini berlaku ketika 17 Ramadhan 2 Hijrah. Apa yang saya mahu perkatakan tentang pertempuran ini ialah kebijaksanaan Rasulullah. Rasulullah tahu bahawa dalam pertempuran yang berlatarkan padang pasir, yang paling penting ialah sumber air.

Justeru sebelum pertempuran ini bermula, maka Rasulullah memanggil semua para sahabatnya untuk mewujudkan sebuah “war council” memandangkan kemaraan angkatan tentera Musyrikin dari Mekah. Strategi tentera Islam adalah mudah. Menghampiri kumpulan telaga air yang berdekatan yang di Medan Badar.

Ini kerana pertempuran dijangka akan bertempat di kawasan sekitar Madinah, maka nabi tahu bahawa dalam sebuah pertempuran di tengah padang pasir, sesiapa yang menguasai sumber air, maka kemenangan seperti sudah berpihak separuh kepadanya. Maka nabi memilih sebuah telaga air di Badar sebagai tempat tentera Islam berkampung.

Namun para sahabat mencadangkan agar tentera Islam mara lebih atas sedikit, ke sebuah lagi telaga air dalam medan Badar yang lebih strategik kerana kedudukannya lebih dekat dengan tentera Musyrikin.

Rasullulah selaku seorang pemimpin yang hebat, pasti menerima cadangan strategi daripada para sahabatnya yang dilihatnya jauh lebih baik dari cadangan pertama. Maka berangkatlah Rasulullah dan tentera Badar ke telaga yang dimaksudkan. Sampai sahaja di situ, Rasulullah kemudian mencadangkan agar semua telaga air di medan Badar dikambuskan dengan air.

Kalau kita analisis rancangan Rasululullah ini ialah sebenarnya untuk mengheret tentera Quraisy menyerang satu-satunya lokasi air di sekitar Madinah yang masih lagi terjaga. Tentera Islam pula walaupun dalam jumlah yang lebih kecil dari tentera Quraisy, tetapi mempunyai kelebihan yang jauh lebih besar daripada kelebihan yang dimiliki oleh Quraisy.

AIR.

Jangan pandang rendah pada kelebihan air dalam medan pertempuran kerana pada zaman terkemudiannya, terbukti bahawa air memang memainkan peranan yang sangat besar. Antara jeneral perang dalam sejarah Islam yang menjadikan air sebagai titik focus strategi perangnya ialah Salahuddin Al-Ayyubi dalam Pertempuran Hattin di mana tentera Salib dimain-mainkan oleh Salahudin dengan sangat bijak sekali.

Kenapa saya berpendapat bahawa air adalah sumber yang sangat strategik dalam pertempuran di tengah padang pasir? Kerana tanpa air, sebuah penaklukan ke atas sebuah kota adalah kelihatan sangat mustahil kerana tentera tidak akan mampu bertahan lama. Mungkin sebab itu juga, tentera Quraisy hanya mampu bertahan selama tiga jam dalam pertempuran ini sebelum melarikan diri kerana pertahanan ampuh oleh tentera Islam. Tanpa air di tengah padang pasir, sebuah pasukan tentera itu tidak mempunyai masa yang lama atau mereka akan mula mengalami dehidrasi lalu menjadi lemah.

Tentera Quraisy yang jauh dari sumber air di padang pasir, harus menyerang tentera Islam yang sedang berjaga di satu-satunya sumber air. Akhirnya, dengan bantuan ALLAH yang mengirimkan malaikat terbaiknya, serta taktikal genius Rasulullah menyuruh seluruh telaga air dikambus, maka kemenangan pun berpihak kepada tentera Islam. 313 ahli Badar menewaskan lebih 1000 tentera kafir.

2. Pertempuran Uhud (625 Masihi)

Dalam pertempuran ini, tentera Islam mempunyai lebih kurang 700 orang tentera tetapi hanya sekadar 4 orang tentera berkuda. Sebaliknya tentera Quraisy pula membawa lebih kurang 3000 orang tentera, bersama dengan 200 unit tentera berkuda.

Seperti mana yang kita tahu, untuk pertempuran ini, ianya berlaku adalah atas niat balas dendam yang mahu dilunaskan oleh Abu Sufyan ke atas tentera Islam yang berjaya membunuh banyak tokoh penting Quraisy di dalam Pertempuran Badar.

Lalu seperti mana yang diberitahu di atas, Abu Sufyan pun membawa lebih kurang 3000 askar Quraisy, bersama dengan beberapa orang jeneral perang seperti Khalid Al-Walid yang memimpin unit berkuda tentera Quraisy.

