Thursday, 12 November 2015

MELAYU DARI GOLDEN KHERSONESE

ENCIK ZAHARIN MOHD YASIN – SILA BERHENTI MERAPU TENTANG SEJARAH MELAYU!

Sebenarnya saya juga ketawa baca status awak encik Zaharin Mohd Yassin (facebook: https://www.facebook.com/zahrinmohdyasin ) Secara jujur, saya sangat mengenali peribadi tuan sebagai seorang yang dahulunya merupakan ‘fighter’ dalam arena politik. Tetapi apabila perjuangan politik tuan ditenggelami dek masa dan gelombang pemimpin yang naik meninggalkan tuan, tuan mula mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang sangat kelakar.

Saya pernah membidas tuan suatu masa dahulu di page lain ketika saya masih lagi admin HE di page Saya Sayang Tun Dr Mahathir sebelum saya meninggalkan page itu kerana mengambil keputusan untuk mencuci tangan dari bidang politik. Untuk pengetahuan tuan, bidasan saya itu sebenarnya tentang sejarah Melayu juga. Tuan terkutik tidak bersuara bila ditembak ketika itu, meninggalkan persepsi kepada saya mungkin juga tuan sudah pun ‘bertaubat’. 

Namun saya kecewa apabila sekali lagi tuan bersuara sumbang.  Tetapi tuan masih berterusan mengeluarkan kenyataan-kenyataan kurang cerdik membuatkan saya tertanya-tanya, apakah setiap mereka dalam politik akan berbicara seperti saudara dengan tidak habis-habis merapu yang bukan-bukan?

Saya ingin memulakan perdebatan ini dengan mengucapkan tahniah kerana tuan akhirnya menempah nama tuan di “Wall Of Fame” milik kami, sebaris dengan individu penyelewengan sejarah Melayu yang pernah kami bidas mereka di page ini.

Baik, kita nak bermula di mana? Apa kata kalau saya mengajak encik Zaharin untuk menyelami tentang teori paling authentic tentang kedatangan budaya dan agama Hindu-Buddha ke Alam Melayu?

Tetapi sebelum itu, kami di The Patriots menolak sekeras-kerasnya melabelkan mereka bukan Melayu sebagai pendatang dalam masa yang sama, menyatakan bahawa golongan India dan Cina di Malaysia bukannya pribumi seperti mana orang Melayu, asli dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Jom kita bicara tentang 3 teori utama kedatangan Hindu-Buddha? Dari situ, kita akan meneliti teori sebenar, yang saya petik sendiri melalui buku Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu, dalam bab khusus tentang Pengindiaan Asia Tenggara. Dalam buku ini ada membicarakan tentang tiga hipotesis kedatangan Hindu-Buddha ke Asia Tenggara dan Alam Melayu ini.

• Hipotesis Visaya

1. Hipotesis ini dikemukakan oleh N.J Krom, seorang sejarawan yang terkenal terutama dalam pengkajiannya tentang Tamadun Khmer, selain daripada George Coades, insan yang bertanggungjawab menjumpai Empayar Melayu Srivijaya. N.J Krom dan George Coades berpendapat bahawa agama Hindu-Buddha di Asia Tenggara ini disebarkan oleh golongan dari Kasta Visaya, di mana golongan ini merupakan para pedagang-pedagang.

2. Coades memetik bahawa ketika abad ke-2 Sebelum Masihi, sumber utama emas India di Siberia telah mengalami kekurangan akibat kekacauan di Asia Tengah Menukarkan sasarannya, maka India terus mengimport emas daripada Rom sebelum Maharaja Vespian sebelum diharamkan oleh baginda kerana menggangu kestabilan Rom.

3. Maka India pula menyasarkan Asia Tenggara tertama di kawasan Alam Melayu merangkumi Tanah Melayu dan Sumatera yang sebenarnya telah digelar sebagai Semenanjung Emas dan juga Kepulauan Emas. Jadi, para pedagang dari kasta Visaya inilah kononnya telah menyebarkan kebudayaan India di Alam Melayu.

Namun teori Visaya ini ditentang oleh kebanyakan sejarawan kerana beberapa sebab:

1. Bagaimana golongan Visaya mampu mengajarkan tentang agama Hindu-Buddha ke atas penduduk Melayu dan pribumi Asia Tenggara seperti Khmer dan Mon kerana yang berpengetahuan tentang ajaran Hindu dan berkemahiran menulis Sanskit hanyalah golongan atasan seperti Brahmin.

2. Kalau kononnya golongan Visaya yang membawa Brahmin ke sini, maka sudah ada satu ‘plot hole’ dalam teori Visaya itu kerana tidak sesekali atau pernah dalam sejarah, golongan Brahmin akan bergaul dengan golongan Visaya.

Lalu selepas Hipotesis Visaya dipatahkan oleh beberapa sejarawan, maka teori baru pulak yang dibangunkan oleh para sejarawan dalam membincangkan tentang bagaimana agama Hindu-Buddha ke Alam Melayu. Maka lahirlah Teori Kastria.

• Hipotesis Kastria

1. C.C Berg, Moens dan juga beberapa sejarawan dari organisasi Greater Indian Society yang mencadangkan teori ini. Kononnya agama Hindu-Buddha adalah disebarkan oleh putera-putera raja dari Selatan India yang bukan dari susur-galur anak sulong.

2. Selepas tersisih dari takhta di India, maka putera-putera raja ini pun mengembara ke serata tempat lalu sampailah ke Alam Melayu lalu mereka bertembung dengan pembesar-pembesar tempatan sebelum mengalahkan mereka dan menubuhkan kerajaan di sini.

3. Hipotesis yang mungkin kedengaran agak sama dengan rapuan tuan ini, sebenarnya ditentang habis-habisan oleh dunia sejarawan dan antara yang lantang menentang teori kononnya raja-raja India menyebarkan agama Hindu-Buddha ke atas rakyat tempatan dan membina kerajaan di sini adalah tidak berasas sama sekali.

4. F.D.K Bosch misalnya mempersoalkan, kalau benar teori itu berlaku, mengapakah tiada langsung prasasti atau batu bersurat yang mencatatkan tentang kisah penaklukan dari India Selatan?

5. Hujah lain pula kenapa pula kebanyakan pengaruh bahasa dari India dalam bahasa Melayu ialah tulen dari Sanskrit, bukannya daripada bahasa rumpun Dravidia?

6. Kenapa juga orang Melayu hari ini tiada langsung kesan kacukan Dravidia-Melayu yang wujud dalam kelompok yang besar?

7. Kenapa Tamadun Sungai Batu boleh wujud 200 tahun lebih awal daripada kewujudan kerajaan paling awal India Selatan? Untuk rekod, ketika zaman pemerintahan Asoka, kerajaan-kerajaan di Selatan India masih dalam kebudayaan Megalithic, manakala di Alam Melayu ketika itu, sudah memasuki zaman besi dan gangsa yang sangat maju sekali! Bahkan ditemui tapak-tapak ritual yang jauh lebih awal dari era kemasukan Hindu-Buddha serta bebas dari sebarang pengaruh agama luar.

Jadi, bagaimana Selatan India mahu menakluk dan mendirikan kerajaan di wilayah yang lebih maju ketamadunannya?

8. Kasta yang wujud dalam agama Hindu hampir tidak wujud di Tanah Melayu ini, dan kalau benar bahawa raja-raja dari Selatan India pernah membuka kerajaan di sini, kenapa di Alam Melayu peranan Brahmin hanyalah sebagai penasihat, bukannya di atas raja-raja. Jadi, bagaimana boleh berlaku penasihat Brahmin di Alam Melayu boleh berada di bawah kasta seorang raja berkasta Kastria ini?

9. D.G.E Hall membangkitkan bahawa candi-candi di Alam Melayu dan Asia Tenggara sangatlah berbeza dengan sebarang binaan di India sama ada di kawasan selatan dan utaranya. D.G.E Hall membangkitkan contoh seperti Borubudur, Angkor Wat dan beberapa candi di Jawa Tengah yang telah dikaji seni-binanya yang merupakan lokal genius tempatan.

10. Kalau benar bahawa terdapat putera India membuka kerajaan di Alam Melayu, maka dari manakah kedatangan mereka? Ada ratusan kerajaan di bumi India sepanjang ketamadunan agung dapat dikesan di Alam Melayu.

Jadi, hipotesis Kastria adalah hipotesis yang paling tidak berasas sekali dalam kita memperkatakan tentang kedatangan agama Hindu-Buddha.

• Hipotesis Brahmin

1. Hipotesis ini menceritakan kepada kita bagaimana ketika di zaman Dinasti Maurya menguasai India dahulu, agama Hindu telah pudar manakala Agama Buddha dijulang terutama ketika era pemerintahan Maharaja Asoka.

2. Penguasaan agama Buddha di India berlaku dari permulaan abad pertama sehingga abad ke-3 Masihi. Namun ketika abad ke-4 Masihi, perubahan drastik sekali lagi berlaku di India apabila agama Hindu kembali mengambil alih takhta Buddha.

3. Raja-raja Melayu yang mengetahui akan peristiwa yang berlaku di India ini telah menjemput kembali para Brahmin dari India untuk melakukan upacara untuk mengangkat martabat mereka semula.

4. Hujah yang menyokong kedatangan para Brahmin ini ialah ketika itu, para Brahmin itu sedang mengumpulkan pengikut mereka semula disamping ada para Brahmin yang telah terkeluar dari tingkat kasta mereka akibat melanggar beberapa peraturan sedang berusaha untuk memanjat kembali tangga kasta mereka semula dengan melakukan ritual pengiktirafan raja-raja Melayu di Alam Melayu ini.

5. Dan kemudian agama Hindu-Buddha yang diambil dari India sana telah diambil oleh raja-raja Melayu lalu disematkan dengan kepercayaan tempatan, bukannya diambil secara sepenuhnya. Ini dipanggil sebagai lokal genius tempatan.

6. Sebagai contoh, kita boleh lihat Bali. Agama Hindu di sana ialah agama Hindu yang telah lama mengalami proses evolusi yang diterapkan dengan kepercayaan tempatan dan sangatlah berbeza berbanding dengan di India.

Daripada setiap hipotesis yang saya senaraikan di atas, kita dapat melihat bahawa terdapat tiga buah hipotesis yang membincangkan kedatangan agama Hindu-Buddha di Alam Melayu. Hipotesis pertama membicarakan dibawa oleh golongan pedagang namun telah dipatahkan dipertikaikan oleh banyak sejarawan.

