“All propaganda has to be popular and has to accommodate itself to the comprehension of the least intelligent of those whom it seeks to reach.”
"If you tell a big enough lie and tell it frequently enough, it will be believed."
-Adolf Hitler
Sebenarnya, kami mahu membuka mata dan pemikiran para pembaca dan pengunjung berkenaan bahaya mempercayai satu-satu maklumat yang belum dipastikan sahih dan mempunyai ciri-ciri disinformasi yang mengaplikasikan permainan persepsi dan menongkah pemikiran rasional dan sebaliknya mempermainkan emosi manusia dalam mencapai satu-satu objektif.
Sejak manusia mula mengenali peperangan, propaganda adalah salah satu pemukul utama yang digunakan komander, raja dan jeneral dalam menggerakkan tenaga rakyat serta menjatuhkan moral musuh, malah menanam kebencian terhadap musuh dengan cara 'downgrading' dan 'smear campaign'.
Kalau satu ketika dahulu, propaganda disebarkan melalui cerita dari mulut kemulut seperti apa yang di lakukan oleh Genghis Khan di mana kisah kekejaman dan kerakusan tentera gasar yang merompak, memusnahkan dan merogol dijadikan alatan untuk menjatuhkan banyak kerajaan dan empayar, hasil buah mulut pedagang dan mereka yang lari menyelamatkan diri dari menjadi korban. Ia kemudian berevolusi setiap era, dan memperlihatkan aplikasinya masih terus relevan apabila manusia menemukan radio dan telegraf, dan akhirnya kini internet.
Ini adalah antara cabang peperangan siber dimana ada pihak tertentu yang sedang mewujudkan sifat tidak percaya maklumat sahih dan bergantung harap kepada sumber-sumber alternatif yang kita tidak ketahui asal usul pemegang sumber dan tidak menepati etika kewartawanan.
Zaman mutakhir ini kita diselubungi limpahan maklumat yang mendadak. Kita dengan mudah boleh mendapatkan apa sahaja maklumat dihujung jari. Kalau zaman komputer desktop dahulu, internet hanya dirumah dan mengharapkan dial up 1515, sekarang wifi internet dan smartphone menjadi medium utama penyebaran maklumat.
Hari kita dapat melihat lambakan page laman sosial yang kini menjadi sumber utama berita tanpa etika kewartawanan, page politik yang mewujudkan persepsi dan disinformasi dalam usaha mengekang dan memburukkan lawan masing-masing, malah ada juga page yang menyebarkan fahaman dan ideologi politik yang mampu menggugat kestabilan negara dari segi penyebaran hasutan dan propaganda, tidak termasuk video dan rakaman suara.
Dalam keadaan begini, sebagai penerima dan penyebar maklumat kita perlu tahu tahap kesahihan sumber yang diperolehi.
Pihak kami menerima maklumat dari sumber terus dari pihak berautoriti dan mempunyai barisan correspondent di lapangan yang berkaliber serta berpengalaman bagi memastikan kesahihan dan ketulenan satu-satu maklumat. Malah selain dari itu, kami juga membuat semakan silang satu-satu maklumat dan bergantung harap sepenuhnya kepada kertas kajian oleh institut pengajian strategik yang kedapatan meluas didalam internet. Semakan silang ini yang jarang dibuat oleh kalangan rakyat Malaysia kerna tidak mempunyai masa, kurang berpengetahuan tentang satu-satu isu atau hanya bersikap ignorant.
Memandangkan umum juga mempunyai akses mudah dan terus kepada sumber-sumber maklumat, maka kami membuat tapisan dan membuat cross reference berkenaan satu-satu info. Dari Kementerian Pertahanan Malaysia hingga ke individu perhubungan awam unit-unit yang terlibat, rangkaian sebaran maklumat adalah trampil dan sahih.
Kami memegang satu polisi, selagi tiada pihak kedua dan ketiga yang mengesahkan satu-satu maklumat ia tidak akan di siarkan sebagai satu penanda aras professional.