Dalam pertempuran ini, apa yang cuba dilakukan oleh Abu Sufyan dalam pertempuran adalah menempatkan taktik ‘double enveleopment’ di mana, Abu Sufyan cuba menguatkan bahagian sayap kanan dan kiri daripada bahagian tengah askar Quraisy. Apa yang cuba dilakukan oleh Abu Sufyan ialah memastikan bahawa tentera Islam akan terus masuk ke bahagian tengah barisan askar Quraisy sambil bahagian sayap kiri dan kanan Mekah masib bertahan.

Konon-kononnya nanti bahagian tengah tentera Quraisy akan berundur ke belakang lalu terus memasuki ruang kosong yang ditinggalkan di tengah, tetapi di kiri dan kanan tentera berkuda masih kukub bertahan. Tentera Islam akan memasuki ruang kosong yang ditinggalkan di bahagian tengah tentera Quraist ini. Ini secara tak langsung membuatkan tentera Islam akan terkepung di kiri dan kanan mereka. Lalu tentera berkuda yang memang jauh lebih kukuh daripada tentera pejalan kaki umat Islam akan terus membantai tentera umat Islam di kiri dan kanan.

Dan Rasulullah S.A.W selaku seorang taktikal genius perang yang sangat menakjubkan telah menyediakan pelan tersendiri untuk menentang taktik “double envelopment” yang di bawa oleh Abu Sufyan. Selaku pasukan yang bertahan, maka kelebihan memilih geografi medan tempur dimanfaatkan sehabis baik oleh Rasulullah.

Lalu baginda memilih kawasan di lembah Bukit Uhud. Kelebihan kawasan lembah Uhud ini ialah terdapat dua buah bukit yang mengapit kawasan kiri dan kanan tentera Islam. Dan baginda sendiri telah meletakkan pasukan askar pemanah di salah satu puncak bukit itu untuk neutralkan habis kelebihan askar berkuda yang dimiliki oleh tentera Quraisy.

Taktikal baginda ini membuatkan taktikal “double enveleopment” yang cuba digunakan oleh pasukan tentera Quraisy berhasil dengan kegagalan. Sebab itu baginda menyatakan kepada pasukan pemanah itu untuk kekal di posisi mereka meski apa sahaja berlaku, sama ada tentera Islam sedang menempah kegagalan dan kemenangan.

Dan malangnya, mereka turun dari puncak bukit dan… Khalid Al-Walid yang melihat bahawa senjata utama taktikal perang Rasulullah kini sudah tiada di tempatnya, terus memimpin unit berkuda yang sebelum ini dineutralkan oleh pasukan pemanah itu.

Akibatnya… kekalahan terus menyapa pasukan tentera Islam! Tetapi apa yang saya nak sampaikan dalam analisis taktikal perang kali ini, betapa Rasullulah begitu bijak menyimpan pelan untuk menafikan terus taktikal perang terkenal yang bernama “double envelopment” itu. Tidak hairanlah kalau baginda adalah tokoh paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Baginda seorang politikus, jeneral perang, ayah, tokoh spiritual, cendekiawan dan suami yang hebat!

3. Pertempuran Khandaq (627 Masihi)

Dalam sejarah peperangan orang Arab, pengepungan adalah sangat jarang berlaku kerana sebelum ini, pertempuran biasanya berlaku dalam skala yang lebih kecil. Namun, memandangkan ajaran Islam yang dibawakan oleh Rasulullah semakin diterima oleh seluruh umat Islam.

Dalam Pertempuran Khandaq jugak, dapat dilihat bagaimana buat pertama kalinya, strategi yang sangat terkenal di dunia parsi dipakai oleh tentera Islam berkat cadangan Salman Al-Farisi dan ketoleransian Rasulullah mendengarkan cadangan sahabatnya.

Salman mencadangkan agar dibinakan sebuah parit mengelilingi Kota Madinah demi mempertahankan kota itu daripada serangan gabungan tentera Ahzab yang berjumlah 10 ribu banyaknya melibatkan orang Quraisy dan juga puak-puak arab di sekitar Jazirah Arab.  Tentera Islam pula ketika itu memiliki ketumbukan askar sebanyak 3 ribu orang.

Dalam sejarah Parsi, taktikal ini memang selalu diguna pakai. Tetapi ianya sangat asing dalam sejarah peperangan arab. Sebab itu ketika Abu Sufyan sampai sahaja ke kota Madinah untuk melalukan pengepungan sekaligus menggerakkan penaklukan ke atas Madinah, terkejut apabila melihatkan parit yang digali di sekeliling kota Madinah.

Pertahanan umat Islam di dalam parit itu sangatlah ampuh apabila selama 27 hari usaha untuk menakluk parit tersebut mengalami kegagalan. Setiap kali tentera Quraisy cuba untuk melintasi parit itu, mereka akan dihadiahkan dengan hujanan panah dan batu dari tentera Islam.

Parit digali di bahagian utara sahaja memandangkan timur dan barat serta selatan Madinah dipenuhi oleh bukit bakau dan juga kawasan berpokok yang menyusahkan penggerakkan bala berkuda Mekah. Dalam masa yang sama, segala hasil tuaian umat Islam diambil lebih awal bagi memastikan tentera musyrikin kebuluran dan hanya bergantung pada kelengkapan makanan yang dibawa dari Mekah.

Dalam masa yang sama, Rasulullah turut merancang pelan alternatif sekiranya pertahanan berbentuk parit itu berjaya ditembusi oleh tentera musyirkin apabila memilih sebuah bukit bernama Sala sebagai kem utama tentera Islam dan tempat mengatur serangan kembali sekiranya parit tersebut berjaya ditembusi. Memandangkan kedudukan bukit tersebut itu sangat strategik, maka sekali lagi kebijaksanaan Rasulullah terbukti.

Namun, pengkhianatan yang dibuat oleh Bani Quraizah yang tiba-tiba berpaling tadah pada gabungan tentera ahzab tersebut merisaukan Rasulullah. Ini juga menjatuhkan morale tentera Islam. Namun, seorang tokoh ternama dari tentera Ahzab yang menyerang Madinah dikatakan memeluk Islam Secara rahsia kemudian ditagih kudratnya oleh Rasulullah.

Kata Sun Tzu dalam buku perangnya The Art Of War:

“The supreme art of war is to subdue the enemy without fighting.”

Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah. Baginda memecahkan kesatuan tentera Ahzab hanya dengan senjata rumor sahaja, yang diakui merupakan sangat penting dalam membicarakan tentang peperangan. Tidak perlu berlawan, tidak perlu menumpahkan dah. Jeneral perang yang hebat mampu menundukkan lawan tanpa berlawan.

Rasulullah telah mengarahkan Nuaim memporak-perandakan gabungan Bani Quraizah dan juga tentera Ahzab. Nuaim telah pergi ke Bani Quraizah lalu menyebarkan khabar angin bahawa sekiranya pengepungan itu gagal, maka tentera Ahzab tidak akan membantu langsung Bani Quraizah sekiranya diapa-apakan oleh tentera Islam. Lalu Nuaim mencadangkan agar diambil beberapa orang ternama dari tentera Ahzab lalu dijadikan tawanan demi menjamin keselamatan Bani Quraizah.

Lalu sampai kepada tentera Ahzab, Nuaim menyebarkan khabar berita yang lain pula. Kononnya Bani Quraizah telah berpaling tadah dan kembali berpakat dengan Rasulullah. Nanti Bani Quraizah akan berpura-pura meminta tawanan dari tentera ahzab, dan meminta tawanan perang daripada mereka, sebaliknya nanti akan serahkan kepada tentera Islam.

Lalu persengketaan berlaku antara gabungan tentera Ahzab dan puak Yahudi Bani Quraizah ini. Ketika Ikrimah dihantar kepada mereka untuk menuntut janji menyerang tentera Islam bersama, Bani Quraizah pula meminta beberapa orang tawanan daripada tentera Ahzab.

Namun mengenangkan kembali khabar angin yang disebarkan oleh Nuaim, maka tentera Ahzab menolak permintaan Bani Quraizah. Bani Quraizah pula menyangka bahawa tentera Ahzab telah mengkhianati perjanjian mereka. Lalu pakatan antara mereka berpecah.

Berpalingnya Bani Quraizah daripada tentera Ahzab telah menimbulkan perpecahan di kalangan tentera Ahzab sendiri. Kebanyakan puak-puak arab yang bergabung bukanlah menyerang Islam dengan niat membenci Islam tetapi djanjikan dengan harta rampasan perang. Namun strategi pengepungan yang dilakukan ke atas Madinah ini agak asing bagi mereka. Mereka tidak sabar dan strategi pengepungan ini memerlukan masa lama dan kesabaran. Lalu mereka pula yang berpecah.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan Nuaim ini sangatlah berkesan. Akibat dari perpecahan, akhirnya tentera Ahzab pun menyerah dan memilih untuk kembali ke tempat masing-masing. Maka sekali lagi Madinah berjaya dipertahankan.

[Kesimpulan]

Rasulullah membuktikan kepada kita bahawa perang bukan sahaja melibatkan semangat semata-mata. Doa dan tawakkal kepada yang maha esa harus diiringi oleh usaha. Antara usaha yang dibawakan oleh Rasulullah ialah taktikal-taktikal perang yang sangat genius yang seperti mana dipaparkan dalam artikel ini.

-HE-

FALSAFAH KERIS MEMBUKTIKAN KEAGUNGAN TAMADUN MELAYU

Saya seringkali mengulangi bangsa Melayu ialah sebuah bangsa yang sangat berseni, bahkan kalau dibandingkan dengan bangsa Arab, betapa berseninya bangsa Melayu. Bahkan sebelum kedatangan Islam, bangsa ini mempunyai falsafah mereka tersendiri dalam kehidupan, justeru kalian akan dapati bahawa budaya bangsa ini akan dipengaruhi oleh kebudayaan local genius tempatan serta pengaruh agama Hindu-Buddha.

Justeru, ketika ulamak-ulamak sufi yang datang dari Yaman mengislamkan orang Melayu, mereka tidaklah menghapuskan adat dan kebudayaan yang sudah berakar dalam jiwa bangsa Melayu sebaliknya memberikan nafas baru yang berasaskan Islam. Sebab mereka sedar bahawa datangnya Islam bukan untuk menghapuskan budaya dan identiti sebuah bangsa, sebaliknya memperbaikinya ke taraf yang lebih baik. Tetapi inilah yang tidak dapat dilihat oleh golongan hari ini yang saya labelkan sebagai “kaum muda” alaf baru.

Dalam artikel ini, saya akan paparkan kepada anda sejarahnya keris, perbandingan antara falsafah sebelum Islam dan selepas kedatangan Islam yang diberikan nafas baru oleh para ulamak. Semoga… semoga artikel ini mampu memberi pencerahan teragung kepada golongan yang allergic pada adat dan budaya Melayu, baik golongan liberal yang jauh terbabas dari landasan agama Islam yang sebenar, serta tidak lupa jugak kepada golongan agama yang terlalu ekstrime dan keras dalam berdakwah sehinggakan mahu mengharamkan segala-galanya tentang bangsa Melayu. Seharusnya, mereka mengambil pengajaran daripada ulamak terdahulu sehingga mampu mengIslamkan seluruh umat Melayu di Nusantara ini.

[Asal Usul Keris]

Keris ialah sebuah warisan bangsa yang harus dikenang sebagai lambang ketamadunan bangsa Melayu. Ianya adalah lambang ilmu sains dan teknologi orang Melayu sudah melampaui zaman. Masih lagi tidak percaya? Tidak mengapa. Saya akan celikkan mata kalian. Dipercayai bahawa terdapat sehingga 17 hingga 60 jenis besi yang digunakan sebagai bahan pembuatan keris. Saya gariskan di bawah untuk 17 jenies besi menurut MT. Arifffin.

1. Pulasani/Karinduaji
2. BesiMangangkang Jaler
3. Besi Mangangkang Estri
4. Besi Walulin
5. Besi Katub
6. Besi Kamboja
7. Besi Ambal
8. Besi Winduadi
9. Besi Tumpang
10. Besi Werani,
11. Besi Welangi
12. Besi Terate,
13. Besi Malelaruyun
14. Besi Malelagendhaga
15. Besi Kenur
16. Besi Tumbuk
17. Besi Balitung

Untuk 60 jenis besi yang dicadangkan oleh sarjana keris bernama Ki Hudoyo Doyodipuro ialah besi Karang Kijang, besi Purosani, besi Mangangkang, besi Walulin, besi Katum, besi Kamboja, besi Ambal, besi Sinduaji, besi Tumpang, besi Warani, besi Welangi, besi Terate, besi Malelauyung, besi Malela, besi Kenur, besi Tumbuk, besi Balitung, besi Keleman, besi Penuh, besi Malelagendaga, besi Kanthet, besi Karangkijang + besi Malik, besi Purosani + besi Malik, besi Walulin + besi Katum + besi Malik, besi Kamboja + besi Malik, besi Ambal + besi Malik, besi Sinduaji + besi Malik, besi Tumpang + besi Malik, besi Warani + besi Malik, besi Goran + besi Malik, besi Mawang, besi Balitung, besi Penawang, besi Tumbuk + besi Terate, besi Tumpang + besi Welangi, besi Pulosani + besi Winduaji, besi Karangkijang + besi Pulosani, besi Karangkijang + besi Mangangkang, besi Karangkijang + besi Walulin, besi Karangkijang + besi Katub, besi Karangkijang + besi Kamboja, besi Karangkijang + besi Ambal, besi Karangkijang + besi Tumbuk, besi Karangkijang + besi Werani, besi Pulosani + besi-besi Mangangkang, Walulin, Katub, Kamboja, Ambal dan Winduaji, besi Terate + besi-besi lain, besi Mangangkang + besi Tumpang, besi Keleman, besi Mentah, besi Enuh, besi Karangkijang + besi Walulin, besi Pulosani + besi Malik, besi Mangangkang + besi Malik, besi Mangangkang (betina) + besi Malik dan besi Walulin + besi Malik.

Kalau melalui ujian destructive testing-material composition, didapati bahawa unsur bahan logam yang dikesan dalam penempaan bilah keris. Bahan tersebut ialah Besi (Fe), Carbon (C), Lead (Pb), Tin (Sn), Manganese (Mn), Nickel (Ni), Silicon (Si), Phosphorus (P), Chromium, (Cr), Sulfur (S), Molybdenum (Mo), Niobium (Nb), Cobalt (Co), Aluminum (Al), Titanium (Ti), Copper (Cu), Vanadium (V), Tungsten (W), Arsenic (As), Zirconium (Zr) dan Boron (B).

Sesungguhnya, asal usul keris ini masih lagi kabur kerana keris merupakan local genius masyarakat Nusantara, Tetapi sejarawan ada membawa hujah-hujah mereka lalu membangkitkan beberapa teori yang berkaitan dengan kewujudan keris. Justeru, saya akan bahagikan di bawah setiap teori para sejarawan:

1. G.B. Gardner

G.B Gardner mencadangkan bahawa keris berasal dari senjata yang diperbuat dari tulang ikan pari yang dipercayainya diperbuat ketika zaman prasejarah, Dipercayai bahawa tulang ikan pari itu akan dibalut dengan kain pada tangkainya, maka tangkai itu akan diggengam dan dibawa ke mana-mana sebagai senjata.

2. Griffith Wilkens

Wilkens mencadangkan pula bahawa budaya keris ini baru muncul pada abad ke-14 dan masihi sebagai perkembangan daripada senjata seperti tombak. Lalu dari senjata ini dikatakan lahirnya senjata tikam yang lebih pendek kerana ianya lebih muda dan fleksibel. Katanya lagi, oleh kerana pada zaman itu logam sukar ditemui, maka lebih muda mencabut sahaja mata tombak dan dijadikan keris.

3. A. J Barnet Kempers

Beliau mengatakan bahawa tradisi keris di Alam Melayu bermula sejauh di Dongson, Vietnam yang dipercayai seusia sehingga ke 2500 Masihi berdasarkan tinggalan gendang di sana, yang merupakan sebuah tapak ketamadunan yang dipercayai milik rumpun Austronesia. Di sana ada dijumpai senjata-senjata yang dipercayai merupakan leluhur keris yang dapat dijejak sehingga ke awal 300 SM yang lalu.

---

Apa-apa pun, antara rekod terawal kemunculan keris dapat dijejak di Alam Melayu ialah seawal abad ke-5 Masihi di Kepulauan Jawa. Terdapat relief-relief yang berbentuk keris dijumpai di sana. Antaranya ialah ditemui di Prasasti Batu di Desa Dakuwu, Grabag, Magelang, Jawa Tengah yang menggambarkan alat pembuatan besi.

Bahkan di Kepulauan Jawa, dapat ditemui di Candi Borubudur yang dibina oleh Dinasti Melayu Sailendra sebuah relief yang menggambarkan kepada kita bahawa terdapat tentera-tentera yang membawa senjata tajam yang saling tak tumpah seperti keris. Untuk rekod, Candi Borubudur ini dibina seawal abad ke-8 Masihi dan siap ketika awal abad ke-9 Masihi.

[Falsafah Hindu-Buddha Dalam Keris]

Antara falsafah Hindu-Buddha yang dapat dikesan dalam senjata Keris sebelum kedatangan Islam ialah setiap keris harus dalam dua bahagian iaitu bilah iaitu mat keris serta bahagian ganja. Di bahagian bilah melambangkan wujudnya lingga manakala di bahagian ganja pula membawa maksud yoni. Kalau kita telusuri falsafah Hindu, persatuan antara lingga dan yoni membawa maksud symbol kesuburan, keabadian dan kekuatan.

Tidak lupa juga, antara relief yang dijumpai ketika zaman awal keris di Alam Melayu juga sangat kuat dibandingkan dengan figura-figura dalam agama Hindu-Buddha.

Di candi Prambanan pula terdapat ukiran terutama di candi yang dibina untuk memuja Shiva di mana di candi ini terdapat relief monyet yang menghunus sejenis belati mirip keris. Kalau ditelusuri dalam falsafah Hindu, selalunya yang dijelmakan dalam bentuk monyet ini adalah Dewa Hanuman.

Namun, segala falsafah-falafah yang muncul ketika zaman Hindu-Buddha masih dikenali sebagai agama bangsa Melayu terus hilang selepas kedatangan Islam. Semuanya digantikan dengan falafah penuh dengan nafas Islam. Mari, ikut telusuri kami akan falsafah yang wujud dalam keris hari ini, berkat ulamak-ulamak terdahulu yang tidak tergopoh-gopoh memahami akan sifat bangsa Melayu yang tidak pernah berpisah dengan seni.

[Falsafah Keris Waktu Kini]

Sebenarnya terlalu mendalam kalau kita membicarakan tentang falafah keris yang wujud terutamanya selepas kedatangan Islam itu sendiri. Maka izinkanlah saya menyenaraikan falsafah itu secara trivia. Semoga itu akan meringankan beban kalian dalam menafsir artikel yang saya kira agak berat ini.

1. Lok Keris: -

Lok 3: Membawa panglima/pahlawan/pendekar yang menjalankan tugas mereka  yang berkaitan dengan keduniaan dan kerohanian.

Lok 5: Melambangkan kepetahan pemiliknya dalam berbicara dan mempengaruhi  orang

Lok 7: Melambangkan kewibawaan dan karisma dalam pemerintahan.

Lok 9: Melambangkan falsafah kebijaksanaan dan kepimpinan yang biasanya  dipakai dan dimiliki oleh raja dan pemerintah

Lok 11: Melambangkan pemiliknya bercita-cita tinggi mencari kemajuan ekonomi  dan sosial dalam kehidupannya

Lok 13: Pemiliknya sanggup berani mati mempertahankan apa-apa sahaja yang  dimiliki daripada dirampas tanpa hak

Selain di atas, lok-lok keris juga boleh dirujuk pada perlambangan seperti berikut. Lok keris 5 melambangkan rukun Islam. Lok keris 7 melambangkan tawaf. Lok keris 13 melambangkan rukun solat manakala lok keris 17 pula melambangkan solat lima waktu.

2. Keris juga selalunya dibersih, dicuci dan dimandikan pada Bulan Muharam. Ini kerana falsafah Melayu ketika itu menganggap bahawa bulan Muharram sebagai lambang pembersihan. Justeru dalam bulan Muharram, orang Melayu biasanya akan menjadikan sebagai bulan menuntut ilmu, membuang ilmu dan membuang ilmu.

3. Unsur Alam: Empu atau Pandai Besi (gelaran untuk penempa keris) menempa keris berdasarkan falsafah penciptaan manusia yang dipercayai terdapat 4 unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Dikatakan bahawa manusia dicipta dari tanah, lalu dilembutkan dengan air, kemudian dibakar dengan api lalu ditiupkan roh. 

Maka penciptaan keris diilhamkan dari falsafah penciptaan ini apabila bahan bakunya daripada besi, baja dan nikel diambil daripada tanah sebelum diadunkan dengan api dan air sewaktu proses pembuatannya.

Selepas siap, maka para Pandai Besi akan membaca beberapa buah doa sebelum ditiupkan ke dalam keris. Tiupan doa itu seumpama roh yang ditiupkan ke dalam keris untuk mendapatkan keampuhannya.

4. Pembuatan Besi 9 Desa: Para Pandai Besi dikatakan akan mengumpulkan jenis besi dari 9 daerah sebagaj bahan baku. Lalu bahan baku dari 9 daerah tadi pun ditempa berulang-ulang kali sebelum dijadikan bilah keris.

Lalu selepas siap bilah besi itu, maka ianya akan disiram pula dengan air dari 3 buah kuala sungai. Apabila siap disiram dengan air ini, maka bilah keris ini akan diletakkan setinggi mungkin di tempat yang tertinggi di daerah keris ditempa selama 44 hari..

Ikut falsafah bangsa Melayu, perbuatan meletakkan keris tersebut di tempat yang tertinggi bermaksud sebagai perlambangan keris mempunyai kehebatan yang tidak tertandingi.

5. Pakaian: Ketika pembuatan keris, Pandai Besi juga akan memakai pakaian yang berbeza melambangkan status keris yang sedang ditempanya.

Kuning: Melambangkan Pandai Besi sedang menempa keris diraja.

Hitam: Melambangkan Pandai Besi sedang menempa keris untuk panglima dan pendekar.

Berpakaian Biasa: Sekadar menempa keris untuk rakyat biasa sahaja.

6. Keris juga dikatakan membawa kepada perlambangan kepada tuah dan maruah, perlambangan kejantanan, perlambangan harga diri, perlambangan senjata, perlambangan penjaga diri, perlambangan daulat, perlambangan jati diri, perlambangan daulat, perlambangan batang tubuh, perlambangan pembantu dan yang terakhir ialah perlambangan pakaian.

7. Perbuatan yang berkaitan dengan keris dalam bangsa Melayu turut mempunyai falsafah yang tersendiri. Antaranya ialah:

a.) Keris Dikucup: Melambangkan bahawa menerima sebuah amanah dengan semangat kesediaan, menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran.

b.) Keris Dijulang: Membawa menjulang kuasa, kedaulatan, dan tanggungjawab yang diserahkan dengan berlaku adil dan saksasama dalam dan menunaikan amanah yang diterima.

c.) Keris dihunus pula membawa maksud tekad untk mempertahankan bangsa Melayu dan agama Islam serta mempertahankan negara.

Justeru, selepas ini kalau ada yang berucap sambil melakukan perkara di atas dengan keris mereka, maka janganlah melenting sebab setiap perbuatan itu mempunyai falsafah mereka tersendiri.

8. Terdapat juga keris-keris yang mengandungi kalimah- kalimah agama pada pangkal tulang atau hulu keris. Ayat-ayat Al-Quran atau kalimah- kalimah yang menunjukkan nilai-nilai Islam pada sebilah keris juga sering dilihat pada bahagian sarung keris itu.

[Kesimpulan]

Pada penutup artikel ini, jelaslah dari sebatang keris, kita mendapati bahawa bangsa Melayu ini merupakan bangsa yang sangat berfalsafah. Dengan sebatang keris sahaja, anda akan dapati bahawa ianya mampu membawa 1001 maksud dan prinsip tertentu. Sebuah bangsa yang mempunyai falsafah hidup yang tinggi adalah lambang sebagai bangsa yang bertamadun.

---

Sumber Rujukan:

1. Mahyudin Al-Mudra (2009). Melacak Asal-Usul Keris dan Peranannya Dalam Sejarah Nusantara. Sari 27-44.

2.  Khamid Mohamad & Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman (2013). Falsafah dan Isu Masa Kini. International Journal of the Malay World and Cilivization (Iman): 45 – 43.

-HE-

Tuesday, 22 December 2015

SIAPAKAH RAJA SIAM "PADUKA BUBUNYA"?

Menjadi keinginan buat saya untuk merungkai asal-usul gelaran raja Siam yang digelar di dalam kitab Sejarah Melayu sebagai "Paduka Bubunya". Pada mulanya pencarian sekitar kerajaan Ayutthaya dan Ligor tidak membuahkan hasil dan saya berfikiran gelaran tersebut mungkin berasal daripada kesilapan penyalin manuskrip yang menulis "Bubunya" daripada "Burumma" yakni nama raja Ayutthaya yang masyhur sekitar abad ke-15 masihi, Borommaracha.

Tapi pagi ini bangkit dari lena saya terfikir yang salah faham mungkin berlaku akibat kompleks penggunaan istilah Siam itu sendiri dan pada hakikat bahawa perebutan gelaran-gelaran tertentu seperti 'chakravarti' yang memberikan status raja universal menyebabkan ia muncul di beberapa tempat, figura atau zaman berbeza tapi dianggap sama.

Saya mengambil strategi berundur kembali sejauh Ligor dan memaklumi kembali yang nama Siam itu sendiri selain digunakan terhadap Ayutthaya lebih patut ditala kepada incumbent 'chakravartin' lagi absah pada zaman itu yakni Angkor.

Kemboja.

Ayutthaya tidak meraih status keunggulan itu sehinggalah mereka secara total menundukkan Kemboja pada abad ke-17 masihi. Peperangan antara kedua-dua kerajaan itu masih diteruskan oleh waris-warisnya walaupun ibu negara Angkor dihancurkan pada 1350 dan pentadbiran dipindahkan ke Longvek, Basan, Oudong sebelum berakhir pada era rejim Phnom Penh yang terpaksa mengakuri Ayutthaya.

Kekurangan Ayutthaya ini amat memeranjatkan jika disusuli dengan kajian mengenai geneologi raja-raja di Kemboja dalam perluasan konsep yang ia juga adalah Siam. Di sana kita akan menjumpai kognat yang sangat hampir dengan "Paduka Bubunya" dan secara jelas digunakan di dalam istana Angkor periode penghabisan dan Kemboja pasca-Angkor dari 1350an sehingga tahun 1650-an!

"Phya Banya"
"Cau Banya"

Variasi vernakular juga menyebutnya sebagai 'Samdach Phya Ponhea'

Melayu mendengar dan menyebutnya sebagai Ba Banya atau Bo Bonya meskipun saya masih belum meneliti bentuk sebenar ia dalam versi skrip jawi.

Nama peribadi raja seperti Narayanaraja, Srirajadhiraja atau Paramaraja tidak disebut bahkan nama gemulah raja-raja diberi nama khas seperti Nirvanapada ibarat ganti nama "marhum" dalam tradisi Melayu era Islam. Selepas zaman penjajahan Ayutthaya gelaran 'Banya' ini hilang dan hanya dikekalkan tradisi menggelar dengan 'Ang' yang saya percaya adalah pangkat bangsawan Kemboja yang lebih rendah.

Dalam konteks sumber-sumber kita yang relevan, menyelak kembali Sejarah Melayu dan latar Kesultanan Melayu Melakanya kita dapat memerhatikan beberapa perkara kecil yang amat penting tetapi kita terlepas pandang sebagai klu dalam menjustifikasi kedudukan Kemboja dalam permasalahan ini.

Misalannya, pada bab abad ke-13 masihi menceritakan perihal raja Siam menculik Raja Pasai dan latarnya ditetapkan di "Syahrun Nuwi" yang sudah pasti merujuk kepada kota Ayutthaya dan ganti nama reverensi pada waktu itu menggunakan "ya tuanku" untuk merujuk kepada raja Siam dan penyebutan berulang-ulang kali ini dibezakan dengan riwayat pada bab abad ke-15 masihi yang menyeru raja Siam dengan ganti nama "Paduka Bubunya".

Dua 'Siam' yang berbeza!

Kemungkinan bahawa Ayutthaya menggunakan gelaran tersebut mungkin ada kerana ia mempunyai benang-benang kekerabatan dengan Kemboja-Ligor tetapi setakat ini tidak ada rekod menyokong kewujudan gelaran tersebut di Ayutthaya. Jika wujud saya ada beberapa teori mengapa pertindihan tersebut berlaku.

Teori Kemboja ini dapat disokong juga melalui sejarah "Peperangan Melaka-Dai Viet 1483" yang menurut catatan China berlaku di Lanxang(Laos). Dalam Sejarah Melayu, ia bertepatan dengan kisah Paduka Bubunya meminta orang Melaka berperang ke belahan sempadan timur Siam. Peristiwa ini berlaku pada zaman Sultan Mansur Syah mengirim Tun Telanai dan Menteri Jana Putera ke Siam. Saya tak mahu cerita lanjut bab ini, bacaan lanjut yang lengkap dan tuntas boleh dibaca di ATBM http://riwayatmelayu.blogspot.my/…/perang-melaka-dai-viet-1…

Cuma mengulas sedikit artikel tersebut saya berpendapat yang kedatangan Melaka pada waktu itu ke Lanxang selain melalui Ayutthaya dan Lanna lebih tepat sekiranya diletakkan melalui peranan Kemboja yang masih mempunyai pengaruh ke atas Khorat dan Champassak.

Berikut disertakan misalan raja-raja Kemboja menggunakan gelaran 'Banya' dengan peristiwa penting yang berlaku dalam masa pemerintahan mereka:

(1405) Suriyavamsa, Cau Banya Ram.

(1418-1432) Paramasokaraja, Cau Banya Kalamegha

(1445-1481) Paramaraja, Cau Banya Yat - Turun takhta awal diberikan kepada tiga orang anak secara bergilir.

(1481-1485) Narayanaraja - Anak pertama Banya Yat.

(1504-1512) Sri Sughandapada

(1516-1566) - Paramaraja, Cau Banya Cand

(1594-1596) - Rama, Cau Banya Ong

(1596-1597) - Rama, Cau Banya Nur

(1598-1599) Paramaraja, Cau Banya Tan - Memerintah beberapa bulan sebelum dibunuh oleh orang-orang Melayu pada 1599, yang bermaharajalela setelah berjaya menghapuskan askar-askar Sepanyol di Phnom Penh.

(1599) Paramaraja, Cau Banya An

(1600-1602) Keo Hua, Cau Bana Nom

(1627-1632) Sri Dhammaraja, Cau Bana Tu

(1632-1640) Ang Dan, Cau Bana Nur

(1642-1658) Ramadhipati, Satha Cau Bana Cand

Selepas ini setakat pemerhatian saya tidak muncul lagi gelaran "Cau Banya"

Serta, jika diperhatikan kerangka masa kisah Perang Melaka-Dai Viet itu berlaku dalam masa pemerintahan Cau Banya Yat dan tiga anak-anaknya termasuk yang dikira sebagai raja-raja perkasa terakhir Kemboja yang selama beberapa dekad berjaya menyekat kemaraan Siam dan merampas kembali wilayah Chantaburi, Khorat dan Angkor. Ketika zaman Sultan Mahmud Syah dan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pula berlaku pada zaman Srisughandapada.

Allahua'lam.

~ The Prince of Gunong & Siamese Sea

Gambar: Longveck ibu negara Kemboja dari 1431 sehingga 1618 sebelum dipindahkan ke Oudoung pasca serangan Raja Naresuan pada 1593. (https://en.wikipedia.org/wiki/Longvek…)

Referensi

- G. Coedes(2015), The Making of South East Asia, translated version, New York, Routledge.
-I. Mladjov(2015), Cambodian Rulers, irst version, accessed via https://sites.google.com/a/umich.edu/imladjov/chronologies
- A. Samad Ahmad(2003), Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, edisi pelajar, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa & Pustaka
-Srikandi(2015), Perang Melaka-Dai Viet 1483, www.riwayatmelayu.blogspot.my, accessed via http://riwayatmelayu.blogspot.my/…/perang-melaka-dai-viet-1…