Hipotesis kedua pula mengatakan bahawa raja-raja dari India menakluk dan menewaskan pembesar-pembesar Melayu lalu menubuhkan kerajaan mereka di Alam Melayu sebelum ditentang hebat oleh para sejarawan.

Maka lahirnya hipotesis ketiga yang paling kukuh bahawa raja-raja Melayu sendiri menjemput golongan kasta Brahmin dari India mengajarkan mereka tentang agama Hindu-Buddha kepada mereka sendiri.

Apa-apa pun dari ketiga-tiga hipotesis di atas, tiada seorang pun mengatakan bahawa orang India ialah pribumi di Alam Melayu, sebaliknya semuanya mengatakan mereka datang dari luar wilayah demografi Melayu. Baik hipotesis Visaya, Kastria dan juga Brahmin.

Bahkan dalam hipotesis Kastria pun menyatakan kepada kita bahawa kononnya putera-putera India ini telah menewaskan pembesar-pembesar Melayu di Asia Tenggara menunjukkan kepada kita bahawa sesungguhnya, orang Melayu telah lama berada di tanah ini bahkan putera-putera India konon menakluk penduduk di Asia Tenggara membuktikan tanah ini berpenghuni ketika mereka datang ke sini.

Tentang entiti pembina Srivijaya, Gangga Negara, Langkasuka, Majapahit dan kerajaan-kerajaan purba pra-Islam ini, kita harus melihat dua faktor dalam meletakkan siapakah bangsa pembinanya.

1. Populasi tempat kerajaan ini berdiri hari ini.

2. Bahasa yang dipahat oleh kerajaan empayar ini.

Baik, kita lihat tempat di mana kerajaan-kerajaan Melayu Purba ini berdiri. Sebagai contoh di kawasan Baruas dan Lembah Bujang. Setahu saya, hari ini disekitar Merbok dan juga Baruas, mereka semua menyatakan diri mereka sebagai Melayu. Kaum India yang ada tidak dapat menjejak keturunan mereka sehingga lebih daripada 3 keturunan yang berada di Tanah Melayu. Bagaimana… tuan boleh nyatakan bahawa kerajaan ini dibina oleh orang India?

Oh ya saya suka bercakap tentang bahasa yang dipahat oleh Empayar Melayu Srivijaya dan Majapahit untuk membuktikan bahawa kerajaan ini bukan dibina oleh orang India.

Prasasti Srivijaya Dalam Bahasa Melayu Kuno

• Prasasti Kedukan Bukit (683 Masihi)
• Prasasti Telaga Batu (683 Masihi)
• Prasasti Talang Tuwo (684 Masihi)
• Prasasti Kota Batu (686 Masihi)

Prasasti Sailendra Dalam Bahasa Melayu Kuno

• Prasasti Soejomorto (Abad ke-7 Masihi)
• Prasasti Manjusirgha (792 Masihi)

Prasasti Singhasari (leluhur Majapahit) Dalam Bahasa Melayu Kuno:

• Prasasti Padang Roco (1286 Masihi)

Inskripsi Majapahit Dalam Bahasa Jawa. Kerajaan Majapahit ini terkenal dengan penghasilan dua buah manuskrip lama yang menceritakan tentang sejarah kerajaannya dan semuanya dalam bahasa Kawi, iaitu leluhur kepada Bahasa Jawa Moden hari ini.

I. Paraton (Buku Raja-Raja) – menceritakan salasilah dan sejarah raja-raja Jawa yang memerintah Majapahit

II. Nagarakretagama – Sebuah catatan yang menggabungkan puisi yang menceritakan tentang Empayar Majapahit ketika kemuncak keluasan kuasanya.

Sekarang sila nyatakan kepada saya, kalau benar Srivijaya dan Majapahit itu sebagai sebuah kerajaan orang India, kenapa prasasti dan manuskrip mereka dalam bahasa Melayu dan Jawa? Sila nyatakan kepada saya.

Seterusnya, kita pergi kepada dakwaaan saudara bahawa Srivijaya dan Majapahit kalah dengan Acheh dan Melaka lalu lari balik ke India. Setakat ini, Srivijaya adalah berbeza zaman dengan Melaka dan Acheh. Jadi, bagaimana Srivijaya boleh berperang dengan mereka?

Dalam masa yang sama pulak, kejatuhan Srivijaya dalam sejarah melalui Dinasti Mauli, dinasti terakhirnya adalah kerana serangan Majapahit itu sendiri. Jadi, bagaimana anda boleh dakwa sedemikian bahawa Melaka dan Acheh yang tidak lagi wujud pada era Srivijaya boleh menang perang ke atas Srivijaya? Kalau benar, berikan saya nama pertempuran, perang dan tarikhnya. Berikan nama jeneral perangnya, berikan nama strategi dan taktikal Melaka dan Acheh menghalau Srivijaya dan Majapahit. 

Oh ya tentang etimologi perkataan Melayu itu, saya pernah menulis panjang lebar dahulu dan saya berharap agar encik boleh membacanya, dan tidak terikat pada satu hipotesis kononnya Melayu itu berasal dari bahasa Hindu (Hindu ada banyak bahasa, India juga ada banyak bahasa, jadi bahasa apakah yang diperkatakan oleh tuan?).

Sila bukak link yang kami sertakan:

1.) http://www.thepatriots.my/menjejak-kewujudan-nama-melayu-dalam-sejarah/

Dan saya petik antara hujah kami di dalamnya yang membincangkan tentang kewujudan nama Melayu dalam sejarah itu sendiri. Kami senaraikan hipotesis dan teori kami sendiri tentang asal-usul Nama Melayu.

• Malayo dalam Bahasa Tagalog yang bermaksud jauh ialah daripada kata dasar “layo” atau “layoh”, iaitu kognat kepada perkataan Jauh dalam bahasa melayu. Malaya pula dalam Bahasa Tagalog yang bermaksud bebas ialah daripada perkataan “laya”, kognat kepada kata dasar “layar” dalam Bahasa Melayu. Berdasarkan beberapa pembuktian daripada kami yang terdapat sejarawan.

• Antara rekod terawal tentang nama Melayu dalam sejarah ialah melalui peta yang dilukiskan oleh Ptolemy seawal 150 Masihi, iaitu kira-kira 150 tahun selepas kelahiran Nabi Isa dan kira-kira 400 tahun sebelum kelahiran junjungan besar Rasulullah.

• Dalam peta itu, terdapat bahagian dalam semenanjung yang digelar sebagai Μαλεου Κώλον atau Meleu-Kolon. Peta ini dijumpai dalam Geōgraphikḕ Hyphḗgēsis dan perlu diketahui bahawa peta ini ditulis atas lakaran-lakaran peta purba yang sudah wujud jauh sebelum Ptolemy.

• Etimologi perkataan Kolon itu sendiri sebenarnya bermaksud sebahagian. Maka bolehlah kita simpulkan bahawa maksud Meleu-Kolon dalam peta yang dilakar oleh Ptolemy itu mungkin membawa maksud sebahagian daripada Melayu yang juga boleh dibaca sebagai “Wilayah Melayu” , “Kawasan Melayu.”, dan juga “Bahagian Melayu.”

Jadi, berbanding dengan rapuan anda bahawa Melayu dalam bahasa Hindu? bermaksud Tanah Tinggi, hipotesis yang kami naikkan di atas lebih relevan di samping pembuktikan wujudnya nama Melayu dalam sejarah yang anda boleh baca sendiri di link yang kami sertakan.

Akhir kata daripada kami, janganlah menulis perihal sesuatu yang anda tidak mempunyai ilmu tentangnya. Nanti akan lihat kebodohannya! Cukup-cukuplah merapu tentang sejarah Melayu. Ambilah nasihat daripada anak muda ini yang sayangkan sejarah bangsanya.

P.S: Saya berharap sangat-sangat yang geng Indonesia tidak akan kejar anda dengan buluh runcing sebab dakwa Majapahit dari India. :P

Oh ya, Hindu tidak semestinya India tau. Orang Bali di Indonesia itu apakah orang India hanya kerana beragama Hindu?

-HE-

Situasi pengadaptasian budaya India dan agama Hindu dan Buddha ke atas masyarakat Melayu pra-Islam bukanlah pengadaptasian yang bersifat 100 peratus atau atas dasar penaklukan kerajaan India ke atas orang Melayu sebaliknya ianya bermaksud bahawa orang Melayu sendiri menjemput mereka dari India untuk mengajarkan orang Melayu tentang agama Hindu dan Buddha yang berasal dari sana, lalu mengubahsuai budaya dan kepercayaan agama itu berdasarkan kepercayaan tempatan yang sedia ada, bahkan mencipta budaya dan mazhab baru dalam agama yang dianutinya dengan kombinasi adat dan budaya India dengan adat yang dimiliki oleh masyarakat tempatan. Perkara seperti ini dipanggil sebagai lokal genius.

Situasi ini boleh diibaratkan seperti mana bangsa Korea dan Jepun hari ini mengadaptasikan budaya dan kepercayaan agama yang wujud di China lalu diubahsuai oleh lokal genius tempatan. Hari ini, kita dapat melihat falsafah pemakaian Kimono sebagai contoh, yang datang dari pemakaian China zaman Dinasti Han, tetap memiliki falsafah yang lebih mendalam daripada pakaian China zaman Dinasti Han.

-HE-

RAJA KAMEHAMEHA

RAJA KAMEHAMEHA: PENGASAS EMPAYAR HAWAII YANG AGUNG

Kalau ditanyakan apa maksud kamehameha kepada kebanyakan orang kita, kebanyakan kita akan terbayangkan satu jurus kuasa dari sebuah anime Jepun yang terkenal, iaitu Dragon Ball. Bayangan watak Master Roshi, pembuat jurus tersebut dalam anime ini akan menyusul dalam tabir minda kita. Jeritan Son Goku,protagonis utama anime tersebut menyebut perkataan "KA..ME..HA..ME...HA!!!" sambil mengumpul tenaga di kedua-dua tangan lalu melepaskannya ke arah pihak musuh pasti akan terlukis kembali di minda kita terutama ketika hero zaman kanak-kanak kita ini beradu tenaga dengan musuh seperti Buu dan juga Cell.

Namun seberapa banyak antara kita yang tahu lafaz Kamehameha itu sebenarnya datang dari seorang pengasas empayar agung nun jauh di Hawaii? Ya, saudara jauh orang Melayu kita, iaitu bangsa Hawaii mempunyai seorang raja agung yang mempunyai nama Kamehameha dan raja itu pula menjadi kebanggaan mereka sehingga kini.

Raja Kamehameha I atau lebih dikenali sebagai Kamehameha Yang Agung (The Great) lahir pada tahun 1758. Baginda ialah pendiri kepada Kerajaan Hawaii yang sebenarnya sebuah empayar yang mengabungkan suku-suku kecil Oʻahu, Maui, Molokaʻi, Lānaʻi dan Kauaʻi kepada sebuah pemerintahan pusat yang kukuh. Nama sebenar baginda ialah Paiea manakala maksud Kamehameha itu ialah "The Very Lonely One" iaitu nama lain untuk Paiea.

Menurut tradisi di Hawaii, apabila munculnya Kokoiki atau Komet Halley, maka kononnya seorang penakluk yang hebat akan lahir. Kahuna, seorang bomoh terkenal dalam masyarakat Hawaii ketika tu meramalkan bahawa dengan kedatangan komet Halley itu, akan muncul seorang pemimpin hebat di kalangan mereka yang akan mengalahkan musuh mereka dan menyatukan seluruh kepulauan Hawaii. Dikatakan bahawa detik kelahiran Raja Kamehameha memang bertepatan dengan munculnya komet Halley (Kokoiki) pada tahun 1758.

Legenda menceritakan lagi bahawa seorang lelaki akan menyatukan seluruh Kepulauan Hawaii yang berpecah belah. Diceritakan bahawa lelaki itu mampu mengubah kedudukan batu Naha,sebuah batu legenda yang besar dan berbentuk kuboid. Sejak sekian lama, banyak lelaki an jejaka Hawaii yang cuba menolak batu itu namun tidak berjaya. Dan ketika Kamehameha cuba untuk menolak batu itu, seorang ketua puak asli di Hawaii pada masa itu mengatakan bahawa lelaki ini tidak layak untuk menolak Batu Naha. Namun, selepas percubaan yang keras, akhirnya Kamehameha berjaya menolak batu itu dan ini memeranjatkans emua orang.

Pertempuran Mokuhai adalah detik pertama Raja Kamehameha I mula menampakkan bakat kepimpinannya. Ketika saudara Raja Alapai, Kalakiopuu meninggal dunia,pulau-pulau di Hawaii dibahagi menjadi dua, masing-masing untuk diwariskan kepada anaknya, Kiwalao dan anak saudaranya, Kamehameha. Perselisihan faham telah berlaku di daerah Keomo dan akhirnya tercetusnya peperangan.

Berjaya mencapai kemenangan dalam pertempuran itu, maka Kamehama I berjaya mengawal beberapa buah daerah. Bermula daripada situ, Kamehameha I mula memasangkan impian untuk menyatukan seluruh Hawaii di bawah satu pemerintahan. Dengan bantuan pedagang British dan juga Amerika, yang membekalkan senjata api kepada Raja Kamehameha, serta beberapa orang penasihat Eropah untuk baginda seperti Isaac David dan John Young.

Antara pertempuran yang paling diingati dalam percubaan Kamehameha I meluaskan empayarnya ialah pada Pertempuran Kawela, di mana baginda dicatatkan mengetuai 960 perahu perang serta 10,000 orang askar menyerang pulau Maui and Molokaʻi. Dalam peperangan ini, diceritakan bahawa jeneral perang kepercayaan Kamehameha I iaitu Kaʻiana telah mengkhianati perjuangan Kamehameha I. Namun Ka’iana telah terbunuh dalam pertempuran itu.

Kesemua pulau di Hawaii berjaya dikuasai oleh beliau kecuali pulau Kauai dan Niihau yang masih belum berada dibawah kekuasaannya pada tahun 1795. Namun, berkat diplomasi yang bijak daripada baginda, dua pulau tersebut berjaya dimasukkan kedalam wilayah kekuasaan Kamehameha pada tahun 1810,sekaligus beliau berjaya menyatukan seluruh pulau di Hawaii.

Kamehameha I juga terkenal dengan memperjuangkan undang-undang yang dipanggil Kānāwai Māmalahoe ( Undang-undang pengayuh berpecah), iaitu undang-undang yang melindungi hak asasi manusia bagi mereka yang bukan pejuang dalam peperangan (wanita, kaum tua dan juga kanak-kanak). Lebih kurang sama dengan undang-undang dan etika perang yang digariskan oleh junjungan besar Rasulullah S.A.W untuk umat Islam . Pada hari ini, undang-undang yang diperjuangkan oleh baginda masih lagi dipakai dalam dunia moden.

-HE-

PARANG DAN GOLOK MELAYU

PARANG DAN GOLOK MELAYU.

Salam pembaca semua, sudah lama saya tidak menulis tentang senjata Melayu tradisional. Jadi hari ini saya akan menulis sedikit sebanyak tentang senjata Melayu yang pasti ada dalam setiap rumah orang kita iaitu parang dan golok. Parang dan golok adalah sejenis senjata Melayu yang serba guna atau versatil dalam masyarakat Melayu. Ia bukan sahaja digunakan untuk kegiatan harian seperti menebang, menebas dan memotong rumput dan pokok-pokok bagi membuat penempatan baru dan membuka kawasan pertanian tetapi juga turut digunakan oleh orang Melayu untuk ke medan perang dan membunuh pada zaman dahulu.

Terdapat beberapa ciri yang dapat membezakan di antara golok dan parang. Apa yang dinamakan sebagai parang adalah senjata yang bilahnya berbentuk lurus ataupun sedikit melengkung ke atas dan saiz bilahnya semakin besar dan semakin berat dibahagikan hadapan matanya. Manakala golok pula sebahagian besarnya berbentuk lurus dan kadang kala juga sedikit melengkung tetapi yang membezakannya dengan parang ialah berat bilahnya bukan di bahagian hadapan mata tetapi di tengahnya dan matanya juga berbentuk runcing atau tirus ke hadapan dan tidak bundar seperti parang.

Dalam Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, Dr Linehan menyatakan bahawa, Pahang adalah penghasil golok yang terbaik di kalangan negeri-negeri Melayu pada zaman dahulu. Beliau pernah melihat seorang pandai besi menempa golok di Temerloh pada tahun 1938 dengan menggunakan tembaga sebagai bahan asasnya. Malahan dalam Sejarah Melayu ada tercatat bahawa Sultan Melaka yakni Sultan Mahmud Shah ada menghantar hadiah berupa golok buatan Pahang kepada Sultan Pasai. Parang dan golok juga mempunyai pelbagai variasi.

Di Kelantan ada sejenis golok yang dipanggil sebagai golok jambu atau kelewang. Di Kedah dan Perlis pula ada sejenis parang yang dinamakan sebagai gedubang. Selain itu parang yang paling terkenal di bahagian utara semenanjung adalah parang cadung dan parang Jengkok. Bentuk parang Jengkok adalah sangat unik kerana parang ini mempunyai bilah yang semakin membesar ke hadapan dan hujung matanya sangat tajam. Selain itu ia juga melengkung ke atas dan mempunyai sedikit hiasan di bahagian atas bilahnya yang berbentuk seperti jambul. Di sebabkan lengkungan yang ke atas inilah ianya dinamakan sebagai parang Jengkok.

Parang jenis ini juga menjadi kegemaran kepada perompak untuk digunakan dalam kegiatan merompak. Manakala parang cadung pula bentuknya berbeza dengan parang Jengkok tetapi lengkungan bilahnya adalah sedikit ke atas seperti parang lading malahan sebenarnya ia boleh dikategorikan sebagai parang lading. Parang jenis ini juga dikatakan berasal daripada Patani dan dibawa oleh pelarian Patani yang masuk ke negeri-negeri Melayu utara apabila Patani kalah dalam peperangan dengan Siam.

Jika di Pulau Jawa, senjata golok adalah senjata yang paling populer digunakan terutama di bahagian Jawa Barat dan Betawi. Boleh dikatakan hampir setiap aliran persilatan di Jawa pasti akan ada silibus menggunakan senjata golok dalam pertahanan diri. Malah jika anda peminat filem-filem pendekar dari Indonesia anda pasti akan biasa mendengar nama Si pitung pahlawan Betawi yang terkenal dengan permainan goloknya.

Selain itu sejenis lagi parang yang menjadi senjata rasmi dalam ilmu persilatan ialah parang lading. Di negeri utara Semenanjung Tanah Melayu, parang lading memang terkenal sebagai senjata serbaguna. Ia adalah senjata utama dalam perguruan Silat Cekak Hanafi yang berasal dari Kedah. Senjata ini dipercayai telah digunakan oleh para pahlawan dan rakyat Kedah dalam menghadapi ancaman tentera Siam selain digunakan untuk aktiviti harian. Di Kelantan juga terdapat senjata yang hampir serupa dengan lading tetapi dipanggil sebagai kelewang.

Skeat, seorang Orientalis British menyatakan bahawa terdapat adat dikalangan sekelompok orang Melayu pada zaman dahulu yang meletakkan parang puting di bawah pakaian bayi yang baru lahir sebagai azimat atau penolak bala. Apa yang dimaksudkan sebagai parang puting adalah parang yang tidak mempunyai hulu atau sengaja tidak dipasang hulunya. Malahan terdapat hikayat dalam masyarakat Melayu yang dinamakan sempena senjata ini ialatu Hikayat Parang Puting yang berkisar tentang kisah mitos dewa-dewi dan kesaktian berunsur Hindu-Buddha.

Satu lagi senjata unik Melayu dalam kategori parang ialah Sikin. Senjata Melayu yang merupai sebilah parang biasa ini dipercayai berasal dari Pahang dan digunakan oleh kaum wanita untuk membelah, memotong dan meraut daun mengkuang. Apa yang menariknya tentang Sikin ini ialah matanya digunakan untuk memotong dan belakangnya pula digunakan untuk menarik dan mengumpulkan daun-daun yang sudah bercerai. Hal Ini boleh dilakukan oleh sebab bentuk belakang sikin ini berkelok-kelok.

Terdapat juga maklumat daripada cerita-cerita lisan orang-orang tua di Pahang yang meyatakan bahawa jumlah kelok di belakang sikin itu juga mempunyai maksud tertentu. Kononnya setiap satu kelok yang terdapat di belakang sebilah sikin menandakan satu nyawa telah maut di tangan si pemilik sikin tersebut. Maka lagi banyak kelok yang ada di belakang sikin itu maka makin banyak nyawa yang pernah diragut. Dan senjata sikin ini katanya hanya digunakan oleh golongan pendekar wanita sahaja di Pahang.

Bagi masyarakat Banjar dari Kalimantan Selatan serta diasporanya yang terdapat di Semenanjung dan Sumatera, mereka lebih gemar menggunakan sejenis parang yang dipanggil sebagai parang panjang atau lading panjang. Bagi urang Banjar, tidak lengkap rasanya rumah tangga mereka sekiranya tidak ada sebilah parang panjang disimpan di rumah samaada sebagai senjata untuk mempertahankan diri atau digunakan untuk berkebun dan menebas. Nenek saya sendiri sebagai seorang yang berketurunan Banjar gemar mengumpul dan menggunakan parang panjang.

Setakat ini sepanjang yang saya pernah lihat dirumahnya terdapat lebih daripada tiga bilah parang panjang dan beberapa bilah lagi parang biasa pelbagai saiz. Semasa saya masih kecil saya agak hairan mengapa walaupun nenek tidak mempunyai ladang atau kebun besar, namun dia menyimpan begitu banyak parang terutama parang panjang. Menurut nenek saya hal tersebut memang telah menjadi adat kebiasaan bagi urang Banjar untuk menyimpan parang panjang di rumah sebagai langkah keselamatan.

Hal ini juga mungkin ada kaitan dengan sikap urang Banjar sendiri yang menurut sesetengah pengkaji sosial suka ‘menebuk hutan’ (membuka kawasan penempatan baru) dan sangat protective akan linkungan keluarga dan harta bendanya daripada ancaman orang asing dan haiwan liar. Mereka juga sering disebut sebagai mudah timpas atau panas baran. Perkara ini dibuktikan dengan beberapa peristiwa berdarah yang pernah berlaku di Tanah Melayu yang melibatkan suku Banjar seperti Perang Sugai Manik dan Perang Banjar di Batu Pahat. Hal ini juga menunjukkan keberanian suku ini dalam menghadapi ancaman yang dapat mengganggu-gugat komuniti mereka.

Perkara ini juga mengingatkan saya akan adat kebiasaan orang-orang Islam Bosnia di zaman pemerintahan Khalifah Turki Uthmaniah. Dimana di Bosnia pada zaman itu sudah menjadi adat dan peraturan dikalangan setiap orang Islam untuk menyimpan pedang dan senjata lain di rumah mereka sebagai langkah keselamatan.
Sekian, wallah hu a’lam.

~ASJ~

Sumber:

• A.H. Hill, The Keris And Others Malay Weapons, Malaysian Branch Of Royal Asitic Society, 1998.

• Anm, No.Ruj 284/1338, Surat Daripada Muhammad Ibrahim Kepada Kerajaan Negeri Terengganu, 2/5/1938.

• Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society.

• Sumber sejarah lisan.

PERANG SALAMIS

PERTEMPURAN SALAMIS: KEEGOAN XERXES MERANAPKAN SEGALA-GALANYA

Sebelum ini, dalam artikel saya yang lepas, kita belajar tentang Pertempuran Thermopylae di mana dalam pertempuran ini, kita belajar usaha Xerxes untuk menundukkan seluruh Yunani ke bawah taklukannya dihidangkan dengan jalan yang penuh dengan mimpi ngeri oleh 7000 askar Yunani sebelum berakhir dengan kemenangan tipis. Itu pun sebab pengkhiantan dari pihak Yunani itu sendiri.

Kita juga belajar bahawa dalam pertempuran yang lain, Athens memimpin angkatan laut Yunani berdepan dengan bala kapal-kapal Parsi di Arthemisium, dan dalam pertempuran itu, ianya berhasil dengan keputusan seri di mana Athens terpaksa berundur untuk kembali membuat persediaan baru bagi menahan gempuran Parsi.

Maka dalam siri penaklukan Parsi ke atas Yunani, maka kalau kita ketinggalan berbicara tentang Pertempuran Salamis, maka kita sebenarnya sudah ketinggalan salah satu daripada pertempuran laut yang dibariskan antara paling mengagumkan untuk dikaji dalam sejarah.

Analisis awal yang boleh kita gerakkan sebelum kita panjangkan lagi perbincangan kita adalah seperti berikut:

1. Gabungan Negara Kota Yunani

Komander perang:

• Eurybiades (Sparta)
• Themistocles (Athens)

Bilangan kapal:

378 Buah Kapal

2. Parsi (Dinasti Achaemenid)
Komander perang:
Xerxes I
Artemisia I dari Caria (laksamana perempuan pertama dalam sejarah)
Ariabignes
Bilangan kapal:
Lingkungan 900 – 1207 buah kapal.

Dari analisis awal yang saya paparkan pada kalian, maka kita mengetahui bahawa kapal yang dibawa oleh Xerxes kali ini betul-betul mengatasi jumlah kapal yang dimiliki oleh gabungan-gabungan negara kota Yunani dengan kapal jenis Triemes dan Penrekonters. Maka, bagaimanakah gabungan negara kota Yunani mahu berdepan dengan jumlah kapal yang maha banyak yang didatangkan oleh Xerxes untuk menggempur mereka? Maka buat sekian kalinya, dunia menyaksikan sebuah lagi pertempuran hebat yang akan dikenang sehingga 2000 tahun kemudiannya.

Baik, apa kata kita mulakan cerita kita tentang perdebatan hangat antara dua komander perang yang berpengaruh dalam pertempuran ini? Perdebatan mereka tentang memilih lokasi pertempuran. Eurybiades berterusan menentang idea Themistocles untuk memilih Salamis sebagai medan tempur, sebaliknya mencadangkan agar mereka semua berperang dekat dengan perairan sebuah negara kota Corinth supaya mereka dapat berundur ke tanah besar sekiranya pertempuran ini akan berakhir dengan kegagalan.

Perdebatan antara Themistocles dan Eurybiades ini hampir sahaja berakhir dengan ugutan Eurybiades yang mahu menyerang angkatan kapal Athens, tetapi Themistocles tetap tenang dengan menyatakan sesuatu kepada Eurybiades.

“Seranglah tapi sebelum itu, tolong dengar!”

Eurybiades terus terdiam lalu Themistocles terus berhujah dengan mengutip ramalan orang kuat agama di Sparta bahawa mereka akan menang pertempuran dengan Parsi sekiranya bertahan menggunakan dinding kayu. Themistocles mengatakan bahawa tembok kayu yang dimaksudkan oleh mereka itu merujuk pada kapal-kapal kayu yang bertahan di laluan sempit di Salamis. Lagi-lagi apabila ada orang Athens yang terdengar ramalan itu terus membina tembok kayu dalam laluan ke Acropolis sebelum ianya dibakar sendiri oleh Parsi, dan orang Athens yang bodoh itu pun terbunuh.

Rancangan Eurybiades yang asal adalah mahu membina dinding mereka sendiri, menghalang kemaraan Parsi. Tetapi Themistocles mengatakan bahawa ianya adalah perbuatan bunuh diri apabila memberi peluang untuk Parsi untuk terus mengisi bekalan makanan mereka dan meneruskan perang!

Tetapi apa yang saya kagum dengan Themistocles yang sangat bijaksana. Dia benar-benar mengunakan situasi pertelingkahannya dengan Eurybiades dan mengarahkan seorang hamba untuk berlakon seperti berpaling tadah pada Xerxes, lalu menyampaikan berita palsu kononnya Themistocles dan Athens mengambil keputusan untuk kembali ke Athens memandangkan tidak bersetuju tentang lokasi pemilihan pertempuran. Anda semua masih ingat lagikah kisah Ephilades, pengkhianat Yunani ketika di Pertempuran Thermopylae?

Ephialtes telah mendedahkan laluan rahsia kepada Xerxes untuk menewaskan barisan pertahanan Yunani di Thermopylae. Dan kalau ada orang yang berpaling tadah daripada Yunani, pastinya Xerxes tidak akan mengsia-siakannya memandangkan orang pertama yang berbuat demikian membuahkan hasil kepada Xerxes. Maka hamba yang bernama Sicinnus itu pun mengatakan bahawa Athens dan Sparta sedang bertengkar tentang lokasi pertempuran lalu Themistocles memilih untuk meninggalkan medan pertempuran pada waktu malam.

Lalu pada waktu malam pertempuran itu, Xerxes pun mengarahkan kapal-kapalnya untuk mencari dan menjejak lokasi kapal Athens, namun mereka tidak menjumpai sebuah kapal pun. Padahal pada malam itu, semua penghuni kapal Athens sedang tidur nyenyak manakala Xerxes dan askar-askarnya terpaksa berjaga sampai pagi.

Pada keesokan harinya, seluruh ketumbukan kapal Parsi keletihan dek pencarian yang sia-sia itu. Namun Xerxes tetap mengarahkan kapal-kapal Parsi untuk terus menggempur armada Yunani. Dilaporkan bahawa Themistocles mengarahkan armada Corinth untuk berpur-pura berundur ke arah kawasan laut yang cetek airnya serta kecil untuk menarik kapal Parsi ke tempat itu. Themistocles yang sudah mengkaji keadaan muka bumi di Salamis memang mengetahui bahawa armada Parsi yang jauh lebih besar dan banyak itu akan mengalami kesukaran untuk bergerak di tempat yang dipilih oleh Themistocles.

Maka di teluk tempat armada kapal Parsi terperangkap, mereka dibantai dengan teruk oleh kapal-kapal Yunani yang dibina sesuai dengan bentuk muka bumi di Salamis. Parsi cuba berpatah balik, tetapi entah bagaimana, alam seperti memihak pada Yunani dan angin yang kuat terus memerangkap mereka. Perang berlaku dengan sangat dasyat dan dilaporkan bahawa jeneral perang Xerxes, Ariamenes yang cuba menyerang kapal Themistocles terbunuh dalam pertempuran itu.

Dicatatkan juga Parsi tidak menyerah kalah lalu menghantar gelombang demi gelombang untuk menentang kapal Yunani di teluk itu. Tetapi oleh kerana keadaan teluk itu yang sempit dan kapal Parsi yang besar, maka ianya berhasil dengan kegagalan. Kapal Yunani betul-betul bertahan dengan hebat di teluk sempit tadi. Dicatatkan bahawa jumlah kapal Parsi yang mengalami kekalahan mencecah sehingga 300 buah kapal manakala Yunani sekadar kehilangan 40 buah kapal.

Xerxes yang memerhati bagaimana kapal-kapalnya dihancurkan oleh askar-askar Yunani hanya mampu memerhati dari atas takhta emasnya. Dia sempat memuji Artemisia dengan menyatakan bahawa hari ini, dia menyaksikan bagaimana jeneral lelakinya menjadi perempuan, manakala jeneral perempuannya menjadi seorang lelaki. Ini mungkin kerana Artemisia sahajalah yang berani bertempur dengan Yunani sehingga menghapuskan 9 buah kapal Parsi seorang diri!

Hasil daripada Pertempuran Salamis ini, ianya telah mengubah terus hala Perang Yunani-Parsi. Xerxes telah mengarahkan hampir seluruh askarnya untuk berundur ke Hellespont manakala Xerxes kemudiannya terus balik ke Parsi, meninggalkan Mardonius untuk memimpin saki-baki askar Parsi dalam misi penaklukan Parsi yang seperti sedang berdepan dengan kegagalan itu.

Apa-apa pun dari pertempuran ini, kita mendapati bahawa keegogan Xerxes yang menyangka bahawa armada lautnya mampu menewaskan armada laut yang dibawa oleh Yunani. Dan keegoan Xerxes yang terus percaya dengan khabar yang dibawa oleh hamba yang dikirimkan Themistocles dan ilusi armada Corinth cabut lari telah memakan diri Xerxes sendiri. Xerxes menyangka bahawa dengan bala askar yang berkali-kali ganda daripada Yunani, mampu untuk menundukkan musuh tetapi sebaliknya yang berlaku.

Perancangan yang rapi dan strategi perang yang ampuh sudah cukup untuk menumpaskan musuh. Sesungguhnya Xerxes memalukan legasi datuknya iaitu Cyrus The Great yang terkenal sebagai jeneral perang yang sangat hebat. Namun, kebijaksaan Themistocles yang tenang mengawal situasi ketika pertelingkahan dengan sekutu dan merancang strategi dan taktikal ampuh harus dikenang oleh kita semua!

-HE-

KERAJAAN BANJAR

KERAJAAN BANJAR, KALIMANTAN SELATAN, BORNEO

Kerajaan Banjar atau juga dikenali sebagai Kerajaan Banjarmasin merupakan salah satu daripada kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Borneo suatu ketika dahulu. Ianya merupakan satu kerajaan yang gah namanya kerana jajahan takluknya meliputi hampir ¾ daripada keseluruhan Borneo suatu waktu dahulu. Kerajaan Banjar yang bercorak Islam dan gah namanya ini didirikan pada tanggal 24hb September 1526 di wilayah yang dikenali sebagai Kabupaten Banjarmasin, Kalimantan Selatan sekarang.

Menurut sejarahnya kerajaan ini didirikan di satu desa yang terletak di muara Sungai Kuin yang dikenali dengan nama Kampung Banjarmasin. Sebenarnya desa kecil ini adalah tempat bertemunya 5 aliran cabang sungai yang kemudian membentuk sebuah danau yang kaya raya dengan hasil perikanan. Sungai-sungai itu adalah Sungai Sipandai, Sungai Sigaling, Sungai Keramat, Sungai Jagabay dan Sungai Pangeran.

Suatu masa dahulu mereka yang mendiami desa Banjarmasin ini dipanggil dengan nama Orang Banjar yang mana makna Banjar itu adalah diambil daripada bahasa Melayu yang bererti satu penempatan kampung yang berderet-deret di sepanjang persisiran sungai. Selain daripada itu Orang Banjar ini juga dikenali sebagai campuran masyarakat Melayu daripada kawasan yang lain yang datang ke desa Banjar lalu mengasimilasi dengan penduduk pribumi iaitu daripada masyarakat Dayak dan seterusnya memeluk Islam.

Dan tidak kurang juga menurut legenda Orang Banjar di Kalimantan Selatan pula menjelaskan mengenai teori penghijrahan mereka apabila berlakunya banjir besar yang melanda bumi suatu waktu dahulu. Menurut cerita oral itu dikatakan bahawa Orang Banjar adalah terdiri daripada lebih 500 puak Dayak pada asalnya yang tinggal di atas tempat paling tinggi di Pulau Borneo.

Dan mengikut cerita legenda itu dikatakan nama Banjar itu sendiri merujuk kepada “Banjaran” atau “Gunung” dan kerana itulah juga mereka juga digelar sebagai “Orang Gunung”. Apabila air bah telah reda dikatakan “Orang Gunung” ini telah mula menuruni dari kawasan tinggi ke kawasan lembah yang lebih rendah untuk bercucuk tanam dan memulakan penghidupan mereka. Oleh kerana itulah “Orang Gunung” ini dikatakan antara masyarakat yang paling pandai menangkap ikan dan juga bercucuk tanam terutama sekali menanam padi.

Di persisiran sungai inilah mereka berhubung dengan masyarakat yang datang daripada daerah lain dan akhirnya mengasimilasikan diri mereka di dalam penghidupan masyarakat Banjar dan akhirnya Orang Banjar yang juga merupakan pribumi Borneo juga mempunyai budaya-budaya Melayu yang lain. Mereka juga akhirnya daripada menganuti agama keharingan mahupun hindu telah memeluk Islam seperti yang kita ketahui sekarang.

Kerajaan Banjar Kuno

Jika kita menyoroti sejarah berdirinya kerajaan Banjar ini maka tidak boleh tidak kita harus memperjelaskan bahawa sebelum wujudnya Kerajaan Banjar yang bercorak Islam merupakan kesinambungan kepada 2 kerajaan kuno. Kedua-dua kerajaan kuno ini berdiri lebih awal daripada Kerajaan Banjar yang Islam namun begitu kedua-dua pemerintahan kerajaan ini saling berkait diantara satu sama lain.
Kerajaan-kerajaan kuno tersebut adalah:

i. Kerajaan Negara Dipa
ii. Kerajaan Negara Daha
iii. Kerajaan Kesultanan Banjarmasin

i. Kerajaan Negara Dipa

Kerajaan Negara Dipa adalah kerajaan kuno Orang Banjar yang pertama dan ianya juga didirikan di Kalimantan Selatan namun begitu pusat pemerintahannya terletak lebih ke kawasan pendalaman. Dikatakan ianya wujud sekitar abad ke-14. Dan wilayah jajahan takluknya terbentang dari Tanjung Silat sehingga ke Tanjung Putting. Sebelum membebaskan diri dikatakan bahawa Kerajaan Negara Dipa merupakan jajahan takluk kepada Kerajaan Kahuripan iaitu sebuah kerajaan dayak yang didirikan di Borneo suatu waktu dahulu.

Apabila Kerajaan Kahuripan lemah akibat perang saudara dan sebagainya akhirnya Kerajaan Negara Dipa ini berjaya memerdekakan dirinya dan membentuk sistem pemerintahan yang tersendiri. Di dalam Hikayat Banjar ada diceritakan mengenai kerajaan kuno Orang Banjar ini yang dikatakan didirikan oleh Empu Jatmika yang berasal dari Majapahit. Dan hal ini disahkan oleh Paul Michel Munos seorang penulis sejarah di tulisannya yang bertajuk “Kerajaan Awal Di Indonesia dan Semenanjung Malaysia” menyatakan bahawa Empu Jatmika merupakan pengasas kepada Kerajaan Negara Dipa yang didirikan pada tahun 1387 Masihi.

Namun begitu menurut apa yang dicatatkan Fudiat Suryadikara pada melalui tulisannya yang bertajuk Geografi Dialek Bahasa Banjar Hulu, Depdikbud, 1984 pula menyatakan bahawa Kerajaan Kahuripan merupakan satu kerajaan yang lebih dahulu berdiri sebelum Kerajaan Negara Dipa. Dikatakan bahawa pemerintah Kerajaan Kahuripan tidak mempunyai waris maka Raja Kahuripan telah memilih Empu Jatmika, anak angkatnya untuk menjadi Raja Kahuripan menggantikannya.

Empu Jatmika pula telah menukar nama Kerajaan Kahuripan kepada Kerajaan Negara Dipa kerana disitulah beliau tinggal dan menukar pusat pemerintahan Kerajaan Negara Dipa ke Candi Laras iaitu lokasinya di cabang Sungai Bahan. Kerana suatu waktu dahulu masih lagi berlandaskan kepercayaan kepada tuah dan semangat maka akhirnya sekali lagi dipindahkan ke Candi Agung yang terletak di Kota Amuntai berdekatan dengan Sungai Negara.

Walaupun Empu Jatmika merupakan seorang pemerintah yang sah kepada Kerajaan Negara Dipa namun begitu beliau tetap tidak mahu menabalkan dirinya sebagai “Raja” sebaliknya tetap sebagai “Pemangku Raja”. Kerajaan Negara Dipa benar-benar di zaman kegemilangannya apabila diperintah oleh seorang ratu yang bernama Lembu Mengkurat atau di dalam bahasa Banjar digelar Ratu Lambung Mangkurat. Beliau juga dikenali sebagai Ratu Kahuripan kerana beliau tinggal di ibukota lama Kerajaan Kahuripan sebelumnya.

Apa yang menarik di dalam sistem pemerintahan Kerajaan Negara Dipa ini adalah kerana pengaruh pemerintahan pribumi tetap diterap di dalam sistem pemerintahannya. Oleh kerana itulah Kerajaan Negara Dipa ini mengenali jajahan takluknya sebagai daerah “Sakai”. Di setiap daerah “Sakai” ini dikuasai oleh seorang pemimpin yang dikenali sebagai “Mantri Sakai”. Dan kerajaan ini pada masa itu menjadikan agama kaharingan dan hindu sebagai asas pemerintahannya.

Salsilah pemerintah Kerajaan Negara Dipa sejak ia ditubuhkan pada tahun 1387 Masihi adalah seperti berikut:

1. Empu Jatmika
2. Ratu Lambung Mangkurat
3. Raden Galuh Ciptasari
4. Raden Aria Gegombak Janggala Rasa
5. Raden Ariya Dewangsa
6. Raden Sekar Sunsang

ii. Kerajaan Negara Daha

Kerajaan Negara Daha merupakan satu kesinambungan kepada Kerajaan Negara Dipa berdasarkan kepada generasi pewarisnya yang bernama Raden Sekar Sunsang yang kemudiannya ditabalkan menjadi raja menggunapakai gelaran Maharaja Sari Kaburungan. Beliaulah yang telah memindahkan pusat pemerintahan Kerajaan Negara Dipa daripada Candi Laras ke Candi Agung, Kota Amuntai kerana kepercayaan tuah. Beliaulah juga yang telah menukar nama Kerajaan Negara Dipa kepada Kerajaan Negara Daha yang merujuk kepada lokasi baru ibukotanya yang terletak di Muhara Hulak, Daha Selatan.

Ketika berdirinya Kerajaan Negara Daha ini dikatakan penyebaran ajaran Islam sudah mula berkembang di Borneo. Pada masa pemerintahan raja yang pertama lagi iaitu Maharaja Sari Kaburungan jajahan takluk Kerajaan Negara Daha telah semakin berkembang bahagian barat sempadan Kerajaan Tanjungpura sehingga timur bersempadan dengan Kerajaan Kutai Kartanegara. Jika diukur daripada wilayahnya sekarang adalah membentang daripada provinsi Kalimantan Selatan sehingga ke Kalimantan Tengah.

Yang menjadi titik kepada kejatuhan Kerajaan Negara Daha adalah apabila berlakunya perebutan kuasa pemerintah iaitu pengganti Raja itu sendiri. Ada satu ketika ianya diperintah oleh Raden Sukarama yang bergelar Maharaja Sukarama sewaktu ditabalkan menjadi raja Kerajaan Negara Daha. Apabila beliau mangkat, beliau tidak menamakan salah seorang daripada tiga anakandanya sebagai penggantinya iaitu Raden Paksa, Raden Panjang dan Raden Bagulung. Sebaliknya beliau menamakan cucundanya sebagai penggantinya iaitu yang bernama Raden Samudera.

Akibat daripada ketidakpuasan hati inilah berlakulah perang saudara Kerajaan Negara Daha yang membawa kepada Raden Panjang merebut kuasa dan menghalau Raden Samudera lalu menabalkan dirinya sebagai Pangeran Tumenggung. Raden Panjang juga dikatakan telah menghalau Raden Samudera keluar daripada keraton Kerajaan Negara Daha yang berpusat di Kota Amuntai. Kerajaan Negara Daha hilang selepas sahaja Pangeran Tumenggung kalah kepada Raden Samudera yang memerintah Kerajaan Banjarmasin.

Salsilah pemerintah Kerajaan Negara Daha adalah seperti berikut:

1. Raden Sakar Sungsang bergelar Maharaja Sari Kaburungan
2. Raden Sukarama bergelar Maharaja Sukarama
3. Raden Samudera (tidak sempat ditabalkan menjadi raja)
4. Raden Panjang bergelar Pangeran Tumenggung

iii. Kerajaan Kesultanan Banjarmasin

Pada tanggal 24hb September 1526 muncullah satu kerajaan Islam yang di Borneo dan ianya diasaskan oleh Raden Samudera yang merupakan pemerintah sah Kerajaan Negara Daha yang kalah di dalam perebutan kuasa dengan ayahanda saudaranya iaitu Pangeran Tumenggung. Ketika melarikan diri setelah dihalau daripada keraton Kerajaan Negara Daha, beliau telah berlindung di satu daerah hilir Sungai Barito.

Pada ketika itu ianya hanyalah satu perkampungan kecil dan diketuai oleh Pati Masih. Oleh kerana perkampungan ini terletak pada laluan yang strategik ditambah lagi hasil perikanannya banyak maka memungkinkan ianya menjadi hab pelabuhan bagi penduduk di sekitar Kalimantan Selatan pada masa itu. Di ketika inilah seorang putera yang melarikan diri telah melihat potensi Banjarmasin untuk dijadikan sebuah kerajaan.

Oleh kerana bijaknya Raden Samudera menjadi pembantu kepada Pati Masih di dalam soal pentadbiran kampungnya ditambah lagi adanya darah raja didalam keturunannya menyebabkan seluruh penduduk kampung begitu hormat padanya. Hal ini menyebabkan akhirnya penduduk kampung berserta dengan Pati Masih bersetuju untuk mengangkat Raden Samudera sebagai raja kepada mereka dan menubuhkan satu kerajaan yang bernama Kerajaan Banjarmasin.

Walaupun begitu Kerajaan Banjarmasin pada masa itu masih lagi terpaksa akur kepada Kerajaan Negara Daha dan saban tahun mereka ditetapkan untuk menghantar ufti kepada pemerintah Kerajaan Negara Daha iaitu Pangeran Tumenggung. Apabila sering berlaku ketidakstabilan politik di dalam Kerajaan Negara Daha juga menyebabkan Kerajaan Banjarmasin ingin membebaskan diri daripada mereka.

Bagi mengelak daripada diperangi maka pada ketika itu juga Raden Samudera yang menjadi pemerintah Kerajaan Banjarmasin telah memohon perlindungan daripada Kerajaan Demak. Kerajaan Demak pada masa itu merupakan kerajaan Islam yang kuat di Nusantara dan permintaan daripada Raden Samudera disambut dengan bersyarat. Pada ketika itulah Sultan Demak meminta Raden Samudera untuk memeluk Islam berserta dengan rakyatnya.

Tanpa Sultan Demak ketahui sebenarnya ajaran Islam itu sudahpun ada di dalam keluarga diraja Raden Samudera iaitu sejak diperintah oleh moyangnya lagi iaitu Raden Sekar Sunsang iaitu yang dikenali sebagai Maharaja Sari Kaburungan. Beliau dikatakan pernah mengembara sewaktu zaman bujangnya sehingga ke tanah Jawa. Di sana beliau dikatakan menikahi seorang puteri dari Inderagiri yang bergelar Sunan Serabut dan dikurniakan seorang putera bernama Raden Panji Sekar. Jadi segala pelajaran Islam itu ada pada Raden Samudera Cuma beliau belum memeluk Islam.

Dan setelah memperincikannya dengan Sultan Demak maka Raden Samudera berserta dengan rakyat Kerajaan Banjarmasin telah beramai-ramai memeluk Islam. Raden Samudera ditabalkan menjadi Sultan pertama Kerajaan Kesultanan Banjarmasin dengan gelaran Sultan Suriansyah. Setelah memeluk Islam itu juga, Kerajaan Demak telah menghantar panglima perangnya dengan tentera Demak dibawah pimpinan Khatib Dayan.

Di Sungai Barito, tentera Khatib Dayan bersatu dengan tentera Sultan Suriansyah dan akhirnya memerangi tentera Kerajaan Negara Daha dibawah pimpinan Pangeran Tumenggung di satu kawasan bernama Sanghiang Gantung, Barito. Disinilah pertempuran berlaku yang akhirnya kemenangan diperolehi oleh Sultan Suriansyah. Setelah itu tiada lagi Kerajaan Negara Daha itu wujud kerana dikatakan Sultan Suriansyah telah menjadikannya hanya satu jajahan kecil.

Ramai rakyat Kerajaan Negara Daha sendiri telah berpindah ke Banjarmasin kerana disitulah terletaknya kemakmuran dengan antara tempat penyebaran syiar Islam yang terkenal di Borneo pada waktu itu.

Diketika pemerintahan Sultan Suriansyah inilah Kerajaan Banjarmasin semakin berada di kemuncaknya. Di ketika ini jajahan takluknya membentang di keempat-empat wilayah Kalimantan sekarang yang dikenali sebagai Kalimantan Utara, Kalimantan Selatan, Kalimantan Timur dan Kalimantan Barat. Ini bermakna wilayah rakyat Kerajaan Banjar yang dipanggil Orang Banjar ini ramai sebenarnya sehingga membenarkan ianya bertaburan di seluruh nusantara sekarang.

Dikatakan Kerajaan Banjarmasin ketika dibawah pemerintahan Islam inilah gah berdiri pelbagai infrastruktur untuk mendalami Islam malah masjid paling tertua di Kalimantan yang dikenali sebagai Masjid Sultan Suriansyah di Kuin, Kalimantan Selatan itu masih lagi utuh sebagai saksi bisu betapa syiar Islam di bumi Banjar ini menjadi daulah kepada kesaksian rakyat Banjar kepada agama Islam pada ketika itu.

Oleh itu tidak menghairankan bagaimana ramai pendakwah-pendakwah Islam terkenal adalah dari kalangan Orang Banjar menjadi mufti-mufti yang terkenal di kerajaan Islam di Nusantara yang lain seperti Syeikh Abdurrahman Siddiq bin Haji Muhammad Afif Al-Banjari atau Tuan Guru Sapat iaitu salah seorang Mufti terkemuka bagi Kerajaan Inderagiri.

Setelah berabad lamanya Kerajaan Banjarmasin merupakan satu kerajaan Islam yang gah di bumi Borneo dan akhirnya pada tahun 1905 Kerajaan Banjarmasin itu sendiri menemui titik kejatuhannya. Setelah banyak rentetan perang-perang Banjar yang berlaku antara Orang Banjar dengan Belanda. Perang Muara Tewah 1905 merupakan perang terakhir yang melemahkan terus sistem pemerintahan Kerajaan Banjarmasin itu sendiri.

Sultan Muhammad Seman iaitu sultan Banjar yang dikenali sebagai Gusti Matseman telah terkorban di dalam satu satu perang berlaku pada tahun 1905. Walaupun didokongi oleh saudara mereka seperti Dayak Siang dan banyak lagi di dalam perang tersebut namun kekuatan Belanda sukar untuk diramal. Gugurnya beliau mempertahankan tanahairnya daripada dijajah oleh Koloni Belanda telah memungkinkan Kerajaan Banjarmasin selepas itu runtuh secara total iaitu sekitar tahun 1905.

Walaupun selepas itu Orang Banjar tidak lagi mempunyai satu kerajaan yang utuh namun sifat pejuang mereka tetap diteruskan seperti sumpah yang sering dilaungkan oleh pahlawan Banjar suatu waktu dahulu “haram manyarah waja sampai kaputing”. Semangat ini telah membuatkan Koloni Belanda berhabis-habisan membuat beberapa siri “pembersihan etnik” Banjar di bumi Borneo sehingga memungkinkan mereka bertaburan berhijrah ke seluruh pelusuk Nusantara sekarang.

Salsilah pemerintah Kerajaan Kesultanan Banjarmasin adalah seperti berikut:

1. Raden Samudera bergelar Sultan Suriansyah (1526M-1545M)
2. Sultan Rahmatullah (1545M-1570M)
3. Sultan Hidayatullah (1570M-1595M)
4. Sultan Mustain Billah (1595M-1620M)
5. Sultan Inayatullah (1620M-1637M)
6. Sultan Saidullah (1637M-1642M)
7. Adipati Halid – pemangku Raja kerana putera mahkota belum dewasa(1642M-1660M)
8. Pangeran Amirullah Bagus Kesuma (1660M-1663M)
9. Sultan Agung (1663M-1679M)
10. Sultan Tahlilullah (1679M-1700M)
11. Sultan Kuning (1700M-1734)
12. Sultan Tamjidillah I (1734M-1759M)
13. Sultan Muhammad Aliuddin Aminullah (1759M-1761M)
14. Sultan Tahmidullah (1761M-1801M)
15. Sultan Suleman Al-Mutamidullah (1801M-1825M)
16. Sultan Adam Al-Wasik Billah (1825M-1857M)
17. Sultan Tamjidillah II (1857M-1859M)
18. Panembahan Amir Oeddin Khalifatul Mu’mina atau Pangeran Antasari (1859M-1962M)
19. Sultan Muhammad Seman atau Gusti Matseman (1862-1905)

Inilah satu sejarah panjang mengenai satu kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Borneo suatu waktu dahulu. Yang pada mulanya pengasasnya adalah di kalangan kaum pribumi Borneo yang dikenali sebagai Kerajaan Kahuripan dan seterusnya diwariskan kepada seorang darah keturunan Majapahit yang bernama Empu Jatmika melalui Kerajaan Negara Dipa.

Apabila bertukar lokasi pemerintahan menjadi Kerajaan Negara Daha dan seterusnya diwariskan kepada Sultan Suriansyah yang menjadikannya sebuah Kerajaan Islam yang ulung di bumi Borneo yang bergelar Kerajaan Kesultanan Banjarmasin. Akhirnya kerajaan Islam ini runtuh akibat diperangi berhabis-habisan oleh penjajah Koloni Belanda pada tahun 1905 Masihi.

-HB-

Rujukan:

1. Penerbit: Fakulti Sastera, Universiti Indonesia. Buku Bertajuk: Kerajaan Banjarmasin Di Ambang Keruntuhannya (1826-1859) Terbitan tahun 1984

2. Penerbit: Hafamira, Indonesia. Buku Bertajuk: Asal Usul Kerajaan Banjar. Terbitan 1995

3. Penerbit: Pusat Penelitian, Universiti Lambung Mangkurat, Indonesia. Buku Bertajuk: Runtuhnya Kerajaan Banjar; Politik Kolonial Belanda dan Pengaruhnya, Terbitan: 1992

4. Banjar Kingdom http://melayuonline.com/eng/history/dig/211/banjar-kingdom

REKOD LIANG TENTANG KERAJAAN BERJIRAN DGN KERAJAAN FUNAN

REKOD LIANG TENTANG KERAJAAN-KERAJAAN BERJIRAN DENGAN EMPAYAR MELAYU FUNAN

1. Wilayah Vassal (Negara Bawahan) Funan (Negara Tun Sun) semuanya ada seorang pemerintah tertinggi (Raja Bawahan). Pegawai tertinggi kanan dan pegawai tertinggi kiri bagi Raja semuanya bernama Kun Lun. Pada Zaman Sui (Kurun ke-6 M), nama keluarga bagi Maharaja kerajaan Tun Sun ialah Kou Long. Dalam kerajaan tersebut, kebanyakan rakyatnya menggunakan Kou Long sebagai nama keluarga. Orang tua-tua, apabila ditanya, mereka berkata bahawa Kun Lun bukanlah nama keluarga. Ia adalah perubahan kata (corruption) daripada Kun Lun.

2. Dalam kerajaan itu, banyak orang yang mempunyai nama keluarga Kou Long. Apabila ditanya kepada orang-orang tua yang ada ingatan yang baik, mereka berkata bahawa Kun Lun bukanlah nama keluarga.

3. Kota Tun Sun terletak 10 li daripada laut. (1 li = 418m). Terdapat lima orang raja. Kesemuanya adalah Negara Bawahan (Vassal) Kerajaan Funan. Timur Wilayah Tun Sun menjadikan ia ada hubungan dengan Kiao tchou (berjiranan), baratnya pula menyentuh India, Kerajaan yang sangat jauh. Pedagang datang dalam jumlah yang sangat besar untuk menjalankan perdagangan. Tun Sun menjadi lengkungan dan kemajuan lebih sebatu li ke dalam laut. Lautan besar tiada sempadan dan setiap orang boleh menyeberanginya secara terus. Pasar tersebut adalah tempat pertemuan antara Timur dan Barat. Setiap hari, lebih dari 10,000 orang di sana (pasar Tun Sun).Objek yang sukar dicari dan barangan bernilai (precious merchandises) adalah antara barangan yang pasti akan dijumpai di Pasar Tun Sun. Terdapat juga pokok yang boleh dijadikan arak, buahnya seperti buah delima. Mereka akan mengambil jus dari bunga pokok tersebut dan diletakkan ke dalam balang. Selepas beberapa hari, jus tersebut akan bertukar menjadi arak.

4. Kerajaan Tun-sun bergantung kepada Funan; nama Rajanya ialah Kun Lun (Kamara). Di sana, ada banyak Brahman dari India.

5. Orang-orang Tun-sun mengamalkan doktrin Brahman tersebut dan mengahwinkan anak perempuan mereka dengan mereka. Kebanyakan Brahman tidak meninggalkan Tun-sun. Mereka hanya membaca kitab suci Semangat Semesta (Celestial Spirits) dan memberikan semangat-semangat itu bekas-bekas putih yang dipenuhi dengan bunga dan wangian secara bersungguh-sungguh (upacara keagamaan), dan tidak berhenti siang dan malam. Apabila mereka sakit, mereka akan berjanji untuk dikebumikan dgn “cara burung”. Dengan nyanyian dan tarian, orang-orang akan ambil badan mereka keluar dari bandar, di mana ada burung yang akan memakan mereka. Tulang-temulang yang tinggal akan dibakar dan dimasukkan ke dalam balang bertutup (abu) yang akan dibuang ke dalam air. Jika burung tidak memakan mayat mereka, mereka akan meletakkan mayat tersebut di dalam bakul. Untuk apa yang dikatakan kebumi cara pembakaran, ia mengandungi kaedah melemparkan mayat ke dalam api. Abunya akan dikumpulkan di dalam pasu yang akan ditanam semasa mereka membuat upacara korban dengan tiada had.

[Pi Kien]

6. Keluar dari Tun-sun, di atas sebuah pulau yang besar, terdapat sebuah negara yang bernama Pi Kien, terletak kira-kira 8,000 li dari Funan. Orang berkata bahawa badan rajanya besar, 12 kaki dan kepalanya 3 kaki panjang. Dari zaman dahulu lagi, rajanya tidak mati-mati dan tiada siapa yang mengetahui usia sebenar raja itu. Raja ini luar biasa dan alim. Perkara baik atau buruk yang dilakukan oleh rakyat kerajaan tersebut dan perkara yang akan berlaku, tiada satu pun yang tidak diketahui oleh raja tersebut. Tiada siapa yang berani tampil di hadapannya. Di Negara Selatan, orang-orang memanggilnya sebagai Raja berleher besar.

7. Kebiasaan orang di negara tersebut ialah mempunyai rumah untuk didiami, memakai pakaian, memakan beras biasa dan bukan beras wangi. Bahasa negara tersebut hanya berbeza sedikit berbanding Funan. Terdapat gunung yang menghasilkan emas, di mana emas didapati di atas ketulan batu dalam kuantiti yang banyak.

8. Raja Pi-kien selalu mendiami rumah yang tinggi. Baginda tidak memakan daging dan tidak menyembah semangat-semangat. Anak-anak dan cucu-cucu baginda lahir dan mati seperti orang biasa, Cuma rajanya sahaja yang tidak mati-mati.

9. Raja Funan selalu menghantar duta untuk menghantar surat. Mereka saling berhubung. Raja Pi Kien selalu menghantar bekas yang berisi emas tulen untuk 50 orang kepada Raja Funan. Bentuk emas itu adakalanya bulat leper, kadang-kadang bentuknya seperti gelas tanah liat, apa yang orang sebut sebagai ‘to lo’, pemegangnya sepanjang 5 cheng, atau dalam bentuk yang sama seperti cawan dengan pemegangnya sepanjang satu cheng. Raja tersebut tahu menulis dan membaca Bahasa India termasuk teks-teks Hindu. Teks dalam 3,000 patah perkataan, yang menceritakan berkenaan kehidupan sebelum dan menyerupai Sutra-sutra agama Buddha. Ia juga mengulas lanjut berkenaan ketuhanan.

[Kin Lin]

10. Kin Lin yang juga dipanggil Kin Tchen, negara berhadapanan. Jaraknya lebih kurang 2,000 li dari Funan. Negara itu mengeluarkan perak dan penduduknya sangat ramai. Mereka suka mengejar gajah yang besar hidup-hidup, jika gajah tersebut mati, mereka akan mengambil gadingnya.

11. Kami tiba di sana dengan kereta kuda ataupun kuda. Tiada aliran air untuk sampai ke sana. Semua rakyatnya menyembah Buddha. Kita boleh pergi ke Kin Lin melalui jalan dart dari Lin Yang (Prey Nokor?) dengan jalan darat sejauh 2,000 li.

12. Di Zaman Han, khususnya di bawah pemerintahan Emperor Ho (89-105 M), terdfapat banyak duta dari India, yang datang melalui Asia Tengah, kemudian mereka bermula semula di bawah Houan ti (147-167 M) melalui Lautan Selatan.

-nizam GTZ-

PERTEMPURAN HATTIN

PERTEMPURAN HATTIN: TENTERA SALIB ‘DISEKSA’ OLEH UMAT ISLAM

Pertempuran Hattin (4 Julai, 1187) adalah sebuah pertempuran yang jelas menunjukkan kebijaksanaan Salahudin Al-Ayubbi, selaku sebagai salah seorang daripada jeneral perang paling bijak dalam peperangan, terutama dalam pertempuran ini. Dan dalam pertempuran inilah saya terpanggil untuk menjadikan naskah utama yang menceritakan tentang seni peperangan kepada kita iaitu The Art Of War dan juga Thirty-Six Strategies sebagai rujukan utama kita dalam bercerita tentang kebijaksanaan Salahudin Al-Ayubbi.

Baik, sebelum kita meneruskan perbincangan kita, moleknya saya cadangkan agar kita buat sedikit analisis tentang kekuatan yang dimiliki oleh kedua-dua belah pihak dalam Pertempuran Hattin, untuk memudahkan lagi pemahaman kita tentang pertempuran yang tercetus di Medan Hattin ini.