Umum kini terlalu mudah percaya tanpa usul periksa, terlalu cepat melenting dan majoritinya jarang untuk mengambil inisiatif memeriksa sumber maklumat tersebut dan sedihnya kebanyakan media alternatif juga bersifat sedemikian.
Maka menjadi tanggungjawab pihak pengurusan satu-satu page untuk menyiarkan sebaran yang trampil.
Jika melihat kembali insiden LAHAD DATU, insiden MH370 dan MH17, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana maklumat palsu dan tidak sahih tersebar dengan meluas sehingga menimbulkan fitnah malah sehingga tahap mewujudkan keadaan panik dikalangan umum padahal sebenarnya tiada apa yang perlu ditakutkan. Fikirkan sejenak, dengan mudah seseorang mengaku dan menyamar sebagai orang lain, menulis mesej melalui whatsapp dan disertakan dengan foto, menulis ayat-ayat yang kedengaran seperti betul tetapi ia palsu sama sekali.
Dan ini berlarutan apabila ia mulai dikongsi melalui laman media sosial dan menjadi viral. Kami sedih apabila melihat ramai kalangan masyarakat umum lebih cepat menyebarkan berita palsu dari berita sahih. Kes Sukanstar yang memuat naik foto kononnya jenazah anggota Malbatt tidak diberikan penghormatan sewajarnya adalah antara contoh klasik bagaimana foto kononnya dari warga ATM itu disebarkan sehingga mencecah 2000 perkongsian, sedangkan foto istiadat rasmi dari page dan laman rasi ATM hanya dikongsi oleh 12 orang pengguna internet seluruh Malaysia….
Terdapat banyak contoh lain, seperti maklumat dan sebaran palsu berkenaan banjir beberapa minggu lepas, mesej-mesej berantai yang terus menerus di share, di kongsi di laman sembang dan seterusnya di laman sosial.
Ini hanya sebahagian dari ratusan lagi sebaran maklumat samar (atau scanty information) yang menjadi bahan makanan minda masyarakat Malaysia. Tengok sahaja page Sharifah Sofea yg masih lagi mendabik dada kononnya sumber sahih berkenaan insiden MH17 dan MH370 sahaja cukup, hampir sejuta pengguna ditipu hidup-hidup dengan statementnya yang berapi-api dan kedengaran macam sahih sedangkan, tidak ramai tahu yang page tersebut menjalankan bisnes online yang memerlukan jumlah klik dan pengunjung skala besar melalui fb pagenya….
Anda bayangkan ratusan ribu RAKYAT MALAYSIA tertipu oleh pelbagai identiti yang samar menyebarkan maklumat australia berperang dengan russia, sedangkan sehingga hari ini Australia masih lagi dalam keadaan aman dan Russia tidak pun melancarkan perang dengan sesiapa. Anda boleh ke Australia sendiri, tanyakan warganegara kita yang ada disana bagaimana keadaan disana samada sedang dalam kancah perang atau sedang enak menikmati kopi di esplanade menghadap pantai tanpa kelihatan satu pun kelibat tentera bertempur.
Itu baru satu dua contoh yang kami sampaikan, belum lagi kami keluarkan lebih banyak contoh lain yang lebih kritikal.
Walaupun mempunyai keburukan tersendiri, propaganda dan disinformasi juga boleh membawa kebaikan. Kebaikan ini yang sepatutnya di guna pakai sebaik mungkin. Kita telah melihat sendiri bagaimana kalangan rakyat Malaysia berjaya menggentarkan Israel ketika konflik Gaza tahun lalu di laman sosial, malah turut menjadi penggerak aktiviti seperti pemboikotan, penyebaran maklumat bagi menyedarkan masyarakat antarabangsa akan kekejaman Israel, malah agak mengejutkan apabila melihat video-video propaganda pertempuran dan serangan dari kalangan pejuang Al Qassam telah meruntuhkan mentaliti yang masyarakat Israel yang mereka adalah angkatan tentera moden dan hebat di rantau Asia Barat.