Tentera Islam

- Komander Perang: Salahudin Al-Ayyubi
- Jumlah tentera: Lingkungan 20-30 ribu orang

Tentera Salib:

- Komander Perang: Guy dari Lusignan, Raymon III dari Tripoli, Gerard de Rideford, Balian dari Ibelin dan Raynald dari Chatillon

- Jumlah tentera: 20 ribu orang.

[Pengenalan]

Detik 1170 Masihi menyaksikan kepada kita bagaimana lahirnya seorang tokoh yang cukup dikagumi dalam sejarah Islam menyatukan seluruh kerajaan-kerajaan kecil Islam di sekitar Palestine, demi merebut kembali Baitulmaqdis dari tangan orang Islam.

Dalam masa yang sama, Raja Guy pula mendakwa dia pemilik takhta Kerajaan Jerussalem, melalui perkahwinanya dengan Sibylla, ibu kepada mendiang Raja Baldwin, seorang raja kanak-kanak-kanak. Kenaikkan Raja Guy ini disokong oleh Raynald dan juga tentera-tentera salib.

Namun pemangku Raja Baldwin iaitu Raymond III pula tidak puas hati dengan kenaikan Guy. Perang saudara pula hampir sahaja tercetus, dan mujurlah Balian dari Ibelin sempat masuk campur. Namun, Raymond melepas geram dengan mencabul perjanjian keamanan antara umat Islam dan umat Kristian dengan menyerang caravan pedagang Islam. Raymond III telah membunuh banyak pedagang, menangkap pegawal peribadi pedagang, dan mencuri harta dagangan.

Salahudin Al-Ayyubi yang masih berpegang teguh pada perjanjian yang dijalinkan dengan orang Kristian, menghantarkan utusan ke Guy untuk menuntut ganti rugi dan perhitungan yang seadilnya. Namun atas nasihat Raynald, maka Guy menghalau utusan tadi pulang, sekaligus mencetuskan peperangan.

Dalam masa yang sama, Raymond yang membuat kacau tadi pula mengadakan perjanjian keamanan dengan Salahudin Al-Ayubbi bagi mengelakkan tanah yang diperintahnya terlibat sekali dalam peperangan Salahudin Al-Ayyubi. Namun perjanjian keamanan Raymond ini tak bertahan lama apabila si talam dua muka ini tidak membenarkan askar Salahuddin Al-Ayyubi melalui tanahnya untuk menyerang tentera Salib.

Kerana terpaksa, maka Raymond pun bersetuju untuk berdamai dengan Guy demi memerangi ketumbukan askar umat Islam dibawah pimpinan Salahudin Al-Ayyubi. Gabungan askar Guy dan juga Raymond telah membuatkan jumlah askar Salib berjumlah 20 000 orang, hampir sama banyak dengan ketumbukan askar Salahudin Al-Ayyubi.

[Analisis Taktikal dan Strategi Kedua-dua Pihak]

Baik, sekarang kita sudah jelas bukan tentang pertempuran ini? Maka kata saya mari kita meneliti pula tentang strategi perang yang digerakkan oleh Salahudin Al-Ayubi dalam menggempur 20 ribu orang tentera Salib. Maka izinkan saya memetik setiap strategi perang yang pernah diajarkan oleh Sun Tzu diulang semula dalam pertempuran ini.

1. Serang Wei Untuk Menyelamatkan Zhao

Strategi ini direkodkan paling awal dalam sebuah karya perang China yang bertajuk Thirty-Six Strategies. Maksud ayat “serang Wei untuk menyelamatkan Zhao” adalah bermaksud apabila musuh terlalu kuat untuk diserang secara terus, maka seranglah sesuatu yang sangat disayangi oleh musuh.

Sekejap… bagaimana strategi yang digunakan ketika era zaman China ini tiba-tiba boleh dijadikan rujukan utama untuk Pertempuran Hattin? Jawapannya sangat senang. Kita kena kaji strategi Guy dan tentera Salib dalam pertempuran ini.

Ketewasan tentera Islam sebelum ini adalah kerana apabila Guy menguasai sumber air terdekat dengan tentera Islam dan memanjang pertempuran selama mungkin, bagi membiarkan panas melemahkan tentera Islam sebelum memberi “final-blow” pada tentera Islam.

Salahudin Al-Ayyubi memang menyedari akan strategi Guy ini. Jadi, apa yang dilakukan oleh Salahudin Al-Ayyubi untuk menjauhkan Guy dari sumber air di Sephoria?

Maka sejarah mencatatkan strategi yang pernah digunakan di China pada 343 SM dahulu diulang balik. “Serang Wei untuk menyelamatkan Zhao” kembali digunakan oleh Salahudin Al-Ayyubi. Cuma kali ini, mungkin strategi itu berbunyi seperti “serang Tiberias untuk memandu Guy keluar.”

Ya, Salahudin Al-Ayyubi tidak terus menyerang Guy yang berkampung di Sephoria sebaliknya terus menghalakan ketumbukan askarnya ke arah Tiberias. Mahu menyelamatkan kubu mereka di Tiberias, maka mahu atau tidak, Guy terus memimpin askarnya untuk menggempur tentera Salahudin Al-Ayyubi yang sedang menghala ke arah Tiberias. 

2. "Apabila musuh sedang santai, buat mereka menderita. Apabila musuh sedang kekayangan, buat mereka lapar. Apabila musuh sedang berhenti, buat mereka bergerak!” – The Art Of War, Sun Tzu

Ramai yang bertanya kenapa saya begitu taksub membaca The Art Of War. Jawapannya mungkin di sini apabila kita mampu mengaitkan setiap strategi di dalamnya dengan pertempuran-pertempuran yang berlaku di seluruh dunia, bahkan mungkin di luar China juga.

Dan apa yang diceritakan oleh Sun Tzu dalam bukunya seperti diulangi oleh Salahuddin Al-Ayubbi di dalam bukunya. Pertama, Salahuddin Al-Ayyubi sedang bikin tentera Salib kelaparan, atau lebih sesuai kehausan.

Semua tahu yang Guy sedang memimpin askarnya ke arah Tiberias demi menghentikan Salahudin. Dan bentuk muka bumi di sekitar medan pertempuran mereka pula ialah padang pasir yang tandus, dan perkara utama berperang di muka bumi tandus ini ialah sumber air!

Sepanjang perjalanan Guy ke Tiberias, mereka singgah di air mata air di Turan yang berkedudukan 6 batu daripada Sephoria. Mereka berehat di air mata air itu. Selepas itu, meskipun Tiberias berjarak 9 batu jauhnya, Guy mengarahkan askarnya untuk terus menghalakan perjalanan ke Tiberias walaupun mereka tahu tiada sumber air di antara jalan ke sana.

Menyedari bahawa Guy telah jauh dari jarak sumber air di Turan itu, maka Salahudin Al-Ayyubi mengarahkan sayap kanan dan kiri berkudanya mengepung Guy dan menutup terus laluan untuk ke Turan. Sekarang ni Gay ada dua pilihan, untuk kekal di situ atau terus mara ke Tiberias kerana Tiberias ialah sumber air terdekat.

Percaya bahawa barisan askarnya tidak mungkin dapat menewaskan Salahudin yang sedang berkawal di mata air Turan, maka Guy dengan nasihat daripada Raymon untuk menuju terus ke sebuah lagi mata air bernama Hattin, yang lebih kurang 9.7 Kilometer dari lokasi mereka.

Diceritakan bahawa tentera salib berkampung di sebuah kampung bernama Meskana akibat terpaksa kerana dihimpit oleh tentera Salahudin Al-Ayyubi. Pada malam itu juga, Salahudiin memastikan bahawa semangat dan morale tentera Salib terus jatuh. Diceritakan bahawa malam itu juga, tentera Salahudin Al-Ayyubi solat, berzikir, azan, memainkan dram, melaungkan kata-kata semangat untuk pasukan mereka dengan sangat kuat sehinggakan boleh didengari oleh tentera Salib. Bahkan, rumput-rumput kering turut dibakar untuk menambahkan efek kehausan yang sedang dihadapi oleh tentera Salib. Inilah bentuk seksaan yang saya maksudkan dalam tajuk besar artikel ini.

Sekarang, Salahudin Al-Ayyubi telah melaksanakan satu daripada arahan taktikal Sun Tzu. Kalau musuh sedang kekenyangan, maka buat mereka kebuluran. Salahudin Al-Ayyubi sebenarnya sedang bikin tentera Salib kehausan! Bahkan Salahudin turut buat tentera Salib terseksa dan tidak senang duduk dengan segala provokasi yang menjatuhkan moral mereka. Ini bertepatan dengan sambungan frasa ini yang berbunyi, “…apabila musuh sedang santai, buat mereka menderita. Apabila musuh sedang berhenti, buat mereka bergerak!”

Bahkan pada waktu pagi itu, mereka diganggu pula dek asap yang diwujudkan oleh tentera Islam sehingga membataskan pengelihatan mereka. Kerana keterpaksaan, maka Guy menyuruh semua tentera Salib bersedia dan terus menuju ke arah mata air di Hattin dalam keadaan kepenatan dan kehausan yang amat sangat.

Namun serangan tentera Salib dapat dipatahkan oleh Salahudin Al-Ayyubi. Namun dua serangan daripada Raymond berjaya membelah barisan tentera Islam berjaga lalu berjaya berada di luar perimeter kawalan tentera Islam. Namun oleh kerana mempunyai jumlah askar yang agak sedikit membuatkan Raymond tidak mampu mempengaruhi pertempuran lalu lari meninggalkan Guy terkontang kanting.

Mereka akhirnya berundur sehingga di Tanduk Hattin, lalu terkepung dek tentera Islam yang berkawal penuh mengelilingi mereka. Akhirnya, menyedari kebanyakan tentera Salib telah berjaya dihabiskan oleh umat Islam dalam pertempuran ini, maka Guy sendiri menyerah kalah kepada Salahudin Al-Ayyubi apabila khemah Guy sendiri ditawan oleh tentera muslim. Guy dilayan dengan baik oleh Salahudin Al-Ayyubi manakala Raynald dihukum bunuh kerana pengkhianatannya sebelum ini. Bertolak dari kemenangan ini, maka Salahudn Al-Ayyubi terus menawan beberapa buah jajahan dan kota seperti Acre, Jaffa, Nablus, Toron, Sidon, Beirut dan Ascalon. Lalu dari situ, Salahudin Al-Ayyubi terus menyasarkan Baitulamaqdis dan menawannya.

-HE-