Ini adalah salah satu aspek peperangan siber, mewujudkan disinformation dan disorientation of the masses by means of spreading unconfirmed information. Ini diburukkan lagi dengan sikap main share dan percaya bulat2 kalangan masyarakat umum, menambahkan lagi kesukaran pihak counter cyberwarfare seperti SKMM dan BSPP dalam mengendalikan satu-satu penyebaran maklumat palsu.
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bijak dan trampil apabila menerima satu-satu maklumat yang diragui. Rujuk kepada pihak yang ber autoriti, atau sumber-sumber media yang mempunyai jaringan maklumat yang lebih sahih dan bukan menyebarkan secara membuta tuli. Tidak salah untuk membaca maklumat sumber berita alternatif tetapi kita perlu mendidik diri untuk berhenti sejenak, berfikiran rasional dan mengenal pasti samada ia benar atau sebaliknya. Dimasa kini, terlalu banyak musang berbulu ayam yang berselindung disebalik nama-nama parti politik, mengguna pakai ugama dan sentimen perkauman dalam usaha cuba mewujudkan keadaan tidak stabil didalam negara.
Mengambil contoh mudah, perkara berkenaan politik. Rakyat Malaysia yang rasional selalunya membaca dan mencerna maklumat dari kedua-dua sumber untuk merumuskan satu kesimpulan dan ini merupakan satu proses penyeimbangan yang membawa kepada pengolahan pendapat yang lebih efektif , berbanding golongan fanatikal sebelah pihak yang hanya merujuk sumber pilihannya sahaja dan menolak seratus peratus sumber sekunder atau bertentangan dengan ideologi masing-masing sehingga mewujudkan mental block dan sifat dia sahaja betul.Ini kedapatan dengan meluas dalam kalangan masyarakat kita yang merujuk kepada maklumat yang berasaskan penulisan. Kita bernasib baik kerana peratusan kalangan rakyat kita masih rasional, tidak seperti Mesir,Libya dan Syria yang akhirnya terjebak dalam kancah peperangan saudara dan seterusnya memudahkan kerja negara-negara kuasa besar untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara-negara tersebut.
Contoh lain penyebaran foto, yang mana dengan mudah ia dimanipulasi untuk kepentingan tertentu. Saya pasti ramai yang menerima siaran foto pelantar minyak yang dipukul ribut ketika banjir besar dipantai timur tahun lalu yang kononnya ia di Brunei sedangkan foto tersebut adalah foto dilokasi medan minyak di Norway dengan penambahan kisah ikan dan hidupan lain melompat naik ke pelantar sehingga ada yang percaya bulat-bulat dan menyebarkannya tanpa usul periksa.
Jadi kesimpulan kami, sebagai rakyat sebuah negara membangun yang kini menikmati kemudahan sumber maklumat yang trampil, kita perlu mendidik diri dan kalangan orang disekeliling kita dalam pencernaan dan penerimaan maklumat, perlu rajin dan proaktif dalam penentuan kesahihan satu-satu maklumat dan tidak mudah menyebarkan secara melulu sebelum kesahihan maklumat tersebut dikenal pasti dan disahkan.
Akhir sekali, banyakkan membaca bahan ilmiah, dan tambah ilmu pengetahuan agar kita tidak mudah ditipu hidup-hidup oleh pelaku propaganda, konspirator-konspirator dan elemen-elemen peperangan siber yang mensasarkan kalangan manusia yang kurang berpengetahuan.
- ikansadinmknorang -
———–
Artikel ini ditulis di laman blog Malaysia Military Power.
(http://malaysiamilitarypower.blogspot.my/2015/01/sebaran-maklumat-palsu-aspek.html)
Artikel ini adalah sebuah artikel yang menjelaskan lagi penulisan admin – Kai – di posting The Patriots bertajuk PROPAGANDA POLITIK.
(https://www.facebook.com/thepatriots2020/photos/a.182165691977464.1073741828.181500092044024/433636300163734/?type=3&theater)
*Gambar sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment